23/10/2017

Faedah Kerja Amal @ Sukarela

Maslahat Kerja Amal


KARANGAN MODEL  2        
Pada era langit terbuka ini, Malaysia kian gah di persada dunia.  Saban hari kita diperdengarkan dengan pembangunan mapan baik dari segi fisikal mahupun dari segi struktur pentadbirannya seperti transformasi dalam bidang pentadbiran kerajaan. Wawasan 2020 juga semakin hampir juga semakin hampir dan hal ini menampakkan suatu hari nanti kita mampu seiring dengan negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan lain-lain selaras dengan peribahasa berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Dalam hal ini, pembangunan insan juga tidak dikesampingkan, malah negara kita terkenal dengan rakyatnya yang prihatin, suka membantu, penyayang dan ramah mesra. Sikap ini menunjukkan kita berpegang kepada prinsip Budi Bahasa Budaya Kita. Berlandaskan slogan ini, mereka rela menghulurkan bantuan dengan kudrat yang ada untuk menghulurkan bantuan kepada insan malang yang ditimpa musibah. Slogan seperti hulurkan tangan, ringankan beban itulah antara yang menyebabkan timbul rasa insaf untuk melibatkan diri dalam kerja amal. Oleh hal yang demikian, lahirlah persatuan-persatuan seperti MERCY Malaysia, Rakyat Prihatin, Aqsa Sarif dan lain-lain lagi untuk menyahut seruan menyumbangkan bantuan kepada golongan yang memerlukan pertolongan. Apakah sebenarnya maslahat yang  kita peroleh  di sebalik kerja amal yang dilaksanakan dengan hati yang penuh ikhlas ini?
     Tak kenal maka tak cinta, inilah yang tercetus di atma setiap yang terlibat dalam kerja amal kerana hubungan kita dengan golongan yang dibantu pasti akan terjalin erat melalui kerja amal yang dilakukan. Situasi harmoni dan ceria pasti akan terjelma lantaran berlaku interaksi antara satu sama lain yang seterusnya mencetuskan hubungan sama ada secara glokal atau global. Situasi dua hala ini pasti akan memecahkan tembok penghalang yang selama ini menjadi  penghalang  untuk kita mengenali mereka yang dibantu sama ada kerana kekangan tugas atau sikap tidak prihatin dan tidak ambil berat antara satu sama lain. Saat kita berkomunikasi dengan banyak orang daripada pelbagai strata sosial dalam masyarakat sambil melaksanakan aktiviti kerja amal, kita dapat menyelami perasaan mereka dan paling penting mengenali masyarakat sekeliling dengan lebih akrab. Kita akan masuk ke dunia kehidupan orang lain dan menyelami  perkara yang tersirat dalam kehidupan mereka. Pada akhirnya, kita tidak lagi hidup dalam dunia katak bawah tempurung, sebaliknya meneroka dan mengenali kehidupan orang lain.  Tamsilnya, bantuan yang kita hulurkan  melalui kerja amal  seperti di rumah anak yatim atau orang-orang tua membolehkan kita mengenali golongan yang tidak bernasib baik ini. Situasi ini secara tidak langsung telah memupuk nilai murni dalam diri yang menjadi elemen utama ke arah melahirkan insan berhati nurani mulia, bersifat pemurah, empati, prihatin dengan kesengsaraan insan kurang bernasib baik.  Justeru, pembentukan masyarakat penyayang yang saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit dan taraf sosial dalam masyarakat dapat dijana. Mudah-mudahan kelangsungan yang terbentuk daripada aktiviti kerja amal yang dijadikan budaya dalam masyarakat akan melahirkan sebuah negara bangsa yang rakyatnya mempunyai akal budi dan jati diri  yang teguh sekeras besi thursani.
   Rentetan daripada itu, aktiviti kerja amal juga mampu menjadikan kita insan yang lebih matang, sentiasa bersyukur dan berfikiran rasional. Mungkin kita akan lebih mengenali diri dan latar belakang hidup mereka, seterusnya mengambil iktibar daripada kisah hidup mereka. Selanjutnya, kita akan berusaha menginsafi kekhilafan dan berusaha membaiki diri agar menjadi insan yang kamil. Dalam konteks yang lebih luas, Malaysia telah  menghantar sekumpulan sukarelawan untuk membantu penduduk Gaza di Bumi Palestine dengan memberikan bantuan kewangan, perubatan, makanan dan bantuan moral serta spiritual kepada golongan mustadaafin ini yang menderita akibat cengkaman rejim zionis. Semangat  yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dalam menyokong perjuangan mereka dan bantuan yang diberikan diharap dapat menaikkan semangat penduduk Islam di Gaza untuk terus berjihad memperjuangkan hak mereka. Secara tidak langsung, sekiranya kita terlibat dengan aktiviti kerja amal sebegini, pergaulan kita dengan mereka akan memberikan kita sudut pandang yang sangat berbeza tentang konsep keamanan dan kemakmuran. Jika di Malaysia, bumi kita yang tercinta, tumpah darah yang berpanjangan jarang-jarang benar berlaku selepas negara bersih daripada ancaman pengganas komunis sekitar tahun 70-an, namun kita dapat melihat kesan pertumpahan darah  akibat sengketa berpanjangan  di bumi anbia tersebut. Rasa syukur ke hadrat Ilahi dan rasa cinta akan negara akan lebih bersemarak dalam hati sanubari kita impak sama ada menyaksikan sendiri atau mendekati kehidupan mereka melalui  media natijah kerja amal yang kita sertai. Tuntasnya, kerja amal mampu membentuk kita menjadi insan yang lebih bersyukur dan menghargai  segala yang kita miliki hari ini seperti kata mutiara pujangga ‘hargailah apa yang kamu miliki hari ini sebelum kamu terpaksa melepaskan atau kehilangannya’
     Dasawarsa ini, sering terpampang berita tentang kebejatan akhlak masyarakat di dada akhbar dan media lain. Saban hari gejala negatif  kian menular dan situasi ini mencemaskan pemimpin dan masyarakat kita. Situasi yang mencetuskan kebimbangan ini akan sirna sekiranya semua anggota masyarakat tanpa mengira kedudukan dan usia mencurahkan bakti dalam kerja amal yang dianjurkan. Hal ini demikian kerana  apabila diri kita sentiasa terikat dengan amal kebajikan dan mencurahkan jasa terhadap masyarakat yang kurang berkemampuan, pasti diri tidak mudah terdorong untuk melakukan onar yang mendorong kepada amalan mazmumah. Individu tersebut mampu mengawal diri daripada terikut-ikut untuk memenuhi nafsu serakah. Bukan setakat itu sahaja, seseorang yang terlibat dalam kerja amal akan sentiasa rela untuk melaksanakan obligasi sosial iaitu ke arah menolong insan yang memerlukan tenaga tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran. Apabila individu tersebut dengan rela hati mencurahkan bakti, mereka sudah tentu akan memastikan nilai positif ataupun amalan mahmudah sentiasa menjadi amalan mereka. Amalan lepak, menghisap dadah, peras ugut, lumba haram dan lagi-lagi sudah pasti akan dapat dielakkan kerana masa senggang mereka sentiasa diisi dengan kerja-kerja amal. Tambahan pula dengan menyaksikan sendiri kedaifan dan kesengsaraan orang lain mendorong mereka yang terlibat dengan kerja amal ini untuk sentiasa berada dalam keadaan insaf dan berhati-hati dalam setiap perjalanan hidup agar tidak tersasar daripada landasan yang benar iaitu menjadi insan kamil yang sentiasa memegang amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Izharnyalorong kehidupan yang menyumbang kepada kebobrokan masyarakat dan kehancuran kemakmuran negara tidak akan menjadi laluan pilihan golongan yang terlibat dengan kerja-kerja amal ini.
     Bertitik tolak daripada penglibatan kita dalam kerja-kerja amal ini, kita telah menyumbang kepada pelestarian warisan budaya masyarakat Melayu. Hakikatnya, amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan oleh generasi terdahulu iaitu para leluhur kita. Seyogianya amalan ini diteruskan dalam kehidupan hari ini biarpun kehidupan hari ini menuntut terlalu banyak keperluan material. Ibarat peribahasa tak lekang dek panas tak lapuk dek hujankelangsungan melibatkan diri  dalam kerja-kerja amal ini mesti diteruskan agar sentiasa relevan dan seterusnya sebati dengan generasi alaf baharu ini. Tepuk dada, tanyalah selera, berapa ramaikah remaja yang sanggup meninggalkan keseronokan  dan keselesaan menikmati hidup alam remaja untuk terlibat dalam kerja-kerja  amal yang bukan sahaja menjadi warisan budaya bangsa, malah dituntut oleh agama. Nabi Muhammad S.A.W bersabda ‘tidak sempurna iman seseorang antara kamu jika kamu tidak mengasihi saudaramu seperti dirimu sendiri’ yang memberikan penekanan tentang peri pentingnya kita mengasihi dan membantu saudara semuslim khususnya saat mereka memerlukan bantuan. Begitu juga dengan hadis nabi ‘tangan yang menghulur di atas itu lebih baik daripada tangan yang menerima di bawah’ menunjukkan martabat insan yang sering membantu orang lain dianggap mulia di sisi agama. Tuntasnya, dengan melibatkan diri dengan kerja-kerja amal kita bukan sahaja dapat membantu melestarikan warisan budaya masyarakat Melayu malah turut menyumbang dalam melaksanakan syariat agama bagi yang beragama Islam.    
Akhirulkalam____________,_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Arahan kepada pelajar.
1.     Baca soalan dan buat analisis kehendak soalan
2.     Baca wacana dan senaraikan isi-isi penting secara ringkas

Masukkan perkataan dan ungkapan menarik berikut dalam perenggan kesimpulan anda.
1.    Menggembleng
2.    turun padang
3.    Siap siaga
4.    cakna
5.    Kemaslahatan
6.    ‘setiap kebaikan yang kita lakukan akan pasti ada imbuhannya di sisi Tuhan’
7.    Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.


No comments: