Tuesday, 26 July 2016

Tudingan Penulisan SPM 2016 : Dimensi Keluarga

Gaya hidup sihat mempengaruhi kejayaan seseorang dalam pelbagai aspek kehidupan.
Jelaskan peranan ibu bapa untuk memastikan ahli keluarga mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

Pendahuluan : Gejala serangan pelbagai penyakit yang menggerunkan dan luar biasa sejak belakangan ini amat dibimbangi oleh warga dunia. Beberapa ancaman wabak seperti SARS, ILI, HINI, Aids dan pelbagai penyakit benar-benar menggemparkan masyarakat dunia pada dekad-dekad belakangan ini. Selain wabak yang berskala besar seperti itu, ancaman kesihatan yang bersifat domestik seperti denggi, barah, dan penyakit kronik masih membelenggu masyarakat. Tidak dinafikan pelbagai usaha telah digemblengkan oleh WHO dan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menangani ancaman gejala penyakit, namun usaha tersebut akan menjadi lebih berkesan apabila semua pihak sentiasa prihatin untuk memilih amalan gaya hidup sihat sebagai keutamaan. Inisiatif  seperti itu hendaklah turut disokong oleh institusi keluarga khususnya ibu bapa selaku penggerak utama pembentukan sesebuah masyarakat yang sihat.

Isi 1:  Keluarga perlu menjadikan agenda kesihatan penting setanding dengan keperluan asas yang lain – kesihatan diambil sebagai suatu budaya dalam hidup – dalam konteks mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Isi 2:  Bertanggungjawab memantapkan kedudukan ekonomi rumah tangga – kesihatan amat berkait rapat dengan kedudukan kewangan terutama untuk memenuhi segala keperluan asas

Isi 3:  Mengamalkan pendidikan kesihatan dalam keluarga – keutamaan kepada maklumat dan sumber-sumber kesihatan – mendedahi anak-anak dengan maklumat dan input kesihatan seperti bahan bacaan, kempen, dan amalan harian

Isi 4:  Mengutamakan makanan untuk kesihatan daripada makan untuk kepuasan – memberi perhatian serius terhadap nasihat dan panduan dalam piramid makanan – memilih makanan yang berkhasiat, bersih dan halal (berpegang kepada falsafah pembentukan peribadi bermula daripada pemakanan yang baik dan berkhasiat)

Isi 5:  Melatih  anak-anak dengan rutin kesihatan – tidur yang cukup,  senaman yang sempurna, amalan kebersihan, dan peka terhadap segala anasir serangan penyakit.

Isi 6:  Peka terhadap kesejahteraan dan kebersihan alam sekitar – faham bahawa alam sekitar adalah sebahagian daripada hidup kita – menjaga kebersihan persekitaran, parit dan longkang dan menjauhi semak samun

Kesimpulan :  Mafhum daripada sepotong Hadith Nabi yang bermaksud, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit”  benar-benar menyedarkan kita bahawa kesihatan  merupakan aset  besar untuk sesuatu bangsa itu mempertahankan tamadun. Dalam merealisasikan matlamat hidup sihat secara universal, keluarga hendaklah menjadi paksi utama melaksanakan segala program amalan gaya hidup sihat yang sentiasa dicanang-canangkan.


Peranan membentuk keluarga bahagia tidak hanya terletak di atas bahu ibu bapa sahaja,  sebaliknya menjadi tanggungjawab semua ahli keluarga.

Tulis pendapat anda tentang peranan ahli keluarga untuk membentuk keluarga yang bahagia.

Pendahuluan :  “Air dicencang tidak akan putus, dan carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum semula”. Dua ungkapan daripada peribahasa Melayu itu menjelaskan kepada kita bahawa hubungan rapat  yang berpaksikan darah daging tidak akan dapat dileraikan. Walaupun pernah terpisah akibat salah faham, namun perpecahan tersebut tidak akan ke mana-mana malah akan bercantum semula. Menghayati isi kandung daripada pengajaran peribahasa tersebut, jelaslah kepada kita bahawa tugas membentuk keluarga yang bahagia adalah menjadi tanggungjawab semua anggota dalam keluarga.

Isi 1 : Sentiasa mengutamakan jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga - keluarga sebagai punca utama lahirnya kehidupan yang bahagia - tidak bersikap mementingkan diri sendiri – sentiasa bertolak ansur dan bermusyawarah

Isi 2 : Menjadi contoh teladan dan sumber inspirasi - setiap ahli keluarga yang sudah besar dan berjaya sama ada dalam pelajaran atau kerjaya hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik - membimbing dan memandu adik-adik untuk berjaya terutama dalam pelajaran - meletakkan asas akhlak yang terpuji dengan mengamalkan tingkah laku yang baik - mengutamakan prinsip yang muda disayangi dan yang tua dihormati

isi 3 : Menyokong keluarga dalam bentuk material dan moral - tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri – membantu meringankan bebanan ibu bapa untuk menanggung keluarga - sebagai langkah membalas budi ibu bapa/tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit - mempererat jalinan kasih dalam kalangan adik-beradik

Isi 4:  Menjalinkan hubungan yang erat dengan keluarga induk walaupun selepas berkahwin - tidak terputus silaturahim dengan keluarga - mewujudkan keluarga besar yang harmoni, produktif, dan toleran


Kesimpulan :  Berdasarkan maksud sepotong ayat al-Quran dalam Surah Ali Imron yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah. Dan berpeganglah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu dengan sebanyak-banyaknya”. Dengan yang demikian, jalinlah kasih sayang dan silaturahim demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia.

sumber 
http://ishakmdshah.blogspot.my/


Wednesday, 6 July 2016

SELOKA – BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU (Za’ba)

SELOKA – BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU (Za’ba)

A MAKSUD

RANGKAP 1
Baginda menitahkan orang besar empat,
Membuat istana puri berkota;
Lalu dipanggil Pawang Raja.
Pawang mengerah orang bekerja,
Empat puluh empat tukang dan utas,
Siang malam tidak berhenti.


Baginda sultan menitahkan orang besar berempat untuk membina istana sebagai mercu tanda kotanya. Oleh hal yang demikian, Pawang Raja telah mengerah rakyat untuk bekerja keras. Sebanyak empat puluh empat orang jurubina dan pandai tukang dan projek pembinaan itu dijalankan siang dan malam tanpa henti.

RANGKAP 2
Tujuh bulan tujuh purnama,
Istana siap dengan alatnya;
Besar tersergam sembilan ruang,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.
Pembinaan istana baginda itu menelan masa tujuh bulan sehingga siapkan sempurna dengan perabot dan segala peralatan di dalamnya. Istana yang disiapkan itu tersergam indah dengan sembilan ruang utama yang memiliki sepuluh batang tiang penyokong. Di dalam istana itu, ada kain yang disusun dan diikat serong dengan puncanya tergantung dan memiliki kawasan anjung yang tinggi.
RANGKAP 3
Tiga sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharaja lela,
Tiang tengah syukur menanti;
Galang-galangnya ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Kasau lentik helang berbega.
Di dalam istana itu, ada tiga sudut untuk kegunaan lapan orang menteri yang utama yang dihias dengan tiga batang tiang yang dinamakan maharaja lela. Di tengah-tengah istana itu, ada sebatang tiang besar yang kukuh yang bertanggam dengan ukiran corak ular yang garang. Kayu yang melintang pada atap istana pula bercorak seorang puteri yang menyembah dan sebatang kayu yang melengkung pada atap istana juga bercorak ukiran helang di sekelilingnya.
RANGKAP 4
Berbunga sawa mengelempai,
Bertakuk bersedelinggam,
Berjenang berbatu kawi,
Berselimpat ukir Jawa,
Lilit-melilit akar Cina;
Garam sebuku sisa jeragan,
Bunga kenanga dimakan ular,
Layang-layang di pintu Raja.
Bahagian tingkap istana raja dibina dengan seni yang istimewa, yakni berukir corak bunga dan ular sawa yang berbaring dengan lemah longlai. Di samping itu, jendela istana pula diperbuat daripada batu yang kukuh dan bertiang. Seni bina ini dipercantik dengan ukiran Jawa dan Cina. Selepas itu, garam ditaburkan di sekeliling istana yang baharu untuk membuang segala kekotoran dan anasir jahat yang cuba dibawa oleh pendatang asing atau nakhoda. Pada pintu istana yang besar itu, ukiran bunga kenanga amat jelas kelihatan bersama corak ular. Demikianlah keunikan istana raja yang siap dibina.
RANGKAP 5
Istana siap tukang pun mati,
Tiada orang dapat meniru:
Dipersembahkan kepada baginda suami isteri.
Setelah istana siap dibina, tukang bina istana pun meninggal dunia. Kesetiaan jurubina istana ini menyempurnakan pembinaan istana ini amat terserlah apabila tiada sesiapa yang dapat meniru teknik dan gaya pembinaan istana tersebut. Apabila istana siap dibina, pembesar yang bertanggungjawab dalam pembinaan itu mempersembahkan istana tersebut kepada baginda raja dan permaisuri.
Kalung Bunga Za'ba, 2008
Dewan Bahasa dan Pustaka
B    TEMA DAN PERSOALAN

Sindiran terhadap golongan raja yang mengutamakan kepentingan sendiri  untuk kemahsyuran peribadi sehingga sanggup mengorbankan nyawa orang lain. Hal ini dapat dibuktikan apabila tukang bina istana meninggal dunia selepas istana siap dibina dan memastikan tiada sesiapa yang mampu meniru pembinaan itu.

Contohnya: 
(R1)   Pawang mengerah orang bekerja.
                   Empat puluh empat tukang dan utas.
                   Siang malam tidak berhenti.

(R5)   Istana siap tukang pun mati.,
                   Tiada orang dapat meniru:

Persoalan
a.     Persoalan seni bina istana masyarakat Melayu tradisional.
(R3)   Galang-galangnya ular berang.
                   Kasau kecil puteri menyembah.
                   Kasau lentik helang berbega.

b.     Persoalan golongan raja yang mementingkan diri sendiri.
R5)    Istana siap tukang pun mati,
                    Tiada orang dapat meniru

c.     Persoalan kehalusan seni ukiran Melayu tradisional
(R4)   Lilit-melilit akar Cina
                   Garam sebuku sisa jeragan
                   Bunga kenanga dimakan ular
                   Layang-layang di pintu Raja

(d)   Kepentingan istana kepada raja.
(e)   Keunikan seni bina istana.
(f)   Kesetiaan pembesar kepada raja.
(g)   Kesempurnaan seni bina istana lama.

C      GAYA BAHASA

(a)    Repitisi
Buktinya,
empat puluh empat tukang dan utas

(b)    Imej alam atau imejan
Buktinya,
Berbunga sawa mengelempai,
Garam sebuku sisa jeragan
Bunga kenangan dimakan ular

(c)     Anafora
Buktinya,
Tiang panjang maharaja lela
Tiang tengah syukur menanti
Kasau kecil puteri menyembah
Kasau lentik helang berbega

(d)    Responsi

Buktinya,
Istana siap dengan alatnya,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.


D NILAI MURNI

(a) Kesetiaan
(b) Bertanggungjawab
(c) Amanah
(d) Kegigihan
(e) Ketaatan

E PENGAJARAN

(a)   Kita mestilah setia kepada raja dan menjalankan titah perintah raja dengan sempurna.
(b)   Kita mestilah bertanggungjawab dalam semua tugasan yang kita jalankan.
(c)   Kita mestilah memegang amanah yang diberikan kepada kita oleh raja.
(d)   Kita mestilah gigih mengerjakan sesuatu tugasan sehingga selesai.
(e)   Kita mestilah taat setia kepada raja dan mengikut titah perintah baginda.