Monday, 22 September 2014

Pecutan Akhir SPM 2014 : SURAT KIRIMAN

Yayasan Amal telah menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kepada pemohon yang berjaya. Anda turut memohon biasiswa tersebut tetapi anda tidak berjaya. Anda bercadang menulis sepucuk surat kepada pihak berkenaan untuk merayu supaya pemohonan anda dipertimbangkan semula dengan memberikan alasan yang munasabah.
Tulis surat itu selengkapnya.


Muhammad Ammar bin Zuhair.
1961, Lorong Permaisuri 2,
Taman Permaisuri,
35600 Sungkai.
_______________________________________________________
Tuan Pengarah,
Yayasan Amal Negeri Perak,
Tingkat 2, Bangunan Pusat Islam,
Jalan Panglima Bukit Gantang,
30020 Ipoh.                                                     20 SEPTEMBER  2014.

Tuan,

Rayuan Pertimbangan Semula Permohonan Biasiswa

Saya ingin menarik perhatian tuan tentang perkara di atas. Surat tuan bil (18) dlm. YAN Pk/007/04 yang bertarikh 06 Julai 2014  telah selamat saya terima. Sesungguhnya saya berasa amat dukacita kerana pihak tuan telah menolak permohonan saya untuk mendapatkan biasiswa tanpa sebarang alasan ataupun penjelasan yang sewajarnya. Memandangkan ini merupakan peluang yang pertama dan mungkin terakhir saya ditawarkan tempat di Universiti Oxford, London saya dengan rasa rendah diri mengemukakan rayuan agar pihak tuan mempertimbangkan semula permohonan saya.

2.     Seperti yang tuan maklum, biasiswa ini hanya ditawarkan kepada pelajar-pelajar  bumiputera  yang memiliki keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM yang lalu. Sememangnya saya menepati syarat tersebut kerana saya merupakan salah seorang pelajar terbaik yang pernah dilahirkan di daerah Sungkai ini dengan mendapat keputusan 10A keseluruhannya. Saya mendapat A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun, dan Sejarah manakala A- dalam mata pelajaran Biologi. Saya percaya pihak Universiti Oxford menerima saya sebagai salah seorang  pelajar bidang kedoktoran adalah berdasarkan kecemerlangan akademik saya. Apakah anak bumiputera yang secemerlang ini masih belum layak untuk menerima sumbangan biasiswa daripada pihak tuan?

3.    Saya akui, kecemerlangan akademik bukanlah satu jaminan mutlak yang begitu meyakinkan pihak tuan. Lantaran itu, sukacita saya nyatakan di sini bahawa saya juga melibatkan diri secara aktif dalam bidang kokurikulum terutamanya sukan olahraga. Di samping mewakili sekolah dan daerah di peringkat MSSPK, saya juga terpilih untuk mewakili negeri Perak ke peringkat MSSM yang telah diadakan di Perlis pada tahun 2012 dan di Pahang pada tahun 2013. Mungkin kerana ketrampilan saya, pihak Jawatankuasa Pemilihan Sukma Negeri Perak telah memilih saya sebagai salah seorang peserta mewakili negeri Perak ke Kejohanan SUKMA di di Pahang 2012 dan Perlis 2014 bagi acara 100 meter dan 4 x 100 meter. Saya berasa sungguh bangga terpilih kerana ini merupakan satu peluang untuk saya bersaing dengan jaguh pecut terkemuka negara iaitu Muhd Nur Imran Hadi. Untuk makluman tuan juga, kemuncak keterlibatan saya dalam bidang sukan ialah pemilihan saya sebagai Olahragawan Negeri Perak 2013 yang lalu.

4.    Saya difahamkan bahawa penolakan permohonan saya adalah kerana Yayasan Amal memberi keutamaan kepada penuntut-penuntut di universiti tempatan. Sebenarnya, bukan saya memandang rendah terhadap keupayaan universiti tempatan kerana mana-mana universiti pun di dunia ini sama sahaja darjat dan martabatnya tetapi disebabkan kelulusan saya yang sebegitu rupa mendorong saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Apatah lagi bidang yang ditawarkan adalah bidang kedoktoran, satu bidang yang menjadi idaman dan cita-cita saya sejak di bangku sekolah lagi. Tambahan pula negara kita sememangnya kekurangan doktor sehingga kita terpaksa meminjam doktor dari India dan Pakistan. Oleh yang demikian, pemergian saya ke sana sedikit sebanyak akan membantu kerajaan mengatasi masalah kekurangan doktor di negara kita.

5.   Pihak tuan juga mensyaratkan bahawa setiap pemohon mestilah mempunyai pendapatan  kurang daripada RM 800.00 sebulan. Seperti yang telah saya maklumkan dalam surat saya terdahulu, pendapatan ayah  saya yang bekerja sebagai buruh binaan hanyalah sebanyak RM 850.00 sebulan. Wang sebanyak itu perlu digunakan untuk membiayai perbelanjaan harian keluarga di samping menanggung perbelanjaan persekolahan empat orang adik saya lagi. Hakikat yang tuan perlu terima bahawa dalam keadaan sekarang yang taraf kehidupannya tinggi, pendapatan sebanyak RM 850.00 sebulan bukanlah satu jumlah yang besar. Tidak salah jika saya katakan bahawa tahap tersebut selayaknya berada pada garis kemiskinan memandangkan kos hidup yang tinggi pada masa ini. Jadi, pemergian saya ke sana juga bermatlamatkan untuk mengeluarkan keluarga saya daripada belenggu kemiskinan di samping menjadi contoh dan teladan kepada adik-adik saya.

6.   Bersama-sama ini saya sertakan sekali lagi perkara-perkara berikut untuk makluman pihak tuan.
               I.  Slip gaji terakhir ayah saya.
              II.  Slip keputusan SPM saya.
             III.  Salinan sijil-sijil yang berkaitan.

7.   Sekali lagi saya melahirkan harapan saya dan keluarga saya agar pihak tuan dapat memberikan pertimbangan yang seadil-adilnya terhadap rayuan saya ini. Atas segala pertimbangan dan keprihatinan tuan, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang benar,

         ammar
___________________
(MUHAMMAD AMMAR BIN ZUHAIR)












Adik anda bakal menduduki peperiksaan SPM. Adik anda ingin mengetahui ciri-ciri untuk memperoleh kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Balas surat adik anda itu.

18, Blok E,
Kolej Tun Dr. Ismail,
Universiti Putra Malaysia,
43300 Seri Kembangan.

20 September 2014.

Menemui adinda Anum di Pekan, Pahang semoga dalam keadaan sihat dan sejahtera. Ketika menulis surat ini, kekanda dalam keadaan sihat, diharapkan adinda Anum dan seluruh ahli keluarga lebih-lebih lagi.

     Dua hari lalu kekanda menerima surat daripada adinda. Sebenarnya kekanda mahu segera membalas surat tersebut tetapi disebabkan kesibukan menyiapkan tiga tugasan yang diminta oleh pensyarah, kekanda menangguhkan dulu, hinggalah hari ini barulah ada sedikit kelapangan. Sebenarnya kekanda sedang bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran bagi  menghadapi peperiksaan semester akhir di Universiti Putra Malaysia ini. Doakanlah semoga kekanda memperoleh Ijazah Kelas Pertama dalam bidang Komputer Forensik. Kejayaan ini, sesungguhnya menjadi bukti bahawa sesiapa juga boleh berjaya dalam pelajaran, asal sahaja bekerja keras mengulang kaji pelajaran dari awal lagi.

Adinda Anum,
     Bagi kekanda, usaha yang pertama ialah dari diri sendiri, iaitu menyediakan diri dan minda untuk belajar. Hal ini bermakna, seseorang pelajar jika ingin berjaya, perlu bersedia untuk belajar. Sebab, bukan mudah menjadi seorang pelajar; terpaksa bangun pagi, bergegas naik bas, terpaksa menyudahkan tugasan yang guru suruh, mengambil bahagian dalam kokurikulum, dan menelaah pelajaran. Dengan hati yang rela, walaupun terpaksa menghadapi cabaran dan tugasan yang berat, segala masalah perlu dihadapi dengan tenang seperti kata pepatah kalau tak dipecahkan ruyung masanan dapat sagunya. Ketika belajar, ada ketikanya menerima kejayaan dan pada detik yang lain pula menghadapi kegagalan. Kejayaan dijadikan dorongan dan kegagalan pula dijadikan sempadan. Ingatlah kata orang tua-tua, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Berdasarkan pengalaman lampau, ramai teman kekanda ke sekolah kerana terpaksa disebabkan disuruh oleh kedua-dua orang tua. Akhirnya, yang ditemui hanyalah kegagalan setelah masa dan wang ringgit dicurahkan.
       Guru ibarat ibu bapa kita yang perlu dihormati dan disanjungi. Tanyalah kepada semua guru, tentu tidak ada yang mengharapkan kegagalan anak muridnya, sebaliknya mereka gigih berusaha memastikan anak muridnya berjaya dalam pelajaran dan hidup. Apa yang berlaku sekarang, ramai pelajar menganggap guru musuh yang patut dibenci gara-gara menghukum mereka yang melanggar peraturan sekolah. Guru tidak akan sesuka hari menegur, meleteri, dan merotan, jika peraturan yang ditetapkan dipatuhi. Disebabkan bersikap menentang, keberkatan dalam mencari ilmu tidak akan diperoleh. Ingatlah, sayangilah guru dan berusahalah merebut sebanyak mungkin ilmu di mindanya.

Adinda Anum yang dikasihi,
Sewaktu guru mengajar perlulah memberi tumpuan 100 peratus. Memang ada yang mengajak berbual ataupun mengusik, pedulikan mereka. Sesetengah daripada pelajar  menganggap, jika tidak memahami apa yang diajar oleh guru, boleh ditanya di pusat tuisyen. Sebenarnya jika tekun dan memahami sungguh-sungguh apa yang diajar guru, tidak perlu lagi membuang masa mengikuti kelas tuisyen. Namun, bagi mereka yang lemah, adalah digalakkan memanfaatkan masa mengikuti kelas tambahan. Mungkin suasana di kelas, pelajar ramai, panas dan tidak mempunyai peluang untuk bertanya menyebabkan pemahaman sesuatu tajuk sukar berkekalan di kotak fikiran. Sebab itu kekanda ingatkan, jika adinda Anum rasa perlu mengikuti tuisyen, tidak menjadi masalah, namun ketika guru mengajar di kelas, adinda perlu memberikan sepenuh perhatian.
Jadual waktu perlu ada bagi setiap pelajar yang inginkan kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Ada masa untuk belajar, ada masa untuk beriadah, dan berhibur. Balik dari sekolah, setelah bersolat zuhur, bolehlah membaca akhbar sambil mendengar lagu. Selepas itu, kemaskinikan nota pelajaran. Kerja sekolah yang guru suruh perlu disiapkan. Jam 6.00 hingga 7.00 petang bolehlah beriadah sesama rakan sebaya. Sebenarnya aktiviti bersukan, sama ada menerusi permainan ataupun berlari boleh merehatkan minda, sekaligus mengurangkan tekanan. Seelok-eloknya makan malam sebelum waktu maghrib, sebab sejam selepas makan daya ingatan kurang mampu berfungsi. Selepas maghrib, eloklah mengulang kaji pelajaran. Jika pun mahu menonton televisyen hanyalah siaran berita sahaja. Dalam jadual, lebihkan belajar daripada berhibur.

Adinda Anum yang diingati,
       Cara belajar perlulah sistematik. Sebelum sesuatu tajuk diajar oleh guru, adinda perlulah menyediakan diri dengan membaca secara sepintas lalu. Selepas guru mengajar, perlulah membaca dan membuat latihan agar tidak lupa. Jika mahu sesuatu topik kekal lama di dalam ingatan, buatlah latihan sebanyak mungkin. Buku-buku latihan dan buku panduan boleh didapati di kedai buku di bandar Pekan. Kadang-kadang belajar bersendirian mudah mengantuk. Pada hari cuti, khususnya Sabtu dan Ahad bolehlah bawa teman-teman ke rumah; dua atau tiga orang untuk belajar. Namun, sebelum belajar perlulah menetapkan tajuk tertentu agar masing-masing bersedia. Sebaik-baiknya, pilihlah rakan yang mempunyai daya saing untuk memperoleh kejayaan; agar sama-sama mempunyai satu matlamat iaitu memperoleh sebanyak mungkin A dalam SPM.
       Semangat tidak mahu mengaku kalah perlu ada dalam diri. Rata-rata pelajar cepat berputus asa apabila menghadapi kegagalan. Apabila mempunyai jati diri yang kental dan bersemangat waja, yang difikirkan adalah kejayaan demi kejayaan. Dalam waktu yang sama, sebagai orang Islam perlu ingat, qadak dan qadar ketentuan Allah. Kita tidak tahu hikmah yang tersembunyi. Sebagai hamba-Nya, setelah berusaha perlulah memanjatkan doa. Dalam waktu yang sama, restu ayah dan ibu perlu kita pohon. Sebelum ke sekolah, jangan lupa mencium tangan ayah dan ibu. Inilah yang kekanda lakukan selama ini dan kekanda yakin Anum juga begitu. Sekiranya mempunyai semangat waja, gigih berusaha, berdoa kepada Allah, dan memohon restu daripada kedua-dua orang tua, insya-Allah kejayaan yang cemerlang akan menjadi kenyataan.
       Sebenarnya jika kekanda mahu tuliskan kesemuanya, barangkali boleh menghasilkan sebuah buku. Namun memadailah enam ciri tersebut. Sebenarnya kekanda yakin, ciri-ciri tersebut sudah adinda amalkan, sebab itulah pada peperiksaan akhir tahun lalu adinda memperoleh kejayaan cemerlang dan sebelum itu, menerusi peperiksaan PMR  adinda memperoleh 8A. Kekanda yakin adinda calon cemerlang di Pekan dan tahun depan akan melangkah ke universiti. Sebelum berpisah salam untuk adinda Ammar Zuhair, Syazana dan Afifah. Tidak lupa kepada kedua-dua orang tua kita yang jasanya begitu banyak dan tidak mungkin mampu kita membalasnya. Sehingga bertemu lagi, salam sayang daripada kekanda untuk semua.

Sekian, terima kasih.

Kekandamu di UPM.
   Ammar Hafiz




Saturday, 20 September 2014

Semangat Kejiranan : [Dimensi Keluarga] Peranan Ibu bapa

Dimensi Keluarga : Peranan Ibu Bapa untuk Menyuburkan Semangat Kejiranan



Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu, isu longgarnya semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan rakyat di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Masyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri, atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ahli keluarga untuk memupuk semangat kejiranan?

Cerdik pandai menyatakan bahawa cahaya yang cerah adalah bermula daripada lampu di tengah rumah. Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke arah kemajuan negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.

          Lain daripada itu, minhaj untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah ibu bapa menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam aktiviti sosial di kawasan kediaman. Aktiviti seperti hari keluarga, Sukaneka dan program rukun tetangga di kawasan perumahan wajar dihidup dan dibugarkan semula. Aktiviti ini boleh dijalankan sama ada di padang, taman rekreasi atau empat-tempat lain yang sesuai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak turut serta dan setiap ahli keluarga menyertai sebarang pertandingan yang disediakan. Organisasi seperti rukun tetangga, jawatankuasa keselamatan dan kemajuan taman atau kampung juga perlu didedahkan kepada ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Ghalibnya, senario ini akan mewujudkan jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku yang mementingkan semangat bantu-memabntu antara satu sama lain sekali gus memupuk semangat kejiranan yang kental. Oleh itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mengaktifkan diri dalam aktiviti sosiall dan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu. 

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ahli keluarga agar amalan ini terus subur dalam masyarakat. Meninjau dari skop yang lain, langkah seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong.  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa ibu bapa seyogia membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti gotong-royong agar apat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, ibu bapa perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikul, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan membuang jauh-jauh sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.


Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.

* Jika soalan tentang peranan ahli keluarga, sila nyatakan juga peranan ahli keluarga yang lain.

Penulisan 16 : Dimensi Masyarakat : Usaha Membantu Orang Kelainan Upaya (OKU)


Usaha berterusan membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.  
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini? 

        Orang Kelainan Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat  keadaan fizikal atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan fizikal dan  mental ini menghalang mereka  daripada melakukan aktiviti-aktiviti normal  seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kelainan upaya secara kekal dan kelainan upaya secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada,  masyarakat kelainan upaya ini tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara. Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU  meneruskan kehidupan dengan sempurna.
Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini demikian kerana  masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang lain.      
     Tidak kupinta lahir ke dunia,
     Tidak kuduga cacat begini,    
Tiada insan yang mahu dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna justeru golongan Kelainan Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya.  Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, simpati, belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak juga berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali memaparkan kisah sedih dan pilu OKU  untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini, perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu  OKU dengan memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang. Golongan Kelainan Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di sini, OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga sendiri. Setelah   mantap dalam bidang pekerjaan, mereka akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan keluarga.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit,  makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah dapat menggembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di  dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan.  Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah berusaha  memberi bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan daripada persatuan masing-masing.  Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.
Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan dengan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kuota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu. 
Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani walhal sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Selain itu, usaha murni Pasar raya Besar Carrefour yang telah menyasarkan lima peratus daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.        
     Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.

* Soalan lain yang boleh diajukan peranan anda untuk membantu golongan OKU.

Penulisan 15 : Dimensi Masyarakat : Semangat Kejiranan


Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara ini semakin longgar.                                   
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh pelbagai  pihak supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan?

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah egara yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi  sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat?
Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Tujuan kempen ini adalah untuk menanam semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Usaha sama sebegini yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah berterusan dan janganlah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jelasnya, kempen yang dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk semangat kejiranan.
Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa  tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan negara jiran. Malahan, menurut laporan majalah ‘The Times’ di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara aktiviti yang terbaik di dunia.
        Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah boleh digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan. Media cetak misalnya boleh menyiarkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan. Media elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah. Sesungguhnya, berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha Majalah 3 menyiarkan ‘Colour of Malaysia’ wajar disokong. Justeru, semangat  hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah  ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.
        Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya ,melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.
        Di samping itu, Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung dan Jawatan Kuasa Kemajuan Taman juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, taman rekreasi atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat antara jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
        Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,  ibarat aur dengan tebing  yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
        Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa  berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang kepada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. 

Penulisan 14 : Dimensi Diri : Usaha-usaha membantu pihak sekolah meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.


Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah.
Jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.

        Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bertepatan dengan kata pesan cendekiawan, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?
        Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Satu daripada caranya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber  akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih. Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan kemas  di atas rak-rak  buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
        Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat sumber.
        Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan  komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini. Saya akan membantu dari segi  penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
        Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada  pengawas  menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengaja  tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.
        Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif  adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
        Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir  yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya,  tepuk dada tanyalah minda. Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Penulisan 12 : Dimensi Keluarga : Usaha Ibu Bapa Menjadikan Anak-anak Insan yang Berguna


Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.

      Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna akan dapat direalisasikan. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?
        Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan. Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik dan mementingkan kerjaya. Sebagai contohnya, banyak ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara negatif. Tegasnya, anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika keluarga yang saling berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.
        Selain itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah. Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya.
        Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan  baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik. Jika ibu bapa mempunyai pegangan didikan agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya. Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.
        Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu “bapa borek anak rintik” sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Oleh itu, ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.
        Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah “menjaga tepi kain orang lain” dalam masyarakat  adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” atau “sudah terhantuk baru tengadah” sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa.
        Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya, ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.
        Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqamah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan keluarga kita.

* sekiranya soalan meminta peranan ahli keluarga, sila nyatakan peranan setiap ahli keluarga [adik-beradik, datuk dsbnya]

Penulisan 11 : Dimensi Keluarga : Peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.


Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan sahsiah atau keperibadian anak-anak.  
Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

         Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka. Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai. Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka.  Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.  Persoalannya, apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ?

        Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak. Pepatah sering menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan. Selain itu, anak-anak juga akan membesar dengan berpandukan ajaran agama. Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya. Sebagai contoh, jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.

        Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik. Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik,  sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sebagai contohnya, jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca, sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca.  Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora,  dicampak ke  bumi menjadi penawar.  Pernyataan di atas  jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak. Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik, maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak–anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
        Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang. Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput.  Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan.  Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama. Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.
        Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab. Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju,  menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari. Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka. Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki. Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja. Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya, tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh.  Tegasnya,  pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab.
        Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak.  Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga. Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah, beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis.  Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal, sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia.
        Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik, ibu bapa perlulah menyedari akan  tanggungjawab untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia. Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan. Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri. Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia.


    * sekiranya soalan meminta peranan ahli keluarga, sila nyatakan peranan setiap ahli keluarga [adik-beradik, datuk dsbnya]