Saturday, 30 May 2015

Kisah untuk Renungan (iii)

Kisah untuk Renungan


Ada seorang anak dan ayahnya sedang berjalan-jalan di lereng bukit. Tiba-tiba, anak itu terjatuh, kakinya yang terluka membuatnya berteriak kesakitan, “AAAhhhhhhhh!!!”

Betapa terkejutnya anak itu, begitu mendengar suara balasan entah dari arah mana, ”AAAhhhhhhhh!!!”
Merasa penasaran, anak itu berteriak jengkel, “Siapa kamu?”
Jawaban yang diterimanya tetap sama, “Siapa kamu?”
Semakin marah, anak itu pun berteriak lagi, “Dasar pengecut!”
Ia lagi-lagi mendapat jawaban, “Dasar pengecut!”
Anak itu berpaling pada ayahnya dan bertanya, “Apa yang terjadi, ayah?”

Si ayah tersenyum dan berkata, “Anakku, cuba perhatikan ya.”
Lalu, berteriaklah si ayah ke arah lereng bukit, “Aku mengagumimu!”
Suara lain menjawab, “Aku mengagumimu!”
Sekali lagi, si ayah berteriak, “Kamu sang juara!”
Suara itu kembali menjawab, “Kamu sang juara!”

Anak itu terkejut, tapi masih belum faham. Lalu, ayahnya menjelaskan, “Ini disebut gema, tetapi seperti itulah kehidupan kita. Hidup ini akan membalas pada kita apa-apa pun yang kita katakan atau lakukan. Hidup kita adalah cerminan daripada perbuatan kita. Jika kamu ingin menerima banyak kasih sayang di dunia, ciptakan lebih banyak kasih sayang dalam hatimu. Jika kamu ingin semakin pintar, tambah kemampuanmu. Hal ini berlaku dalam segala hal. Hidup akan membalas apa pun yang sudah kamu berikan.”

Seperti halnya gema di lereng bukit dalam kisah di atas, kehidupan kita ini bukanlah sebuah kebetulan. Hidup ini adalah cerminan diri kita.


Monday, 18 May 2015

Cerpen : Kaduk, Ayam dan Raja



Kaduk, Ayam dan Raja (Zurinah Hassan)

Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja mengisahkan perjuangan cucu Kaduk iaitu Hakim yang berusaha mendapatkan tanah milik arwah datuknya yang diambil oleh Raja. Hakim yang merupakan lulusan universiti telah meminta bantuan sahabatnya iaitu Azam seorang lulusan bidang undang-undang untuk memfailkan kes tuntutan tanah seluas empat ekar itu. Melalui penghujahan Azam, beliau telah berjaya meyakinkan mahkamah bahawa Kaduk menyerahkan ayam Kunani kepada raja tanpa kerelaannya hatinya.

Hal ini  menyebabkan kemenangan berpihak kepada Hakim. Setelah itu, Hakim merancang untuk menternak ayam secara pertanian kontrak dengan syarikat besar yang menubuhkan cawangan di Malaysia dengan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau singkatannya RAJA. Hakim menternak ayam bagi menyahut seruan kerajaan yang banyak memberi insentif kepada penternak.  Kesungguhannya terbukti apabila Hakim telah membuat pinjaman bank melebihi dua ratus ribu ringgit. Hakim terpaksa meminda kertas kerjanya beberapa kali dan  hasil bantuan seorang Yang Berhormat telah menyebabkan bank meluluskan pinjaman tersebut untuk membina sebuah reban ayam tertutup yang dilengkapi sistem penyaman udara serta peralatan memberi makanan secara semi automatik. Setelah kelulusan bank diperoleh, satu perjanjian kontrak di meterai antara Hakim dan syarikat RAJA, maka projek penternakan ayam pun bermula.
     Konflik mula timbul setelah setahun Hakim menjadi penternak ayam.  Sahabat karibnya Azam telah pulang dari luar negara kerana berkursus dan terus berjumpa dengan Hakim. Hakim telah menceritakan masalah yang dialaminya sepanjang dia menjadi penternak ayam iaitu terdapat rungutan orang kampung terhadap lorinya yang telah menyebabkan keadaan jalan kampung bertambah teruk. Selain itu, Hakim menjelaskan kepada Azam bahawa hidupnya dibelenggu hutang dengan menunjukkan penyata hasil  jualan ayam dari rebannya yang bernilai lapan puluh lima ribu ringgit. Namun begitu hanya tiga belas ribu ringgit sahaja yang diterimanya kerana selebihnya digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat RAJA.  Jumlah wang yang diterima itu pula terpaksa digunakan untuk membayar pelbagai kos seperti bil elektrik, bil air, hutang bank dan sebagainya. Hakim menzahirkan penyesalannya tentang memilih ternakan kontrak yang dianggapnya situasi menang-menang tetapi keadaan yang sebaliknya pula berlaku. Hakim mula menyedari bahawa dirinya  telah dieksploitasi oleh Syarikat RAJA melalui harga dedak dan ubat untuk ayam ternakannya sehingga hutangnya meningkat. Hakim menganggap dirinya menerima nasib yang sama seperti nasib datuk yang tertipu oleh orang yang memiliki kuasa.

Tema
Tema cerpen ini ialah kesungguhan seorang anak muda menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan projek ternakan ayam walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

Persoalan
1.    Persoalan keberanian menuntut hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
2.    Persoalan memahami selok-belok bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
3.    Persoalan ketaatan terhadap pemerintah. Sebagai contoh Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayam Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa bersabung ayam.
4.    Persoalan penindasan golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lemah. Sebagai contoh, syarikat RAJA mengambil kesempatan dengan menentukan harga dedak dan ubat ayam ternakan sehingga menyebabkan Hakim menanggung beban hutang.

Plot

Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan watak Kaduk yang dianggap bodoh kerana bertukar ayam dengan raja.  Akhirnya Kaduk, isteri dan anaknya hidup menumpang di atas tanah yang sebenarnya miliknya sendiri.

Perkembangan
1.    Hassan menamakan anaknya Hakim yang bererti bijaksana yang berbeza nama-nama orang lain yang primitif dan jelik seperti Si Bulat, Si Labi dan sebagainya.
2.    Hakim seorang yang pandai dan melanjutkan pelajaran  ke universiti.  Hakim semakin sedar akan ketidakadilan dan penganiayaan yang telah berlaku dalam kehidupan datuknya.  Hakim mendapatkan bantuan Azam, sahabatnya untuk menyelesaikan kemelut keluarganya itu. Usaha Hakim berjaya.
3.    Hakim berhasrat mengusahakan projek penternakan ayam di atas tanah milik datuknya itu walaupun memakan belanja yang besar melebihi dua ratus ribu ringgit.  Untuk merealisasikan hasratnya itu, Hakim memohon pinjaman bank. Masalah yang timbul ialah  pihak bank pula memerlukan cagaran dan dia tidak ada harta yang lain untuk dicagarkan. Mujurlah seorang Yang Berhormat campur tangan dan pinjaman hakim diluluskan.
4.    Hakim memeterai perjanjian dengan Syarikat RAJA untuk membekalkan makanan dan ubat ayam dan projek pun bermula.
5.    Orang kampung merungut bahawa jalan kampung mereka rosak disebabkan lori-lori yang membawa ayam melalui jalan.  Hakim berusaha meminta bantuan pihak yang berkenaan untuk membaiki masalah ini tetapi jawapan mereka ialah tiada peruntukan.

Klimaks
Setelah setahun, Hakim bercerita kepada Azam yang baharu pulang dari luar negara bahawa dia berasa kecewa terhadap projek penternakan ayamnya kerana walaupun mendapat pulangan yang besar tetapi hakikatnya keuntungan yang diperolehnya amat kecil. Dia berasa dirinya telah dieksploitasi oleh syarikat RAJA yang membekalkan makanan dan ubat ayam kepadanya.  Harga makanan dan ubat ayam Syarikat RAJA amat mahal.

Peleraian
Hakim menganggap dirinya mengalami nasib yang malang sama seperti datuknya  yang terpaksa akur pada golongan yang berkuasa.

Teknik Plot

Pemerian
Pengarang menggambarkan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Hakim untuk membina reban ayam tertutup. Sebagai contoh dia memulakan segala kerja, menebang pokok dan meratakan tanah, berlori-lori tanah telah diangkat untuk menambak kawasan yang memang rendah dan berair itu.

Dialog
“Dah berapa kali kau menjual ayam?” tanya Azam.

Imbas muka
Hakim pernah berseloroh, “Kalau aku berjaya menebus kembali tanah itu, aku nak dirikan sebuah memorial.”

Imbas kembali
“Kau ingat kan, tanah inilah yang kita tuntut di mahkamah dengan susah payah.”

Kejutan
Nilai jualan dari rebanku ialah lapan puluh lima ribu ringgit. Tetapi akhirnya hanya tiga belas ribu sahaja yang masuk ke kantungku. Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA kerana membayar harga anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan. Dari tiga belas ribu itulah aku membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar bil elektrik dan bil air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain.

Watak dan Perwatakan

Hakim
1.    Anak kepada Hassan dan cucu kepada Kaduk.
2.    Seorang yang berani memperjuangkan hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
3.    Seorang yang gigih menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
4.    Seorang yang tabah menghadapi masalah. Sebagai contoh Hakim tabah mengharungi cabaran akibat kegagalannya dalam bidang keusahawanan.
5.    Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh Hakim berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Azam.
1.    Sahabat baik Hakim semasa di universiti.
2.    Seorang yang suka membantu orang lain.  Sebagai contoh Azam membantu Hakim dengan menjadi peguamnya dalam kes tuntutan tanah milik datuknya.
3.    Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh walaupun Azam sudah memiliki ijazah dalam bidang undang-undang namun dia sanggup menghadiri kursus selama setahun di luar negara untuk menambah pengetahuannya.
4.    Seorang yang prihatin. Sebagai contoh Azam sanggup mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh Hakim dalam usaha penternakan ayamnya kerana dia prihatin terhadap sahabatnya itu.


Kaduk.
1.    Datuk kepada Hakim dan ayah kepada Hassan.
2.    Seorang yang suka bersabung ayam. Sebagai contoh Kaduk bersabung ayam dengan raja.
3.    Seorang yang mentaati raja. Sebagai contoh Kaduk sanggup menyerahkan ayam Kunani apabila diminta oleh raja.

Raja
1.    Seorang yang suka bersabung ayam.  Sebagai contoh raja bersabung ayam dengan Kaduk.
2.    Seorang yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.  Sebagai contoh raja telah menukarkan ayamnya dengan ayam kunani Kaduk untuk memenangi pertandingan itu.


Latar
Latar masa
1.    Zaman lampau. Sebagai contoh Kaduk pernah bersabung ayam dengan ayam raja.
2.    Zaman selepas merdeka. Sebagai contoh Hakim didedahkan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru terhadap projek penternakan ayam secara kontrak dengan syarikat RAJA.
3.    Dalam masa setahun.  Sebagai contoh Hakim mengalami kerugian dalam masa setahun dia menjalankan penternakan ayamnya.

      Latar tempat.
1.    Mahkamah.
§  Sebagai contoh, kes tuntutan Hakim terhadap tanah milik datuknya dijalankan di mahkamah.
2.    Tanah Kaduk.
§  Sebagai contoh, Hakim menjalankan projek ternakan ayamnya di tanah Kaduk.
3.    Kampung.
§  Sebagai contoh, penduduk kampung mendakwa lori-lori Hakim telah merosakkan jalan kampung mereka.
4.    Universiti.
§  Sebagai contoh, Hakim dan Azam melanjutkan pelajaran di universiti  yang sama.

Latar masyarakat
Latar masyarakat
Peristiwa/Bukti
Masyarakat yang mementingkan bidang keusahawanan.
para menteri menyeru rakyat menceburi bidang keusahawanan melalui pertanian yang mengeluarkan lebih banyak makanan
Masyarakat yang sensitif terhadap keadaan sekeliling.
penduduk kampung merungut apabila mendapati jalan di kampung mereka rosak akibat dilalui oleh lori-lori Hakim
Masyarakat yang bekerja untuk mencari rezeki.
Hakim mengambil pekerja-pekerja untuk bekerja di projek penternakan ayamnya.
Masyarakat yang mengamalkan sistem feudal
wujud dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan rakyat semasa hayat Kaduk


Gaya Bahasa
1.         Sinkope
Sebagai contoh: kau, ku
2.         Pengulangan kata
Sebagai contohnya: Kami sama-sama membela ayam dan kami sama-sama menggadai tanah. Kami sama-sama berada di bawah cengkaman orang berkuasa. (ms 53)
3.         Kata ganda
Sebagai contoh: bangunan-bangunan, sama-sama dan tanah-tanah.
4.         Bahasa Arab
Sebagai contoh: Assalamualaikum, Alhamdulillah
5.         Bahasa Inggeris
Sebagai contoh Global Chicken
6.         Simile
Sebagai contoh : Bank akan merampas tanahku tak ubah seperti raja merampas tanah datukku dahulu. (ms 52)
7.         Personifikasi. Sebagai contoh; Setiap musim syarikat payung akan mengatur lori-lori untuk mengangkut ayam-ayam yang sudah besar.

Nilai
Peristiwa/Bukti
Nilai keadilan.
Hakim menuntut keadilan di mahkamah bagi pihak datuknya yang telah ditipu.
Nilai keberanian.
Hakim berani menceburi bidang keusahawanan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Nilai kegigihan.
Hakim gigih menjadi penternak ayam walaupun dirinya terpaksa menanggung hutang yang banyak
Nilai keprihatinan.
Azam sangat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh hakim dengan memberi semangat kepadanya untuk terus berjaya menjadi penternak moden sebelum dia berangkat ke luar negara untuk berkursus
Nilai tolong-menolong.
Azam sanggup menjadi peguam Hakim untuk menolongnya mendapatkan hak tanah seluas empat ekar  milik datuk hakim


Pengajaran
Peristiwa/Bukti
Kita hendaklah menuntut hak kita yang dirampas oleh orang lain. 
Hakim menuntut hak milik tanah datuknya yang diambil raja di mahkamah.
Kita hendaklah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Hakim gigih berusaha untuk mendapatkan kelulusan bank bagi menjayakan projek penternakan ayam walaupun terpaksa meminda kertas projeknya beberapa kali sebelum bank meluluskan permohonannya dengan bantuan Yang Berhormat.
Kita hendaklah berani menceburi bidang perniagaan.
hakim berani mengusahakan tanah peninggalan datuknya dengan menjalankan penternakan ayam untuk dijual.
Kita hendaklah menolong  golongan yang memerlukan bantuan.
Azam membantu sahabatnya dengan menjadi peguam bagi mendapatkan hak milik tanah datuk Hakim.
Kita janganlah mengambil kesempatan terhadap golongan yang lemah
Syarikat RAJA mengenakan bayaran yang tinggi terhadap makanan dan ubat ayam yang dibeli oleh Hakim untuk mengaut keuntungan yang lebih.




Soalan HOT
  1. Huraikan pandangan anda sama ada bersetuju atau tidak tentang kewajaran penulis menggunakan ‘Kaduk, Ayam dan Raja’ sebagai judul cerpen ini.
  2. Huraikan perwatakan watak utama dalam petikan satu lagi dari keseluruhan petikan yang perlu dijadikan sempadan dalam kehidupan dan alasan-alasan anda.
  3. Bersetujukah anda dengan pemilihan nama Hakim, dan Azam dalam cerpen. Jelaskan.
  4. Jika anda diberi peluang untuk menyambung cerita berdasarkan cerpen, huraikan bahagian yang sesuai untuk anda memulakan penyambungan cerita dan kesudahan cerita itu.
  5. Sebagai pembaca yang kritis, huraikan pendapat anda tentang cara pengarang menamatkan cerita dalam cerpen sama ada wajar atau tidak.


Sunday, 17 May 2015

DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

SINOPSIS
Drama ini mengisahkan Aiman, seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Oleh sebab berasal daripada keluarga yang berada dan sudah biasa hidup dalam kemewahan, Aiman beranggapan bahawa PLKN mungkin akan menggugat zon keselesaannya.
Walaupun ibu Aiman, Masnah memihak kepada Aiman agar tidak menyertai PLKN, namun ayahnya Khir Ghazali member galakan dan kata-kata perangsang kepada Aiman untuk menyertainya. Selain Khir Ghazali, watak posmen, Nora, Sundarani, Ah Tiau, Syuhada dan Cikgu Dahari turut memberikan dorongan kepada Aiman untuk menyertai Khidmat Negara.
Akhirnya, setelah melayari sesawang yang memaparkan kejayaan pelajar senior yang menyertai dan menerima anugerah PLKN, hati Aiman terbuka untuk menyertai PLKN dan dia bertekad untuk membuktikan sikap berdikari dan semangat cinta akan tanah air.

PEMIKIRAN
Sikap remaja yang mempunyai tanggapan negatif tentang PLKN. – Aiman berusaha untuk menggelakkan diri daripada menyertai PLKN.

PERSOALAN
1.         Sikap positif golongan remaja yang berminat untuk menyertai PLKN dan memberikan sumbangan kepada negara.
Contoh: Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada berasa seronok apabila mereka terpilih sebagai peserta PLKN dan nama mereka terpampang di papan kenyataan sekolah.

2.         Kesibukan dalam kalangan ahli keluarga yang merenggangkan hubungan kekeluargaan.
Contoh: Aiman sentiasa berasa kesunyian kerana ayahnya sibuk bekerja manakala ibunya Datin Masnah sibuk dengan urusan di luar dan kakaknya Dapnia sibuk dengan tugasannya di universiti.

3.         Sikap segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak
Contoh: Datin Masnah menyokong hasrat Aiman yang ingin mengecualikan diri daripada menyertai PLKN. Sebagai seorang ibu dan juga isteri kepada seseorang yang terpengaruh, beliau sepatutnya mendorong dan memberi motivasi kepada anaknya untuk berkhidmat  kepada negara.

4.         Peranan seorang guru dalam memberikan kesedaran dan mewujudkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar
Contoh: Cikgu  Dahari memberikan penerangan yang jelas kepada murid-muridnya agar mereka faham akan objektif dan pelaksanaan PLKN.

PLOT
1.    Permulaan
o    Aiman menerima sepucuk surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara. Posmen yang menyampaikan surat tersebut cuba memberi penerangan kepada Aiman tentang manfaat PLKN apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat tersebut. Aiman berkelakuan biadab terhadap pembantu rumahnya, Nek Sinah yang melayannya seperti anak sendiri. Nek Sinah tersinggung dan kesal akan sikap Aiman dan layanan keluarganya yang mementingkan wang ringgit sahaja.

2.    Perkembangan
o    Perbualan antara Aiman dan rakan-rakannya di sekolah tentang senarai nama peserta PLKN  yang dipaparkan di papan kenyataan sekolah. Cikgu Dahari memberi penerangan yang jelas tentang PLKN kepada anak-anak muridnya. Beliau menjelaskan setiap pertanyaan murid dengan memberikan  jawapan yang positif agar mereka berasa seronok untuk menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara.

3.    Perumitan
o    Konflik antara ahli keluarga berlaku apabila Aiman dan Datin Masnah menyuruh Khir Ghazali menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian agar Aiman tidak menyertai PLKN. Khir Ghazali berasa marah dan kesal dengan sikap isteri dan anaknya yang mempunyai tanggapan dan negative tentang PLKN.

4.    Peleraian
o    Aiman melayari internet di biliknya dan ketika melayari beberapa sesawang, Dia terbaca berita mengenai kejayaan pelajar-pelajar seniornya di PLKN. Syufia yang dikenali sebagai kera sumbang di sekolah berjaya memperoleh anugerah pelatih terbaik WIRAWATI untuk Kem Gerakkas di Desaru Johor. Manakala Ziman yang kuat makan dan tidur juga berjaya menyertai PLKN. Aiman sedar akan kepentingan PLKN dan bertekad untuk menyertainya.

TEKNIK PLOT

1.         Monolog Dalaman
Aiman : Patutkah aku simpan surat ini atau aku buang saja? Hmm, kalau aku buang, nanti ada orang lain jumpa pula. Hah, baik aku bakar!. Tak ada kesannya nanti. Baik aku simpan dulu, cukup masa kalau aku tak berminat, baru aku bakar.

2.         Pemerian
Pada permulaan cerita pengarang menggambarkan keadaan keluarga Aiman yang hidup mewah dan kemewahan tersebut yang telah mengubah dirinya menjadi seorang remaja yang manja dan malas.

3.         Imbas Muka
Aiman bermimpi menyertai PLKN. Dalam program tersebut Aiman mendapati keadaan kem yang panas, makanan yang tidak menyelerakan, mandi air kolam sejuk dan membotakkan kepala. Hanya perkara yang negatif yang terlintas dalam fikirannya ketika bermimpi.


WATAK DAN PERWATAKAN
Watak utama
Aiman
1.    Seorang remaja berusia kira-kira 16 tahun
2.    Berasal daripada keluarga yang berada
3.    Seorang yang agresif. Contoh: bersifat kasar terhadap pembantu rumah yang melayannya dengan baik dan mesra
4.    Seorang yang malas dan mesra. Contoh: segala kerjanya di rumah dibantu oleh orang gaji dan apabila berdepan dengan sesuatu masalah , dia akan tidur.
5.    Seorang yang mengagungkan nilai-nilai barat. Contoh: ketika bermimpi tentang PLKN, Aiman meluahkan keinginannya untuk menikmati masakan Barat. Dia juga tahu lokasi Jempol dengan alasan selalu bercuti di luar negara.

Watak sampingan
1.         Khir Ghazali
·           Ayah kepada Aiman
·           Seorang yang bertanggungjawab. Contoh: walaupun sibuk bekerja beliau mengambil berat terhadap Aiman. Apabila Aiman berdepan dengan masalah beliau mendengarnya dengan sabar dan cuba menyelesaikannya.
·           Seorang yang tegas. Contoh: Apabila Aiman meminta Khir Ghazali membantunya mendapatkan pengecualian daripada PLKN, beliau bertegas untuk tidak membantunya. Hal ini adalah kerana beliau tahu bahawa PLKN akan banyak memanfaatkan Aiman
·           Seorang yang sensitive. Contoh: apabila isterinya bertegang leher dengannya ubntuk tidak menghantar Aiman ke PLKN, beliau berasa tersinggung lalu beredar meninggalkan tempat perbincangan mereka.

2.         Masnah
a.      Ibu kepada Aiman
b.      Berpangkat datin
c.      Seorang yang suka berfikiran negatif. Contoh: beranggapan bahawa PLKN membahayakan nyawa anaknya dan turut menyokong hasrat anaknya untuk menghadiri PLKN
d.      Seorang yang sanggup menyalahgunakan pengaruh untuk kepentingan sendiri. Contoh: Datin Masnah meminta suaminya menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian untuk anaknya daripada menghadiri PLKN.

3.         Cikgu Dahari
·           Seorang guru
·           Terlibat dengan PLKN dalam penghasilan modul program Penghayatan Sastera dan Budaya
·           Seorang yang berfikiran positif. Contoh apabila Aiman menyatakan bahawa keselamatan peserta di dalam kem latihan tidak terjamin dan sastera dan budaya tidak penting dalam kehidupan zaman moden, Cikgu Dahari menafikan pendapat tersebut dengan  menerangkan bahawa keselamatan peserta sentiasa terjamin. Beliau juga menerangkan peranan sastera dan budaya dalam kalangan masyarakat.
·           Seorang yang sentiasa memberi galakan kepada anak murid. Contoh: Apabila Nora memberitahu bahawa ramai pelajar terpilih sebagai peserta PLKN, Cikgu Dahari berasa teruja dan menyatakan bahawa Malaysia bertuah kerana mendapat remaja mereka yang sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara.

4.         Posmen
·           Seorang yang berfikiran positif. Contoh: Apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat Jabatan Latihan Khidmat Negara, posmen telah memberi nasihat kepada Aiman agar fikir tentang kemahiran dan pengalaman yang bakal diperoleh oleh Aiman melalui PLKN.
·           Seorang yang amanah. Contoh: selepas memberi kata-kata perangsang kepada Aiman  tentang kebaikan PLKN, posmen meminta diri untuk meneruskan tugasnya menghantar surat kerana dia menganggap surat-surat tersebut adalah amanah yang diberikan kepadanya.

LATAR
1.         Latar masa
o    Alaf baru (Program PLKN – bermula tahun 2004)
o    Waktu tengah hari.
Contoh     : Aiman menerima sepucuk surat ketika duduk bersantai di rumah.
: Nek Sinah menjemput Aiman menikmati makan tengah hari
o    Waktu pagi
Contoh    : Aiman berdialog bersama-sama rakan-rakan di sekolah tentang PLKN yang bakal dihadiri mereka
o    Waktu petang
Contoh      : Selepas balik dari sekolah Aiman berbual bersama-sama dengan ayah dan ibunya di rumah.

2.         Latar tempat
·                Rumah Aiman.
Contoh
: Peristiwa Aiman menerima surat daripada Jabatan latihan Khidmat Negara
: peristiwa Khir Ghazali, Aiman dan Masnah berbincang tentang keengganan
Aiman menghadiri PLKN
·         Sekolah Menengah
Contoh
: dialog antara Aiman, Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan.
: Cikgu Dahari menerangkan kepada anak-anak muridnya tentang manfaat PLKN dan bagaimana program itu dijalankan.

3.         Latar masyarakat

Latar masyarakat
Peristiwa/Bukti
·       Masyarakat bandar yang sibuk bekerja.

o     Contoh: Khir Ghazali iaitu ayah Aiman digambarkan sebagai hartawan yang sibuk bekerja. Ibunya, Datin Masnah juga selalu tidak berada di rumah manakala kakaknya, Dapnia sibuk dengan tugasan di universiti.
·       Masyarakat yang penyayang

o     Contoh: Walaupun Nek Sinah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Khir Ghazali namun dia amat menyayangi Aiman dan memasak makanan kegemarannya serta melayannya seperti cucu sendiri.
·       Masyarakat yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab

o     Contoh: Posmen dalam drama ini mengedarkan surat kepada penerima dengan penuh tanggungjawab kerana dia berpendapat bahawa surat itu adalah amanah masyarakat terhadapnya.
·       Masyarakat yang sombong dan mementingkan kekayaan.

o     Contoh: Aiman berkelakuan biadab terhadap pembantu rumahnya yang sentiasa bersikap lemah lembut. Nek Sinah berasa kesal dengan tingkah laku Aiman dan ahli keluarganya yang hanya mementingkan wang ringgit
·       Masyarakat yang berfikiran positif.

o     Contoh: Walaupun Khir Johari  mempunyai pengaruh dan kedudukan untuk membantu Aiman mengecualikan diri daripada menyertai PLKN, namun Khir Ghazali mahu anaknya menyertai program tersebut kerana beliau tahu bahawa anaknya akan memperoleh banyak manfaat daripada PLKN.
o     Contoh: Cikgu Dahari menerangkan tentang kebaikan PLKN kepada pelajar-pelajarnya agar dapat mengikis tanggapan negatif mereka terhadap program tersebut dan memberikan sumbangan mereka kepada negara.
o     Contoh: Apabila Aiman meluahkan perasaannya yang memandang rendah terhadap PLKN, Posmen bertindak menyedarkan Aiman dengan menceritakan bagaimana anak jirannya yang pemalas berubah sikap setelah menyertai PLKN.



GAYA BAHASA
1.         Sinkope
     Contoh: kata singkatan ‘tak’ dalam ayat. Saya tak berminat langsung (m.s 3)
2.         Inversi
     Contoh: amanah orang semua surat ini (m.s 4)
3.         Peribahasa
     Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. (m.s 7)
4.         Bahasa asing
     Contoh: penggunaan perkataan bahasa Inggeris daddy, mummy (m.s 14) 
5.         Simile
     Contoh: perkataan ‘macam’ dalam ayat, Nak angan-angan macam Mat Jenin

NILAI

Nilai
Peristiwa/Bukti
Amanah

Posmen amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya menghantar surat

kasih sayang  

o   Nek Sinah melayan Aiman seperti cucunya sendiri dan masak makanan kegemarannya.
o   Khir Ghazali amat menyayangi Aiman dan keluarganya. Beliau memutuskan agar Aiman menyertai PLKN untuk membentuk peribadi anaknya itu menjadi seorang insan yang berguna kepada nusa dan bangsa
Bertanggungjawab

o   Walaupun sibuk bekerja, Khir Ghazali meluangkan masa mendengar masalah Aiman
o   Nik Sinah bertanggungjawab menjaga makan dan minum Aiman dan menasihati Aiman tentang situasi keluarganya.
o   Cikgu Dahari melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang guru dengan baik apabila turut menyentuh tentang pelaksanaan dan keberkesanan PLKN untuk membentuk generasi muda yang berjiwa patriotik.
Cinta akan tanah air
o   Kawan Aiman iaitu Sundarani menegurnya dengan mengatakan bahawa kita perlu menghargai tanah air kita apabila Aiman menyatakan bahawa dia tidak tahu di mana terletaknya Jempol kerana selalu bercuti di luar negara.
o   Cikgu Dahari menjadi jurulatih PPSB PLKN
o   Rakan-rakan Aiman, Nora, Syuhada, Ah Tiau dan Sundarani sangat teruja dan berbangga terpilih menyertai PLKN sebagai bukti cinta akan negara
Rasional
Khir Ghazali bertindak rasional dengan menolak permintaan anaknya untuk mendapatkan pengecualian menyertai PLKN



PENGAJARAN

Pengajaran
Peristiwa/Bukti
Kita haruslah menghormati orang yang lebih tua daripada kita.
Contoh: Aiman biadab terhadap pembantu rumahnya yang menganggapnya sebagai cucu sendiri

Kita mestilah bersikap amanah dalam menjalankan tugas.
Posmen menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang posmen dengan penuh amanah

Kita perlulah memberi sokongan kepada program kerajaan
o     Masnah tidak memberi galakan kepada anaknya untuk menyertai PLKN malah memberitahu suaminya bahawa program tersebut mungkin membahayakan nyawa anaknya.
o     Cikgu Dahari memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada anak-anak muridnya agar menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara.

Soalan HOT
1.         Huraikan pandangan anda sama ada bersetuju atau tidak tentang kewajaran penulis menggunakan ‘Berkhidmat untuk Negara’ sebagai judul drama ini.
2.         Huraikan perwatakan watak Aiman dalam petikan satu lagi dari keseluruhan petikan yang perlu dijadikan sempadan dalam kehidupan dan alasan-alasan anda.
3.         Bersetujukah anda dengan persoalan PLKN membentuk sikap berdikari dan jati diri dalam diri generasi muda. Jelaskan.
4.         Jika anda diberi peluang untuk menyudahkan cerita berdasarkan drama, huraikan kesudahan drama tersebut.
5.         Sebagai pembaca yang kritis, huraikan pendapat anda tentang cara pengarang menamatkan cerita dalam cerpen sama ada wajar atau tidak.