Langkah-langkah untuk Mengelakkan Keracunan Makanan
·
jangan menyimpan makanan
terlalu lama
·
penyediaan
makanan yang beretika
dan betul
·
Kementerian Kesihatan Malaysia perlu memantau operasi di premis-premis yang berkaitan
·
memeriksa kualiti makanan yang
hendak kita makan
Perenggan
Isi 1 - Jangan menyimpan makanan terlalu
lama
Antara
langkah yang berkesan untuk menangani masalah keracunan makanan ialah mengelakkan diri daripada makan makanan
yang telah tamat tarikh luputnya ataupun yang disimpan terlalu lama. Hal
ini demikian kerana makanan tersebut berisiko untuk berkulat dan tidak baik
untuk tubuh badan kita. Kaji selidik yang pernah dilakukan di Tenesse State
University ke atas 210 buah rumah mendapati bahawa 22 peratus daripada mereka
akan menyimpan makanan yang luput tarikh, berkulat dan rosak. Keadaan yang sama
juga berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Sikap suka menyimpan makanan yang
telah tamat tarikh luput mengundang
padah kerana makanan tersebut sudah mula dicemari bakteria. Oleh itu,
semasa membeli barang, perhatikan tarikh luput yang disarankan supaya kita
dapat menjangkakan tempoh penyimpanan makanan tersebut. Kita janganlah
menggelabah ataupun terburu-buru ketika membeli makanan kerana kemungkinan
makanan yang diambil telah hampir tarikh luputnya. Dalam hal ini, gurindam
Melayu ada menyebut:
Ikut rasa
binasa,
Ikut suka
duka.
Ikut hati
mati,
Kita
tidak digalakkan mengambil makanan yang hampir tarikh luputnya kerana khasiat
makanannya semakin hilang dan teksturnya akan berubah. Tuntasnya, makanan yang
telah tamat tarikh luputnya jika diambil boleh mendatangkan kemudaratan kepada
badan kita.
·
Perenggan Isi 2 - penyediaan
makanan yang beretika dan betul
Selain itu, cara penyediaan
makanan yang beretika dan betul seperti piawaian pemakanan juga dapat mengatasi isu keracunan
makanan. Pihak penyedia makanan seperti tukang masak mestilah mematuhi etika sebagai tukang masak yang bertanggungjawab.
Peralatan memasak seperti periuk, kuali, pisau, sudip dan lain-lain mestilah
dalam keadaan bersih. Sementara itu, seyogianya
bahan masakan berada dalam keadaan segar, berkualiti dan bukannya yang sudah
tarikh luput ataupun dalam keadaan yang terdedah dengan kekotoran. Bahan-bahan
ini mestilah dibersihkan terlebih dulu supaya tiada kuman ataupun bakteria yang melekat. Dalam hal ini, penyedia makanan
mestilah berkeadaan sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit yang mudah
berjangkit seperti selesema, batuk, cirit-birit dan lain-lain. Hal ini demikian
kerana orang lain ataupun pengguna boleh dijangkiti melalui virus yang disebarkan ketika memasak. Penyedia
makanan yang peka dengan obligasinya akan
sentiasa memastikan pakaiannya bersih. Oleh itu, sudah
terang lagi bersuluh, faktor kebersihan ialah faktor asa ke arah menjamin tahap kualiti makanan, seterusnya
menghindarkan diri daripada keracunan makanan.
Perenggan
Isi 3 - Makanan yang terjamin bersih dan selamat
Prakarsa
seterusnya ialah kita seyogianya memeriksa kualiti
makanan yang hendak kita makan. Makanan kering seperti beras, pasta dan
lain-lain lagi tidak sukar dijaga kerana tidak mempunyai lembapan yang cukup
untuk bakteria membiak. Makanan di dalam tin pula
kedap udara, biasanya makanan sebegini tidak dikhuatiri keselamatannya. Namun,
perkara yang merisaukan kita ialah kualitinya. Sekiranya kita menyimpan makanan
yang plastik pembungkusnya sudah berlubang atau koyak serta tin yang kemik
ataupun berkarat perlulah dibuang segera kerana berisiko untuk dimakan. Hal ini
demikian kerana, makanan tersebut sudah terdedah kepada cahaya matahari yang
boleh menyebabkan kita mengalami keracunan makanan jika diambil. Makanan
seperti ini perlulah dibuang untuk mengelakkan ahli keluarga kita mengambilnya
tanpa disedari. Dalam hal ini kita janganlah bersikap hendak berjimat tetapi
dalam masa yang sama mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan semasa makan.
Makanan yang baru dibeli perlulah disusun pada bahagian belakang rak. Tindakan
ini perlu dilakukan untuk memastikan makanan yang lama dihabiskan terlebih
dahulu. Sekiranya kita berasa khuatir atau waswas dengan kualiti makanan yang
disimpan, jangan kita ambil makanan tersebut kerana kemungkinan besar boleh menjejaskan
kesihatan. Tidak dinafikan, apabila kita asyik membeli dan kemudiannya dibuang
sahaja makanan itu tidak baik kerana berlakunya pembaziran. Allah telah
berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya orang yang suka membazir itu
saudara syaitan". Oleh itu, bagi mengelakkan pembaziran, kita perlu
menyediakan senarai makanan secara berkala dan sentiasa peka dengan tarikh
luputnya.
Seterusnya,
Kementerian Kesihatan Malaysia perlu memantau operasi di
premis-premis yang berkaitan dengan penyediaan
makanan secara lebih kerap. Kakitangan yang bertanggungjawab perlu membuat
pemeriksaan mengejut secara kerap di semua premis seperti restoran, kantin, gerai-gerai makanan ataupun
minuman dan lain-lain tanpa perlu menunggu laporan yang dibuat.
Pemantauan secara berkala
diyakini dapat menangani masalah ini dan tindakan sebegini
diharapkan tidak hanya
sekadar hangat-hangat tahi ayam, iaitu bersemangat pada
permulaan sahaja. Peniaga yang tidak mematuhi piawai wajar
dikenakan hukuman berasaskan peruntukan dalam akta penyediaan
makanan seperti menggantung lesen perniagaan. Dalam hal ini, orang ramai
perlu memainkan peranan dan bekerjasama dalam usaha menangani
masalah ini. Tuntasnya, semua anggota masyarakat perlu
cakna dalam soal ini, iaitu sekiranya ada premis makanan yang
mengabaikan kebersihan, mereka perlu membuat aduan kepada
pihak berkuasa.
No comments:
Post a Comment