Friday, 2 November 2012

Bahagian A : Usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum


Latihan  2
Bahagian A
[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)

Lihat maklumat rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

USAHA-USAHA MEWUJUDKAN PERPADUAN KAUM.
{ Peranan sekolah
{ Rumah terbuka pada hari  perayaan
{ Kepelbagaian kebudayaan
{ Hari Keluarga

           Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai malah saling menghormati. Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan bekerjasama berdasarkan atas prinsip-prinsip  Rukun Negara. Perpaduan yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Persoalannnya, apakah usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?
       Satu daripada usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita adalah peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Rakyat harus menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan.  Dengan adanya sistem  pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid berbilang kaum di peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah rendah lagi, usaha  untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi, bergaul , bermain dan sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti semasa P & P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini, generasi Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu, menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat dipupuk dalam kalangan murid. Jelasnya, generasi muda akan sedar akan peranan mereka untuk mengukuhkan perpaduan kaum menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah.
       Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan dapat mewujudkan perpaduan kaum di negara kita. Rumah terbuka bermaksud satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan kunjung-mengunjungi ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap bertimbang rasa dan saling menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum yang ada di negara kita  sedia menerima adat resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional masyarakat mengikut kaum yang ada di Negara kita. Rakan-rakan yang datang berkunjung  ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama kaum  tetapi juga dapat memeriahkan suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada setiap perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.
       Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipupuk menerusi aktiviti hari keluarga. Hari keluarga merupakan aktiviti yang sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti hari keluarga boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah taman atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama kaum.Hari keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan berhampiran tempat tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat perkelahan. Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan berkomunikasi dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang untuk melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti hari keluarga yang dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus menjayakan Gagasan 1Malaysia.
        Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan perpaduan. Walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud prasangka. Apabila diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan hari kebesaran atau menerima kedatangan orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum seperti tarian Zapin dan tarian Inang oleh masyarakat Melayu. Tarian kipas, tarian singa dan tarian piring oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan Tarian Kollattam oleh masyarakat India. Persembahan kebudayaan yang unik ini secara  tidak langsung dapat menarik minat pelancong asing yang berkunjung ke negara ini. Tegasnya, kepelbagaian kebudayaan yang ada di negara  kita dapat mewujudkan perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana tak kenal maka tak cinta.
       Kesimpulannya, usaha mewujudkan perpaduan kaum  perlu diberi penekanan di negara kita kerana menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan kemakmuran. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam memastikan perpaduan dapat dicapai di negara ini. Jelasnya, rakyat Malaysia perlulah bersama-sama menjayakan Gagasan 1Malaysia seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. “Bersatu teguh, bercerai roboh”.

No comments:

Post a Comment