16/10/2018

CERAMAH : DADAH MUSUH NEGARA


Selaku aktivis dalam Agensi  Anti Dadah Kebangsaan (AADK), anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan remaja. Tajuk ceramah anda ialah, “Dadah Musuh Negara : Peranginya Habis-habisan”.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Desa, Yang dihormati ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya para remaja yang dikasihi sekalian.
Peribahasa Melayu selalu menyatakan, ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis. Peribahasa ini menjadi menjadi sumber nasihat agar masyarakat sentiasa berwaspada terhadap sesuatu anasir yang boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif kepada kehidupan. Dadah ialah anasir paling berbahaya dalam masyarakat yang seyogianya kita jauhi malah perlu diperangi habis-habisan.

Hadirin sekalian,
Kita sering mendengar sindiran orang tua-tua, “Jikalau rosak kerana perempuan habis tenaga berhenti, jikalau rosak kerana berjudi habis wang berhenti, dan jikalau rosak kerana mencuri lepas tertangkap berhenti. Sebaliknya, jikalau seseorang itu rosak dengan mengambil dadah, tempat terakhir ialah mati”. Sesungguhnya, atas rasa tanggungjawab tersebutlah saya mengambil amanah ini demi kepentingan masyarakat betapa perlunya kita menyedari bahayanya ancaman dadah terhadap masyarakat. Justeru, saya amat berterima kasih atas keprihatinan semua pihak untuk memerangi gejala najis dadah ini. Dengan hal yang demikian, bersempena dengan peluang yang keemasan ini, saya akan menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk, “Dadah Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Dadah dalam definisi yang mudah ialah sejenis candu. Candu tersebut telah diproses untuk digunakan sebagai sumber pelali dan penahan sakit dalam amalan perubatan pada zaman silam. Walau bagaimanapun, dengan pengaruh teknologi dan kemajuan dalam bidang farmaseutikal pelbagai bentuk dadah dihasilkan. Antaranya adalah untuk perdagangan dalam teknologi ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, akibat penggunaan yang berlebih-lebihan, fungsi dadah sebagai bahan pelali telah disalahgunakan sehingga mengakibatkan gian atau ketagih yang keterlaluan. Akhirnya dadah dalam bentuk morfim, heroin, marijuana, syabu, dan ekstasi telah menjadi sumber khayal yang amat diperlukan oleh penagih tegar. Disebabkan kandungan kafien dan narkotina yang tinggi kandungan dadah yang berlebihan dalam darah telah bertukar menjadi racun dan membahayakan penggunanya.

Remaja yang dikasihi sekalian,
Pada hari ini dadah bukan lagi diambil sebagai sumber untuk melepaskan gian seperti keletihan, menahan sakit atau menjadi ubat penenang tetapi dadah mula menjadi ancaman besar terhadap kesejahteraan hidup manusia. Dadah menjadi pembunuh senyap ibarat api dalam sekam dan membawa ancaman seperti musuh dalam selimut. Setiap penagih tegar akan terus berusaha mendapatkan dadah walaupun dirinya bagaikan bangkai bernyawa. Pengaruh dadah dalam kalangan remaja juga seolah-olah mempunyai tangan ghaib yang mampu menarik remaja dalam sekelip mata untuk berdampingan dengan dadah. Dengan keajaiban itulah kini negara kita sedang berhadapan dengan masalah bangkai bernyawa ini yang sudah meningkat sehingga 800 ribu orang dengan kadar tujuh orang penagih baru dalam setiap hari. Inilah malapetaka dadah yang boleh menghancurkan sesebuah tamadun atau negara.

Hadirin sekalian,
Tanpa menoleh ke belakang semula kita tidak perlu mencari tentang di manakah silapnya sehingga begitu hebat sekali serangan gejala dadah itu? Terlalu banyak puncanya jikalau saya hendak perturunkan satu persatu. Namun apalah gunanya kita mencari segala kesilapan yang lalu kerana usaha tersebut tidak mampu menyelesaikan masalah. Justeru, dalam wacana minda yang sesingkat ini marilah bersama-sama saya, kita menelusuri usaha-usaha yang boleh menyelesaikan masalah ini. Sebagai anggota masyarakat tidak seorang pun yang boleh melihat fenomena dadah sebagai masalah yang terpencil sebaliknya menjadikan tanggungjawab bersama. Mungkin benar pada hari ini ahli keluarga kita tidak terjebak dengan gejala tersebut, tetapi esok atau lusa bukan mustahil.
Sebagai ketua keluarga, suami janganlah pula meletakkan tanggungjawab mengawal anak-anak kepada isteri sahaja. Sebarang kesalahan anak terus dilemparkan kepada isteri. Cara ini adalah tidak adil. Si suami mesti tahu akan had dan kemampuan yang ada pada isteri. Bawalah berbincang dengan isteri dan anak-anak agar mereka sentiasa berasa diri didekati. Kasih sayang merupakan ubat penenang yang paling mujarab untuk mencegah gejala yang terburuk dalam sejarah kebejatan sosial manusia itu. Bak kata orang elok kerja dengan muafakat agar semuanya membawa berkat.

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
Kepada anak-anak remaja, anggaplah diri anda sebagai pahlawan. Anda mampu menepis segala ancaman jahat termasuklah ancaman dadah. Sebagai remaja perkasa, amatlah daif apabila kita sendiri gagal untuk membawa diri kita menentukan antara yang baik dan yang buruk demi kebaikan masa depan sendiri. Bijaksanalah dalam memilih rakan. Rakan bukan sekadar untuk berseronok-seronok tetapi rakan mestilah mampu membimbing kita sama ada dalam keadaan susah atau senang. Ingatlah, rakan ketawa beramai-ramai, rakan menangis seorang diri. Sesungguhnya, negara amat berharap kepada sumbangan anda untuk menjadi tenaga penggerak wawasan. Seandainya anda kecundang, kepada siapakah yang harus diharapkan lagi untuk menguruskan negara ini?
Selain itu, semua agensi keselamatan sama ada pihak polis, RELA, dan pihak berkuasa dalam masyarakat hendaklah menjalin kerjasama bersepadu. Tugas penting kita adalah mengesan musuh dalam selimut yang bersikap telunjuk lurus kelengkeng berkait yang sentiasa menangguk di air keruh. Bedebah seperti ini yang perlu dicekup dahulu dan dibawa ke muka pengadilan. Angkara merekalah yang menyebabkan ratusan ribu anak-anak peria bunga bangsa tersungkur di tengah-tengah medan juang sebelum mereka mengenali identiti diri. Golongan yang telah kaya-raya di atas kemusnahan orang lain tidak boleh dibiar lama berkeliaran dalam masyarakat. Mereka inilah pengedar dan penyebab gejala dadah bertambah rumit untuk diselesaikan.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya yakin, bencana dadah tidak akan lunas sampai bila-bila masa pun. Bahayanya sudah menular ke peringkat global. Namun kita harus tabah dan berusaha secara bijaksana agar gejala yang telah memusnahkan ratusan ribu remaja itu terlerai juga, ibarat orang mementung ular, ular dipentung biar mati, kayu pementung jangan patah, tanah datar jangan pecah. Justeru, ingatlah, “Dadah Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.

Sekian terima kasih.





Catatan : Sumber Tuan Haji Ishak Md Shah [http://ishakmdshah.blogspot.com]

12/10/2018

UCAPAN : PENGHARGAAN KEPADA ALMA METER


"Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu". Sebagai pelajar yang telah berjaya, anda ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekolah dan guru-guru yang mendidik anda.
Tulis teks ucapan untuk melahirkan perasaan anda itu.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Yang saya hormati Puan Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Ambang Sarjana, Tuan Haji Ramli Bin Mohd Zaini, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
Atas limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasihani, saya melafazkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya kepada warga SMK Ambang Sarjana. Kita sangat bertuah dan bersyukur kerana di sekolah inilah tempat kita belajar, bermain, berkawan, bermesra dengan para guru dan seterusnya melakarkan kejayaan.

Hadirin sekalian,
Air jernih genang-genangan,
Alir deras jernih di hulu;
Tempat jatuh lagi dikenang,
Inikan tempat menimba ilmu.

Pantun di atas dengan sesungguhnya, saya dedikasikan untuk para guru dan khususnya untuk SMK Ambang Sarjana yang telah banyak menaburkan budi kepada saya dan saudara saudari. Istimewa pula, pada hari yang bertuah ini, kita diraikan sekali lagi kerana mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Hadirin sekalian,
Sebelum menelusuri lebih jauh, saya terlebih dahulu mengambil peluang untuk mengimbau semula sejarah lima tahun yang silam ketika saya dan rakan-rakan mendaftarkan diri di sekolah ini. Sebagai pelajar baru, kita seolah-olah lembu masuk kampung semasa pertama kali melepasi pintu pagar sekolah. Pelbagai perasaan berbaur dalam benak fikiran tentang alam persekolahan menengah yang bakal kita tempuhi. Perasaan gerun, seronok, dan cemas bertukar ganti mengusik emosi. Maklumlah, pada waktu itu kita dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang lebih senior dan ada dalam kalangan mereka yang bertubuh gempal dan sasa. Malahan perkara yang lebih rumit lagi, sesama kita pun belum kenal antara satu sama lain. Namun begitu, semua perasaan tersebut tidak lama berada di dalam minda apabila para guru yang cukup berdedikasi dan penyayang telah membimbing kita. Atas keramahan dan manis muka para guru dan rakan-rakan senior, kita meniti hari-hari berlalu tanpa disedari. Natijahnya, sekarang kita telah menjadi sebahagian daripada insan bertuah yang diraikan oleh pihak sekolah atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lalu.

Para pendidik yang dihormati sekalian,
Alhamdulillah, tiada kalimah seindah madah untuk saya lafazkan atas kejayaan meraih keputusan paling cemerlang yang saya peroleh. Memang benar, rajin dan usaha tangga kejayaan. Namun apa-apapun, kejayaan meraih 9 1A yang terpampang di hadapan mata bukanlah perkara gampang. Sebaliknya, tanpa usaha dan komitmen yang cukup dedikasi daripada para pendidik dan pengurusan sekolah, kejayaan yang berada dalam tangan saya dan rakan-rakan adalah suatu misi yang mustahil. Kami cukup yakin, setitis liur basah yang terpercik daripada lidah seorang pendidik adalah sumber yang menjadi mutiara ilmu. Terima kasih cikgu! Sesungguhnya, jasamu akan kami kenangi bak seluas lautan yang tidak bertepian.

Rakan-rakan sekalian,
Selama lima tahun kita menimba ilmu di sini, bukan perihal akademik sahaja yang menjadi agenda pihak sekolah, malahan pembinaan sahsiah dan jati diri turut dirancang. Kita dididik menjadi insan serba boleh dalam bidang kurikulum, kokurikulum, pemantapan rohani serta bermotivasi. Pelbagai program kecemerlangan sama ada yang berunsurkan akademik mahupun kokurikulum telah berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang hebat dan cemerlang. Betapa tidak, sekolah ini adalah antara yang tersohor dalam kalangan institusi menengah di negeri ini. Kita cemerlang dalam setiap peperiksaan awam, kita hebat dalam beberapa acara sukan serta kita amat digeruni dalam beberapa pertandingan koakademik seperti pidato, koir, dan persembahan kebudayaan. Pendek kata, kita telah membuktikan kemampuan untuk menjadi insan yang seimbang. Sesungguhnya, semua kejayaan tersebut tidak lain dan tidak bukan kerana guru-guru yang amat dedikasi yang berada di hadapan kita.

Hadirin sekalian,
Bercakap bagi pihak diri saya sendiri, perasaan gembira, terharu dan bangga masih belum mampu saya lahirkan sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Tanpa dibatasi oleh apa-apa sempadan, saya menganggap guru-guru sebagai ibu dan ayah kepada saya. Mereka menyuluhi saya sinar hari depan yang meyakinkan. Mereka amat penyayang dan mereka amat prihatin. Saya percaya walaupun setinggi langit tangan menyapu awan, saya tidak mampu menoleh pandang melainkan SMK Ambang Sarjana tetap di hati dan pasti kekal abadi mencipta sejarah. Izinkan saya mengambil segala inspirasi yang tuan-tuan dan puan-puan telah ilhamkan sepanjang mendidik saya. Saya bertekad untuk membalas budi anda dengan membawa balik kejayaan yang lebih cemerlang. Saya berjanji, demi anak nusa yang terdidik sempurna di sini, tidak sama sekali-kali berlaku kacang melupakan kulit sebaliknya tidak jauh seluang melaut balik juga ke muara. Insya-Allah,

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
Diri kita ibarat setinggi-tinggi terbang bangau hinggap semula di belakang kerbau. Janganlah terjadi, daun melayang jauh perdu dilupakan. Pada kesempatan ini, saya menyeru rakan-rakan yang bersama-sama mencipta kecemerlangan di sini agar menyimpan iltizam untuk kembali kepada ibu kandung bagi menabur khidmat dan bakti. Ayuh, masa kita di sini sudah tamat dan kita buka episod baru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Yang penting kepada kita, jangan sekali-kali kita pergi sehingga melupakan tempat jatuh bangun di sini kerana, "tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu". Selepas mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi sentiasalah kembali menjenguk sekolah yang telah mencipta sejarah cemerlang kita. Ingatlah pesan peribahasa, daun boleh melayang jauh, tetapi getah tetap mengalir ke perdu.

Hadirin sekalian,
Berat hati dan longlai langkah untuk saya pergi meninggalkan sekolah ini. Lipatan sejarah yang telah ternukil sepanjang dididik di sini terus menjadi usikan kenangan. Insya-Allah selagi hayat dikandung badan, budi para pendidik tetap dikenang bak budi setahun segunung intan. Saya berdoa semoga Allah mencurahkan rahmat dan keberkatan kepada tuan-­tuan dan puan-puan agar terus berdedikasi dalam mendidik anak-anak nusa. Izini kami pergi, dengan saya abadikan serangkap pantun,

Burung terbang melintas sempadan,
Terbang menuju muara segara;
Biar jauh berbilang lautan,
Sebutir katamu menjadi mutiara.

Sekian terima kasih.






Catatan : Sumber Tuan Haji Ishak Md Shah [http://ishakmdshah.blogspot.com]