30/10/2017

Peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat

Setiap ahli keluarga bertanggungjawab mengurangkan pengambilan makanan segera, makan secara berlebihan serta tidak meluangkan masa untuk aktiviti bersenam ke arah melahirkan gaya hidup sihat.  
Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.

Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu.  Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor  untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka  mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi  lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak  agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama,  selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa  juga seyogia mendidik  ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka  sekali gus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak  atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa  mengamalkan cara  berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta  mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.
Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa  pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa  itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga  kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit  itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

27/10/2017

PENULISAN 8 : LAPORAN MINGGU BAHASA

Pertandingan Menulis Esei dan Cerpen, Pertandingan Bahas Ala Parlimen, Deklamasi Puisi, dan Pementasan Drama Komsas antara aktiviti yang dijalankan sempena Minggu Bahasa di sekolah anda. Sebagai Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu tersebut, anda telah ditugaskan untuk menyediakan laporan tentang Aktiviti Minggu Bahasa yang telah dijalankan.
Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Aktiviti Minggu Bahasa Melayu 2017

Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria, Sungkai telah menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai salah satu daripada aktiviti tahunannya dari 13 hingga 17 Mac 2017 yang lalu. Pelbagai aktiviti seperti persembahan dan pertandingan telah dijalankan selama lima hari tersebut. Puan Noor Hayani bt Yahaya selaku Penyelaras Persatuan Bahasa Melayu bersama dengan guru-guru penasihat yang lain telah merangka pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang minggu Bahasa Melayu ini berlangsung. Majlis Perasmian Minggu Bahasa Melayu telah dijalankan dengan begitu meriah sekali pada 13 Mac 2017. Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang dalam ucapan perasmian beliau telah memuji usaha yang dijalankan oleh Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria kerana telah mengambil langkah proaktif menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai satu usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Pada hari tersebut juga telah diadakan persembahan syair oleh dua orang pelajar tingkatan lima iaitu Nurul Najwa binti Ali dan Mohd Shauki bin Aflin. Mereka mendendangkan syair yang telah dipilih sebagai johan Pertandingan Menulis Syair sempena Hari Kokurikulum 2016. Syair tersebut bertajuk Martabatkan Bahasa Melayu dan merupakan hasil tinta Anis Kartini binti Azman, pelajar Tingkatan 5. Selain dendangan syair, majlis perasmian juga diserikan oleh persembahan mendeklamasikan sajak oleh tiga orang pelajar berbilang kaum iaitu Nurul Sofea Husin, Preethi a/p Jayaseelan dan Jackiee Loke Jun Kit. Mereka berpadu suara mendendangkan sajak yang bertajuk Bahasa nukilan penulis terkenal Abdul Rahman Shaari dan Dirgahayu Bahasaku buah tangan Ahmad Sarju. Sajak yang didendangkan begitu harmoni dan memaparkan betapa perlunya kita menggunakan bahasa dengan betul kerana bahasa mempunyai kepentingan yang tersendiri sebagai medium untuk berkomunikasi.
Pada 14 Mac 2017, Pertandingan Menulis Esei dan Cerpen kategori menengah rendah dan menengah atas telah dijalankan. Tema penulisan cerpen dan esei tersebut ialah Bahasa Jiwa Bangsa. Hakim bagi pertandingan ini ialah Encik Saleh bin Shukur, Cik Petimah Ibrahim dan Puan Siti Shafiena Ayub. Sebanyak 30 orang peserta mengambil bahagian dalam kategori masing-masing. Penilaian adalah berdasarkan isi, bahasa dan pengolahan. Tiga orang pemenang bagi setiap kategori telah dipilih berdasarkan esei dan cerpen masing-masing. Anis Sophia Zulkafli telah dipilih sebagai johan kategori menengah rendah dengan eseinya “Langkah-langkah Memartabatkan Bahasa Melayu” dan Fatin Adila Suraya binti Mohd Kamil pula muncul sebagai johan kategori menengah atas. Tajuk esei beliau ialah “Bahasa Melayu Bahasa Ilmu”.  Manakala Pertandingan Menulis Cerpen pula dimenangi oleh Muhammad Ammar bin Azman bagi kategori menengah rendah dan kategori menengah atas dimenangi oleh Nurul Najwa Mohd Ali. Pertandingan seperti ini dapat mencungkil bakat para pelajar dalam bidang penulisan di samping melatih mereka menghasilkan karangan yang baik sebagai persiapan menghadapi peperiksaan. Selain itu, karya-karya yang terpilih akan dimuatkan dalam majalah sekolah untuk tatapan warga SMK Taman Satria.
Pada 15 Mac 2017 iaitu hari ketiga Minggu Bahasa Melayu dilancarkan, Pertandingan Bahas Ala Parlimen telah dijalankan. Pertandingan yang dijalankan secara kalah mati ini telah disertai oleh lapan buah pasukan. Sebanyak empat pertandingan telah dijalankan pada pusingan awal dan empat pasukan telah layak ke peringkat separuh akhir. Setelah tamat pusingan separuh akhir, pasukan Hang Jebat dan Hang Tuah telah berjaya mara ke peringkat akhir yang dijalankan pada 17 Mac 2017. Dalam pertandingan akhir ini, pasukan Hang Jebat sebagai pasukan pembangkang telah dinobatkan sebagai pemenang dengan menewaskan pasukan kerajaan yang diwakili oleh pasukan Hang Tuah. Pertandingan bahas sememangnya boleh dijadikan sarana bagi para pelajar untuk mengasah bakat berhujah di samping melahirkan idea yang mantap kerana para pelajar perlu menghujahkan idea-idea bagi mematahkan hujah pihak lawan.
Pertandingan Kuiz Bahasa Melayu dan Kuiz Sastera Melayu telah dijalankan pada hari keempat bertarikh 16 Mac 2017. Pertandingan yang terbuka penyertaannya telah mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada para pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Pertandingan ini telah dijalankan di Dewan Seri Kenanga secara bertulis dan diawasi oleh enam orang Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu. Sebanyak 30 soalan objektif Tatabahasa dan 30 soalan struktur Sastera Melayu telah dikemukakan dalam kuiz tersebut yang memperuntukkan masa selama satu jam. Pertandingan ini diadakan bertujuan menguji pengetahuan pelajar dalam tatabahasa Bahasa Melayu dan aspek-aspek Sastera Melayu seperti gaya bahasa, teknik penceritaan, persoalan dan lain-lain lagi yang biasanya disoal dalam peperiksaan bagi kertas bahasa Melayu. Pihak penganjur amat berharap agar aktiviti begini dapat membantu para pelajar menambahkan ilmu pengetahuan di samping mewujudkan semangat bersaing demi mencapai kegemilangan. Setelah keputusan pertandingan diumumkan, kemenangan berpihak kepada kumpulan Mawar yang terdiri daripada tiga orang ahli kumpulan.
Seterusnya, pada 17 Mac 2017, Majlis Penutupan Rasmi Minggu Bahasa Melayu telah diadakan. Pada tarikh ini, Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria berasa begitu berbesar hati kerana Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Perak telah sudi merasmikan majlis penutupan ini. Hati setiap ahli Persatuan Bahasa Melayu berbunga riang mendengar pujian daripada Tuan Pengarah dalam Ucapan Perasmian Penutupan beliau. Beliau telah melahirkan harapan agar program-program sebegitu diteruskan pada setiap tahun kerana banyak manfaat yang diperoleh oleh para pelajar. Beliau juga berharap agar aktiviti begini diteladani dan diikuti oleh persatuan-persatuan lain di sekolah ini. Selepas ucapan berakhir, persembahan nyanyian lagu-lagu  tradisional dan moden telah dipersembahkan oleh Persatuan Budaya SMK Taman Satria. Tamat sahaja persembahan nyanyian, upacara penyampaian hadiah dijalankan. Sekali lagi, Tuan Pengarah telah sudi tampil ke atas pentas untuk menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dengan diiringi oleh Tuan Pengetua. Para pemenang telah menerima trofi, sijil dan wang tunai. Diharapkan hadiah yang diterima menjadi penyuntik semangat kepada para pelajar untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Selepas penyampaian hadiah, cenderamata kenang-kenangan telah disampaikan oleh Tuan Pengetua kepada  Pengarah Pelajaran Negeri Perak sebagai penghargaan kepada beliau yang sanggup meluangkan masa beliau yang begitu berharga untuk hadir ke majlis ini.
Pada keseluruhannya, Minggu Bahasa Melayu 2017 telah dapat dijalankan dengan jayanya hasil paduan tenaga para guru penasihat dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu. Aktiviti ini yang dijalankan selama lima hari berturut-turut telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan iaitu menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti bahasa demi mempertingkatkan kemahiran berbahasa selaras dengan cogan kata, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Semoga Minggu Bahasa Melayu dapat diteruskan pada setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik.

Laporan disediakan oleh                                                   20 MAC 2017
            Kavitha              a
Kavitha Kaur a/p Manjeet Singh
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu
SMK Taman Satria, Sungkai.


26/10/2017

LAPORAN SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN 2017

Sekolah anda telah mengadakan aktiviti Sepanjang Bulan Kemerdekaan bagi melahirkan semangat cinta akan tanah air kepada para pelajar. Sehubungan dengan itu, anda ditugaskan untuk menyediakan satu laporan lengkap tentang Sambutan Bulan Kemerdekaan yang telah dianjurkan untuk dimuatkan dalam ruangan majalah sekolah. Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Bulan Kemerdekaan
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak

Sepanjang bulan Ogos 2017, Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai, telah mengadakan Sambutan Bulan Kemerdekaan. Program tersebut diadakan bertujuan mencetus dan menanamkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan pelajar. Hal ini ditegaskan oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, ketika merasmikan majlis yang bersejarah itu pada 10 Ogos 2017 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai. Tuan pengetua juga mengharapkan aktiviti yang dijalankan dapat meningkatkan jati diri, menanamkan rasa keinsafan dan perasaan bersyukur dalam kalangan pelajar. Mereka sewajarnya menghargai pengorbanan para pejuang tanah air yang berjuang dengan serba kekurangan, tanpa senjata moden, tanpa alat komunikasi canggih dan tanpa kekayaan harta benda. Mereka hanya memiliki tulang empat kerat untuk menggalas perjuangan bak kata pepatah tiada rotan, akar pun berguna.
Upacara perasmian, Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang. Apabila tirai pentas dibuka, kumpulan koir Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, telah bersedia untuk menyanyikan lagu "Bahtera Merdeka" dan "Tanggal 31". Mereka menyanyi dengan penuh semangat. Setelah tamat persembahan koir, pementasan drama patriotik yang bertajuk "Peristiwa Bukit Kepong" nukilan Puan Hasliza Manap seorang guru Sejarah sekolah ini telah dipentaskan. Drama ini mengisahkan tentang serangan pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang terkenal dalam sejarah Malaysia. Persembahan drama yang bertemakan berpantang mati sebelum ajal begitu menyentuh jiwa dan perasaan guru-guru dan para pelajar.
Selain itu, pihak sekolah juga menjemput seorang tokoh akademik, iaitu Dr. Amira Azman untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Perjuangan Pemimpin Menuntut Kemerdekaan dan Implikasinya terhadap Negara". Kehadiran Dr. Amira Azman ibarat sirih pulang ke gagang kerana beliau merupakan bekas murid sekolah ini. Dalam ceramahnya, beliau mengupas senario perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Dato' Maharajalela dan sebagainya. Bagi Dr. Amira, pejuang-pejuang kemerdekaan tersebut umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Beliau menasihatkan para pelajar supaya berusaha gigih dalam pelajaran demi menjadi manusia yang berguna dan menguasai ilmu pengetahuan bagi mengisi kemerdekaan negara. Beliau juga menasihatkan para pelajar supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.
Pada 12 Ogos 2017, Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotik telah mengisi atur cara sambutan. Pertandingan tersebut melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 5. Peserta yang mengambil bahagian ternyata amat bersemangat sewaktu mendeklamasikan sajak mereka. Bakat peserta yang mengambil bahagian tidak kurang hebatnya. Mereka telah menyampai­kan sajak dengan pelbagai gaya dan kreativiti. Pelajar-pelajar yang tidak mengambil bahagian dalam pertandingan deklamasi sajak diminta menyiapkan biografi tentang tokoh-­tokoh kemerdekaan. Mereka dimestikan mendapat maklumat tentang tokoh-tokoh tersebut dengan melayari Internet. Biografi yang telah dihasilkan oleh para pelajar akan dipertanding­kan. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah.
Pihak sekolah juga pada 15 dan 16 Ogos 2017 telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah di Muar, Johor. Antara tempat yang dilawati ialah Balai Polis Bukit Kepong, Makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja Pagoh dan Hutan Lipur Gunung Ledang. Lawatan ini bertujuan mendedahkan para pelajar untuk melihat kesan dan bukti sejarah yang terdapat di kawasan sendiri. Balai Polis Bukit Kepong merupakan sebuah balai polis yang pernah melalui detik hitam dalam sejarah negara, iaitu peristiwa pertempuran pasukan polis dengan pengganas komunis. Manakala Makam Sultan Alauddin Riayat Syah merupakan makam salah seorang sultan dalam Kesultanan Melayu Melaka. Gunung Ledang pula merupakan satu tempat yang mempunyai kaitan yang rapat dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka apabila Sultan Mahmud ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang pada suatu ketika dahulu.
Sebagai acara kemuncak, pada 30 Ogos 2017, telah diadakan Majlis Perarakan dan Mengibarkan Jalur Gemilang Peringkat Sekolah. Majlis yang dimulai pada pukul 8.00 pagi itu mendapat sambutan di luar dugaan daripada kalangan warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa  dan Guru. Setiap individu yang terlibat diberi Jalur Gemilang bersaiz kecil untuk dikibarkan semasa perarakan. Para pelajar membawa sepanduk yang ditulis dengan kata-kata semangat seperti "Cintai dan Sayangi Malaysia", dan "Malaysia, Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" mengikut kreativiti pelajar. Majlis perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari dataran perhimpunan dan berakhir di tempat yang sama. Setelah tamat acara perarakan, program pada pagi tersebut diteruskan dengan ucapan penutupan program oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai. Dalam ucapannya beliau menyatakan perasaan gembira dan amat berpuas hati dengan perjalanan Sambutan Bulan Kemerdekaan pada kali ini. Beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis yang amat bermakna terutama kepada para pelajar. Selepas itu, Tuan Pengetua menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak dan Pertandingan Menulis Biografi Tokoh Kemerdekaan. Majlis yang penuh warna­-warni dan bersejarah itu melabuhkan tirainya tepat pukul 11.30 pagi dengan nyanyian lagu "Negaraku".

Laporan disediakan,                                             10 SEPTEMBER 2017
    
(NUR NAJWA MOHD ALI)
Tingkatan 5 al-Ghazali,
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai. 

25/10/2017

RUMUSAN : KELEBIHAN MAKAN BERSAMA-SAMA KELUARGA

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan makan bersama-sama dengan keluarga dan halangan untuk mengamalkannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Budaya makan bersama-sama dengan keluarga kini semakin kurang diamalkan. Meluangkan masa makan bersama-sama dengan keluarga sekurang-kurangnya sekali sehari memberikan kesan besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak-anak. Malangnya, anak-anak zaman sekarang makan tanpa mengikut waktu makan yang sepatutnya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amat sukar untuk mencari masa makan bersama, terutamanya pada waktu siang namun kita boleh berkumpul sekeluarga pada waktu makan malam.
Ketika makan bersama, ibu bapa dapat menunjukkan tabiat pemakanan yang baik supaya boleh menjadi teladan atau ikutan anak-anak. Hal ini termasuklah makan sayur, buah-buahan dan banyak minum air kosong. Kalau diperhatikan, adab ketika di meja makan kini semakin hilang, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Anak-anak lebih gemar menikmati makanan ketika menonton televisyen. Jika menjamu selera di meja makan, ada anak-anak yang tergesa-gesa menghabiskan makanan kerana mahu menonton rancangan kegemaran ataupun bermain permainan komputer. Ketika inilah ibu bapa boleh menetapkan disiplin atau adab di meja makan. Adab-adab berkenaan, termasuklah mengajar anak-anak menyediakan hidangan, membasuh pinggan mangkuk, makan secara beradab, serta melatih mereka mengemas meja selepas makan.
Waktu makan ialah masa yang berkualiti, tenang dan menyeronokkan. Ketika makan, ibu bapa boleh berinteraksi dengan anak-anak. Antara topik yang boleh dibincangkan ialah peristiwa menarik di sekolah, perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak-anak atau rakan-rakan rapat mereka. Secara tidak langsung, ibu bapa juga dapat mengesan pergerakan harian anak-anak, terutamanya yang sudah masuk usia remaja. Kajian juga menunjukkan lebih kerap keluarga makan bersama, lebih rendahlah kemungkinan anak-anak untuk terbabit dalam gejala sosial seperti merokok, mengambil minuman keras, penyalahgunaan dadah, dan pergaulan bebas.
Ada kalanya anak-anak mempunyai pandangan negatif terhadap ibu bapa. Oleh yang demikian, ibu bapa boleh menjadikan masa makan sebagai masa yang terbaik untuk memuji anak-anak. Mereka boleh berterima kasih kepada perlakuan baik atau kerajinan mereka dalam membantu keluarga dan belajar. Perbincangan ketika masa makan juga dapat melatih anak-anak berfikir dan bertutur kerana perbualan panjang antara ibu bapa dengan anak-anak pasti berlaku. Tamsilnya, anak-anak dapat belajar perkataan baharu yang diperoleh ketika perbualan di meja makan. Selain itu, keakraban hubungan antara anggota keluarga akan terjalin. Keakraban hubungan ini memberikan kesan besar kepada kehidupan anak-anak dan akan mempengaruhi tabiat makan mereka. Tegasnya, makan bersama-sama dengan keluarga perlu menjadi amalan dalam masyarakat kita. Amalan ini mampu membentuk adab sopan anak-anak demi menjadikan mereka anggota masyarakat yang berhemah.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Amalan Makan Bersama’, Harian Metro, 21 Mac 2012)
Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)   Berikan maksud rangkai kata kesejahteraan minda.                                  [2 markah]
(ii)   Apakah tabiat buruk yang diamalkan oleh anak-anak ketika makan?                  [3 markah]
(iii)  Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk menggalakkan amalan makan bersama-sama dengan keluarga?                                                                       [4 markah]

SKEMA LATIHAN RUMUSAN 2
Soalan 1 : 
Pendahuluan:
markah
Petikan membincangkan kebaikan/ kepentingan/ faedah/ manfaat/ kemaslahatan/kesan positif makan bersama-sama dengan keluarga dalam kalangan masyarakat. 
2
Rumusan membincangkan kebaikan/ kepentingan/ faedah/ manfaat/ kemaslahatan/kesan positif makan bersama-sama dengan keluarga dan halangan untuk mengamalkannya
2


Isi tersurat [4 hingga 12 markah]
Kelebihan makan bersama-sama dengan keluarga: 

S1
Dapat menunjukkan tabiat pemakanan yang baik. 
2
S2
Ibu bapa boleh menetapkan disiplin atau peraturan di meja makan. 
2
S3
Boleh berinteraksi dengan anak-anak. 
2
S4
Dapat mengesan pergerakan harian anak-anak. 
2
S5
Kemungkinan anak-anak untuk berbabit dalam gejala sosial rendah rendah. 
2
S6
Boleh menjadikan masa makan sebagai masa yang terbaik untuk memuji anak-anak. 
2
S7
Dapat melatih anak-anak berfikir dan bertutur. 
2
S8
Keakraban hubungan antara anggota keluarga akan terjalin. 
2
S9
Mampu membentuk adab sopan anak-anak. 
2

Isi Tersirat [4 hingga 12 markah]
Halangan untuk mengamalkannya: 

T1
Ibu bapa sibuk dengan kerjaya / aktiviti masing-masing. 
2
T2
Amalan ini tidak menjadi budaya dalam keluarga. 
2
T3
Kurangnya usaha ibu bapa untuk mengamalkannya. 
2
T4
Kurangnya kesedaran tentang kepentingan makan bersama dalam kalangan masyarakat. 
2
T5
Anak-anak sibuk dengan aktiviti sekolah / tuisyen. 
2
T6
Tarikan makanan segera / terdapat banyak pilihan makanan di luar. 
2
T7
Ruang makan di rumah tidak kondusif / sesuai / selesa. 
2



Kesimpulan/Penutup: 

Ibu bapa haruslah membudayakan amalan makan bersama-sama dengan keluarga supaya dapat membentuk keluarga bahagia.
2
Ibu bapa haruslah membudayakan amalan makan bersama-sama dengan keluarga
1

Soalan 2(a) : Petikan Umum
i)     Maksud rangkai kata kesejahteraan minda ialah:
• ketenangan / ketenteraman pemikiran/fikiran/akal - 2 markah
• ketenangan /ketenteraman minda - 1 markah
• kesejahteraan pemikiran/fikiran/akal - 1 markah
[Maksimum: 2 markah]

ii)     Tabiat buruk yang diamalkan ketika makan:
• makan tanpa mengikut waktu makan yang sepatutnya.
• gemar menikmati makanan ketika menonton televisyen.
• makan tergesa-gesa.
[Maksimum: 3 markah]

iii)    Langkah-langkah untuk mengalakkan amalan makan bersama-sama dengan keluarga:
• kempen galakan makan bersama-sama dengan keluarga.
• media massa menguar-uarkan kebaikan amalan makan bersama-sama dengan keluarga.
• ibu bapa menetapkan waktu makan bersama-sama dengan keluarga.
• melatih/mengasuh anak anak-anak makan bersama-sama sejak kecil.
• menyediakan makanan kesukaan/kegemaran keluarga.






23/10/2017

Faedah Kerja Amal @ Sukarela

Maslahat Kerja Amal


KARANGAN MODEL  2        
Pada era langit terbuka ini, Malaysia kian gah di persada dunia.  Saban hari kita diperdengarkan dengan pembangunan mapan baik dari segi fisikal mahupun dari segi struktur pentadbirannya seperti transformasi dalam bidang pentadbiran kerajaan. Wawasan 2020 juga semakin hampir juga semakin hampir dan hal ini menampakkan suatu hari nanti kita mampu seiring dengan negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan lain-lain selaras dengan peribahasa berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Dalam hal ini, pembangunan insan juga tidak dikesampingkan, malah negara kita terkenal dengan rakyatnya yang prihatin, suka membantu, penyayang dan ramah mesra. Sikap ini menunjukkan kita berpegang kepada prinsip Budi Bahasa Budaya Kita. Berlandaskan slogan ini, mereka rela menghulurkan bantuan dengan kudrat yang ada untuk menghulurkan bantuan kepada insan malang yang ditimpa musibah. Slogan seperti hulurkan tangan, ringankan beban itulah antara yang menyebabkan timbul rasa insaf untuk melibatkan diri dalam kerja amal. Oleh hal yang demikian, lahirlah persatuan-persatuan seperti MERCY Malaysia, Rakyat Prihatin, Aqsa Sarif dan lain-lain lagi untuk menyahut seruan menyumbangkan bantuan kepada golongan yang memerlukan pertolongan. Apakah sebenarnya maslahat yang  kita peroleh  di sebalik kerja amal yang dilaksanakan dengan hati yang penuh ikhlas ini?
     Tak kenal maka tak cinta, inilah yang tercetus di atma setiap yang terlibat dalam kerja amal kerana hubungan kita dengan golongan yang dibantu pasti akan terjalin erat melalui kerja amal yang dilakukan. Situasi harmoni dan ceria pasti akan terjelma lantaran berlaku interaksi antara satu sama lain yang seterusnya mencetuskan hubungan sama ada secara glokal atau global. Situasi dua hala ini pasti akan memecahkan tembok penghalang yang selama ini menjadi  penghalang  untuk kita mengenali mereka yang dibantu sama ada kerana kekangan tugas atau sikap tidak prihatin dan tidak ambil berat antara satu sama lain. Saat kita berkomunikasi dengan banyak orang daripada pelbagai strata sosial dalam masyarakat sambil melaksanakan aktiviti kerja amal, kita dapat menyelami perasaan mereka dan paling penting mengenali masyarakat sekeliling dengan lebih akrab. Kita akan masuk ke dunia kehidupan orang lain dan menyelami  perkara yang tersirat dalam kehidupan mereka. Pada akhirnya, kita tidak lagi hidup dalam dunia katak bawah tempurung, sebaliknya meneroka dan mengenali kehidupan orang lain.  Tamsilnya, bantuan yang kita hulurkan  melalui kerja amal  seperti di rumah anak yatim atau orang-orang tua membolehkan kita mengenali golongan yang tidak bernasib baik ini. Situasi ini secara tidak langsung telah memupuk nilai murni dalam diri yang menjadi elemen utama ke arah melahirkan insan berhati nurani mulia, bersifat pemurah, empati, prihatin dengan kesengsaraan insan kurang bernasib baik.  Justeru, pembentukan masyarakat penyayang yang saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit dan taraf sosial dalam masyarakat dapat dijana. Mudah-mudahan kelangsungan yang terbentuk daripada aktiviti kerja amal yang dijadikan budaya dalam masyarakat akan melahirkan sebuah negara bangsa yang rakyatnya mempunyai akal budi dan jati diri  yang teguh sekeras besi thursani.
   Rentetan daripada itu, aktiviti kerja amal juga mampu menjadikan kita insan yang lebih matang, sentiasa bersyukur dan berfikiran rasional. Mungkin kita akan lebih mengenali diri dan latar belakang hidup mereka, seterusnya mengambil iktibar daripada kisah hidup mereka. Selanjutnya, kita akan berusaha menginsafi kekhilafan dan berusaha membaiki diri agar menjadi insan yang kamil. Dalam konteks yang lebih luas, Malaysia telah  menghantar sekumpulan sukarelawan untuk membantu penduduk Gaza di Bumi Palestine dengan memberikan bantuan kewangan, perubatan, makanan dan bantuan moral serta spiritual kepada golongan mustadaafin ini yang menderita akibat cengkaman rejim zionis. Semangat  yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dalam menyokong perjuangan mereka dan bantuan yang diberikan diharap dapat menaikkan semangat penduduk Islam di Gaza untuk terus berjihad memperjuangkan hak mereka. Secara tidak langsung, sekiranya kita terlibat dengan aktiviti kerja amal sebegini, pergaulan kita dengan mereka akan memberikan kita sudut pandang yang sangat berbeza tentang konsep keamanan dan kemakmuran. Jika di Malaysia, bumi kita yang tercinta, tumpah darah yang berpanjangan jarang-jarang benar berlaku selepas negara bersih daripada ancaman pengganas komunis sekitar tahun 70-an, namun kita dapat melihat kesan pertumpahan darah  akibat sengketa berpanjangan  di bumi anbia tersebut. Rasa syukur ke hadrat Ilahi dan rasa cinta akan negara akan lebih bersemarak dalam hati sanubari kita impak sama ada menyaksikan sendiri atau mendekati kehidupan mereka melalui  media natijah kerja amal yang kita sertai. Tuntasnya, kerja amal mampu membentuk kita menjadi insan yang lebih bersyukur dan menghargai  segala yang kita miliki hari ini seperti kata mutiara pujangga ‘hargailah apa yang kamu miliki hari ini sebelum kamu terpaksa melepaskan atau kehilangannya’
     Dasawarsa ini, sering terpampang berita tentang kebejatan akhlak masyarakat di dada akhbar dan media lain. Saban hari gejala negatif  kian menular dan situasi ini mencemaskan pemimpin dan masyarakat kita. Situasi yang mencetuskan kebimbangan ini akan sirna sekiranya semua anggota masyarakat tanpa mengira kedudukan dan usia mencurahkan bakti dalam kerja amal yang dianjurkan. Hal ini demikian kerana  apabila diri kita sentiasa terikat dengan amal kebajikan dan mencurahkan jasa terhadap masyarakat yang kurang berkemampuan, pasti diri tidak mudah terdorong untuk melakukan onar yang mendorong kepada amalan mazmumah. Individu tersebut mampu mengawal diri daripada terikut-ikut untuk memenuhi nafsu serakah. Bukan setakat itu sahaja, seseorang yang terlibat dalam kerja amal akan sentiasa rela untuk melaksanakan obligasi sosial iaitu ke arah menolong insan yang memerlukan tenaga tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran. Apabila individu tersebut dengan rela hati mencurahkan bakti, mereka sudah tentu akan memastikan nilai positif ataupun amalan mahmudah sentiasa menjadi amalan mereka. Amalan lepak, menghisap dadah, peras ugut, lumba haram dan lagi-lagi sudah pasti akan dapat dielakkan kerana masa senggang mereka sentiasa diisi dengan kerja-kerja amal. Tambahan pula dengan menyaksikan sendiri kedaifan dan kesengsaraan orang lain mendorong mereka yang terlibat dengan kerja amal ini untuk sentiasa berada dalam keadaan insaf dan berhati-hati dalam setiap perjalanan hidup agar tidak tersasar daripada landasan yang benar iaitu menjadi insan kamil yang sentiasa memegang amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Izharnyalorong kehidupan yang menyumbang kepada kebobrokan masyarakat dan kehancuran kemakmuran negara tidak akan menjadi laluan pilihan golongan yang terlibat dengan kerja-kerja amal ini.
     Bertitik tolak daripada penglibatan kita dalam kerja-kerja amal ini, kita telah menyumbang kepada pelestarian warisan budaya masyarakat Melayu. Hakikatnya, amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan oleh generasi terdahulu iaitu para leluhur kita. Seyogianya amalan ini diteruskan dalam kehidupan hari ini biarpun kehidupan hari ini menuntut terlalu banyak keperluan material. Ibarat peribahasa tak lekang dek panas tak lapuk dek hujankelangsungan melibatkan diri  dalam kerja-kerja amal ini mesti diteruskan agar sentiasa relevan dan seterusnya sebati dengan generasi alaf baharu ini. Tepuk dada, tanyalah selera, berapa ramaikah remaja yang sanggup meninggalkan keseronokan  dan keselesaan menikmati hidup alam remaja untuk terlibat dalam kerja-kerja  amal yang bukan sahaja menjadi warisan budaya bangsa, malah dituntut oleh agama. Nabi Muhammad S.A.W bersabda ‘tidak sempurna iman seseorang antara kamu jika kamu tidak mengasihi saudaramu seperti dirimu sendiri’ yang memberikan penekanan tentang peri pentingnya kita mengasihi dan membantu saudara semuslim khususnya saat mereka memerlukan bantuan. Begitu juga dengan hadis nabi ‘tangan yang menghulur di atas itu lebih baik daripada tangan yang menerima di bawah’ menunjukkan martabat insan yang sering membantu orang lain dianggap mulia di sisi agama. Tuntasnya, dengan melibatkan diri dengan kerja-kerja amal kita bukan sahaja dapat membantu melestarikan warisan budaya masyarakat Melayu malah turut menyumbang dalam melaksanakan syariat agama bagi yang beragama Islam.    
Akhirulkalam____________,_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Arahan kepada pelajar.
1.     Baca soalan dan buat analisis kehendak soalan
2.     Baca wacana dan senaraikan isi-isi penting secara ringkas

Masukkan perkataan dan ungkapan menarik berikut dalam perenggan kesimpulan anda.
1.    Menggembleng
2.    turun padang
3.    Siap siaga
4.    cakna
5.    Kemaslahatan
6.    ‘setiap kebaikan yang kita lakukan akan pasti ada imbuhannya di sisi Tuhan’
7.    Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.


22/10/2017

Faedah Menyertai Pertubuhan Sukarela

Pertubuhan sukarela bermaksud badan atau organisasi yang ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja sukarela tanpa mengharapkan bayaran atau keuntungan. Kerja-kerja sukarela adalah seperti membantu membantu mangsa banjir, menjaga kawasan kejiranan dan membantu golongan kurang upaya atau pesakit. Pertubuhan sukarela yang terdapat di negara kita adalah seperti Sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam [JPAM], Bulan Sabit Merah Malaysia [BSSM], MERCY Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA). Terdapat banyak faedah yang diperoleh oleh individu yang menyertai pertubuhan sukarela.

      Faedah menyertai pertubuhan sukarela ialah seseorang itu dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat. Sebagai contoh, seseorang itu dapat mengisi masa lapang dengan melakukan kerja-kerja membantu mangsa banjir di pusat pemindahan banjir pada masa cuti dengan cara menyertai Sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam [JPAM] atau Bulan Sabit Merah Malaysia [BSSM]. Dengan berbuat demikian, sudah pastilah individu tersebut dapat mengelakkan diri daripada melakukanperkara-perkara negatif seperti melepak di pusat beli-belah atau terlibat dalam kegiatan lumba haram. Oleh itu, nyatalah bahawa penyertaan dalam pertubuhan sukarela dapat mengisi masa sengggang kerana masa itu emas.
      Selain itu, kita juga dapat menambahkan pengetahuan dengan menyertai pertubuhan sukarela. Sebagai contoh, individu yang menyertai JPAM atau BSSM dapat menambahkan pengetahuan tentang teknik menyelamat mangsa dan ilmu pertolongan cemas. Pengetahuan tersebut dipelajari oleh sukarelawan yang menyertai pertubuhan JPAM dan BSSM semasa mereka mengikuti latihan asas sebelum menjalankan kerja-kerja sukarela. Pengetahuan ini dapat menjadi bekalan kepada mereka untuk menghadapi kehidupan pada masa depan. Oleh itu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa penyertaan dalam pertubuhan sukarela ini dapat menjadi batu loncatan kepada seseorang individu untuk memperoleh pengetahuan baharu dalam hidup mereka.
      Penyertaan dalam pertubuhan sukarela juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari seseorang. Nilai-nilai murni ini dapat dipupuk kerana kerja-kerja sukarela dilakukan tanpa mengharapkan balasan dari segi kewangan. Tambahan pula, kerja-kerja yang dilakukan oleh sukarelawan dalam pertubuhan seperti MERCY Malaysia dan JPAM tidak mengira masa. Sebagai contoh, sukarelawan yang bertugas di pusat-pusat bantuan bencana seperti pusat pemindahan banjir terpaksa bersengkang mata mereka untuk bertugas pada waktu tengah malam. Dengan ini, nyatalah bahawa penglibatan seseorang individu dalam pertubuhan sukarela dapat menjadi platform untuk memupuk nilai-nilai murni seperti baik hati, keikhlasan dan semangat bermasyarakat.

      Pendek kata, sunguh banyak faedah yang diperoleh sekiranya seseorang itu menyertai pertubuhan sukarela. Oleh itu rakyat Malaysia, khususnya golongan muda perlu melibatkan diri dalam pertubuhan sukarela agar mereka dapat menimba pengalaman dan pengetahuan daripada penyertaan dalam pertubuhan tersebut. Dengan penyertaan yang aktif itu, diharapkan rakyat Malaysia yang memiliki nilai murni yang mulia akan dapat dilahirkan dalam usaha mewujudkan masyarakat penyayang.

*  JPAM kini dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia