Tuesday, 24 February 2015

Aktiviti Kesukarelawanan

Usaha-usaha menggalakkan rakyat melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelaan…?

Tarikh 5 Disember setiap tahun ialah Hari Sukarelawan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Budaya kesukarelaan di negara kita semakin pudar dan perlu digilap segera.
Hakikatnya budaya sebegini sebenarnya menjadi amalan utama masyarakat kita sedikit masa dulu. tetapi disebabkan pelbagai faktor, budaya ini semakin dilupakan.
Contoh Program 1Malaysia Youth For You (1M4U)
Antara usaha dan langkah strategik yang komprehensif untuk menggalakkan rakyat Malaysia melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelaan ialah:-
  • Membudayakan kegiatan kesukarelaan dalam kalangan masyarakat. 
  • Meraikan sambutan  Hari Sukarelawan Antarabangsa di peringkat negara setiap tahun.
  • Media massa menjadi ejen aktif dalam mempromosikan aktiviti kesukarelaan.
  • Kerajaan perlu menggalakkan pihak swasta melaksanakan program kesukarelaan menerusi ‘tanggungjawab sosial korporat’ (CSR) seperti melibatkan kakitangannya dengan kerja kemasyarakatan.
  • Majikan sama ada kerajaan atau swasta mestilah memberikan pengiktirafan terhadap pekerjanya yang aktif dalam kegiatan sukarela dalam bentuk hadiah, sijil anugerah, bonus dan sebagainya.
  • Pemberian cuti tanpa rekod yang dipohon oleh sukarelawan haruslah dipermudah.
  • Sumbangan bakti oleh sukarelawan perlu diambil kira dalam proses kenaikan pangkat, peluang melanjutkan pelajaran dan lain-lain.
  • Agensi kerajaan perlu menjana pertumbuhan organisasi sukarela dengan bantuan kewangan dan kemudahan prasarana.
  • Melaksanakan kempen kesedaran bermula seawal di peringkat sekolah rendah lagi.
  • Mewujudkan pertubuhan bercorak kesukarelawan di sekolah dengan lebih banyak.
  • Memupuk semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat tidak mengira perbezaan yang wujud.
  • Kepimpinan melalui teladan; para pemimpin juga mestilah menonjolkan teladan yang baik, seperti terlibat secara aktif (turun padang). 


Sunday, 8 February 2015

SINOPSIS : Pelari Muda (Ghazali Ngah Azia)

Pelari Muda (Ghazali Ngah Azia)

Sinopsis Keseluruhan
Cerita ini mengisahkan pengalaman watak utama iaitu Kamarul seorang pelajar tingkatan 5 yang berjaya dalam acara sukan olahraga. Beliau pernah terpilih mewakili negara dalam kejohanan sukan SEA di Brunei. Kamarul terpilih untuk mewakili negara dalam kejohanan sukan SEA di Bangkok dua bulan lagi. Dia dilatih oleh Encik Kadir. Kejayaan ini telah menjadikan Kamarul dikenali ramai, disanjung dan popular. Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan  ini sikap Kamarul pada pandangan kawan-kawannya sudah berubah. Kamarul bersikap sombong, ego, menjauhkan diri daripada kawan-kawan, malah tidak berdisiplin menjalani latihan di bawah bimbingan Encik Kadir. Akibat sikapnya yang rendah moral itu, Kamarul ditegur oleh kawan baiknya Saridah. Teguran Saridah menjadi punca dia menyepikan diri daripada Saridah. Kamarul juga menunjukkan sikap tidak menghormati jurulatihnya. Teguran-teguran yang diberikan oleh Encik Kadir dibalas dengan jawapan dan tindakan yang tidak bermoral. Suatu hari, dalam perjalanan balik daripada latihan Kamarul dilanggar kereta. Dia dimasukkan ke hospital. Sepanjang berada di hospital, Encik Kadir dan Saridah tetap menziarahi Kamarul. Sikap bertanggungjawab Encik Kadir dan keprihatinan Saridah menjadikan titik mula Kamarul insaf dan berubah sikap. Setelah sembuh daripada kecederaan, Kamarul menjalani semula latihan di bawah bimbingan Encik Kadir. Hubungan Kamarul dengan Encik Kadir bertambah baik. Hasrat Kamarul untuk mewakili nergara telah direstui pihak sekolah. Kamarul dan delegasi Malaysia berlepas ke Bangkok untuk menyertai kejohanan sukan SEA ke-14 di Bangkok. Di Bangkok, Kamarul mengambil kesempatan bertemu De Wega, atlit sukan lari Filipina yang terkenal. Berita tentang Kamarul sebagai atlit Malaysia tersiar dalam media massa di Bangkok. Dalam acara lari 100m dan 400m kejohanan tersebut Kamarul berjaya meraih pingat emas. Kejayaan Kamarul mendapat pujian dan ucapan daripada Encik Kadir dan rakan-rakan, termasuk rakan-rakan sekelasnya di Malaysia. Kamarul mengucapkan terima kasih atas bimbingan yang diberikan oleh Encik Kadir dan menjadi pendorong kejayaan. Kamarul terkejut dan terharu apabila Encik Kadir menyatakan hasrat untuk bersara. Setelah kejohanan Sukan SEA tamat, Kamarul dan delegasi Malaysia berangkat pulang ke Malaysia membawa kejayaan cemerlang untuk negara, sekolah dan untuk dirinya sendiri. Di lapangan terbang Kamarul telah disambut meriah dengan ucapan tahniah daripada ibu bapa dan rakan-rakannya.

Sinopsis Mengikut Bab
Bab 1

Setelah pulang berjoging Kamarul  menunjukkan sikap yang berbeza daripada biasa. Perubahan sikap Kamarul disedari ibunya Mak Jah. Mak Jah mengesyaki perubahan itu kerana pergaduhan dengan Saridah. Sangkaan Mak Jah itu benar, apabila Kamarul mengakui bahawa berlaku sedikit salah faham dengan Saridah.  Saridah menegur sikap Kamarul yang menjauhkan diri daripadanya dan juga kawan-kawan lain setelah Kamarul menjadi terkenal sebagai atlit sukan lumba lari 100 m di peringkat antarabangsa. Kamarul berasa resah mengenangkan pertengkaran yang berlaku itu dan mencari Saridah untuk memohon maaf.

Bab 2
Sures kecewa kerana Kamarul mungkir janji untuk hadir pada sesi latihan di Pusat Sukan Kampung Pandan.  Sikap Kamarul telah menimbulkan tanda tanya Sures. Encik Kadir selaku jurulatih pula risau dengan prestasi Kamarul. Latihan pada petang itu dijalankan seperti biasa.  Oleh sebab, Kamarul tidak hadir, acara 100 m terpaksa dibatalkan. Setelah tamat latihan, Sures pulang ke rumah. Sewaktu sampai di laman rumah, Saridah datang bertemu Sures bertanyakan tentang Kamarul. Sures pula musykil dengan punca masalah yang berlaku di antara Saridah dengan Kamarul. Walau bagaimanapun, Saridah berharap masalah yang dihadapinya tidak diperbesar-besarkan.
Bab 3
Saridah berada di perpustakaan dan berharap dapat berjumpa dengan Kamarul. Walau bagaimanapun, dia kecewa kerana Kamarul tidak muncul. Saridah berasa kecewa dan merasakan dirinya  dipersalahkan  atas sikap dingin Kamarul. Dalam keadaan sedih dan resah itu muncul kawan rapatnya, Juriah dan bertanya tentang masalah Saridah. Setelah diberitahu Saridah, Juriah meminta Saridah tidak terlalu memikirkan tentang Kamarul, sebaliknya percaya masih ada masa untuk Saridah memperbaiki persahabatannya dengan Kamarul. Saridah tidak terus pulang ke rumah walaupun loceng tamat persekolahan hari itu telah berbunyi, sebaliknya dia berseorangan di dalam bilik darjah memikirkan masalahnya dengan Kamarul. Saridah membuat keputusan untuk menulis surat kepada Kamarul. Juriah yang menjengok ke bilik itu terkejut mendapati Saridah belum pulang ke rumah. Kesempatan Juriah datang ke situ, Saridah meminta pertolongan Juriah untuk menyampaikan surat yang dituliskan itu kepada Kamarul
Bab 4
Mak Jah memerhatikan gelagat anaknya ketika Kamarul  hendak keluar berjoging. Mak Jah terbayang keresahan yang dialami Kamarul. Apabila Kamarul mula hendak pergi, Mak Jahpun  memberikan surat yang diterima kepada Kamarul. Kamarul pula berasa musykil tentang pengirim surat itu tetapi tidak dinyatakan oleh Mak Jah pengirimnya. Sambil berlari, Kamarul membaca surat yang diterima itu. Kamarul terkejut kerana surat itu datangnya daripada Saridah. Hatinya  terharu dengan kejujuran Saridah menulis. Kamarul terus berjoging masuk ke Stadium Merdeka. Melihat suasana stadium yang luas itu, Kamarul terbayang dirinya sedang beraksi dan penonton pula bersorak dengan bersemangat menjerit-jeritkan namanya. Khayalan Kamarul kemudiannya terganggu dan dia meraung sekuat hati ke dalam stadium dan kemudiannya berlari keluar dari stadium dengan perasaan sayu mengingatkan Saridah.
Bab 5
Saridah kecewa kerana Juriah yang ditunggu tidak datang pada masa yang dijanjikan. Dalam jemu menunggu Saridah teringat Kamarul yang juga tidak datang menemuinya di perpustakaan. Sewaktu menatap sekeping gambar dalam album di bilik rumahnya, Saridah teringat kenangan manis bertemu Kamarul sewaktu menyertai sukan MSSM di Stadium Merdeka. Kenangan itu amat menyentuh perasaan Saridah, kerana hubungan baik dengan Kamarul berpanjangan dari padang permainan ke bilik darjah  hingga ke rumah. Saridah teringat kemesraan ibu bapa Kamarul terhadapnya. Walau bagaimanapun, setelah Kamarul terkenal dan glamour sebagai atlit sukan, sikapnya terhadap Saridah mula berubah. Perubahan inilah yang membuatkan Saridah kecewa dan sedih.

Bab 6
Encik Kadir menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kemerosotan prestasi Kamarul. Manakala prestasi Sures kian cemerlang. Encik Kadir sangat bangga akan pencapaian prestasi Sures. Dia mahu semua pelatihnya mengatasi rekod terpantas yang dibuat oleh pelari sukan negara lain. Encik Kadir memanggil Kamarul bertanya tentang masalah yang dihadapi Kamarul, tetapi Kamarul tidak menceritakan masalahnya, sebaliknya menunjukkan respon yang angkuh terhadap Encik Kadir. Kamarul memberitahu bahawa dia boleh berlatih sendiri dan tidak perlu latihan daripada orang lain. Sikap Kamarul ini amat memeranjatkan Encik Kadir.


Bab 7
Kamarul melepaskan kemarahan kepada Encik Kadir setelah membaca kenyataan  Encik Kadir dalam akhbar. Sikap itu ditegur oleh Mak Jah. Pada ketika itu juga Kamarul menerima panggilan telefon daripada Saridah. Saridah menyatakan kemaafannya dan mendoakan kejayaan Kamarul di Bangkok nanti. Pada sebelah petang di sekolah, Saridah bertemu dengan Juriah.  Mereka berbual-bual di kantin begitu lama. Saidah meluahkan perasaan hatinya yang terpendam terhadap Kamarul untuk dikongsi bersama-sama dengan Juriah. Juriah memahami perasaan yang dialami Saridah dan memberi kata nasihat supaya Saridah lebih mengutamakan pelajaran. Setelah lama berbual-bual, merekapun pergi ke padang sekolah.

Bab 8
Kamarul dipanggil oleh Cikgu Zainal ke bilik guru. Sebelum keluar, berlaku sedikit perang mulut antara Kamarul dengan Adibah, Ketua Kelas apabila Kamarul cuba keluar kelas sebelum loceng berbunyi. Sikap angkuh Kamarul menimbulkan rasa tidak puas hati Adibah. Apabila loceng berbunyi, Kamarul terus pergi menemui Cikgu Zainal. Cikgu Zainal memberitahu bahawa Kamarul diberi kebenaran untuk bercuti bagi mewakili negara. Cikgu Zainal mengucapkan syabas kepada Kamarul dan menasihati Kamarul supaya memberi perhatian terhadap peperiksaan SPM di samping kegiatan sukan yang diceburinya.

Bab 9
Kamarul menjalani latihan seperti biasa bersama-sama dengan Sures dan rakan-rakan pelatih lain. Sures menunjukkan prestasi yang cemerlang, manakala Kamarul masih tidak berjaya mencapai rekod lamanya. Encik Kadir tidak berpuas hati dengan pencapaian Kamarul. Beliau menasihati Kamarul agar lebih serius dan berdisiplin menjalani latihan. Kamarul tidak menunjukkan sikap patuh, sebaliknya Kamarul berpendapat tanpa disiplin pun dia boleh berjaya. Encik Kadir memberikan sebutir pingat yang pernah dimenanginya sebagai pendorong Kamarul. Namun, Kamarul tidak mahu  menerima pingat itu dan bertindak melemparkannya di hadapan Encik Kadir. Encik Kadir terkejut dengan tindakan Kamarul. Dalam perjalanan pulang, Kamarul teringat-ingat perbuatan terhadap Encik Kadir.  Terbayang juga dalam ingatan akan sikap angkuh dan menyoal diri sendiri dengan sikapnya itu. Tanpa menoleh ke kiri dan kanan ketika melangkah menyeberangi jalan raya, Kamarul dilanggar sebuah kenderaan.
Bab 10
Kamarul dirawat di hospital kerana kecederaan yang dialami dengan ditemani ibunya Mak Jah. Saridah dan  Encik Kadir datang menziarahi Kamarul tetapi dia masih tidur di katil. Sebelum beredar Encik Kadir menenangkan Mak Jah dengan harapan kesihatan Kamarul segera pulih. Setelah sedar, Kamarul dapati Saridah ada di sisinya. Mereka bertanya khabar dan Saridah menyampaikan salam daripada Encik Kadir dan Sures. Dalam pada itu, Saridah masih berharap kesalahannya yang lalu dimaafkan Kamarul. Doktor memberitahu bahawa kecederaan Kamarul tidak serius dan boleh balik ke rumah. Kunjungan kawan-kawan ke hospital membuatkan Kamarul berasa terharu, terutama pada Saridah dan Encik Kadir. Kamarul mengelamun tentang sikap buruknya terhadap Encik Kadir, Cikgu Zainal, Saridah dan kawan-kawan yang lain. Timbul keinsafan dalam dirinya dan mula timbul keazaman untuk serius dalam latihan. Encik Kadir datang menyebabkan lamunan Kamarul terganggu. Encik Kadir memberitahu bahawa dia akan  membawa Kamarul balik ke rumah. Kamarul berasa terharu dengan keikhlasan Encik Kadir tetapi dalam masa yang sama dia ceria dan gembira kerana dapat keluar dari hospital.

Bab 11
Pihak KOAM mengeluarkan kenyataan akhbar meletakkan harapan yang tinggi pada Kamarul dalam sukan SEA di Bangkok. Kenyataan ini membuatkan Kamarul resah. Walau bagaimanapun, Kamarul telah bersedia untuk berlatih bersungguh-sungguh. Kedatangan Kamarul di pusat latihan menggembirakan Encik Kadir. Encik Kadir menguji kepantasan Kamarul, namun prestasi Kamarul masih tidak memuaskan hati Encik Kadir. Namun, Encik Kadir meyakinkan Kamarul bahawa prestasinya akan meningkat apabila kesihatannya kembali normal. Di rumah, Kamarul menilik gambar-gambar atlet sukan olahraga yang terkenal. Daripada situ, beliau berazam untuk membuat catatan terbaik sebagaimana tokoh-tokoh atlet yang berjaya itu.
Bab 12
Suasana di lapangan terbang sebelum Kamarul dan atlet lain berlepas ke Bangkok. Dalam keriuhan dan suara kawan-kawan yang memberi semangat, Kamarul masih tercari-cari Saridah yang masih tidak muncul. Keresahan Kamarul menjadi usikan kawan-kawannya Adibah dan Fazilah. Tidak lama kemudian Saridah sampai di situ dan disambut riang oleh Kamarul. Saridah dengan mesra mengucapkan selamat jalan dengan harapan semoga Kamarul berjaya.
Bab 13
Kontinjen Malaysia sampai di Bangkok. Kamarul dan Sures tinggal sebilik. Mereka seronok kerana inilah kali pertama mereka ke Bangkok. Kamarul masih dilanda perasaan muram kerana bimbang akan kecergasannya yang belum mencapai tahap terbaik. Walau bagaimanapun, ia ditenangkan oleh Sures dengan kata-kata semangat dan keyakinan untuk berjaya. Kamarul dan atlet lain menjalani latihan kepantasan di gimnasium A. Seusai latihan Kamarul mencari De Wega, atlit Filipina yang diminatinya. Pertemuan dengan De Wega amat mengembirakan Kamarul. Mereka berkenalan dan berbual panjang tentang publisiti De Wega, tentang semangat kesukanan, disiplin dan pengalaman diri. Banyak maklumat yang diperoleh oleh Kamarul daripada De Wega dan banyak pula pengajaran yang meningkatkan semangatnya. Kamarul berasa gembira dengan pertemuan itu dan semangatnya untuk berjaya semakin berkobar-kobar.
Bab 14
Berita tentang Kamarul muncul dalam televisyen dan akhbar di Bangkok. Kamarul terkejut mendengar hal itu apabila diberitahu oleh Abdul Rahman. Pada sebelah petang berlangsung upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Ke-14. Kamarul dan Sures menyertai perbarisan  kontingen Malaysia. Pertandingan acara bermula selepas itu. Pada hari pertama, Malaysia telah memenangi beberapa pingat emas, perak dan gangsa. Encik Kadir dan penolong jurulatihnya memberi perangsang dan semangat kepada Kamarul dan atlit Malaysia yang lain. Encik Kadir memberikan Kamarul sebutir pingat emas yang pernah dimenanginya sebagai perangsang Kamarul. Kamarul menerima dan mengikatnya di pinggang. Acara 100m bermula. Kamarul berjaya meraih kejayaan menewaskan peserta lain termasuk atlit Filipina, De Wega yang diminatinya. Pada sebelah petang, Kamarul memenangi satu lagi pingat emas menerusi acara 400m. Kejayaan Kamarul mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada rakan-rakan atlit dan pegawai-pegawai, termasuk ucapan tahniah daripada rakan-rakan di Malaysia terutamanya Saridah. Encik Kadir berasa puas dengan kejayaan Kamarul. Kamarul terkejut apabila Encik Kadir memberitahu cadangannya untuk bersara selepas kejohanan sukan ini. Kamarul terharu dan terkilan apabila diberitahu Encik Kadir sepatutnya bersara pada tahun ini tetapi menangguhkannya demi kejayaan sukan SEA ini.



Bab 15

Kejohanan Sukan SEA Ke-14 di Bangkok telah berakhir. Malaysia menduduki tepat kedua. Di hotel penginapan, Kamarul dikunjungi De Wega.  De Wega mengucapkan tahniah kepada Kamarul. De Wega memberi nasihat  dan kata perangsang kepada Kamarul. Kemudian Kamarul memberikan cenderamata kepada De Wega sebagai kenang-kenangan. Demikian juga De Wega turut memberikan cenderamata berupa sebutir pingat emas yang pernah dimenangi dalam sukan SEA di Brunei kepada Kamarul. Penerbangan pulang atlit Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Subang Kuala Lumpur dan disambut meriah oleh emak, ayah,kakak, Saridah dan beberapa orang kawan-kawannya. Semua mengucapkan tahniah atas kejayaan Kamarul.

KOMSAS - Cerpen Pahlawan Buntung

Set 1 Cerpen Pahlawan Buntung

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Kehadiran Pak Husain menjadi jambatan kepada ingatanku untuk menyeberang bagi menemui detik-detik peristiwa yang berlaku lebih daripada tiga puluh tahun yang lalu.
            Kakinya yang buntung, terkulai dalam kain sarungnya yang kelihatan singkat. Kaki kayunya sudah usang. Kepala kakinya sudah berjabu-jabu di bawah ketiaknya. Kalau tidaklah kerana parut yang memanjang di atas dahinya, yang separuh telah ditutup oleh semutar kain batik Kelantan, aku akan kehilangan wajahnya. Kehilangan itu akan membuatkan aku tidak melihat peristiwa sejarah tanah air. Kebisingan dan kehiruk-pikukan yang berbaur daripada ramainya orang yang menghadiri temasya kota (menyambut ulang tahun kemerdekaan), seolah-olah tidak masuk dalam telingaku. Tidak.
            Wajah Pak Husain memanjat kepalaku. Menerkam dan menggigitku. Berlari-lari dalam ingatanku. Dia pahlawan yang tidak pernah difikirkannya bahawa dia telah menyelamatkan kami. Ketika dia tersiuk-siuk melangkah dengan kaki tiganya melewati orang ramai, dalam kumpulan yang lebih merupakan sampah sarap yang disongsong oleh pasang penuh, aku tepuk belakangnya. Pak Husain berhenti mendadak. Menikam wajahku dengan pandangannya yang berkaca-kaca. Aku menaburkan senyumanku. Kuduga ingatannya. Ingatkah ia?
            “Kau, kau, Khalid?”
            “Ya, Khalid,” kataku membenarkan dugaannya.

 (Dipetik daripada cerpen Pahlawan Buntung,
                                                     oleh S. Othman Kelantan dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


  (i)                 Bagaimanakah keadaan Pak Husain ketika aku menemuinya di temasya kota sempena ulang tahun kemerdekaan?
[2 markah]

(ii)               Pada pendapat anda, apakah peranan yang boleh dilakukan oleh seorang pelajar untuk menghargai  kemerdekaan negara?
[3 markah]

(iii)             Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan daripada keseluruhan cerpen.
[4 markah]


Cadangan Jawapan Set 1 Cerpen Pahlawan Buntung

(i)                 ( Pilih dua jawapan sahaja )
-          Kakinya buntung terkulai dalam kain sarungnya
-          Kaki kayunya sudah usang
                  -          Kepala kakinya sudah berjabu-jabu di bawah ketiaknya
                  -          Parut yang memanjang di atas dahinya
                                                                                                                      [Maksimum 2 markah]

(ii)                ( Pilih tiga jawapan sahaja )
-          Mempelajari tentang sejarah / tokoh-tokoh kemerdekaan
-          Menyertai perarakan / aktiviti kemerdekaan
-          Mengadakan kempen sempena kemerdekaan
-          Menjayakan bulan kemerdekaan / hias bendera
-          Belajar bersungguh-sungguh agar menjadi manusia berguna
                                                                                              [Maksimum 3 markah]

(iii)             Satu persoalan dalam petikan cerpen:
-          Persoalan menghargai kemerdekaan tanah air / negara
Contoh, Aku, Pak Husain dan orang ramai datang menghadiri temasya kota sempena ulang tahun kemerdekaan negara.


Satu persoalan lain dalam keseluruhan cerpen:
         (Pilih 1 sahaja)
-          Persoalan kezaliman untuk meluaskan jajahan.
Contoh, tentera Jepun yang ingin menjajah tanah Melayu sanggup membunuh rakyat tempatan.
-          Persoalan kebijaksanaan untuk menyelamatkan diri
Contoh, Pak Husain bijak menipu tentera Jepun dengan mengatakan ingin buang air besar untuk melarikan diri daripada Jepun
-          Persoalan semangat bantu-membantu dalam kesusahan
Contoh, Pak Husain membantu mengumpulkan orang-orang kampong Pulau Pak Amat di pengkalan untuk menyelamatkan diri daripada tentera Jepun
                                                                                                                     [Maksimum 4  markah]

Contoh jawapan cemerlang untuk soalan (ii) Kemahiran Berfikir
(i)                  Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengenang jasa pahlawan seperti Pak Husain? Berikan tiga usaha.

Cadangan Isi jawapan
-          mengadakan sambutan Hari Pahlawan untuk mengenang jasa mereka
-          memaparkan jasa-jasa pahlawan seperti Pak Husain dalam media cetak dan media elektronik
-          memberikan anugerah dalam pelbagai bentuk
-          memberikan bantuan atau subsidi untuk mereka memulakan perniagaan
-          menubuhkan persatuan yang dapat menjadi wahana untuk mereka menyuarakan pendapat
      
Contoh Jawapan Cemerlang
  
       Pada pendapat saya, kita boleh melakukan pelbagai usaha untuk menghargai pahlawan seperti Pak Husain. Antaranya ialah dengan mengadakan sambutan Hari Pahlawan untuk mengenang pengorbanan mereka kepada negara pada satu ketika dahulu. Selain itu juga jasa-jasa pahlawan seperti Pak Husain boleh dipaparkan dalam media cetak dan media elektronik dalam bentuk penulisan riwayat hidup atau filem dokumentari tentang perjuangan mereka. Seterusnya, pihak kerajaan pula boleh memberikan anugerah dalam pelbagai bentuk seperti memberikan mereka tanah untuk kegunaan pertanian, atau memberikan bantuan atau subsidi untuk mereka memulakan perniagaan. Kerajaan juga boleh menubuhkan persatuan yang dapat menjadi wahana untuk mereka menyuarakan pendapat dan pandangan demi kemajuan negara dan rakyat.

Set 2 Cerpen Pahlawan Buntung

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

            Pak Husain mencengkam tanganku. Cengkamannya kuat seperti tidak mahu dilepaskannya. Matanya menajam menembusi wajahku. Terasa berdetak-detak dalam hatiku. Tidak ada yang kudengar di sekitarnya, kecuali detak hati Pak Husain yang merenungku. Pada wajahnya terlukis gambaran keriangan yang beriak-riak pada bibirnya yang kelihatan separuh tertutup oleh misainya yang seperti kapas. Janggutnya jarang-jarang, juga seperti kapas. Pakaiannya sederhana, membayangkan keperibadian desa yang suci murni.
            Kugeser ia ke tepi. Kami berlabuh dalam sebuah warung. Kami minum-minum.
            “Ayahmu masih sihat?” tanyanya. Memang Pak Husain sangat saayang akan ayahku.
            “Meninggal,” jawabku perlahan. “Ayah meninggal kira-kira setahun yang lalu.”
            “Meninggal?” sepatah pertanyaan engkarnya. Mulutnya kumat-kamit. “Dia membaca ayat suci tentunya,” fikirku.
            “Ayah selalu menyebut nama Pak Sin,” kataku. “Tapi kerana keuzurannya, kami tidak dapat membawanya untuk menmui Pak Sin.”
            Pak Husain merenung orang ramai. Dalam riak matanya dapat kubayangkan wajah ayahku terdiri di dalamnya. Dia melihatku kembali. Kemudian, dia menghidup kopi.
            “Memang lama tak bertemu,” kata Pak Husain kemudian.
            “Ya, lama,” bisik hatiku.

(Dipetik daripada cerpen Pahlawan Buntung,
                                                     oleh S. Othman Kelantan dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

             
(i)                 Apakah maksud rangkai kata beriak-riak pada bibirnya?
[2 markah]

(ii)               Apakah cara-cara yang boleh anda lakukan untuk menghargai jasa seorang sahabat yang banyak berjasa kepada anda?
[3 markah]

(iii)             Huraikan satu perwatakan Pak Husain dalam petikan dan satu lagi perwatakan daripada keseluruhan cerpen.
[4 markah]



Cadangan Jawapan Set 2 Cerpen Pahlawan Buntung

(i)         -          Senyuman di bibir
                                                                                                                      [Maksimum 2 markah]
(ii)                ( Pilih tiga jawapan sahaja )
-          Doakan kesejahteraan / kesihatannya
-          Kerap melawat / mengunjunginya / datang ke rumahnya
-          Bertanya khabar / telefon / sms / hantar surat
-          Berikan bantuan kepadanya / keluarganya
-          Menggembirakan hatinya / menghiburkannya/ menemaninya / sentiasa bersama-sama
                                                                                              [Maksimum 3 markah]

(iii)             Satu perwatakan dalam petikan cerpen:
            -          Sederhana
Contoh, pakaian Pak Husain sederhana membayangkan keperibadian desa yang suci murni


Satu perwatakan lain dalam keseluruhan cerpen:
         (Pilih 1 sahaja)
-          Bijak
Contoh, Pak Husain bijak menipu tentera Jepun dengan mengatakan ingin buang air besar untuk melarikan diri daripada Jepun
-          Berani
Contoh, Pak Husain berani menipu tentera Jepun dengan mengatakan orang-orang kampung sudah melarikan diri untuk menyelamatkan mereka
-          Cinta tanah air
 Contoh, Pak Husain datang ke perarakan menyambut ulang tahun kemerdekaan
 walaupun kakinya sudah buntung
-          Bantu-membantu
Contoh, membantu mengumpulkan orang-orang kampung untuk menyelamatkan mereka daripada tentera Jepun
                                                                                                                     [Maksimum 4  markah]



Set 3 Cerpen Pahlawan Buntung

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

            Sesungguhnya kami telah lama berpisah dalam tahun-tahun pendudukan BMA. Keluargaku pindah ke kota. Ketika bunga-bunga politik memercup tumbuh dalam tahun-tahun empat puluhan, kami telah melupai satu sama lain. Ketika permulaan perpindahan kami, ayahku sering ke desa peninggalannya, tetapi apabila api politik membakar seluruh tanah air, ayahku larut di dalamnya. Sejak itu perpisahan tidak rasmi itu saling melupai.
            Kira-kira lebih tiga puluh tahun yang lalu, Pak Husain masih sepertiku. Usianya baru kira-kira tiga puluh tahun. Aku berusia lebih sedikit empat belas tahun. Pak Husain tegap sasa. Dia berani. Dia banyak dicintai oleh gadis-gadis kampungnya. Aku sering mengekorinya untuk memancing dan menyadak. Kampung kami damai. Deburan ombak Laut China Selatan saban detik menyiulkan lagu nelayan yang penuh duka nestapa. Kerana kedudukannya agak terpencil oleh sungai dan laut yang mengelilinginya, kampung itu disebut Kampung Pulau Pak Amat.
            Inilah Pulau Pak Amat yang gamat!
            Ketika kusedar oleh hentakan dan siulan bunyi yang bergemetuk, aku seperti diselimuti oleh gebar kebingungan yang menakjubkan. Memang gendang-gendang telingaku dapat menangkap bunyi siulan yang ajaib itu. Siulan peluru dan bunyi gegaran.


(Dipetik daripada cerpen Pahlawan Buntung,
                                                     oleh S.Othman Kelantan dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

             
(i)                 Apakah kelebihan yang dimiliki oleh Pak Husain ketika umurnya kira-kira tiga puluh tahun?
[2 markah]

(ii)               Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk menarik anak-anak muda tinggal di kampung?
[3 markah]

(iii)             Jelaskan satu pengajaran dalam petikan dan satu pengajaran daripada keseluruhan cerpen.
[4 markah]


Cadangan Jawapan Set 3 Cerpen Pahlawan Buntung


             (i)                  (Pilih dua jawapan sahaja )
-          Tegap sasa
-          Berani
-          Banyak dicintai oleh gadis-gadis kampung
                                                                                                                      [Maksimum 2 markah]

(ii)               (Pilih tiga jawapan sahaja )
-          Mengadakan aktiviti menarik minat mereka
-          Mewujudkan peluang pekerjaan
-          Mewujudkan persekitaran bersih / menarik
-          Menyediakan kemudahan moden / pusat internet
-          Sikap mesra terhadap mereka
                                                                                              [Maksimum 3 markah]

(iii)             Satu pengajaran dalam petikan cerpen:
          -          Kita janganlah melupakan tempat lahir kita
Contoh, pada tahun empat puluhan, ayah aku sering pulang ke kampung tetapi lama-kelamaan dia melupakan kampungnya


Satu pengajaran lain dalam keseluruhan cerpen:
         (Pilih 1 sahaja)
-          Kita mestilah membantu orang yang dalam kesusahan
Contoh, membantu mengumpulkan orang-orang kampung untuk menyelamatkan
mereka daripada tentera Jepun
-          Kita mestilah bijak dalam menghadapi musuh/ masalah
Contoh, Pak Husain bijak menipu tentera Jepun dengan mengatakan ingin buang air besar untuk melarikan diri daripada Jepun
-          Kita mestilah berani menghadapi musuh
Contoh, Pak Husain berani menipu tentera Jepun dengan mengatakan orang-orang
kampung sudah melarikan diri untuk menyelamatkan mereka
-          Kitamestilah cinta akan tanah air
 Contoh, Pak Husain datang ke perarakan menyambut ulang tahun kemerdekaan
 walaupun kakinya sudah buntung
                                                                                                                     [Maksimum 4  markah]








Tuesday, 3 February 2015

SINOPSIS : Formula Termodinamik (Obasiah Haji Usman)

Formula Termodinamik (Obasiah Haji Usman)

Sinopsis Keseluruhan
       Cerita Formula Termodinamik digambarkan dengan latar kampung yang dikelilingi sawah. Amir dan Asma mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak mereka yang selalu bermain di sawah bersama-sama Usama, Adnin dan Zaid. Asma anak kacukan Dusun dan Brunei, berjaya melanjutkan pelajarannya di maktab perguruan manakala Amir dan Usama ke Politeknik. Usamah di Perak dan Amir di Putatan. Mereka bertemu semula ketika Amir dan Usamah menghabiskan cuti semester di rumah nenek mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah Asma. Amir dan Usama telah merancang satu projek pengubahsuaian mesin rumput supaya berfungsi sebagai pemotong rumput dan mencangkul tanah. Amir menggunakan formula Termodinamik bagi memprogramkan mesin rumput terpakai dan projek ini dibantu oleh Profesor Othman dengan Formula Dua Hukum Popular bagi memastikan kejayaan. Sejak tersebar berita Amir dan rakan-rakannya mencipta mesin 2 dalam 1, Aswan berasa kurang senang dan ingin menyaingi mereka. Aswan bercadang untuk mencipta model yang sama, menggunakan mesin rumput yang panjang dan stor minyak petrolnya digantung di belakang dan di hujung pemotong rumput itu diwujudkan tangan robot. Namun begitu, semua nota telah hilang dan perkara tentang Formula Dua Hukum Popular Termodinamik tidak diketahuinya. Amir sangat risau akan kehilangan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik dan tiba-tiba sahaja storan formulanya hilang. Selain itu, Amir terkejut juga apabila didapati pencerobohan berlaku pada data syarikat ayahnya. Amir cuba menerangkan perkara yang berlaku kepada Syarikat Bahagia kepunyaan ayahnya tetapi gagal kerana ayahnya terlalu sibuk. Amir telah mengatur strategi untuk menangkap penjenayah. Akhirnya Aswan telah meminta maaf kepada Amir dan Usama kerana dialah yang mencuri Formula Termodinamik tersebut. Projek mesin 2 dalam 1 ciptaan Amir dan Usama telah memenangi Anugerah Saintis Muda dan mereka turut mendapat biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.
Sinopsis
Bab 1

Amir dan Asma mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak mereka yang selalu bermain di sawah bersama-sama Usamah, Adnin dan Zaid. Asma adalah dua pupu Amir dan Usamah. Asma anak kacukan Dusun dan Brunei, berjaya melanjutkan pelajaran di maktab perguruan manakala Amir dan Usamah ke Politeknik. Usamah di Perak dan Amir di Putatan. Mereka bertemu semula ketika Amir dan Usamah menghabiskan cuti semester di rumah nenek mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah Asma. Amir mula berasa ada perasaan indah yang terbit di hatinya terhadap Asma tetapi Asma pula seperti menyimpan cerita yang sukar diungkapkan. Dalam masa yang sama Amir dan Usamah telah merancang satu projek pengubahsuaian mesin rumput supaya berfungsi sebagai pemotong rumput dan mencangkul tanah.  Amir menggunakan formula Termodinamik bagi memprogramkan mesin rumput yang terpakai dan dibantu oleh Profesor Othman dengan Formula Dua Hukum Popular bagi memastikan kejayaan projek tersebut. 

Bab 2

Sejak tersebar berita Amir dan rakan-rakannya mencipta mesin 2 dalam 1, Aswan berasa kurang senang dan ingin menyaingi mereka. Dia juga mahu menebus kekecewaannya ketika di Politeknik dulu walaupun dia tahu dia tidak sehebat Amir dan Usamah. Dia mahu membuktikan yang dia tidak lemah, dia bijak dan handal serta mampu menyaingi Amir dan Usamah. Aswan bertekad akan menentang Amir dan Usamah. Dia tidak akan membiarkan kedua-dua sepupu itu menempa nama di Kampung Warisan. Aswan menyuarakan hasrat tersebut kepada kawan-kawan baiknya, Fikri dan Majibon. Aswan bercadang untuk mencipta model yang sama, menggunakan mesin rumput yang panjang dan stor minyak petrolnya digantung di belakang dan di hujung pemotong rumput itu diwujudkan tangan robot. Fikri dan Majibon agak kurang senang dengan hasrat dan tujuan Aswan yang ingin menyaingi Amir dan Usamah sehingga berlaku sedikit percanggahan prinsip di antara mereka dengan Aswan.  Bagi Fikri dan Majibon persaingan biarlah sihat dan tidak bermusuhan.  Namun begitu, Fikri dan Majibon tidak sampai hati untuk menghampakan Aswan.  Projek tersebut akan dijalankan dengan bantuan Fikri dan Majibon namun yang menjadi masalah ialah mereka tidak mempunyai formula. Fikri dan Majibon tidak pernah belajar bidang kejuruteraan, hanya Aswan seorang pernah belajar teori kejuruteraan waktu di Politeknik.  Namun begitu, semua nota-notanya telah hilang dan banyak perkara tentang Formula Dua Hukum Popular Termodinamik tidak diketahuinya. Walaupun dengan sedikit pengetahuan,  Aswan tetap yakin mampu menyaingi Amir dan Usamah kerana dia tidak mahu meminta bantu daripada Amir, Usamah dan Profesor Othman seperti yang disarankan oleh Fikri dan Majibon.

Bab 3

Amir dan Usamah bertungkus lumus membuat pengubahsuaian bagi memastikan  projek mesin 2 dalam 1 mereka berjalan lancar. Mesin tersebut menggunakan kuasa 6 kw, kincir angin model SAMA, iaitu singkatan Sabah, Malaysia.  Mana-mana komponen yang tidak boleh dibuat sendiri kerana kekurangan kelengkapan seperti membentuk mata pisau cangkul dihantar ke kedai besi untuk dibentuk.  Aswan, Fikri dan Majibon telah datang melihat projek mesin 2 dalam 1 yang diusahakan oleh pasangan sepupu itu.  Fikri dan Majibon sangat berminat dengan projek tersebut.  Mereka telah diberi penerangan terperinci tentang proses pengubahsuaian dan pengendalian mesin 2 dalam 1 oleh Amir , penuntut tahun akhir Diploma Kejuruteraan Am. Aswan lebih berminat melihat bilik operasi.

Bab 4

Setelah kerja-kerja pengubahsuaian mesin 2 dalam 1 siap, Zaid dan Adnin mengajak Amir dan Usamah pergi memancing di sawah untuk menenangkan fikiran.  Semasa memancing itulah Zaid dan Adnin telah bercerita tentang kecurian baja subsidi orang  Kampung Warisan dari stor dewan.  Zaid yakin bahawa Aswan dan rakan-rakannya yang telah mencuri baja tersebut.

Bab 5

Aswan sangat gembira kerana telah berjaya memperoleh formula yang diperlukan untuk melaksanakan projek impiannya, mencipta mesin menanam padi.  Mesin ini  amat relevan untuk masa depan yang dapat mengurangkan risiko generasi menjadi bongkok. Lakaran grafik yang telah disediakan oleh Aswan diperlihatkan kepada Fikri dan Majibon.  Aswan secara terperinci menerangkan cara projek itu akan dimulakan sehinggalah ke peringkat operasi.

Bab 6
Amir sangat risau akan kehilangan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik.  Tiba-tiba sahaja storan data formulanya hilang. Dia berasa kesal kerana cuai dan tidak menyimpan storan dengan baik. Bertahun-tahun dia mengumpul data untuk menyiapkan formula tersebut dan dibantu oleh Profesor Othman.  Dia tidak tahu orang yang telah menceroboh masuk ke bilik operasi mereka. Bukan mudah untuk dia mengingati  formula tersebut.  Amir risau tidak dapat menunaikan janjinya kepada nenek  untuk membajak tapak semaian dengan mesin 2 dalam 1 tersebut. 
Bab 7

Amir dan Usamah pulang ke Putatan.  Sampai sahaja di rumahnya, Amir terus ke pejabat persendirian ayahnya untuk mencari Formula Termodinamik dan melayari data Syarikat Bahagia.  Amir amat terkejut mendapati ada pencerobohan sedang berlaku pada data syarikat ayahnya.  Amir dan Usamah berusaha untuk menyekat pencerobohan tersebut dengan menerbit kod baru Adang Keselamatan Rahsia. 

Bab 8

Intan, ibu Amir amat terkejut apabila diberitahu oleh Amir tentang pencerobohan data Syarikat Bahagia.  Tetapi Amir tidak berpeluang untuk menceritakan peristiwa itu kepada ayahnya kerana dia berada di Manila atas urusan perniagaan.  Amir dan Usamah pulang semula ke Kampung Warisan.  Mereka sangat gembira melihat Asma, Zaid dan Adnin sedang menolong neneknya di tapak semaian.  Adnin sedang menolak mesin 2 dalam 1 untuk menyediakan tapak semaian. Neneknya tersenyum bangga.  Amir mewarisi kepintaran anaknya, Damit.

Bab 9

Amir bangga melihat semangat bergotong royong masih menjadi amalan penduduk Kampung Warisan.  Ramai penduduk kampung datang menolong menanam padi di sawah neneknya.  Usamah bersungut tentang mesin ciptaan Aswan yang belum disiapkan lagi, jika tidak bolehlah digunakan oleh orang kampung pada musim menanam kali ini.  Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suasana hingar bingar.  Amir dan Usamah terperanjat melihat nenek jatuh ke dalam air paya.  Pak Cik Suib, ayah Asma mengangkat nenek ke batas sawah. Nenek tidak bersuara.  Amir dan Usamah berusaha memberi pertolongan kepada nenek.  Setelah sedar nenek dibawa pulang ke rumah.  Atas desakan Asma nenek kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bab 10

Nenek menjalani pembedahan kecil pada buku lalinya untuk memastikan tidak ada pendarahan dan bagi mengelakkan jangkitan kuman ke anggota lain. Semua ahli keluarga Amir, ayah, ibu dan adik-adiknya serta Usamah turut berada di hospital menemani nenek.  Nenek sangat terharu dengan layanan dan kasih sayang daripada anak cucunya.

Bab 11

Aswan tidak lagi memberi fokus kepada projek mesin menanam padinya tetapi banyak masanya dihabiskan di hadapan komputer.  Dia tidak berpuas hati selagi pencariannya belum berhasil.  Aswan mencuba meramal beberapa nombor digital sehinggalah dapat ditembusi.  Maklumat yang ditemui beberapa hari lalu muncul semula.  Pengaliran data itu tidak dapat disekat lagi.  Aswan terpukau melihat jumlah aset syarikat tersebut.  Dia sangat teruja dan memperlihatkan data tersebut kepada Fikri dan Majibon.  Aswan bercadang memindahkan wang sejumlah RM1.3 juta itu ke dalam akaunnya.   Majibon membantah keras hasrat Aswan itu atas prinsip agama melarang mengambil hak orang lain.  Aswan kemudiannya bercadang untuk mengambil RM10,000.00 sahaja sebagai modal menjalankan projek mereka.  Fikri pula menentang hasrat Aswan dan mengingatkan mereka perlu berpegang teguh pada etika kerja serta bersaing secara sihat. Dalam masa yang sama, Amir dapat mengesan pencerobohan dan data syarikat ayahnya dibocori lagi. Usamah berusaha keras mengesan kebocoran data tersebut dan cuba menyekatnya.  Akhirnya mereka bersepakat untuk  menyiasat perkara tersebut.

Bab 12

Amir cuba menerangkan peristiwa yang berlaku kepada Syarikat Bahagia kepada ayahnya tetapi gagal kerana ayahnya terlalu sibuk. Intan, ibu Amir telah menceritakan pencerobohan dan kebocoran maklumat syarikat mereka.  Pada masa yang sama Amir dan Usamah telah kembali semula ke Kampung Warisan. Nenek mereka telah beransur sihat dan akan keluar dari hospital.  Amir berasa bangga melihat mesin 2 dalam 1 ciptaan mereka digunakan oleh bapa Zaid dan orang-orang kampung untuk membajak tanah. Hasil ciptaan mereka telah dapat berbakti kepada orang kampung. Zaid dan Adnin pula telah melaporkan peristiwa yang telah dapat menjejak penjenayah  Kampung Warisan yang menyimpan barang-barang curi di sebuah pondok tidak jauh dari pangkalan. Amir telah mengatur strategi untuk memerangkap penjenayah itu.

Bab 13

Dua hari membuat persiapan dan mengatur strategi,  Amir dan rakan-rakannya bergerak selepas Isyak menuju ke pondok yang dinyatakan oleh Zaid.  Setengah jam perjalanan mereka sampai di pangkalan.  Dari situ mereka bergerak ke sebuah pondok dan bersembunyi  di tempat yang sukar dikesan oleh penjenayah. Dari situ mereka mengatur strategi untuk memerangkap penjenanyah tersebut. Akhirnya Lahop dan Oyong pemuda Kampung Warisan yang diupah menjaga pondok tersebut dapat diberkas dan dihantar ke balai polis.  Amir menemui CD yang menyimpan seribu rahsia yang sukar ditafsir.

Bab 14

Semalaman Amir tidak dapat tidur memikirkan CD yang ditemukan semasa operasi penangkapan dua orang pemuda di pondok berhampiran dengan pangkalan.  Amir dan Usamah berasa kehilangan Formula Termodinamik ada kaitan dengan CD tersebut.  Tiba-tiba ada e-mel masuk.  Orang yang tidak dikenali menghantar mesej meminta maaf.  Mereka kehairanan dan mengesyaki itulah orang yang telah mencuri formula mereka. Mereka cuba bertanya tentang penghantar e-mel itu tetapi tiada jawapan.  Kemudian Zaid datang membawa berita bahawa Asma akan berkahwin.  Adnin pula menyusul dalam keadaan basah kuyup dan mengajak mereka membantu memindahkan orang kampung kerana air telah naik melepasi satu meter.

Bab 15

Aswan , Fikri dan Majibon dibawa arus deras.  Mereka hanya berpaut pada sebatang kayu untuk menyelamatkan diri.  Aswan rasa menyesal tidak mendengar nasihat ibunya supaya tidak menghadiri majlis sambutan Krismas di rumah Majibon kerana cuaca buruk.  Dia juga mulai sedar mungkin itu adalah balasan Allah terhadap dosa-dosa yang telah dilakukannya.  Dalam suasana gelap malam mereka bertiga terus berpaut pada sebatang kayu sehinggalah diselamatkan oleh Amir dan rakan-rakannya.  Aswan telah meminta maaf kepada Amir dan Usamah serta mengaku dialah yang mencuri Formula Termodinamik dan penghantar e-mel

Bab 16

Projek mesin 2 dalam 1 ciptaan Amir dan Usamah telah  membolehkan mereka memenangi Anugerah Saintis Muda dan mereka turut mendapat biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.   Pada hari keberangkatan, semua ahli keluarga berada di lapangan terbang.  Aswan, Fikri dan Majibon turut sama.  Asma datang mengucapkan tahniah kepada mereka berdua dengan menghulurkan sejambak mawar putih buat Usamah dan mawar merah buat Amir.


Tema

Novel ini membawa tema sains dan teknologi. Dua orang anak muda iaitu Amir dan Usamah yang berwawasan tinggi dan masih menuntut telah memanfaatkan ilmu yang dipelajari dengan melakukan inovasi terhadap mesin rumput terpakai.  Inovasi tersebut dinamakan mesin 2 dalam 1 yang berfungsi sebagai pemotong rumput dan boleh membajak tanah. Mesin 2 dalam 1 ini akhirnya telah digunakan secara meluas oleh penduduk Kampung Warisan.  Amir dan Usamah pula telah menerima Anugerah Saintis Muda.

Persoalan

Terdapat beberapa persoalan dalam novel ini, antaranya :
i.   Tanggungjawab melakukan inovasi untuk  kepentingan masyarakat
     Contoh :  Amir dan Usamah berusaha melakukan pengubahsuaian terhadap mesin
     rumput terpakai bagi memudahkan neneknya dan orang kampung membajak tanah
     untuk pertanian.

ii.  Mengamalkan Etika
     Contoh :  Fikri sangat berpegang teguh kepada etika kerja yang bersih iaitu
     bersaing secara sihat dan tidak menganggap Amir dan Usamah sebagai musuh
     dalam melaksanakan projek masing-masing.

iii.  Taat kepada ajaran agama
Contoh :  Fikri menentang keras hasrat Aswan yang ingin memindahkan wang RM   1.3 juta milik syarikat  yang telah diceroboh ke dalam akaunnya.  Dia mengingatkan
      Aswan bahawa agama melarang kita mengambil hak orang lain,  perbuatan yang
      tidak bermoral.

iv.  Perniagaan dan Keusahawanan
     Contoh :   Bapa Aswan seorang usahawan import eksport.

v.   Kasih sayang nenek terhadap anak cucunya
     Contoh :  Nenek sentiasa menyokong usaha Amir dan  Usamah dalam menjayakan 
     Projek mesin 2 dalam 1 dan nenek juga banyak mengajar serta mendidik mereka. 
     Walaupun baru saja menjalani pembedahan, nenek sudah teringat hendak
     membuat kuih bahulu kegemaran bapa Usamah.  Nenek juga berjanji untuk  
     membuat kuih jala  untuk Amir.

vi. Tanggungjawab terhadap seorang sahabat
     Contoh:  Zaid, Amir, Usamah dan Adnin telah menyelamatkan Aswan, Fikri dan  Majibon daripada      mati lemas dalam kejadian banjir di kampung mereka.

vii. Mengamalkan budaya ilmu
      Contoh:  Amir dan Usamah telah mempraktikkan ilmu yang dipelajari di politeknik 
      untuk menghasilkan projek mesin 2 dalam 1 bagi membajak tanah pertanian untuk
      kegunaan orang kampung dan tidak lokek berkongsi ilmu dengan orang lain (ingin  

      membantu Aswan dalam projek mesin menanam padi).