Sunday, 9 December 2012

Soalan penulisan SPM November 2012


Kepada anak didikku di tingkatan 4K dan 4R (2012),  mohon teliti soalan di atas. Kalian bolehlah mengisi masa terluang pada musim cuti persekolahan ini untuk cuba menghasilkan penulisan yang berkualiti.  Patuhi arahan dalam kertas soalan. Tahniah kepada anak didik yang sanggup menyahut cabaran ini. Siapa berani?




Friday, 2 November 2012

Bahagian A : Tanah Runtuh


Latihan 3

Lihat maklumat di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara ini. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah kata.
USAHA-USAHA
MENGELAKKAN KEJADIAN
TANAH RUNTUH

{ Penanaman semula pokok di cerun bukit
{ Mengawal pembangunan di lereng bukit
{ Sistem Perparitan yang terancang
{ Penguatkuasaan undang-undang


Jawapan:

            Peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 dan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa anak-anak yatim di Hulu Langat, merupakan dua peristiwa yang banyak mengalirkan air mata rakyat Malaysia.  Peristiwa ini menuntut masyarakat menggunakan akal yang waras untuk mencari penyelesaian bukan hanya berpolemik di media-media  dan menuding jari berbalah sesama sendiri terhadap peristiwa yang terjadi. Secara implisitnya, ketidakprihatinan masyarakat negara ini merupakan punca kemurkaan alam kepada kita. Justeru, adalah  wajar  semua pihak  membuka mata  serta mengorak langkah  bagi mengelakkan kejadian ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di Negara ini?
          Usaha pertama untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara ini  ialah kerajaan perlu melaksanakan penanaman semula pokok-pokok di cerun bukit terutama di kawasan yang telah dibangunkan. Usaha murni tersebut  merupakan langkah terbaik untuk  menjaga cerun-cerun   dan kawasan yang dibangunkan  daripada terdedah  kepada risiko kejadian tanah runtuh. Usaha tersebut juga dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan yang dijalankan menyebabkan banyak pokok yang ditebang dan bukit ditarah atas nama pembangunan.  Hutan rimba dan bukit-bukau merupakan pasak kepada ekosistem bumi. Pembalakan dan penebangan hutan tanpa kawalan  telah melonggarkan ikatan tekstur tanah, menjadikan cerun longgar dan rebah. Di Malaysia, hujan lebat yang turun akan menyebabkan tanah di lereng bukit menjadi longgar dan menggelongsor. Oleh itu, pokok-pokok besar yang berakar dalam dan tanaman tutup  bumi perlu ditanam untuk menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada  cuaca dan hujan lebat. Hal ini dapat membantu menyekat pergerakan tanah daripada dibawa  aliran air bawah tanah  yang menggelonsorkan cerun yang tidak stabil. Usaha menanam kembali pokok-pokok atau tumbuh-tumbuhan, dapat memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan. Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kondominium Highland Tower dan  Bukit Antarabangsa misalnya,  masih lagi menjadi igauan  rakyat akibat  tidak  mempedulikan cerun yang lemah berhampiran dengan kediaman. Jelasnya, untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh, kerajaan perlulah menanam semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit.
          Usaha kedua yang dapat dilakukan untuk  mengelakkan kejadian  tanah  runtuh  ialah kerajaan membina sistem perparitan yang terancang. Sistem perparitan yang terancang penting untuk membolehkan air hujan  dari cerun bukit  mengalir dengan baik dan terus ke longkang atau sungai dan laut. Air tidak akan bertakung di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan berlakunya banjir. Keadaan ini secara tidak langsung boleh mengelakkan  berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh. Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi sebagai benteng yang kukuh di lereng bukit. Sistem perparitan yang terancang dapat memadatkan struktur tanah di lereng bukit.   Sekiranya, tidak ada sistem perparitan dibina di lereng bukit, hujan lebat yang turun di kawasan bukit akan menyebabkan air bertakung dan menyerap di kawasan lereng bukit melalui tanah sehingga struktur tanah menjadi longgar dan tidak kukuh. Hal ini boleh mengundang padah seperti berlakunya banjir kilat, hakisan tanah dan  tanah runtuh.   Rakyat Malaysia tidak pernah melupakan peristiwa yang berlaku di Pos Dipang, Perak yang mengorbankan begitu banyak nyawa akibat banjir lumpur. Kawasan tanah tinggi yang dibangunkan pembangunan  sangat berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur. Oleh itu. jelaslah pembinaan sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh.
          Selain itu, pembangunan yang terancang juga merupakan usaha yang dapat  dilakukan  untuk mengurangkan berlakunya kejadian  tanah runtuh. Kerajaan perlu mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik dan sistematik terhadap pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Memang pembangunan  tidak dapat dihentikan, tetapi pembangunan perlu dirancang sebaik-baiknya untuk mengurangkan fenomena yang membawa bencana kepada pelestarian alam dan manusia. Pembangunan seperti perumahan, perladangan dan pelancongan perlu dirancang dengan teliti demi keselamatan dalam jangka panjang. Kawasan ladang di lereng bukit perlu dibina teres selain menyusun atur tanaman  dan laluan untuk menyelamatkan cerun. Kerajaan atau pemaju perumahan perlu mengkaji keutuhan tanah di lereng bukit dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh yang tidak diingini berlaku. Kerajaan juga perlu menetapkan junlah kuota untuk melaksanakan pembangunan di lereng-lereng  bukit. Selain itu, pihak-pihak tertentu seperti pemaju perumahan  perlu mewujudkan  Pelan Tindakan Kecemasan untuk bertindak pantas  apabila mengesan tanda-tanda pergerakan cerun berlaku. Perancangan pembangunan perlu melihat simbiosis alam dengan projek yang bakal dibangunkan. Jelasnya, Pembangunan yang terancang  dapat mengelakkan  kejadian yang tidak diingini seperti tanah runtuh.
          Akhirnya sekali,  penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian yang boleh meragut nyawa.  Penguatkuasaan yang tegas dapat  mencegah sesetengah pihak yang melaksanakan projek pembangunan seperti “melepaskan batuk di tangga”.  Penguatkuasaan tanpa  “pilih bulu”  dapat mencegah  perbuatan yang tidak bertanggungjawab.  Kerajaan perlu mengawal aktiviti pembalakan dan penebangan hutan di negara kita. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengehadkan jumlah lesen yang diluluskan untuk penebangan hutan. Hanya pokok yang telah cukup tua sahaja dibenarkan untuk ditebang Lesen dan konsesi pembalakan  perlu disemak semula. Kelulusan Sijil Menduduki  Kediaman dan pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun perlu diberi perhatian wajar oleh kementerian yang berkaitan. Mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan haruslah dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman penjara atau denda yang tinggi sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan tersebut. Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, Akta Tanah, dan Akta Perhutanan dapat menjaga hak dan menyelematkan situasi genting. Jelasnya, penguatkuasaan  yang tegas dapat memberi kesan kepada pihak yang mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan kebajikan sosial.
          Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih mempunyai ruang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Usaha semua pihak amat diharapkan  agar kejadian tanah runtuh ini dapat dielakkan. Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap tersebut boleh mengundang padah. Rakyat Malaysia diharapkan dapat merenung kata-kata  Chief Seattle  bahawa “kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek monyang kita, sebaliknya kita meminjamnya dari cucu cicit kita”. Oleh itu , kita perlu menjaga  sesuatu yang kita pinjam agar kita dapat memulangkan  dengan keadaan yang masih baik.

Bahagian A : Usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum


Latihan  2
Bahagian A
[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)

Lihat maklumat rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

USAHA-USAHA MEWUJUDKAN PERPADUAN KAUM.
{ Peranan sekolah
{ Rumah terbuka pada hari  perayaan
{ Kepelbagaian kebudayaan
{ Hari Keluarga

           Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai malah saling menghormati. Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan bekerjasama berdasarkan atas prinsip-prinsip  Rukun Negara. Perpaduan yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Persoalannnya, apakah usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?
       Satu daripada usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita adalah peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Rakyat harus menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan.  Dengan adanya sistem  pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid berbilang kaum di peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah rendah lagi, usaha  untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi, bergaul , bermain dan sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti semasa P & P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini, generasi Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu, menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat dipupuk dalam kalangan murid. Jelasnya, generasi muda akan sedar akan peranan mereka untuk mengukuhkan perpaduan kaum menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah.
       Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan dapat mewujudkan perpaduan kaum di negara kita. Rumah terbuka bermaksud satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan kunjung-mengunjungi ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap bertimbang rasa dan saling menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum yang ada di negara kita  sedia menerima adat resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional masyarakat mengikut kaum yang ada di Negara kita. Rakan-rakan yang datang berkunjung  ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama kaum  tetapi juga dapat memeriahkan suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada setiap perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.
       Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipupuk menerusi aktiviti hari keluarga. Hari keluarga merupakan aktiviti yang sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti hari keluarga boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah taman atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama kaum.Hari keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan berhampiran tempat tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat perkelahan. Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan berkomunikasi dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang untuk melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti hari keluarga yang dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus menjayakan Gagasan 1Malaysia.
        Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan perpaduan. Walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud prasangka. Apabila diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan hari kebesaran atau menerima kedatangan orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum seperti tarian Zapin dan tarian Inang oleh masyarakat Melayu. Tarian kipas, tarian singa dan tarian piring oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan Tarian Kollattam oleh masyarakat India. Persembahan kebudayaan yang unik ini secara  tidak langsung dapat menarik minat pelancong asing yang berkunjung ke negara ini. Tegasnya, kepelbagaian kebudayaan yang ada di negara  kita dapat mewujudkan perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana tak kenal maka tak cinta.
       Kesimpulannya, usaha mewujudkan perpaduan kaum  perlu diberi penekanan di negara kita kerana menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan kemakmuran. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam memastikan perpaduan dapat dicapai di negara ini. Jelasnya, rakyat Malaysia perlulah bersama-sama menjayakan Gagasan 1Malaysia seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. “Bersatu teguh, bercerai roboh”.