Sunday, 25 October 2015

FAKTA : INDUSTRI PELANCONGAN KESIHATAN DI MALAYSIA


Pelancongan kesihatan dimaksudkan apabila seorang individu atau pesakit yang melancong ke negara lain untuk mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kesihatan.  Perkhidmatan tersebut biasanya mrangkumi prosedur-prosedur elektif dan juga prosedur-prosedur kompleks dan pakar seperti pembedahan kardiak, pembedahan pergigian, dan pembedahan kosmetik.

Perkhidmatan–perkhidmatan lain seperti rawatan psikiatri, perubatan alternatif, dan juga perkhidmatan pengebumian boleh didapati di luar negara.

Sehingga kini, terdapat 50 buah negara yang telah mengenal pasti industri pelancongan kesihatan sebagai satu industri nasional. Walau  bagaimanapun pengakreditan dan cara penilaian kualiti perkhidmatan terhadap perkhidmatan yang diberikan adalah berbeza  menyebabkan pelancongan kesihatan ini suatu perkara yang kontroversi.
Malaysia dan Industri Pelancongan Kesihatan

Menurut Association of Private Hospitals Malaysia, pada tahun 2006, pendapatan negara daripada industri pelancongan kesihatan adalah sebanyak RM 203.66 juta  (USD 59 million)

Kadar pelancong ke Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan telah meningkat sebanyak 25.3% dari tahun 1998 ke tahun 2008 (International Medical Travel Journal).

Kerajaan telah mengenal pasti industri ini sebagai satu industri yang akan banyak menyumbang kepada pendapatan negara dan sedang berusaha giat dalam memajukan Malaysia sebagai pusat  untuk industri pelancongan kesihatan di peringat serantau.

Sejajar dengan itu, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Promosi Pelancongan Kesihatan di Malaysia (The National Committee for the Promotion of Heath Tourism in Malaysia) untuk menjalankan kerja-kerja promosi.  Ahli-ahli lain dalam jawatankuasa ini adalah, “Malaysian Industrial Development Authority, the Malaysian Association of Tour and Travel Agencies, Malaysian Airlines System, the Primary Care Doctors’ Organisation of Malaysia,”  dan hospital- hospital tertier yang lain.

Pelancongan kesihatan di Malaysia terbahagi kepada dua kategori iaitu pelancongan perubatan dan program kesihatan. Seseorang pesakit boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di  mana-mana hospital yang dikenali di peringkat antarabangsa dan tinggal di Malaysia sehingga sembuh atau mereka boleh melancong ke Malaysia untuk mengunjungi hospital-hospital untuk melihat infrastruktur yang disediakan dan yang sesuai bagi mereka sebelum menjalani perubatan.

Faktor yang menyebabkan Malaysia dipilih sebagai destinasi pelancongan kesihatan

Dua faktor penting yang menyebabkan Malaysia menjadi pilihan untuk pelancongan perubatan adalah disebabkan oleh kos perubatan yang kompetitif dan rendah serta kemudahan infrastruktur yang canggih dan moden. Sebagai contoh, pembedahan jantung di Malaysia adalah dalam lingkungan RM 18000 ke RM 21000 berbanding di Amerika Syarikat yang bernilai RM 60000.

Malaysia menawarkan harga yang lebih murah dan kompetitif jika dibandingkan dengan kos perubatan di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah dan di serantau Asia.
Perbandingan kos perubatan di Malaysia dengan Negara- Negara lain.
Sumber : International Medical Tourism website

Menurut satu kajian oleh firma industri Frost & Sullivan dalam International Medical Travel Journal , pelancong perubatan memberikan perhatian terhadap tiga perkara yang penting apabila memilih destinasi untuk mendapatkan rawatan iaitu, doktor dan jururawat yang diakreditasi, kemudahan mengakses ke hospital tersebut dan kemudahan penginapan. Malaysia mempunyai kelebihan terhadap ketiga-tiga faktor tersebut. Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kestabilan politik yang merupakan satu lagi kelebihan kepada Malaysia.

Krisis ekonomi yang dialami telah menyebabkan kos perubatan di negara-negara Barat meningkat dan menyebabkan ramai yang memilih untuk menjalani perubatan di negara- negara Asia yang menawarkan rawatan dan infrastruktur canggih.

Di sesetengah negara pula, pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan negara tersebut mempunyai pilihan yang terhad yang menyukarkan pesakit menyebabkan mereka memilih Malaysia sebagai desinasi mereka untuk mendapatkan rawatan.

Di Malaysia, Pulau Pinang sedang menjadi pusat utama bagi sektor ini, diikuti oleh Langkawi.

Pelancongan perubatan mempunyai pelbagai kebaikan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa risiko dan isu etika yang perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Sesetengah pesakit tidak mempunyai imuniti semula jadi terhadap persekitaran di negara-negara lain. Sebagai contoh, seorang pesakit dari  negara Eropah atau Amerika Syarikat, kadangkala tidak mempunyai imuniti terhadap keadaan tropika seperti di Malaysia. Hal ini mungkin akan menyebabkan pesakit tersebut menjadi lebih lemah dan boleh hadapi komplikasi.

Pesakit yang telah selamat menjalani pembedahan dan ingin pulang ke negaranya boleh menyebabkan peningkatan risiko komplikasi. Ini kerana, perjalanan yang jauh dalam kapal tebang menyebabkan pesakit itu tidak bergerak untuk masa yang lain dan dalam keadaan duduk. Perkara  ini boleh menyebabakan  pembekuan darah pada urat kaki (venous thrombus & pulmonary thrombus).

Bagi sestengah pesakit pula, mereka tidak sepatutnya terdedah kepada cahaya matahari untuk jangka masa tertentu selepas pembedahan. Maka, perjalanan balik ke negara mereka tidak menjamin situasi ini.

Bagi sesetengah pesakit, insurans perubatan mereka mungkin tidak merangkumi ganti rugi bagi kesilapan, kesalahan atau sebarang situasi negatif yang disebabkan oleh pembedahan yang berlaku di luar negara dan bukan negara asal pesakit tersebut.  Oleh itu, keadaan ini boleh menyukarkan lagi pesakit tersebut. Pesakit tersebut juga mungkin tidak dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor atau hospital tersebut.

Isu-isu etika


Isu etika ini harus dilihat bukan sahaja dari sudut Malaysia, malah di seluruh dunia. Industri pelancongan perubatan ini akan menyebabkan sesetengah pihak yang tamak dan mementingkan keuntungan untuk menjalankan operasi ini secara haram iaitu mereka menjual organ dan tisu badan manusia kepada negara lain seperti yang telah berlaku di negara India dan China pada tahun 2007.

Contoh isu yang berlaku di Thailand  ialah, doktor-doktor di negara tersebut lebih menumpukan perhatian terhadap hospital swasta yang pembedahan ini membawa banyak keuntungan dan rakyat biasa dan miskin di hospital kerajaan tidak mempunyai doktor yang cukup untuk merawat pesakit.

Di Malaysia, sehingga pada akhir tahun 2008 (Frost & Sullivan, International Medical Travel Journal) terdapat 144 hospital kerajaan dan 224 hospital swasta di Malaysia. Perkara ini harus diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Tidak dinafikan bahawa kerajaan sedang berusaha giat dalam mempromosikan industri ini, tetapi mereka harus memastikan bahawa terdapat doktor yang bertauliah mencukupi di hospital kerajaan bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan perubatan dan keutamaan harus diberikan kepada mereka. Keseimbangan antara perkhidmatan hospital kerajaan dan hospital swasta harus dikekalkan di samping dalam memajukan industri ini.

Standard dan Akreditasi 

Standard memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu produk dan perkhidmatan adalah selamat dan berkualiti. In termasuk juga standard perkhidmatan perubatan. Di Amerika Syarikat, kumpulan akdreditasi yang paling terkenal adalah Joint Commission International (JCI). Mereka  mengakreditasi dan memeriksa infrastruktur kesihatan bukan sahaja di Amerika tetapi juga di luar negara.

Malaysia mempunyai badan standard kebangsaan iaitu Jabatan Standard Malaysia dan badan bukan kerajaan iaitu Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) yang menjalankan kerja-kerja pengakreditasian untuk hospital-hospital untuk memastikan standard-standard tertentu dipatuhi. Standard ISO 9002 biasanya digunakan untuk mengakreditasi hospital-hospital di Malaysia.

Terdapat beberapa hospital di Malaysia yang menggunakan standard antarabangsa negara lain contohnya dari Britain, Amerika Syarikat dan Australia. Hospital di Malaysia seperti International Specialist Eye Centre, Penang Adventist Hospital, dan Prince Court Medical Centre telah diakreditasi oleh Joint Commission International (JCI).

Menurut bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Chua Jui Meng, sehingga tahun 2000, masih terdapat banyak hospital yang masih belum mendapatkan akreditasi ISO 9002 dan menyeru mereka supaya mendapatkan akreditasi tersebut.

Untuk memastikan industri pelancongan kesihatan lebih maju, adalah penting hospital-hospital tersebut untuk mematuhi standard Malaysia dan standard-standard antarabangsa, Ini kerana, standard antarabangsa akan dapat memberikan satu keyakinan kepada para pesakit dan doktor-doktor di luar negara terhadap hospital di Malaysia. Pengakreditasian akan memberikan satu imej bahawa doktor-doktor tersebut adalah bertauliah, serta staf-staf sokongan lain seperti juruteknik makmal, jururawat dan sebagainya adalah daripada golongan yang terlatih dan dapat memberikan perkhidmatan yang selamat, berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Cara ini juga akan dapat memastikan pesakit mendapat perkhidmatan perubatan dan rawatan yang sempurna.

SUMBER : http://www.konsumerkini.net.my/  tanpa edit

MAKLUMAT LAIN : http://tomorrowiscertain.blogspot.my/ 

Wednesday, 7 October 2015

SPM : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa 3/2015

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa (Sintaksis)


Berdasarkan ayat-ayat di bawah, bina ayat tanya dengan menggunakan kata tanya yang betul. Kata
tanya yang digunakan hendaklah bersesuaian dengan perkataan atau rangkai kata yang bergaris.
i.           Jam tangan Syakirah berharga RM500.00
ii.          Pasu-pasu bunga ros itu telah disusun di tepi pagar.
iii.         Para petani membajak sawah menggunakan mesin bajak.
iv.         Kemalangan itu berlaku ketika Alias pulang dari sekolah.
v.          Pemandu lori itu ditahan kerana memandu secara berbahaya.
vi.         Fatimah merupakan murid cemerlang SMK Satria pada tahun 2015.
vii.        Tenaga hidro ialah sumber tenaga yang paling meluas penggunaannya.
viii.       Operasi pembenihan awan dijalankan hampir setiap hari semasa negara dilanda jerebu.
ix.         Kita perlu menghormati guru kerana merekalah yang mendidik kita menjadi insan yang berguna.
x.          Kemerdekaan negara kita diperoleh melalui perundingan meja bulat.
Jawaban
i.           Berapakah harga jam tangan Syakirah?
ii.          Di manakah pasu-pasu bunga ros itu telah disusun?
iii.         Apakah jentera yang digunakan oleh para petani untuk membajak sawah?
iv.         Bilakah kemalangan itu berlaku?
v.          Mengapakah pemandu lori itu ditahan?
vi.         Siapakah murid cemerlang SMK Satria pada tahun 2015?
vii.        Apakah sumber tenaga yang paling meluas penggunaannya?
viii.       Bilakah operasi pembenihan awan dijalankan semasa negara dilanda jerebu?
ix.         Mengapakah kita perlu menghormati guru?
x.          Bagaimanakah kemerdekaan negara kita diperoleh?

Tuesday, 6 October 2015

SPM : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa 2/2015

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa (Sintaksis)

Kenal pasti jenis-jenis ayat berikut.  Tentukan sama ada ayat tersebut ayat penyataayat tanyaayat seruan atau ayat perintah.
     i.          Humairah dan Shafiqah mewakili sekolah dalam pertandingan forum remaja.
    ii.          Siapakah yang telah membuang air di sini?
   iii.          “Jangan melintasi bangunan tersebut kerana peperiksaan sedang dijalankan,” kata Cik Petimah kepada semua anak muridnya.
   iv.          Wah,  cantiknya awak hari ini!  Pasti ada lelaki yang akan terpikat nanti.
    v.          Rumah banglo itu milik Encik Ihsan.
   vi.          “Sila keluar dari bilik ini sekarang juga.”  Kata Azua kepada pekerjanya.
Jawaban
i.           Ayat penyata
ii.          Ayat tanya
iii.         Ayat perintah
iv.         Ayat seruan
v.          Ayat penyata
vi.         Ayat perintah

Kenal pasti jenis-jenis ayat berikut.  Tentukan sama ada ayat tersebut ayat penyataayat tanyaayat seruan atau ayat perintah.
      i.        Siapakah yang memecahkan papan kenyataan itu?
     ii.        Program Bina Insan mampu melahirkan remaja yang berakhlak mulia.
    iii.        Dilarang merokok di dalam kawasan sekolah ini.
    iv.        Pelbagai peluang melanjutkan pelajaran disediakan kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.
     v.        Syabas, anda telah berjaya dalam ujian memandu!
    vi.        “Tuan-tuan dijemput ke Kafeteria Suasana untuk jamuan ringan,”  kata tuan pengerusi majlis.
 [6 markah]
Jawaban
i.           Ayat  tanya
ii.          Ayat  penyata
iii.         Ayat perintah
iv.         Ayat penyata
v.          Ayat seruan
vi.         Ayat perintah

Kenal pasti jenis-jenis ayat berikut.  Tentukan sama ada ayat tersebut ayat penyataayat tanyaayat seruan atau ayat perintah.
      i.        Kedai kain itu mula menjalankan perniagaan sejak seminggu yang lalu.
     ii.        Sudahkah awak menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh Cikgu Sofea?
    iii.        Norliza baru sahaja melapor diri untuk bertugas di sekolah ini tadi.
    iv.        Wah, baju awak kelihatan sungguh putih dan bersih.
     v.        Usahlah memuji saya berlebih-lebihan.
    vi.        Syabas, teruskan usaha murni awak!
Jawaban
i.       Ayat penyata
ii.       Ayat tanya
iii.      Ayat penyata
iv.      Ayat seruan
v.       Ayat perintah

vi.      Ayat seruan


Monday, 5 October 2015

SPM : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa 1/2015

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa (Sintaksis)


Berdasarkan ayat-ayat di bawah, bina ayat tanya dengan menggunakan kata tanya yang betul. Kata
tanya yang digunakan hendaklah bersesuaian dengan perkataan atau rangkai kata yang bergaris.

      i.        Mereka memancing ikan pagi tadi.
     ii.        Encik Rosly bendahari PIBG di sekolah itu.
    iii.        Murid itu dipuji kerana rajin membaca buku.
    iv.        Pameran robotik itu akan diadakan di Arena Square, Teluk Intan.
     v.        Jentuai digunakan untuk menuai padi.
    vi.        Rakyat negara kita dapat hidup harmoni melalui perpaduan.
   vii.        Kedai kain itu mula menjalankan perniagaan sejak seminggu yang lalu.
  viii.        Puan Syarmizan pengarah urusan syarikat kosmetik itu.
    ix.        Ammar Zuhair mendapat pujian kerana kecemerlangannya dalam aktiviti kokurikulum.
     x.        Pak Cik Saleh telah mengambil pelbagai jenis ubat untuk merawat penyakitnya itu.


 Jawaban
     i.          Bilakah mereka memancing ikan?
    ii.          Siapakah bendahari PIBG di sekolah itu?
   iii.          Mengapakah murid itu dipuji?
   iv.          Di manakah pameran robotik itu akan diadakan?
    v.          Apakah alat yang digunakan untuk menuai padi?
   vi.          Bagaimanakah rakyat negara kita dapat hidup harmoni?
  vii.          Bilakah kedai kain itu mula menjalankan perniagaan?
 viii.          Siapakah pengarah urusan syarikat kosmetik itu?
   ix.          Mengapakah Ammar Zuhair mendapat pujian?
    x.          Apakah yang telah diambil oleh Pak Cik Saleh untuk merawat penyakitnya itu?

Sunday, 4 October 2015

PENULISAN : PENDAHULUAN

Pendahuluan

Amalan sopan santun semakin diabaikan oleh golongan remaja kini.
Bincangkan cara-cara untuk memupuk amalan tersebut kembali.
      Luas pandangan lautan mega,
Berombak biru pandang beralun;
Elok budi dengan bahasa,
Manis budi bersopan santun.

Lama sudah menanam keladi,
Nanas juga dipandang orang;
Lama sudah menabur budi,
Emas juga dipandang orang.

Dua rangkap pantun di atas memberikan gambaran betapa tingginya nilai budi bahasa dan sopan santun. Budi bahasa menjadi penyeri dalam kehidupan dan pengikat kasih sayang sesama anggota masyarakat. Namun demikian, sejak belakangan ini nilai-nilai budi bahasa dan sopan santun semakin terpinggir dan tidak dipandang tinggi oleh masyarakat. Oleh hal yang demikian, sebagai bangsa yang bertamadun kita amat wajar mengembalikan tradisi amalan berbudi bahasa agar kehidupan bermasyarakat menjadi lebih bahagia. Budi bahasa adalah merujuk kepada tingkah laku yang bersopan santun, hormat-menghormati, dan bertolak ansur serta disulami dengan tutur kata yang lembut, penuh hormat dengan senyuman dan air muka yang manis.


Sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab jelaskan peranan anda dalam mengamalkan nilai murni di sekolah. 

Pendahuluan
     Sejak tiga dekad belakangan, sering didengari kenyataan yang menyebut, bahawa orang Melayu sebagai bangsa Asia yang sangat tinggi nilai hormat dan bersopan santun. Malah nilai itulah yang telah mengangkat imej Malaysia untuk dikenali di seantero alam. Namun, selepas dilanda pelbagai arus perubahan dan ancaman globalisasi yang semakin pantas, nilai-nilai murni itu semakin memupus dalam budaya dan tradisi masyarakat Melayu. Kini dalam pola masyarakat majmuk, masyarakat Malaysia kelihatan kompleks. Tiada lagi nilai sopan santun dan hilang budaya hormat dan berkasih sayang. Hukum sesiapa yang kuat dia menang, yang cepat dia dapat, dan yang megah dia gagah sedikit demi secara sedikit membentuk pola baru imej bangsa Malaysia pada abad milenium ini. Oleh itu, sebagai pelajar saya perlu menghayati semula nilai-nilai murni masyarakat agar budaya penyayang dalam kalangan pelajar dapat dinobatkan semula..
************



Contoh Penutup Karangan
Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang bersangkut isu bangsa membaca, bangsa berjaya telah dikupas dengan mendalam. Kesimpulannya, budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Hendrik Ibsen berkata ‘masyarakat adalah seperti perahu, semua orang perlu membantu untuk menentukan arah kemudinya’. Untuk memastikan lahirnya bangsa yang berjaya, peranan pelbagai pihak sangatlah dituntut. Melalui pembacaan kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, segala permasalahan perlu ditangani sebelum padi di tanam menjadi lalang, sebelum ayam di reban disambar helang. Semua pihak wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan.
************


Saturday, 3 October 2015

Pecutan Akhir SPM 3/2015 : Kerja Amal

Kerja-kerja amal seperti menolong membersihkan rumah warga tua dan memungut derma untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik banyak mendatangkan kebaikan kepada remaja, masyarakat dan negara.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

        Firman Allah dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 hingga 8 yang ber­maksud "Sesiapa yang melakukan amalan baik walaupun sebesar zarah sekalipun pasti akan diperlihatkan amalannya dan sesiapa yang melakukan amalan jahat walaupun sebesar zarah, pasti akan diperlihatkan amalannya”. Demikian­lah peringatan Allah terhadap hamba-hamba-Nya supaya sentiasa melakukan amalan kebajikan. Hal ini demikian kerana apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, kecuali tiga perkara yang masih kekal iaitu sedekah dan derma yang digu­nakan untuk kebaikan, ilmu yang bermanfaat yang digunakan untuk kesejahteraan manusia dan anak-anak yang sering mendoakan ke­sejahteraan ibu bapanya. Mafhum daripada hadis ini jelas me­nunjukkan bahawa amalan yang baik, yakni kerja-kerja amal mampu mendatangkan variasi impak positif kepada remaja, masyarakat dan negara. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum malaikat maut datang men­jemput kita ke alam barzakh,  marilah kita gunakan peluang dan kesempatan masa yang dikurniakan-Nya dengan melakukan amalan yang mampu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat sejagat. Ahli falsafah tersohor, Samuel Johnson pernah mengung­kapkan "Masa depan dibeli oleh masa sekarang". Kenyataan ini menjelaskan bahawa setiap individu perlu menggunakan masa yang terluang dengan melakukan kerja-kerja amal. Marilah kita seia sekata dan mengatur langkah yang efektif untuk membuat amal kebajikan kerana terdapat pelbagai maslahat daripada kerja amal yang kita lakukan.
          Antara maslahat yang diperoleh apabila remaja melibatkan diri dalam kerja amal ialah remaja dapat mengisi masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini bertepatan dengan kata-kata Ibu Zain yang antara lainnya mengungkapkan "Sesungguhnya kebaikan sebenar ialah apabila kita bekerja menabur bakti untuk bangsa dan negara selagi kita masih bernyawa". (UM) Kata-kata beliau izhar  menunjukkan bahawa kita perlulah berbakti kepada masyarakat dengan cara mengisi masa lapang yang terluang dengan melakukan kerja-kerja amal. Oleh itu, mengisi masa lapang dengan melakukan kerja-kerja amal mampu mengatasi masalah kebejatan akhlak sedera (sekali gus) remaja tidak lagi tempang dalam menempuh cabaran hidup masa ini. Hal ini demikian kerana pada era modenisasi ini, ramai remaja terjebak dengan masalah kebejatan akhlak yang sudah terang lagi bersu­luh bercanggah dengan ajaran agama kita dan prinsip Rukun Negara yang ingin membina sebuah entiti masyarakat yang meng­utamakan kesopanan dan tatasusila dalam setiap tindakan.  Tindakan remaja melakukan kerja amal seperti menolong warga tua atau Orang Kelainan Upaya (OKU) di rumah mereka membayang­kan remaja melakukan aktiviti yang berfaedah kerana memanfaatkan usia mudanya untuk menabur bakti demi masyarakat mahupun negara. Kita harapkan apabila remaja melakukan kerja amal, masalah kebejatan akhlak seperti lumba haram, ragut, melepak, penyalahgu­naan dadah dan lain-lain lagi akan berkurang dan tidak mustahil akan mencapai tahap sifar  sekali gus dapat membendung kerenah  remaja yang dikatakan tidak mempunyai jati diri. Ada remaja yang masih tidak memahami erti kemerdekaan yang sebenar walaupun hampir 58 tahun negara kita telah mencapai ke­merdekaan. Benarlah kata-kata pakar motivasi iaitu Dr HM Tuah Iskandar al-Haj, iaitu "Hakikatnya banyak bangsa di dunia ini telah merdeka, tetapi pemikiran mereka masih terbelenggu oleh penjara diri. Konklusinya, sebagai bangsa yang merdeka, kita seyogianya keluar daripada kepompong pemikiran yang jumud supaya masa yang terluang dapat diisi dengan kerja-kerja amal sekali gus masa terluang dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.  
          Selain itu, kerja amal yang dilakukan mampu merealisasikan konsep 1Malaysia iaitu dengan mengadakan aktiviti gotong-royong yang melibatkan semua golongan dan usaha ini menjadi teras untuk membina perpaduan yang ampuh.  Aktiviti gotong-­royong merupakan salah satu kerja amal yang menjadi wahana memenuhi misi kemanusiaan iaitu membantu golongan kurang bernasib baik seperti OKU, golongan miskin dan ditimpa musibah. Hal ini demikian kerana kerja amal yang kita lakukan berupaya mendekatkan diri kita dengan masyarakat yang turut sama prihatin  iaitu ingin menghulurkan bantuan dan golongan yang dibantu. Oleh itu, kita tidak akan digelar kera sumbang. Sikap memencil­kan diri dan mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sebenarnya menyebabkan kita kehilangan tangan kiri kita kerana hidup kita yang saling memer­lukan dalam masyarakat. Tanpa kehadiran anggota masyarakat yang lain, kita tidak mampu berdiri sebagai sebuah bangsa yang merdeka kerana sesungguhnya kemajuan sesuatu bangsa itu tidak terletak pada kesuburan tanahnya tetapi terletak pada kesatuan bangsanya. Kerja-kerja amal yang dilakukan seperti membina surau, mem­bersihkan kawasan petempatan warga tua atau rumah anak-anak yatim wajar dipergiatkan kerana remaja yang melibatkan diri akan mempunyai nilai kasih sayang sekali gus membuka peluang kepada anggota masyarakat untuk menabur bakti kepada golongan yang me­merlukan. Hal ini bukan sahaja dapat memupuk sikap suka menolong dan bersedekah dalam kalangan rakyat, justeru dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia tanpa melihat kepada perbezaan status. Kerja amal yang dilakukan juga memperlihatkan kepada kita bahawa tiada lagi wujud anggota masyarakat yang lepas tangan terhadap penderitaan orang lain. Masyarakat yang prihatin dan sentiasa menghulurkan bantuan berjaya direalisasikan kerana mereka sentiasa berpadu tenaga ke arah membantu golongan yang tidak bernasib baik ini. Intihanya, kerja amal yang dilakukan mampu membentuk ukhuwah yang erat kerana masing-masing tahu peranan yang sepatutnya dimainkan demi kesejahteraan untuk semua.  
      Manfaat daripada kerja amal yang seterusnya ialah kita berjaya menyahut cabaran Wawasan 2020 yang ketujuh, iaitu mewujudkan masyarakat penyayang. Masyarakat penyayang sering disinonimkan dengan kehidupan masyarakat yang ber­muafakat. Masyarakat penyayang tidak bersikap individualistik, sebaliknya meletakkan kepentingan masyarakat lebih daripada kepentingan diri. Kecaknaan golongan yang berupaya membantu golongan yang kurang bernasib baik membayangkan kepada kita bahawa mereka mempunyai perasaan sayang akan golongan ini kerana tidak mahu golongan bernasib malang ini terus dibelenggu kesusahan. Jack Hathawa iaitu seorang ahli falsafah sendiri pernah ditanya tentang perkara yang akan beliau lakukan sekiranya menjadi Timbalan Presiden pada suatu masa nanti dan beliau menjawab "Saya pasti akan memperjuangkan kebajikan masyarakat walaupun saya terpaksa berkorban harta dan nyawa kerana hal tersebut". Kesediaan kita membantu membina rumah, membaiki rumah ataupun mengutip dana untuk membantu golongan yang memerlukan dengan sendirinya membuktikan kita amat sayang kepada go­longan ini kerana tidak mahu mereka hidup dalam kesusahan. Masyarakat penyayang sanggup merlakukan apa-apa sahaja walaupun terpaksa berkorban harta dan nyawa demi kebajikan masyarakat. Allah berrman yang bermaksud, "Tidak akan sem­purna iman seseorang itu jika dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri'.  Oleh hal yang demikian, kerja-kerja amal yang dilakukan dapat mengukuhkan perasaan kasih dan sayang sesama insan sekali gus masyarakat penyayang dapat dijelmakan di bumi bertuah ini, Malaysia.

    Akhirulkalam, semua anggota masyarakat perlulah berganding bahu dalam melaksanakan obligasi sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap keperitan dan kesusahan yang dialami oleh golongan yang daif dan ditimpa musibah. Segala amal baik yang dilakukan akan merealisasikan visi kudsi negara ke arah mela­hirkan masyarakat penyayang seperti yang diwara-warakan oleh pemimpin negara. Hal ini bertepatan dengan sikap kita rakyat Malaysia yang terkenal dengan adab dan nilai-nilai murni yang tinggi dan moleklah kita jelmakan nilai tersebut dengan melaku­kan kerja amal terhadap anggota masyarakat kita yang kurang bernasib baik. (UNSUR NILAI/MENDIDIK PEMBACA) Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, (UNGKAPAN MENA­RIK) marilah kita mengatur langkah sederap, seia sekata agar usaha kita berupaya meringankan beban golongan yang memerlukan bantuan dan merealisasikan slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. (UNGKAPAN MENARIK)