07/01/2019

TEMA BERDASARKAN BUKU TEKS

TEMA BERDASARKAN BUKU TEKS 


Tema Tingkatan IV

Tema
Senario Masyarakat Kita
{  masyarakat Malaysia alaf baharu
{  masyarakat era e-komuniti
{  tradisi kejiranan dalam masyarakat
Generasi Kita
{  wawasan generasi kita
{  patriotisme dan generasi muda
{  generasi pelapis : sifat-sifat yang dikehendaki
Ambang Remaja
{  remaja dan cabaran
{  remaja dan keluarga
{  disiplin remaja dan kokurikulum
Gaya Hidup Sihat
{  amalan hidup sihat
{  remaja dan kesihatan
{  obesiti dan pencegahan
Dunia Semakin Canggih
{  kad elektronik
{  budaya teknologi maklumat dan komunikasi
{  e-mel
Kerjaya
{  minggu kerjaya
{  cita-cita dan kerjaya
{  surat permohonan kerjaya
Keranamu Malaysia
{  patriotisme
{     Malaysia alaf baru – pengangkutan, pentadbiran pintar, era kemajuan sains dan teknologi
Warisan Bangsa
{  pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah
{  warisan seni bina Melayu tradisional
{  pemuliharaan warisan sejarah
Melestarikan Alam Sekitar
{  pendidikan alam sekitar
{  kualiti udara
{  pencemaran sungai kita
(alam sekitar dan isu pencemaran)
Industri Pelancongan Malaysia
{  kebudayaan dan pelancongan
{  Malaysia sebagai destinasi pelancongan
{  Cuti-cuti Malaysia
{  Warna-warna Malaysia

Riadah
{  hobi, sukan dan rekreasi
{  cabaran di puncak gunung
{  hobi dan cabarannya


  

Tema Tingkatan V

Tema
Rumah Terbuka Rakyat Malaysia
{  rumah terbuka Aidilfitri
{  amalan rumah terbuka
{  kemanusiaan sejagat
Biolembangan
{  bioteknologi dalam pertanian
{  kejayaan melalui pertanian
{  perkembangan dalam pertanian
Pendidikan Alaf Ini
{  pendidikan maya
{  e-pendidikan
{  kepentingan ilmu dalam era globalisasi
Pelaburan Mengubah Masa Depan
{  pelaburan menerusi saham amanah
{  pelaburan dalam sektor hartanah
Pengangkutan Alaf Ini
{   tren ERL
{   kejayaan negara dan perindustrian tren laju
{   harapan masa depan – peningkatan penggunaan teknologi tinggi
Teleperubatan
{  kesihatan sepanjang hayat
{  amalan pemakanan seimbang
{  cegah sebelum parah – rawatan seperti homeopati, refleksologi, akupunktur, rawatan urut tradisional, perubatan warisan ambia
Bandar Pintar Malaysia
{  bandar dalam taman
{  projek koridor multimedia
{  perpaduan menjamin keamanan
{  Putrajaya mercu tanda kemajuan negara
Sukan Seantero Dunia
{  Sukan mengharumkan nama negara
{  Malaysia penganjur sukan antarabangsa
Alam Pekerjaan
{  kerjaya pada masa depan
{  kejayaan dalam kerjaya
Komunikasi Global
{  Mykad
{  Internet dan dunia tanpa sempadan
{  Seni sastera khazanah bangsa
Pendidikan Industri
{  pendidikan industri teras pembangunan negara
{  cabaran pendidikan industri
Pelestarian Budaya Warisan
{  memelihara budaya bangsa
{  Anugerah Seni Negara
{  Adat perkahwinan masyarakat Malaysia

Pelajar-pelajar perlu menguasai isu-isu yang berkaitan dengan tema di atas. Seterusnya sesuaikan tugasan sama ada peranan, kesan, maslahat, kepentingan, punca dan sebagainya dengan dimensi diri, dimensi keluarga, dimensi masyarakat, dimensi negara, dimensi antarabangsa atau dimensi komsas. Insya-Allah penulisan yang berkualiti mampu dihasilkan.


***********
[SPM 2018]
Bahagian A
Langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam.
[Tema : Pengangkutan Alaf Ini]

Bahagian B
Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum memberikan banyak faedah kepada murid.
Huraikan faedah-faedah tersebut.

[Tema : Ambang Remaja ; disiplin remaja dan kokurikulum]
***********
Tema :  AMBANG REMAJA

Unit   :  Remaja dan Cabaran

1.  











        2. 
Golongan remaja merupakan aset penting kepada negara pada masa hadapan. Mereka bakal menerajui pemerintahan negara, menjadi tenaga yang memajukan negara dan menjaga kedaulatan negara daripada pelbagai ancaman.

Sebagai remaja yang berwawasan, bincangkan peranan anda untuk mencapai  ketiga-tiga   hasrat tersebut.  
(2004 N)

Pelbagai cabaran perlu anda hadapi sebelum sesuatu cita-cita itu dicapai.
Jelaskan cabaran-cabaran tersebut serta langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk mengatasinya.
(2005 J)
           

Unit 10 : WARISAN BANGSA

Pemeliharaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

1.      Kepentingan memelihara dan memulihara bangunan bersejarah di negara kita.
(Bahagian A : 2013 N)


(Pelajar boleh merujuk karangan contoh dalam blog ini bertarikh 10 Februari 2013)

06/01/2019

Rumah Terbuka

Budaya unik rumah terbuka wajar diteruskan



Sudah menjadi amalan rakyat Malaysia, tradisi atau amalan rumah terbuka seakan-akan menjadi kemestian bagi setiap perayaan utama seperti Hari Raya, Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
Aidilfitri misalnya disambut meriah setiap tahun oleh semua kaum di negara ini tanpa mengira agama dan keturunan. Masyarakat Melayu rata-rata akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan tetamu dan jiran tetangga serta rakan taulan, jauh dan dekat. Pelbagai juadah disediakan bagi menjamu tetamu yang dinantikan kehadirannya.


Pada asasnya, kita melihat amalan rumah terbuka sekadar untuk meraikan rakan taulan dengan hidangan disediakan, tetapi ada rahmat yang tersembunyi di sebalik amalan rumah terbuka. Antaranya ialah penganjuran rumah terbuka dapat memupuk semangat kekitaan dan kejiranan. Warga kota misalnya, mereka tidak punya banyak masa untuk berkenal-kenalan lebih rapat dengan jiran disebabkan kesibukan mengejar masa dan kerjaya. Justeru, tradisi rumah terbuka secara tidak langsung merapatkan hubungan antara jiran tetangga. Inilah peluang untuk mereka mengambil tahu mengenai siapa dan apa pekerjaan jiran serta keluarga mereka. Era globalisasi kini sudah banyak menjarakkan hubungan antara manusia dengan kehadiran gajet yang canggih sehingga seorang manusia itu tidak bergaul lagi dengan orang di sekeliling. Situasi sebegini amat sukar untuk dibendung apatah lagi kesibukan dengan kerjaya masing-masing.
Jadi, amalan rumah terbuka, sedikit sebanyak memberi ruang kepada ahli kejiranan untuk sekurang-kurangnya mengenali jiran mereka.
Fahami budaya
Amalan rumah terbuka juga sangat berperanan dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Dengan menghadirkan diri ke rumah terbuka sesuatu kaum itu, dapat melihat dan menyaksikan budaya masyarakat lain. Sebagai contohnya ketika rumah terbuka Aidilfitri, kaum bukan Melayu akan mengetahui budaya makanan, hiasan serta hati budi masyarakat Melayu. Tidak dinafikan masyarakat bukan Melayu akan teruja dengan hidangan masakan Melayu seperti rendang, ketupat, soto, lemang dan sebagainya yang tidak ada dalam menu rumah terbuka atau ketika perayaan agama lain.
Bagi kaum bukan Melayu, mereka tidak akan dapat merasakan pelbagai makanan tradisi orang Melayu ini tanpa rumah terbuka. Walaupun pada masa kini, sudah wujud banyak gerai yang menjual makanan sedemikian, namun tidak sama dengan hidangan ketika hari perayaan. Masyarakat Malaysia perlu tahu bahawa makanan adalah sebahagian daripada asas perpaduan kaum di negara ini. Begitu juga dengan orang Melayu, mereka tidak akan dapat merasai makanan tradisi orang Cina dan India kecuali ketika amalan rumah terbuka.
Amalan mulia
Selain itu, masyarakat bukan Melayu juga akan melihat budaya rumah orang Melayu serta amalan mulia orang Melayu yang bersalam salaman serta cara bagaimana orang Melayu melayan tetamu. Semua ini pengalaman berharga yang patut diamati bukan Melayu supaya mereka memahami budaya Melayu dengan lebih dekat lagi. Pemahaman yang mendalam terhadap budaya orang Melayu sebenarnya akan menjadikan seseorang bukan Melayu itu sentiasa diterima oleh orang Melayu. Hanya dengan pemahaman mendalam terhadap budaya bangsa lain saja yang boleh mewujudkan rasa hormat menghormati di antara satu sama lain. Situasi yang sama juga berlaku kepada orang Melayu. Jika mereka tahu adat dan budaya orang Cina atau India, mereka juga akan diterima baik oleh bukan Melayu.
Budaya rumah terbuka akan mendidik sikap saling menghormati terhadap amalan kaum lain. Dalam hal ini, orang bukan Melayu seperti Cina dan India akan melihat bagaimana budaya orang Melayu itu dipengaruhi agama mereka iaitu agama Islam tidak kira dalam apa-apa juga aspek seperti bersalaman, pakaian serta makanan. Perkara sama juga akan dipraktikkan apabila orang Islam mengunjungi rumah terbuka bagi agama lain.
Jadi, di sini, secara tidak langsung rumah terbuka akan mendidik jiwa masyarakat pelbagai kaum di negara ini untuk menerima kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini. Sejak akhir-akhir ini dilihat begitu banyak individu tertentu yang sengaja menimbulkan isu sensitiviti keagamaan dengan menghina agama lain. Sikap sebegini tidak seharusnya timbul jika individu itu tahu ajaran agama lain seperti apa yang dilarang dan apa yang diwajibkan oleh ajaran Islam sebagai contohnya. 
Ada beberapa perkara yang orang Islam tidak boleh buat dan tidak boleh lakukan, perkara haram, perkara wajib, perkara harus serta makruh ada dalam ajaran Islam.
Jadi jika perkara ini tidak diambil tahu oleh penganut agama lain, maka dengan mudahlah mereka menghina ajaran agama Islam dan masyarakat Melayu. Bagi masyarakat Melayu pula, mereka juga perlu tahu apakah taboo dan pantang larang masyarakat Cina dan India supaya lahir rasa hormat terhadap orang lain juga.
Amalan rumah terbuka adalah keunikan yang hanya ada di Malaysia dan tidak ada di negara lain. Tradisi ini perlu diteruskan dan perlu menjadi contoh kepada generasi baharu bahawa negara ini mempunyai cara tersendiri untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum. Penganjurannya  adalah amalan nenek moyang orang Melayu, Cina dan India sejak turun temurun dan diharap  terus kekal di tengah modenisasi dan globalisasi yang ada kalanya boleh menghakis jati diri dan sifat kemasyarakatan.

sumber : https://www.bharian.com.my/node/70147

04/01/2019

GURINDAM – BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

1 GURINDAM – BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

FIKIR DAN KATA
Kurang fikir kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.
Penulis mengingatkan bahawa manusia yang kurang berfikir dan kurang mengkaji pasti tidak akan dapat mengatasi masalah yang dihadapinya.
Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak segala sengketa.
Penulis berkata bahawa manusia mestilah berfikir sebelum berkata-berkata supaya dapat mengelakkan sebarang perselisihan faham waima persengketaan sesama manusia.
Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.
Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika diujar akan menyakitkan hati an melukakan perasaan orang lain.
Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.
Penulis berkata bahawa manusia seseorang yang kasar dalam pertuturan boleh menyebabkan dirinya ditimpa pelbagai masalah.
SILANG DAN SENGKETA
Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.
Penulis berkata bahawa manusia yang suka bergaduh dan berselisih faham akan hidup dalam kesedihan.
Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.
Penulis menasihati kita agar tidak sengaja mencari pergaduhan dengan orang lain dan setiap perselisihan faham harus diselesaikan, bukannya dielakkan.
ILMU
Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.
Penulis berkata bahawa ilmu mesti dikuasai dengan sempurna kerana ilmu yang tidak kuasai dengan baik tidak dapat memanfaatkan kita.
Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.
Penulis berkata bahawa ilmu pengetahuan dalam diri seseorang harus ditimba dengan kesungguhan dan kerajinan asalkan kita memiliki kemahuan yang tinggi.
DUNIA PERGAULAN
Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan
Penulis berkata bahawa kehidupan di dunia ini menjadi lebih lengkap jika kita bijak memilih rakan sebaya.
Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.
Penulis berkata bahawa seseorang manusia dapat dikenali melalui budi bahasanya dan melalui pergaulannya.
Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu
Penulis berkata bahawa sekumpulan kawan yang baik biasanya akan bersama-sama dalam pelbagai aktiviti kehidupan dan sentiasa bersama di mana-mana sahaja.
SIFAT-SIFAT YANG BAIK
Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang sebagai bunga di taman
Penulis berkata bahawa seseorang yang berbudi bahasa akan dipandang tinggi dan dihormati oleh ahli masyarakat.
Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.
Penulis berkata bahawa seseorang yang murah hati dan suka menderma akan mendapat perhatian daripada masyarakat.
Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.
Penulis berkata bahawa seseorang yang bersifat pemurah akan mudah mendapat kawan dan menjadi tempat untuk meminta bantuan.
PERBUATAN YANG BAIK
Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.
Penulis berkata bahawa seseorang yang banyak berjasa dalam masyarakat akan sentiasa dikenang orang pada bila-bila masa.
Menolong sesama wajib dan perlu,
tetapi tolonglah dirimu dahulu.
Penulis berkata bahawa kita haruslah membantu diri sendiri sebelum menghulurkan bantuan kepada orang lain.
SIFT-SIFAT YANG JAHAT
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.
Penulis berkata bahawa kita mestilah berhati-hati terhadap manusia yang nampak baik tetapi berhati busuk.
Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat.
Penulis berkata bahawa seseorang yang mengkhianati orang lain akan mendapat balasan Tuhan pada kemudian hari.


B    TEMA DAN PERSOALAN
Tema gurindam ini ialah pelbagai amalan dan nilai murni yang dapat kita teladani dalam kehidupan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap manusia memiliki sifat yang berbeza. Oleh sebab itu, kita haruslah berhati-hati dalam pergaulan dan menjauhi sifat yang negatif.

Persoalan
(a)   Kepentingan berfikiran matang dan rasional.
(b)   Pergaduhan yang tidak memanfaatkan sesiapa.
(c)   Penjagaan tutur kata demi maruah diri.
(d)   Kesedihan daripada pertelingkahan.
(e)   Kepentingan menimba ilmu.
(f)   Kegigihan mencari ilmu demi masa depan.
(g)   Kepentingan rakan sebaya dalam kehidupan.
(h)   Sifat budi bahasa penting dalam kehidupan.
(i)   Sifat pemurah yang disukai masyarakat.
(j)   Kemuliaan seseorang daripada jasa yang ditaburkan.
(k)   Kepentingan bekerjasama dalam kalangan ahli masyarakat.
(l)   Kejahatan manusia yang tersembunyi.
(m) Pengkhianatan dalam kalangan manusia.

C GAYA BAHASA

(a) Repitisi
Buktinya,
Kurang fikir, kurang siasat
Selalu berkumpul ke hulu ke hilir

(b) Imej alam atau imejan
Buktinya,
dipandang sebagai bunga di taman.

(c) Pengulangan kata
Buktinya,
Silang selisih jangan dicari
Jika tersua janganlah lari
Jikalau ilmu tiada sempurna
Jikalau kamu bersifat budiman,
Jikalau kamu bersifat dermawan
Jikalau kamu bersifat pemurah

(d) Sinkope
Buktinya,
Tentu dirimu kelak tersesat

 (e) Simile
Buktinya,
Ibarat beringin, racun dan upas
          dipandang sebagai bunga di taman.
Tetapi tolonglah dirimu dahulu

(f) Peribahasa
Buktinya,
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,

D    NILAI MURNI
(a)   Rasional
(b)   Keikhlasan
(c)   Setia kawan
(d)   Kegigihan
(e)   Kesungguhan
(f)   Kerajinan
(g)   Baik hati
(h)   Murah hati
(i)   Hemah tinggi
(j)   Berwaspada
(k)   Keadilan

E      PENGAJARAN

(a)   Kita mestilah berfikiran rasional sebelum bercakap dengan orang lain  demi menjaga maruah diri.
(b)   Kita mestilah ikhlas dalam persahabatan dengan tidak bersengketa dengan sesiapa.
(c)   Kita mestilah setia dalam pergaulan dengan kawan-kawan supaya kehadiran kita disukai.
(d)   Kita mestilah gigih menimba ilmu demi menjamin masa depan yang lebih cerah.
(e)   Kita mestilah bersungguh-sungguh dalam usaha mencari ilmu supaya setiap masalah yang kita hadapi dapat diselesaikan.
(f)   Kita mestilah rajin berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dalam diri supaya dapat menjadi manusia yang bijak pandai.
(g)   Kita mestilah berbuat baik sesama manusia agar dipandang tinggi dalam masyarakat.
(h)   Kita mestilah bersifat murah hati dengan membantu sesiapa sahaja untuk meringankan beban mereka.
(i)   Kita mestilah bersifat hemah tinggi supaya disanjung tinggi dan dihormati oleh ahli masyarakat.
(j)   Kita mestilah berhati-hati dalam segala tingkah laku demi menjaga ketinggian budi dan akhlak.
(k)   Kita mestilah berbuat baik sesama manusia agar segala perbuatan baik kita akan dibalas baik kerana Tuhan mengadili kita berdasarkan perbuatan kita.