11/11/2018

RUMUS ANEKSI PESONA


RUMUS ANEKSI PERSONA
(Bahasa Melayu PT3 dan SPM)

Aneksi - susunan serangkai yang hubungannya sangat erat dan tidak dapat disisipi oleh sebarang unsur.
Persona - merujuk nama diri, pembicara, atau orang yang berperanan dalam pembicaraan.
Aneksi Persona - merujuk penggunaan kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama kedua dalam frasa kerja pasif.

Ayat Aktif - Ayat Pasif Biasa - Ayat Pasif Songsang
(KGND Pertama)
Contoh:
1a.     Saya telah membeli buku itu di Syarikat Muda Osman.
1b.     Buku itu telah saya beli di Syarikat Muda Osman.
1c.     Telah saya beli buku itu di Syarikat Muda Osman.

Ayat Aktif - Ayat Pasif Biasa - Ayat Pasif Songsang
(KGND Kedua)
Contoh:
2a.     Engkau tidak menjelaskan bil itu.
2b.     Bil itu tidak engkau jelaskan.
2c.     Tidak engkau jelaskan bil itu.

Ayat Aktif - Ayat Pasif Biasa - Ayat Pasif Songsang
(KGND Ketiga)
Contoh:
3a.     Beliau akan menyampaikan piala itu kepada pasukan Harimau Malaya.
3b.     Piala itu akan disampaikan oleh beliau kepada pasukan Harimau Malaya.
3c.     Akan disampaikan oleh beliau piala itu kepada pasukan Harimau Malaya.

Kenal pasti dan betulkan ayat-ayat yang berikut:

Bil.
Salah
Betul
01.
Buku itu saya telah baca kelmarin
02.
Gadis itu saya pernah lihat di pusat beli-belah.
03.
Khemah kalian sudah dirikan.
04.
Tuanku patik baru hadap sebentar tadi.
05.
Pemandangan yang indah itu beta sedang nikmati.
06.
Aku masih sayangi Nadia kerana dia cinta pertamaku.
07.
Mengapakah kamu enggan ikuti program ini?
08.
Awak patut laporkan hal ini kepada pihak polis.
09.
Usul itu kami mungkin kemukakan kepada Perdana Menteri.
10.
Jersi itu engkau belum kembalikan kepada jurulatih.
11.
Kamu akan selesaikan masalah ini.
12.
Kepada beliau kita perlu hadiahkan cenderamata.
13.
Encik mesti sertakan salinan kad pengenalan untuk urusan bank.
14.
Pensyarah itu kami tidak hormati kerana sikapnya yang panas baran.
15.
Nasi makan saya.

     
     Muhammad Norrudin Abdul Aziz, Pelita Bahasa Oktober 2014, Halaman 22 - 25.
     Chai Loon Guan, SMK Methodist, Tg. Malim.
     Terima kasih.



Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya


Sejarah telah mencatatkan bahawa bangsa yang berjaya antara lain dicirikan oleh masyarakatnya yang memiliki budaya literasi. Begitu juga sebaliknya. Sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang mantap. Malah bangsa yang gagal memilikinya akan bergantung kepada bangsa lain yang lebih berilmu. Buktinya kita melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran. Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat maju yang dapat menguasai pelbagai bidang dalam kehidupan mereka dan mencipta sejarah adalah masyarakat yang suka membaca. Disiplin membaca untuk mendapatkan ilmu merupakan suatu kuasa pembebasan daripada belenggu-belenggu kemiskinan dan kejahilan.

Budaya membaca membolehkan pemikiran seseorang itu berkembang dan mempunyai imaginasi yang lebih tinggi untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat berbanding dengan orang yang kurang membaca. Menurut Kenedy (1981) membaca adalah ‘keupayaan seseorang untuk menggarap bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan) yang menghubungkan bentuk intu, atau bunyi makna yang telah diketahui, dan seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsir maksud’.

Amalan membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.

Amalan membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.

Islam sendiri menggalakkan umatnya membaca sehingga terbukti kelahiran ramai tokoh ilmuan yang terunggul seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Haitham, Al-Khindi, Ibnu Biruni dan pelbagai lagi. Kesemua tokoh tersebut memulakan penerokaan mereka daripada bacaan sama ada bacaan lisan mahupun bacaan alam sehingga mereka dapat menghasilkan penemuan baru.

Ketika Barat berada di Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan berkata, ‘Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub khanah yang besar.’ Inilah buktinya bangsa yang suka membaca tercegat menjadi bangsa yang berjaya.

Semua pemimpin negara juga menggalakkan masyarakatnya membaca supaya mereka tidak akan ketinggalan dalam menerima kecanggihan dan kemodenan dunia. Bagi masyarakat Jepun, membaca sudah menjadi tabiat dan amalan mereka kerana daripada budaya membaca mereka dapat meningkatkan taraf hidup dan juga bersaing dengan dunia luar.

Walau bagaimanapun, masyarakat yang menerima perubahan teknologi yang moden dan canggih hari ini telah menjadikan amalan membaca bahan-bahan yang tidak sepatutnya. Budaya ini telah menyebabkan masyarakat terutama golongan remaja menjadi rendah akhlak dan cetek ilmu pengetahuan. Jenis bahan bacaan yang boleh dikategorikan sebagai ‘lucah’ atau tidak sopan ialah yang mengeksploitasikan seks sebagai bahan utama. Bagi sesetengah bahan bacaan ini, memaparkan gambar wanita mendedahkan tubuh badan dan aksi menggoda untuk dijadikan sebagai pelaris jualan. Disebabkan remaja sering disogokkan dengan bahan sedemikian, golongan tersebut mudah terpengaruh sehingga menjadi seronok dan ketagih. Ini akan menyebabkan golongan ini tidak dapat berfikir secara matang dan akan ketinggalan dalam pelbagai aspek.

Sejarah telah mencatatkan bahawa negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Jerman adalah antara negara dan bangsa yang maju kerana masyarakatnya sudah membina budaya literasi. Kerana itu, amat wajar bila negara-negara tersebut maju dalam segala bidang, jauh mengalahkan negara-negara lain. Selain menguasai perekonomian dunia, negara-negara tersebut juga dikenali menguasai bidang teknologi. Geliat kehidupan masyarakatnya juga begitu dinamik, di samping memiliki tingkat kedispilinan yang tinggi. Dalam erti lain, budaya literasi memiliki peranan yang begitu penting dalam membangunkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara.

Dengan membacalah kita menjadi tahu dan faham, sekaligus memperoleh wawasan mahupun pengetahuan baru tentang pelbagai perkara yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan perubahan. Bukti tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara yang hancur lebur dalam Perang Dunia Kedua akibat dibom atom oleh Tentera Sekutu. Jepun kemudiannya berupaya bangkit dan mengutamakan pendidikan bangsanya, dengan mengirim mereka ke negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya membangunkan kembali negaranya dari kehancuran.

Kini, pelbagai teknologi mampu dibuat oleh masyarakat Jepun. Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini menjadi adikuasa di segala bidang, dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan Jepun. Dan kejayaan Jepun menguasai ‘dunia’ tidak lain kerana budaya literasi yang telah disuburkan sejak awal. Tidak mungkin Jepun mampu menghasilkan ramai ilmuwan dengan penemuan-penemuan mutakhirnya dalam berbagai bidang, jika budaya literasi di Negara Matahari Terbit itu tidak terbina. Justeru itu juga di Jepun kita tidak mungkin akan menemui ahli masyarakatnya yang buta huruf. Mereka bahkan dikenali sebagai masyarakat yang suka membaca, walau di mana mereka berada.

Lantaran suka membaca juga, media cetak di sana tumbuh begitu pesat. Bahkan, jumlah pengedaran akhbar-akhbar di Jepun mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia. Menurut Cakram Fokus edisi April 2006, dari 10 akhbar terbesar di dunia, dari urutan satu hingga lima dikuasai pengedaran akhbar-akhbar Jepun. Tempat pertama dipegang oleh akhbar Yomiuri Shimbun dengan jumlah pengedaran 14 juta naskhah sehari. Kedua, akhbar The Asahi Shimbun dengan jumlah pengedaran 12 juta naskhah sehari. Ketiga, akhbar Mainchi Shimbun dengan jumlah pengedaran 5.5 juta naskhah sehari. Keempat, akhbar Nihon Keizai Shimbun dengan jumlah pengedaran 4.6 juta naskhah sehari dan kelima, akhbar Chunichi Shimbun dengan 4.5 juta naskhah sehari.

Di samping itu, umumnya akhbar di Jepun terbit dua kali sehari, pagi dan petang. Jika dikira, dalam sehari, satu orang di Jepun membaca empat akhbar yang berbeza. Bayangkan! Betapa tingginya daya baca orang-orang Jepun. Manakala Singapura yang saiz negaranya jauh lebih kecil dari Malaysia juga memiliki semangat yang sama dengan Jepun. Perekonomian, pendidikan, mahupun budaya membaca masyarakatnya melebihi negara-negara di Asia Tenggara. Dengan jumlah penduduk sekitar 4.5 juta, terdapat tujuh suratkhabar dengan jumlah pengedaran mencapai 1 juta naskhah per hari.

Kendatipun begitu, di negara kita, pada masa ini kita masih bergelut dengan kelembapan budaya membaca di kalangan masyarakat. Seharusnya amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi bagi melahirkan masyarakat yang suka membaca. Untuk membudayakan amalan membaca, semua pihak termasuk kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing khususnya dalam mengaplikasikan ilmu yang telah dibaca dalam kehidupan seharian. Serapkanlah budaya membaca masyarakat Jepun dan Eropah ke dalam masyarakat kita agar kita mampu menjadi bangsa yang berjaya.

Konklusinya, ‘bangsa membaca bangsa berjaya’ adalah sebuah frasa yang jitu. Hakikatnya, pembentukan bangsa yang hebat bermula dengan ilmu serta kefahaman. Menggunakan ungkapan lain ia bermaksud kesemuanya bermula dengan minda cemerlang yang lahir dari budaya membaca. Dalam Al-Jamik li Ahkam Al-Quran, Imam Qartubi meriwayatkan, ‘Imam Sufyan bin Uyainah pernah ditanya tentang kelebihan ilmu dan beliau menjawab, ‘Apakah kamu tidak mendengar kalam Allah (iaitu ayat 19 surah Muhammad) yang bermula dengan; ‘Ketahuilah, sekali gus menunjukkan Allah mahu kita menguasai ilmu terlebih dahulu sebelum beramal? Olahan yang sama Allah s.w.t gunakan dalam surah al-Hadid ayat 20, dan surah al-Anfal ayat 28 dan 41.’ Justeru, membaca yang mampu melahirkan minda cemerlang merupakan pintu gerbang kepada segala kehebatan dan kejayaan.

sumber :

Pidato 'Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya'


Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan pidato. Tajuk pidato anda ialah ‘Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya’
Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.

Bismillahirrahmanirrahim
Seawal Nabi Adam A.S dicipta, saat itulah penerokaan ilmu  bermula. Dengan membaca segala petanda kebesaran Yang Maha Esa, maka terbinalah ketamadunan bangsa yang berjaya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majlis yang  bervisi, kombinasi kehakiman yang berintegriti,  penjaga masa yang setia dengan detik waktu di sisi, seterusnya sidang hadirin yang dikasihi.

Hadirin sekalian,
Sebagai anak muda yang memiliki visi futuris, saya menyahut lamaran berpidato pada hari ini dengan mengusulkan muduk, ‘Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’. Sebelum melewati lebih jauh tutur bicara ini, saya definisikan frasa, Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’ bermaksud, individu daripada sesuatu bangsa yang membaca membawa citra kejayaan bangsanya, dan individu tersebut berjaya memberi impak yang positif kepada diri, keluarga, masyarakat dan nusa tercinta. Hal ini bertepatan dengan definisi membaca oleh Smith dan Johnson (1980:4) menganggap proses membaca sebagai satu proses komunikasi kerana dalam sesebuah perlakuan membaca, berlaku pertukaran idea-idea antara penulis dan pembaca. Dengan kata lain, pertukaran ini membolehkan pembaca mengutip segala input bacaannya untuk melakukan sebarang perubahan dalam kehidupan. Justeru, saya mengajak rakan-rakan dan sidang pendengar sekalian untuk menghayati wacana ini agar kita menjadi sebahagian bangsa yang berjaya dan cemerlang.
Amalan membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Hal ini demikian kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.

Hadirin sekalian,
Hijab pidato ini saya buka menerusi indikator pertama amalan membaca melahirkan bangsa berilmu. Bangsa yang berilmu pastinya membibitkan bangsa yang berjaya. Agama Islam sendiri menggalakkan umatnya membaca sehingga terbukti kelahiran ramai tokoh ilmuan yang terunggul seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Haitham, Al-Khindi, Ibnu Biruni dan pelbagai lagi. Kesemua tokoh tersebut memulakan penerokaan mereka daripada bacaan sama ada bacaan lisan mahupun bacaan alam sehingga mereka dapat menghasilkan penemuan baru. Ketika Barat berada di Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan berkata, ‘Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub khanah yang besar.’ Inilah buktinya bangsa yang suka membaca tercegat menjadi bangsa yang berjaya.

Rakan-rakan pelajar yang dikasihi,
Indikator saya yang kedua ialah amalan membaca melestarikan bangsa berilmu yang maju. Sejarah telah mencatatkan bahawa negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Jerman adalah antara negara dan bangsa yang maju kerana masyarakatnya sudah membina budaya literasi. Oleh sebab itu, amat wajarlah negara-negara tersebut maju dalam segala bidang, jauh mengalahkan negara-negara lain. Selain menguasai perekonomian dunia, negara-negara tersebut juga dikenali menguasai bidang teknologi. Geliat kehidupan masyarakatnya juga begitu dinamik, di samping memiliki tingkat kedispilinan yang tinggi. Dalam erti kata lain, budaya literasi memiliki peranan yang begitu penting dalam membangunkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara. Dengan membacalah kita menjadi tahu dan faham, sekali gus memperoleh wawasan mahupun pengetahuan baru tentang pelbagai perkara yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan perubahan. Bukti tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara yang hancur lebur dalam Perang Dunia Kedua akibat dibom atom oleh Tentera Sekutu pada 6 dan 9 Ogos 1945. Jepun kemudiannya berupaya bangkit dan mengutamakan pendidikan bangsanya, dengan mengirim mereka ke negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya membangunkan kembali negaranya dari kehancuran. Tidak cukupkah semua ini sebagai bukti bahawa bangsa yang membaca akan lahir sebagai bangsa yang berjaya?

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah budaya membaca mendaulatkan bangsa menjadi peneroka pelbagai bidang. Kini, pelbagai teknologi mampu dibuat oleh masyarakat Jepun. Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini menjadi adikuasa di segala bidang, dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan Jepun. Kejayaan Jepun menguasai ‘dunia’ tidak lain kerana budaya literasi yang telah disuburkan sejak awal. Tidak mungkin Jepun mampu menghasilkan ramai ilmuwan dengan penemuan-penemuan mutakhirnya dalam berbagai bidang, jika budaya literasi di Negara Matahari Terbit itu tidak terbina. Justeru, di Jepun kita tidak mungkin akan menemui ahli masyarakatnya yang buta huruf. Mereka bahkan dikenali sebagai masyarakat yang suka membaca, walau di mana-mana mereka berada. Bahkan, jumlah pengedaran akhbar-akhbar di Jepun mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia. Menurut Cakram Fokus edisi April 2006, daripada 10 akhbar terbesar di dunia, dari urutan satu hingga lima dikuasai pengedaran akhbar-akhbar Jepun seperti Yomiuri Shimbun, The Asahi Shimbun dan Mainchi Shimbun. Tempat pertama dipegang oleh akhbar Yomiuri Shimbun dengan jumlah pengedaran 14 juta naskhah sehari.

Indikator saya yang keempat ialah amalan membaca mendaulatkan bangsa. Perang Salib telah menjadi satu lagi bukti bahawa amalan membaca telah berjaya mengangkat martabat bangsa. Hal tersebut  berlaku apabila tentera-tentera Salibiyah yang dipimpin oleh Richard The Lion Heart telah memperoleh inspirasi budaya ilmu dalam tamadun Islam. Banyak kitab ilmu telah dibawa balik dan diterjemah ke bahasa Latin. Akhirnya berkembanglah suatu lagi tamadun yang terbina atas amalan membaca. Begitu juga dengan rakyat Malaysia,  pada era penjajahan dianggap sebagai bangsa bodoh yang boleh dijajah. Namun, atas kesedaran untuk kembali bermaruah, bangsa Malaysia mula celik ilmu untuk berjuang memerdekakan negara. Hasil kesedaran terhadap budaya ilmu dan budaya membaca, kita telah berjaya mencapai kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Kini, setelah hampir 60 tahun kemerdekaan, Malaysia telah muncul sebagai salah sebuah Negara Dunia Ketiga yang cukup pantas  berkembang dan disegani di mata dunia. Demikianlah suatu dimensi  baru dalam budaya membaca untuk meletakkan kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Jelaslah  bahawa, sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang berjaya mengangkat maruah bangsa ialah bangsa yang suka membaca.

Hadirin sekalian,
        Beralih kita kepada hujah saya yang terakhir di bawah lembayung kata bangsa membaca, teknologi terkuasa. Berbalik kepada era moden, amalan membaca telah menjadi penanda aras utama kepada  pencapaian luar biasa beberapa negara kuasa ekonomi dunia khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Kuasa ilmu telah mengangkat negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan untuk terus  bersaing dalam pasaran teknologi moden. Jepun amat dikenali dengan kekuatan membaca rakyatnya yang memang sukar ditandingi oleh kuasa-kuasa besar hatta Amerika Syarikat. Rakyat Jepun dikatakan secara purata mampu membaca 120 buah buku setahun. Sebut sahaja Toyota, Mazda, Mitshubitshi dan Honda membuktikan  bahawa teknologi automobil Jepun terhasil daripada sikap bangsanya yang suka membaca. Manakala dalam persaingan teknologi telefon  pintar, jika rakyat Amerika berbangga dengan jenama Apple, rakyat Korea selatan pula mampu berbangga dengan penghasilan telefon  pintar Samsung yang telah berjaya menawan pasaran dunia. Begitulah  petunjuk hebat hasil penjanaan ilmu kerana amalan membaca, teknologi terkuasa, bangsa berjaya.

Hadirin yang bervisi,
        Sebelum kata mengunci bicara, sebelum langkah mengundur pergi, ingin saya simpulkan pidato saya bahawa asas untuk membawa sebuah negara dan bangsa ke hadapan ialah rakyatnya perlu membudayakan amalan membaca. Sebagai bangsa yang masih  baharu, rakyat Malaysia masih jauh untuk bersaing dengan negara-negara maju, namun jikalau amalan membaca terus diperkasakan, insha-Allah kita juga akan menjadi bangsa yang berjaya.

Sekian terima kasih, srikandi bestari mohon permisi.



********
Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan pidato. Tajuk pidato anda ialah ‘Sukan Mengukuhkan Perpaduan’
Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.





16/10/2018

CERAMAH : DADAH MUSUH NEGARA


Selaku aktivis dalam Agensi  Anti Dadah Kebangsaan (AADK), anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan remaja. Tajuk ceramah anda ialah, “Dadah Musuh Negara : Peranginya Habis-habisan”.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Desa, Yang dihormati ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya para remaja yang dikasihi sekalian.
Peribahasa Melayu selalu menyatakan, ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis. Peribahasa ini menjadi menjadi sumber nasihat agar masyarakat sentiasa berwaspada terhadap sesuatu anasir yang boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif kepada kehidupan. Dadah ialah anasir paling berbahaya dalam masyarakat yang seyogianya kita jauhi malah perlu diperangi habis-habisan.

Hadirin sekalian,
Kita sering mendengar sindiran orang tua-tua, “Jikalau rosak kerana perempuan habis tenaga berhenti, jikalau rosak kerana berjudi habis wang berhenti, dan jikalau rosak kerana mencuri lepas tertangkap berhenti. Sebaliknya, jikalau seseorang itu rosak dengan mengambil dadah, tempat terakhir ialah mati”. Sesungguhnya, atas rasa tanggungjawab tersebutlah saya mengambil amanah ini demi kepentingan masyarakat betapa perlunya kita menyedari bahayanya ancaman dadah terhadap masyarakat. Justeru, saya amat berterima kasih atas keprihatinan semua pihak untuk memerangi gejala najis dadah ini. Dengan hal yang demikian, bersempena dengan peluang yang keemasan ini, saya akan menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk, “Dadah Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Dadah dalam definisi yang mudah ialah sejenis candu. Candu tersebut telah diproses untuk digunakan sebagai sumber pelali dan penahan sakit dalam amalan perubatan pada zaman silam. Walau bagaimanapun, dengan pengaruh teknologi dan kemajuan dalam bidang farmaseutikal pelbagai bentuk dadah dihasilkan. Antaranya adalah untuk perdagangan dalam teknologi ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, akibat penggunaan yang berlebih-lebihan, fungsi dadah sebagai bahan pelali telah disalahgunakan sehingga mengakibatkan gian atau ketagih yang keterlaluan. Akhirnya dadah dalam bentuk morfim, heroin, marijuana, syabu, dan ekstasi telah menjadi sumber khayal yang amat diperlukan oleh penagih tegar. Disebabkan kandungan kafien dan narkotina yang tinggi kandungan dadah yang berlebihan dalam darah telah bertukar menjadi racun dan membahayakan penggunanya.

Remaja yang dikasihi sekalian,
Pada hari ini dadah bukan lagi diambil sebagai sumber untuk melepaskan gian seperti keletihan, menahan sakit atau menjadi ubat penenang tetapi dadah mula menjadi ancaman besar terhadap kesejahteraan hidup manusia. Dadah menjadi pembunuh senyap ibarat api dalam sekam dan membawa ancaman seperti musuh dalam selimut. Setiap penagih tegar akan terus berusaha mendapatkan dadah walaupun dirinya bagaikan bangkai bernyawa. Pengaruh dadah dalam kalangan remaja juga seolah-olah mempunyai tangan ghaib yang mampu menarik remaja dalam sekelip mata untuk berdampingan dengan dadah. Dengan keajaiban itulah kini negara kita sedang berhadapan dengan masalah bangkai bernyawa ini yang sudah meningkat sehingga 800 ribu orang dengan kadar tujuh orang penagih baru dalam setiap hari. Inilah malapetaka dadah yang boleh menghancurkan sesebuah tamadun atau negara.

Hadirin sekalian,
Tanpa menoleh ke belakang semula kita tidak perlu mencari tentang di manakah silapnya sehingga begitu hebat sekali serangan gejala dadah itu? Terlalu banyak puncanya jikalau saya hendak perturunkan satu persatu. Namun apalah gunanya kita mencari segala kesilapan yang lalu kerana usaha tersebut tidak mampu menyelesaikan masalah. Justeru, dalam wacana minda yang sesingkat ini marilah bersama-sama saya, kita menelusuri usaha-usaha yang boleh menyelesaikan masalah ini. Sebagai anggota masyarakat tidak seorang pun yang boleh melihat fenomena dadah sebagai masalah yang terpencil sebaliknya menjadikan tanggungjawab bersama. Mungkin benar pada hari ini ahli keluarga kita tidak terjebak dengan gejala tersebut, tetapi esok atau lusa bukan mustahil.
Sebagai ketua keluarga, suami janganlah pula meletakkan tanggungjawab mengawal anak-anak kepada isteri sahaja. Sebarang kesalahan anak terus dilemparkan kepada isteri. Cara ini adalah tidak adil. Si suami mesti tahu akan had dan kemampuan yang ada pada isteri. Bawalah berbincang dengan isteri dan anak-anak agar mereka sentiasa berasa diri didekati. Kasih sayang merupakan ubat penenang yang paling mujarab untuk mencegah gejala yang terburuk dalam sejarah kebejatan sosial manusia itu. Bak kata orang elok kerja dengan muafakat agar semuanya membawa berkat.

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
Kepada anak-anak remaja, anggaplah diri anda sebagai pahlawan. Anda mampu menepis segala ancaman jahat termasuklah ancaman dadah. Sebagai remaja perkasa, amatlah daif apabila kita sendiri gagal untuk membawa diri kita menentukan antara yang baik dan yang buruk demi kebaikan masa depan sendiri. Bijaksanalah dalam memilih rakan. Rakan bukan sekadar untuk berseronok-seronok tetapi rakan mestilah mampu membimbing kita sama ada dalam keadaan susah atau senang. Ingatlah, rakan ketawa beramai-ramai, rakan menangis seorang diri. Sesungguhnya, negara amat berharap kepada sumbangan anda untuk menjadi tenaga penggerak wawasan. Seandainya anda kecundang, kepada siapakah yang harus diharapkan lagi untuk menguruskan negara ini?
Selain itu, semua agensi keselamatan sama ada pihak polis, RELA, dan pihak berkuasa dalam masyarakat hendaklah menjalin kerjasama bersepadu. Tugas penting kita adalah mengesan musuh dalam selimut yang bersikap telunjuk lurus kelengkeng berkait yang sentiasa menangguk di air keruh. Bedebah seperti ini yang perlu dicekup dahulu dan dibawa ke muka pengadilan. Angkara merekalah yang menyebabkan ratusan ribu anak-anak peria bunga bangsa tersungkur di tengah-tengah medan juang sebelum mereka mengenali identiti diri. Golongan yang telah kaya-raya di atas kemusnahan orang lain tidak boleh dibiar lama berkeliaran dalam masyarakat. Mereka inilah pengedar dan penyebab gejala dadah bertambah rumit untuk diselesaikan.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya yakin, bencana dadah tidak akan lunas sampai bila-bila masa pun. Bahayanya sudah menular ke peringkat global. Namun kita harus tabah dan berusaha secara bijaksana agar gejala yang telah memusnahkan ratusan ribu remaja itu terlerai juga, ibarat orang mementung ular, ular dipentung biar mati, kayu pementung jangan patah, tanah datar jangan pecah. Justeru, ingatlah, “Dadah Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.

Sekian terima kasih.





Catatan : Sumber Tuan Haji Ishak Md Shah [http://ishakmdshah.blogspot.com]

12/10/2018

UCAPAN : PENGHARGAAN KEPADA ALMA METER


"Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu". Sebagai pelajar yang telah berjaya, anda ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekolah dan guru-guru yang mendidik anda.
Tulis teks ucapan untuk melahirkan perasaan anda itu.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Yang saya hormati Puan Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Ambang Sarjana, Tuan Haji Ramli Bin Mohd Zaini, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
Atas limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasihani, saya melafazkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya kepada warga SMK Ambang Sarjana. Kita sangat bertuah dan bersyukur kerana di sekolah inilah tempat kita belajar, bermain, berkawan, bermesra dengan para guru dan seterusnya melakarkan kejayaan.

Hadirin sekalian,
Air jernih genang-genangan,
Alir deras jernih di hulu;
Tempat jatuh lagi dikenang,
Inikan tempat menimba ilmu.

Pantun di atas dengan sesungguhnya, saya dedikasikan untuk para guru dan khususnya untuk SMK Ambang Sarjana yang telah banyak menaburkan budi kepada saya dan saudara saudari. Istimewa pula, pada hari yang bertuah ini, kita diraikan sekali lagi kerana mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Hadirin sekalian,
Sebelum menelusuri lebih jauh, saya terlebih dahulu mengambil peluang untuk mengimbau semula sejarah lima tahun yang silam ketika saya dan rakan-rakan mendaftarkan diri di sekolah ini. Sebagai pelajar baru, kita seolah-olah lembu masuk kampung semasa pertama kali melepasi pintu pagar sekolah. Pelbagai perasaan berbaur dalam benak fikiran tentang alam persekolahan menengah yang bakal kita tempuhi. Perasaan gerun, seronok, dan cemas bertukar ganti mengusik emosi. Maklumlah, pada waktu itu kita dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang lebih senior dan ada dalam kalangan mereka yang bertubuh gempal dan sasa. Malahan perkara yang lebih rumit lagi, sesama kita pun belum kenal antara satu sama lain. Namun begitu, semua perasaan tersebut tidak lama berada di dalam minda apabila para guru yang cukup berdedikasi dan penyayang telah membimbing kita. Atas keramahan dan manis muka para guru dan rakan-rakan senior, kita meniti hari-hari berlalu tanpa disedari. Natijahnya, sekarang kita telah menjadi sebahagian daripada insan bertuah yang diraikan oleh pihak sekolah atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lalu.

Para pendidik yang dihormati sekalian,
Alhamdulillah, tiada kalimah seindah madah untuk saya lafazkan atas kejayaan meraih keputusan paling cemerlang yang saya peroleh. Memang benar, rajin dan usaha tangga kejayaan. Namun apa-apapun, kejayaan meraih 9 1A yang terpampang di hadapan mata bukanlah perkara gampang. Sebaliknya, tanpa usaha dan komitmen yang cukup dedikasi daripada para pendidik dan pengurusan sekolah, kejayaan yang berada dalam tangan saya dan rakan-rakan adalah suatu misi yang mustahil. Kami cukup yakin, setitis liur basah yang terpercik daripada lidah seorang pendidik adalah sumber yang menjadi mutiara ilmu. Terima kasih cikgu! Sesungguhnya, jasamu akan kami kenangi bak seluas lautan yang tidak bertepian.

Rakan-rakan sekalian,
Selama lima tahun kita menimba ilmu di sini, bukan perihal akademik sahaja yang menjadi agenda pihak sekolah, malahan pembinaan sahsiah dan jati diri turut dirancang. Kita dididik menjadi insan serba boleh dalam bidang kurikulum, kokurikulum, pemantapan rohani serta bermotivasi. Pelbagai program kecemerlangan sama ada yang berunsurkan akademik mahupun kokurikulum telah berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang hebat dan cemerlang. Betapa tidak, sekolah ini adalah antara yang tersohor dalam kalangan institusi menengah di negeri ini. Kita cemerlang dalam setiap peperiksaan awam, kita hebat dalam beberapa acara sukan serta kita amat digeruni dalam beberapa pertandingan koakademik seperti pidato, koir, dan persembahan kebudayaan. Pendek kata, kita telah membuktikan kemampuan untuk menjadi insan yang seimbang. Sesungguhnya, semua kejayaan tersebut tidak lain dan tidak bukan kerana guru-guru yang amat dedikasi yang berada di hadapan kita.

Hadirin sekalian,
Bercakap bagi pihak diri saya sendiri, perasaan gembira, terharu dan bangga masih belum mampu saya lahirkan sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Tanpa dibatasi oleh apa-apa sempadan, saya menganggap guru-guru sebagai ibu dan ayah kepada saya. Mereka menyuluhi saya sinar hari depan yang meyakinkan. Mereka amat penyayang dan mereka amat prihatin. Saya percaya walaupun setinggi langit tangan menyapu awan, saya tidak mampu menoleh pandang melainkan SMK Ambang Sarjana tetap di hati dan pasti kekal abadi mencipta sejarah. Izinkan saya mengambil segala inspirasi yang tuan-tuan dan puan-puan telah ilhamkan sepanjang mendidik saya. Saya bertekad untuk membalas budi anda dengan membawa balik kejayaan yang lebih cemerlang. Saya berjanji, demi anak nusa yang terdidik sempurna di sini, tidak sama sekali-kali berlaku kacang melupakan kulit sebaliknya tidak jauh seluang melaut balik juga ke muara. Insya-Allah,

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
Diri kita ibarat setinggi-tinggi terbang bangau hinggap semula di belakang kerbau. Janganlah terjadi, daun melayang jauh perdu dilupakan. Pada kesempatan ini, saya menyeru rakan-rakan yang bersama-sama mencipta kecemerlangan di sini agar menyimpan iltizam untuk kembali kepada ibu kandung bagi menabur khidmat dan bakti. Ayuh, masa kita di sini sudah tamat dan kita buka episod baru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Yang penting kepada kita, jangan sekali-kali kita pergi sehingga melupakan tempat jatuh bangun di sini kerana, "tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu". Selepas mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi sentiasalah kembali menjenguk sekolah yang telah mencipta sejarah cemerlang kita. Ingatlah pesan peribahasa, daun boleh melayang jauh, tetapi getah tetap mengalir ke perdu.

Hadirin sekalian,
Berat hati dan longlai langkah untuk saya pergi meninggalkan sekolah ini. Lipatan sejarah yang telah ternukil sepanjang dididik di sini terus menjadi usikan kenangan. Insya-Allah selagi hayat dikandung badan, budi para pendidik tetap dikenang bak budi setahun segunung intan. Saya berdoa semoga Allah mencurahkan rahmat dan keberkatan kepada tuan-­tuan dan puan-puan agar terus berdedikasi dalam mendidik anak-anak nusa. Izini kami pergi, dengan saya abadikan serangkap pantun,

Burung terbang melintas sempadan,
Terbang menuju muara segara;
Biar jauh berbilang lautan,
Sebutir katamu menjadi mutiara.

Sekian terima kasih.






Catatan : Sumber Tuan Haji Ishak Md Shah [http://ishakmdshah.blogspot.com]

29/09/2018

LATIH TUBI 3 - PT3 2018


Arahan : Jawab semua soalan dalam Bahagian A, Bahagian B, Bahagian C dan satu soalan Bahagian D.

BAHAGIAN A

[25 markah]
1
Dalam setiap ayat di bawah ini, terdapat satu kesalahan bahasa. Gariskan kesalahan bahasa tersebut dan tulis jawapan yang betul pada ruang jawapan yang disediakan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.


i.
Pihak kerajaan akan mengadakan kempen membasmi kemiskinan dari semasa ke masa.
___________________________________________________________________

ii
Ibu menghadiahi seutas jam tangan kepada ayah sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
_______________________________________________________________

iii
Murid-murid yang ponteng sekolah suka menghabiskan masa di pusat snuker dan di siber kafe.
_____________________________________________________________________

iv
Novel yang amat seram sekali itu ayah baca di ruang tamu.
____________________________________________________________________
[8 markah]

2
Dalam petikan dialog di bawah terdapat tiga kesalahan ejaan. Kenal pasti kesalahan-kesalahan tersebut dan tulis ejaan yang betul pada ruang jawapan yang disediakan. Anda tidak perlu menyalin petikan dialog itu semula.


Ainal
:
Kegiatan yang membabitkan golongan remaja pada masa ini seperti vandaisma tidak boleh dibiarkan kerana boleh menjejaskan nama baik negara kita.

Hafiz
:
Saya sangat bersetuju dengan pendapat kamu. Saya menganggap mereka ini sebagai golongan anti sosial yang boleh menjatuhkan nama baik negara kita.

Ainal
:
Saya juga bersetuju. Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa dan orang ramai berusaha membenteras gejala ini supaya tidak terus berleluasa.



[3 markah]

i
________________________________________________

ii
_________________________________________________

iii
_________________________________________________




3
Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif.

i.
Adik bongsu saya cuba memanjat bangku yang panjang itu.
________________________________________________________________
ii
Kamu hendaklah mengepos surat permohonan jawatan itu.
________________________________________________________________
iii
Murid-murid perlu menyusun meja dan kerusi sebelum pulang ke rumah.
________________________________________________________________

iv
Menteri Besar Kedah telah merasmikan hotel lima bintang yang baru siap itu.
________________________________________________________________

v
Pengawas perpustakaan sedang menyusun buku yang berserakan itu di atas rak.
________________________________________________________________
[10 markah]

3           Lihat gambar bersiri di bawah dengan teliti. Berdasarkan gambar bersiri tersebut, tulis satu peribahasa yang sesuai.


Gambar 1





Gambar 2




5
Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Loceng rehat kedengaran. Beluntung terus berlari mendapatkan Tuyoq. Beluntung membayangkan jika Bawod ada, tentulah Tuyoq tidak kesunyian. Bawod boleh makan bersama-sama. Akan tetapi Bawod tidak boleh menyeberangi sungai. Bawod takut akan air. Bawod memang takut akan air. Perjalanan ke sekolah terpaksa melintasi enam batang sungai. Dua daripadanya lebih kurang enam depa lebarnya dan yang lain-lain tidak begitu lebar tetapi agak dalam. Bawod takut akan air, takut akan hujan. Mana boleh menyeberangi sungai? Air sungai sejuk.
    Ketika Beluntung masuk ke kelasnya, rakan-rakan sekelas berbisik-bisik sebelum mencuri-curi pandang kepada Beluntung. Murid-murid menekup hidung sebaikbaik sahaja Beluntung lalu di hadapan mereka.
“Bau kerbau.”
     Entah siapa yang menjerit. Akan tetapi Beluntung diam sahaja. Tidak lama kemudian gurunya muncul. Beluntung berdiri dan bertanya, “Kenapa kerbau suka makan garam?”
     “Hish … asyik tanya saja,” bisik budak gemuk dan pendek di sebelah Beluntung. Apabila dia memandang, budak itu cepat-cepat menunjukkan penumbuk dan bersedia untuk bertumbuk.
     Beluntung diam sahaja. Buat apa bertumbuk, fikir Beluntung. Kalau mahu lawan, lawanlah siapa dapat markah tinggi? Siapa dapat nombor satu dalam kelas? Kenapa orang benci aku? tanyanya dalam hati. Orang bilang aku bau kerbau. Memanglah, tapi apa boleh buat. Kalau aku tidak naik kerbau, aku tidak boleh datang ke sekolah. Jalan berlumpur. Hanya kerbau sahaja yang boleh berjalan pantas meredah lumpur.
Dipetik daripada Bawod, antologi Bintang Hati Tingkatan 3,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

i.
Nyatakan dua sebab Beluntung datang ke sekolah dengan Tuyoq?
[3 markah]
___________________________________________________________________________________________________________________

ii
Nyatakan dua persoalan yang terdapat dalam petikan cerpen tersebut.
[3 markah]
_________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________


iii

Setiap murid mengimpikan untuk menjadi seorang murid yang berjaya.
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh seseorang murid yang mahu mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik?
[3 markah]
__________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________




Soalan 6
Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.





(i)            Nyatakan dua pesanan ibu seperti yang dijelaskan dalam sajak ini.   [3 markah]
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
(ii)          Nyatakan dua pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas.    [3 markah]
_________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
(iii)         Pesanan ibu mestilah dipatuhi oleh setiap anak.
Pada pendapat anda, apakah perkara-perkara lain yang perlu dilakukan oleh seorang anak untuk membahagiakan ibunya?                      [4 markah]
_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________