13/07/2018

FAEDAH PELIBATAN DIRI DALAM AKTIVITI KOKURIKULUM

Terdapat sebilangan murid, ibu bapa dan masyarakat hanya mementingkan pencapaian akademik dengan meminggirkan aktiviti kokurikulum di sekolah.
Sebagai seorang murid, huraikan pendapat anda untuk menyakinkan semua pihak bahawa kegiatan kokurikulum banyak faedahnya kepada murid-murid dan tidak wajar diketepikan di sekolah.

Terdapat pelbagai nilai murni dalam aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah.
Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh daripada aktiviti yang telah anda sertai.

Karangan contoh:

      Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurangnya satu daripada setiap aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan malahan dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya. Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan. Mereka menyertai aktiviti kokurikulum dengan sambalewa bagaikan melepaskan batok di tangga. Hal ini amat membimbangkan kerana usaha untuk melahirkan modal insan yang holistik dan seimbang tidak dapat dicapai melalui bidang kurikulum sahaja tanpa penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum. Pelbagai nilai murni dapat dipupuk dalam diri pelajar seperti saya melalui aktiviti kokurikulum. Falsafah Pendidikan Negara menegaskan sebanyak 16 nilai murni masyarakat Malaysia terdapat dalam sistem pendidikan kita. Sebenarnya, apakah faedah-faedah yang saya peroleh daripada aktiviti kokurikulum yang telah saya sertai?

      Salah satu faedah aktiviti kokurikulum yang tidak dapat dikesampingkan ialah nilai kepemimpinan dapat disemai dan subur dalam diri saya walaupun saya belum cukup keras ubun-ubunnya. Hal ini penting supaya negara kita tidak ketandusan pemimpin yang berkualiti pada masa hadapan kerana generasi muda pada hari ini merupakan bakal pemimpin negara. Yang paling nyata melalui kegiatan kokurikulum, terdapat pelajar yang dilantik atau dipilih sebagai pucuk pimpinan dalam organisasi mereka sama ada sebagai pengerusi, setiausaha atau bendahari. Dalam konteks ini, pelajar telah diasuh dan diasah sebagai insan yang bertanggungjawab, berkeyakinan, amanah, dedikasi dan berupaya berinteraksi dengan anak buahnya. Unsur-unsur tersebut dan pengalaman dalam memimpin ini dapat menjadikan mereka sebagai pemimpin yang berwibawa dan dihormati kelak. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan, saya telah dilantik sebagai pengerusi bagi Persatuan Bahasa Melayu di sekolah. Sepanjang saya menjadi pengerusi bagi persatuan ini, saya dapat mempelajari cara untuk menjadi seorang pemimpin. Saya berpeluang untuk merancang pelbagai aktiviti yang menarik bersama dengan pasukan saya dan guru-guru penasihat saya untuk menjayakan persatuan ini. Bukan itu sahaja, saya turut dapat menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam persatuan saya. Dengan memperoleh pengalaman-pengalaman ini, saya akan menjadi lebih bijak dalam menguruskan sesuatu pekerjaan tanpa bantuan guru-guru mereka. Tegasnya, nilai kepemimpinan dapat dipupuk dalam diri saya melalui aktiviti kokurikulum yang saya ceburi.

      Kupasan dan huraian tentang manfaat aktiviti kokurikulum tidak harus ada titik noktahnya, maka sebagai meneruskan kesinambungan kupasan, moleklah andai kata ditinjau pula dari aspek kegiatan kokurikulum juga dapat mengukuhkan nilai perpaduan antara kaum dalam jiwa saya. Perpaduan amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur terutamanya dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Setiap persatuan dan kelab mempunyai banyak ahlinya. Ahli-ahli tersebut terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Nilai perpaduan dapat dipupuk apabila saya bersatu dengan rakan yang berbangsa lain dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya, saya dan rakan saya yang berbangsa Cina dan India mewakili pasukan kami untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam pasukan bola jaring. Dalam perlawanan bola jaring, kami akan bersatu dan bekerjasama ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mencapai kejayaan pasukan. Secara tidak langsung, hubungan saya dengan rakan seperjuangan yang berlainan kaum akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh bercerai roboh. Kami akan saling menghormati walaupun warna kulit, agama dan bangsa kami berlainan. Dengan ini, sebarang perselisihan faham dapat dielakkan dan kehidupan yang harmoni dan humanis dapat dilahirkan. Saya juga dapat berkomunikasi dengan baik bersama mereka walaupun berlainan agama atau kaum. Ringkasnya, penglibatan saya dalam kegiatan kokurikulum mampu mewujudkan perpaduan serta mengikis sentimen perkauman dalam diri saya.

      Menyingkap dari perspektif yang lain, aktiviti kokurikulum juga dapat memupuk nilai berdikari dalam diri saya. Berdikari membawa maksud keupayaan bertindak sendiri, berkeyakinan dan cekal dalam menghadapi pelbagai dugaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa segolongan pelajar pada hari ini tidak mempunyai sikap berdikari atau kendiri kerana kehidupannya dilingkari dengan kemewahan dan sering dimanjakan oleh ibu bapa mereka. Segala urusan kehidupan mereka seperti mencuci pakaian, pinggan mangkuk dan mengemas bilik sendiri pun dilakukan oleh pembantu rumah mereka. Dalam aktiviti kokurikulum, nilai berdikari boleh ditanam melalui penyertaan dalam pasukan beruniform. Saya telah menyertai pasukan beruniform Pandu Puteri di sekolah saya. Lazimnya, pasukan beruniform ini akan menganjurkan pelbagai kegiatan tahan lasak atau kegiatan di luar sekolah, seperti aktiviti berkelah, berkhemah, berkembara atau ekspedisi. Dalam kegiatan yang sedemikian, setiap peserta perlu menguruskan rutin hidupnya tanpa bantuan ahli keluarga. Sebagai contoh, saya perlu memasak, mencuci pakaian dan mendirikan khemah sendiri. Lantaran itu, saya tidaklah menjadi seperti burung dalam sangkar yang hanya disuap nasi tanpa diberi kebebasan untuk hidup berdikari. Lebih-lebih lagi, dengan menganggotai pasukan beruniform saya lebih berdikari berbanding dengan pelajar lain. Izharlah bahawa nilai berdikari dapat dipupuk melalui penglibatan secara aktif dalam aktiviti kokurikulum yang saya sertai.

      Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum saya juga dapat membentuk disiplin diri saya. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Disiplin juga dapat membentuk sikap tanggungjawab seseorang pelajar. Sikap melepaskan batuk di tangga dapat dihapuskan apabila seseorang pelajar diberi kepercayaan dan amanah untuk menyandang sesuatu jawatan yang penting dalam unit beruniform, kelab dan permainan. Peraturan yang ditetapkan dalam unit beruniform bertujuan untuk membentuk disiplin diri dan melatih mereka supaya berperibadi tinggi dan luhur. Sebagai contohnya, saya akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan sama ada peraturan perkhemahan, bersukan dan sebagainya. Contoh yang lain, apabila hendak menjalani latihan sukan atau bahas, saya mesti menepati masa. Jika terlewat, saya akan rugi kerana masa itu emas. Saya juga tidak akan terlibat dalam masalah kebejatan sosial seperti melepak, menagih dadah dan vandalisme kerana memounyai disiplin diri yang tinggi. Pendek kata, pembentukan disiplin diri yang tinggi dapat saya capai melalui penyertaan aktiviti kokurikulum.


      Berdasarkan cambahan minda yang telah dinyatakan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kegiatan kokurikulum amat berfaedah kepada saya terutamanya dalam aspek pemupukan pelbagai nilai murni. Tanpa penerapan nilai-nilai murni dalam jiwa generasi muda sudah pasti usaha pembangunan negara akan terbantut kerana mereka merupakan jentera penggerak kemajuan negara pada masa hadapan bak kata cogan kata, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh itu, para pelajar perlulah memanfaatkan masa yang terluang dengan menyertai aktiviti kokurikulum. Namun begitu, kita tidak seharusnya mengharapkan usaha generasi yang baru berumur setahun jagung, berdarah setampuk pinang semata-mata. Jadi, semua pihak seperti ibu bapa, pihak sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia perlulah menggembleng tenaga untuk memastikan para pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Dengan ini, usaha untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat menjadi kenyataan dan bukannya sekadar omongan kosong. Benarlah kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.”




**********
Pelibatan dalam aktiviti kokurikulum memberikan banyak faedah kepada murid.
Huraikan faedah-faedah tersebut.
                         **********


12/07/2018

MENANGANI CABARAN UNTUK MERAIH KEJAYAAN DALAM PEPERIKSAAN

Kecemerlangan dalam sesuatu peperiksaan merupakan matlamat utama bagi seseorang murid. Sebagai seorang murid yang ingin berjaya dalam peperiksaan, terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi.
Huraikan usaha-usaha yang harus anda lakukan untuk menghadapi cabaran tersebut agar hasrat anda tercapai.

     Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran yang semakin mencabar kini. Satu aspek penting yang harus ada dalam diri murid ialah keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Namun, kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai kerana pengorbanan dan usaha yang berterusan adalah sentiasa wujud dalam diri. Tidak dinafikan bahawa keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa hadapan. Pengumuman calon cemerlang SPM tahun 2017 pastinya membakar semangat bagi calon-calon SPM tahun 2018 untuk dinobatkan sebagai calon cemerlang nanti. Benarlah kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna, jika saya hanya berpeluk tubuh menunggu detik peperiksaan SPM tiba. Persoalannya, apakah cabaran yang perlu saya hadapi dalam menempuh liku-liku kehidupan semasa menjelang peperiksaan? Sesungguhnya, saya juga haruslah melakukan pelbagai usaha bagi menangani setiap cabaran agar impian saya untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM akan tercapai dengan jayanya.
Cabaran pertama yang perlu saya hadapi ialah kesukaran untuk memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Masalah ini berlaku kerana saya sering menerima gangguan daripada rakan yang malas belajar. Kehidupan keluarga saya bermasalah telah menambahkan tekanan untuk saya mengikuti pembelajaran yang disampaikan oleh guru. Oleh sebab itu, saya harus menguatkan azam dan tekad untuk terlibat aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang dijalankan. Seterusnya, saya juga haruslah menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru. Yang paling penting, saya perlulah sentiasa bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang saya fahami. Sebagai impaknya, sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk. Saya juga dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru. Dalam erti kata yang lain, saya akan bersikap positif untuk membetulkan kesilapan terdahulu agar tidak berulang kembali. Confucius ada menyatakan bahawa ‘Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah melakukan satu kesalahan lagi.’ Hakikatnya, kesukaran untuk menerima ilmu daripada guru haruslah ditangani dengan memberikan tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan menyiapkan segala kerja rumah agar saya akan lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan nanti.
Kesukaran saya menguruskan masa belajar secara efisien juga merupakan cabaran yang perlu ditempuhi untuk berjaya dengan cemerlang. Hal ini berlaku kerana saya tiada pengalaman atau kemahiran menyediakan jadual belajar ditambah oleh gangguan hiburan dan penggunaan telefon pintar. Dengan demikian, saya haruslah berbincang dengan guru atau ibu bapa untuk menyediakan jadual belajar. Saya juga perlulah mengikuti jadual yang dibuat dengan sebaik-baiknya. Jadual yang disediakan itu membolehkan saya membuat ulang kaji secara berterusan. Seterusnya saya seyogia memiliki jadual belajar untuk kumpulan perbincangan di luar waktu persekolahan. Sebagai kesannya, saya mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat nota dan latihan. Seterusnya, saya dapat menghabiskan semua tajuk pelajaran dan tidak ketinggalan dalam pelajaran. Ketika menjawab soalan peperiksaan nanti, saya akan terbiasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa alah bisa tegal biasa akan saya lakukan jika terus berusaha untuk menjawab soalan yang sukar. Hakikatnya, pengurusan masa yang cekap akan membantu kejayaan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan nanti.
Program kecemerlangan dan motivasi yang sepatutnya dihadiri tidak dapat saya penuhi juga merupakan cabaran yang terpaksa dihadapi. Hal ini telah menyebabkan saya tiada pendedahan maklumat tentang kelebihan program yang menjurus pada kecemerlangan akademik dan sahsiah diri. Selain itu, kos menyertai program yang dianjurkan oleh pihak luar juga mahal. Oleh hal yang demikian, saya perlulah menyertai bengkel dan ceramah yang diadakan di sekolah. Sementara itu, saya perlulah mengikuti program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan terlibat dalam program akademik yang dijalankan. Sebagai impaknya, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan oleh guru-guru yang berpengalaman. Sudah terang lagi bersuluh bahawa program yang dihadiri ini akan meningkatkan semangat dan keyakinan saya untuk menduduki peperiksaan. Selain itu, pendedahan yang diperoleh dalam program ini, seperti bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa dapat saya ambil untuk dijadikan pegangan dan amalan. Orang tua-tua pernah berkata bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hal ini turut dinyatakan oleh Lao Tze, iaitu ‘perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.’ Seyogia, saya haruslah kerap menghadirkan diri dengan program kecemerlangan dan motivasi ini dalam membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.
Cabaran yang terakhir ialah saya kurang mematuhi nasihat daripada kedua-dua ibu bapa yang sering tidak jemu-jemu memberikan tunjuk ajar. Hal ini terjadi kerana saya merupakan anak bongsu yang terlalu dimanjakan berbanding dengan adik-beradik yang lain. Selain itu, rakan sebaya telah menjadi tempat yang paling saya percayai untuk mengadu segala permasalahan diri. Keadaan ini bertambah buruk apabila saya juga kurang mendapat didikan agama yang sempurna sejak kecil. Oleh hal yang demikian, saya wajar sentiasa patuh akan nasihat dan asuhan daripada ibu bapa. Nasihat daripada mereka yang menyuruh saya belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan yang lebih cemerlang akan dijadikan pegangan. Sekiranya saya terus mendengar nasihat ibu bapa maka saya akan terus berusaha dengan gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Saya juga akan mendapat restu daripada ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan saya. Benarlah kata orang tua-tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa.” Seterusnya, saya tidak akan menjadi seperti segelintir anak-anak yang lupa akan diri ibarat buah melayang jauh, tampuk dilupakan. Hakikatnya, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa untuk menjamin kejayaan yang cemerlang nanti.
Secara tuntasnya, kejayaan dalam peperiksaan diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Kita tidak boleh membiarkan masalah dan cabaran itu menjadi batu penghalang yang besar pada sesuatu kejayaan. Dengan demikian, setiap cabaran itu akan saya hadapi dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai seorang murid. Dalam pada itu, setiap langkah yang dicadangkan itu perlu dilakukan dengan penuh iltizam, seperti kata peribahasa hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Tegasnya, saya haruslah belajar bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu, ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang kerana sikap positif ini juga mampu untuk saya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti. ‘Semua A+ Impianku,’ akan menjadi realiti untuk keluarga dan guru-guru yang tersayang.

[buah fikir Cg Mohd Nasir Imbakup]

Kecemerlangan dalam sesuatu peperiksaan merupakan matlamat utama setiap murid namun terdapat pelbagai cabaran seperti pengurusan masa dan kurang fokus terhadap pembelajaran di dalam kelas.

Huraikan usaha-usaha yang harus anda lakukan untuk menghadapi cabaran tersebut agar hasrat anda tercapai.

05/07/2018

GEJALA BULI : PERANAN ANDA DALAM MEMUPUK BUDAYA PENYAYANG DI SEKOLAH

Kes salah laku seperti vandalisme, buli dan tidak menghormati guru kerap berlaku di sekolah belakangan ini yang menggambarkan amalan budaya penyayang semakin luntur dalam kalangan pelajar.

Sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab jelaskan peranan  anda dalam memupuk budaya penyayang di sekolah. 

Sejak berkurun-kurun lamanya bangsa Asia sangat terkenal dengan budaya hormat dan bersopan santun. Malah nilai itulah yang turut mengangkat imej Malaysia untuk dikenali di seantero alam. Namun, selepas dilanda pelbagai arus perubahan, nilai-nilai murni itu semakin memupus dalam budaya dan tradisi masyarakat Malaysia. Kini dalam pola masyarakat majmuk, masyarakat Malaysia kelihatan kurang mengamalkan nilai kesopanan dan luput budaya hormat dan berkasih sayang. Hukum sesiapa yang kuat dia menang, yang cepat dia dapat, dan yang megah dialah gagah. Oleh itu, sebagai pelajar saya perlu menghayati semula nilai-nilai murni agar budaya penyayang dapat terus dikekalkan di sekolah.

Isi 1 :
AJ : Langkah utama dan yang paling relevan, saya perlu menjadi pelajar yang proaktif dalam mengamalkan akhlak yang terpuji.
H1 – Saya harus berasa bangga apabila dapat mempamerkan tingkah laku yang baik dan menjadi contoh teladan kepada rakan-rakan.
H2 – Sebenarnya dengan tingkah laku yang baik diri kita akan disenangi oleh semua rakan dan warga sekolah.
H3 – Saya perlulah mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti menghormati guru, menyayangi rakan-rakan dan bertanggungjawab terhadap keselamatan di sekolah.
PP – Dalam hal mempraktikkan nilai-nilai yang baik, kita hendaklah faham akan maksud kata-kata, “Orang tidak mendengar apa-apa yang kita cakapkan tetapi orang mudah menuruti apa-apa yang kita buat”.

Isi 2 :
AJ : Sementara itu, dalam kalangan rakan-rakan dan guru saya hendaklah menjadi pelajar yang mudah didekati.
H1 – Hal demikian kerana, diri saya akan disenangi kawan, cepat mesra dan mudah memberi bantuan apabila diperlukan.
H2 – Sifat-sifat mahmudah seperti luhur budi bahasa, suka membantu dan  tulus ikhlas hendaklah saya pamerkan untuk menjadi ikutan.
H3 – Bahkan semua sifat terpuji yang diamalkan boleh menjadi contoh teladan untuk memupuk budaya penyayang dan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pelajar dan guru.
PP – Sesungguhhnya, saya amat yakin apabila diri kita disenangi, justeru semua sifat terpuji akan mudah diterima oleh orang lain.

Isi 3 :
AJ : Suatu perkara penting yang perlu saya amalkan juga ialah ketahanan prinsip jati diri.
H1 – Dalam hal ini, saya harus menjadi kuat dan tidak mudah menjadi pak turut kepada sikap dan tingkah laku yang buruk.
H2 – Segala tingkah laku yang buruk seperti dengki, khianat dan adu domba perlulah saya hindari.
H3 – Seyogianya, saya perlu berprinsip, tegas dan tidak terpengaruh kepada perkara negatif supaya pendirian saya dihormati.
PP - Sesungguhnya, agar diri kita dihormati, berpeganglah kepada prinsip dan jati diri dan tidak mudah menjadi lalang ditiup angin.

Isi 4 :
AJ : Selain itu, contoh teladan yang baik yang perlu diamalkan ialah belajar secara istiqamah.
H1– Saya harus menyimpan azam untuk menjadi pelajar yang cemerlang sama ada dalam aspek akademik mahupun akhlak yang baik.
H2 – Apabila seseorang pelajar itu cemerlang dalam akademik, dia sentiasa dibanggakan oleh rakan-rakan dan menjadi contoh ikutan yang baik.
H3 – Keikhlasan kita membantu rakan untuk berjaya dalam akademik merupakan suatu sifat penyayang yang amat disenangi oleh rakan-rakan.
PP – Oleh hal yang demikian, selagi kudrat saya berazam untuk menjadi insan yang baik dan berguna kepada masyarakat dan negara.


Kesimpulan : Hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa ialah ungkapan peribahasa yang mendorong seseorang itu agar beriltizam untuk menyumbangkan khidmat dan jasa. Budaya penyayang seandainya dipupuk dan dibaja boleh memberi natijah kepada lahirnya masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin. Oleh hal yang demikian, saya sangat teruja untuk berada di tengah-tengah khalayak bagi meuar-uarkan idea yang baik ini agar terbentuk juga masyarakat yang berbudaya, beretika serta penyayang. Sesungguhnya, inilah Malaysia yang menjadi harapan kita menjelang dekad yang akan datang.

sumber : buah fikir cg Ishak 

04/07/2018

RENCANA : KEPENTINGAN BUDAYA WARISAN DAN PERMAINAN TRADISIONAL

Warisan negara seperti seni budaya dan permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda. Tulis sebuah rencana tentang kepentingan mengekalkan warisan ini.

Kepentingan Mengekalkan Warisan Negara
Oleh : Nur Anis Saharuddin


Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan…

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan


Rangkap pertama dan rangkap terakhir daripada lirik lagu Warisan yang dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman bin Haji Arshad telah mempotretkan kita sebagai penyambung warisan negara. Warisan negara dapat ditakrifkan secara literal sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman daripada nenek moyang kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan bersejarah semata-mata, malah tarian tradisional, permainan tradisional dan juga seni mempertahankan diri seperti silat. Sungguhpun begitu, hakikatnya ialah generasi pada masa ini semakin memandang sepi dan tidak menghargainya ekoran tahap kesedaran mereka yang terlalu rendah. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang di gawang minda saya ialah apakah kepentingan mengekalkan warisan negara kepada kita? Oleh hal yang demikian, kepentingan mengekalkan warisan negara yang menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci sehingga ke akar umbi demi kebaikan kita bersama.

     Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah warisan negara amat penting sebagai satu elemen yang melambangkan identiti sesebuah negara. Dalam konteks ini, identiti sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budaya seperti tarian tradisional sesuatu kaum di Malaysia. Tambahan pula, tarian tradisional yang pelbagai menunjukkan sifat masyarakat yang majmuk khususnya di negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi membuktikan perkara ini, contoh tarian tradisional yang dapat saya ketengahkan ialah tarian Mak Yong dan Zapin oleh orang Melayu, tarian naga dan tarian kipas oleh orang Cina serta tarian Kathak dan Bharata Natyam oleh kaum India. Dengan perkataan lain, semua jenis tarian di Malaysia mempunyai identiti, sejarah dan tujuan yang tersendiri. Yang paling nyata ialah setiap rakyat Malaysia hendaklah berusaha mengenali serba sedikit tentang budaya tarian bagi setiap kaum di negara kita. Izharlah bahawa, kepentingan mengekalkan warisan negara adalah untuk melambangkan identiti sesebuah negara.

     Mari kita kupaskan signifikan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam berbicara tentang kepentingan memelihara warisan negara supaya menjadi daya tarikan pelancong sama ada pelancong domestik mahupun pelancong antarabangsa. Pada masa yang sama, pengekalan monumen, arca dan bangunan bersejarah tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat sendiri keunikan ciptaan masyarakat terdahulu. Secara langsung, senario ini dapat dibuktikan menerusi peningkatan bilangan pelancong yang mengunjungi bandar warisan seperti Georgetown dan Kota Bharu, Kelantan yang amat ketara dalam tempoh tahun 1990 hingga 1997. Antara contoh negeri lain di Malaysia yang menjadi destini wajib para pelancong untuk mengetahui sejarah sebenar yang berlaku dan mempunyai kesan tinggalan sejarah ialah negeri Melaka seperti Kota A Famosa, perigi Hang Tuah dan juga makam Hang Jebat yang terletak di Bandaraya Bersejarah tersebut. Jelaslah bahawa, warisan negara perlu dikekalkan bagi merancakkan industri pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

     Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, warisan negara juga hendaklah dipelihara untuk mengekalkan kesinambungan tamadun sesuatu bangsa. Menyedari hakikat ini, permainan tradisional yang merupakan permainan warisan masyarakat Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu haruslah dihidupkan kembali kerana permainan tradisional ini menjadi lambang warisan dan kebudayaan masyarakat Melayu supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Antara contoh permainan tradisional masyarakat Melayu yang boleh saya ketengahkan ialah wau, gasing, sepak raga, congkak dan batu seremban. Yang paling nyata, pada zaman dahulu, permainan tradisional merupakan salah satu cara untuk mengisi masa lapang sedangkan pada zaman ini, permainan tradisional semakin dilupakan kerana sudah tidak relevan dan tidak dikomersialkan di kaca-kaca televisyen. Bertitik tolak daripada itu, alat permainan tradisional perlu dimodifikasikan supaya menjadi lebih menarik, namun begitu ciri-ciri keunikannya hendaklah dikekalkan keasliannya. Tegasnya, kesinambungan tamadun perlu dikekalkan supaya generasi muda celik tentang asal usul mereka dan tidak lupa daratan.

     Ayuh, kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci kepentingan mengekalkan warisan negara bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, semangat patriotisme akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan keperitan dan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Tambahan pula, nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat pada Tugu Negara untuk tatapan semua. Rentetan itu, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dalam mempertahankan negara. Pada masa yang sama, peristiwa sejarah penting yang berlaku di negara kita dapat dikenang semula apabila bangunan lama yang diberi nafas baharu dapat mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Sebagai analoginya, Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara tatkala laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung di sini.  Deduksinya, usaha memelihara warisan negara amat penting bagi memupuk semangat patriotisme agar generasi muda tidak melupakan sejarah-sejarah penting negara kita.

       Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, dapatlah saya rumuskan di sini bahawa warisan negara haruslah dihargai dan dipelihara oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana memainkan peranan bagi merancang, mengumpul dan mengedar bahan serta informasi berkaitan seni dan budaya untuk tatapan umum. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah bekerjasama dengan pihak kerajaan ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni supaya warisan nenek moyang kita dapat dilestarikan. Memetik kata-kata pujangga George Santayana, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Usaha yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi arang. Demi merealisasikan visi kudsi Transformasi Nasional 2050 [TN50], janganlah kita biarkan warisan kita hanya dapat disaksikan di muzium sahaja, bak pepatah yang berbunyi, biar mati anak, jangan mati adat, supaya warisan negara terus subur dan mekar meredah zaman.

Soalan Klon
Lambakan permainan komputer, kurang pendedahan dan anggapan sudah ketinggalan zaman menjadi punca permainan tradisional seperti gasing dan congkak semakin dilupakan.

Huraikan peranan ahli keluarga bagi memastikan permainan tradisional terus subur dalam kalangan anak-anak.

02/07/2018

PERCUBAAN SPM : JENDELA MENGHADAP JALAN dan SONGKET BERBENANG EMAS

PULAU PINANG SET 1 2017 - SKEMA JAWAPAN

Soalan 4 (a)
Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan tema novel tersebut.
-    Tema novel Jendela Menghadap Jalan ialah ketabahan seorang gadis dalam menempuh berbagai-bagai ujian dan rintangan sewaktu menghabiskan cuti persekolahan di kampung datuknya.
-    Buktinya, semasa Lili berada di Kampung Sentosa, Lili tidak pernah menghubungi ibunya di Kuala Lumpur untuk mengadu mengenai masalah yang dihadapinya. Lili berusaha sedaya upaya menempuh dugaan dengan semangat yang kental.
-    Lili tabah menghadapi karenah datuknya Haji Abdul Rahman yang mempertahankan pengamalan perubatan tradisional yang dikatakan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit walaupun disanggah oleh golongan muda.
-    Lili tabah menghadapi karenah datuknya yang tidak mahu menceritakan sejarah jendela menghadap jalan.
-    Lili tabah menghadapi karenah ibunya yang menyuruh Lili menghabiskan cuti persekolahan di Kampung Sentosa, tempat kelahiran ibunya. Lili akur akan cadangan tersebut kerana dia amat menyayangi ibunya.
-    Peristiwa Lili pernah ditahan dan dikurung oleh Rafiq dan Haziq di sebuah pondok buruk, namun peristiwa tersebut tidak mematahkan semangat Lili untuk pulang ke Kuala Lumpur sebaliknya cuba membantu adik-beradik ini.
-    Peristiwa Lili menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Dungun seorang diri menunjukkan ketabahan dan kecekalan yang mula dipupuk dalam diri Lili.
-    Tema Novel Songket Berbenang Emas ialah ketabahan/kecekalan seorang gadis remaja menghadapi cabaran hidup.
-    Dahlia tabah menghadapi karenah ibunya yang tidak mengenalinya setelah menghidap tekanan perasaan.
-    Dahlia tabah menjaga adik-adiknya yang masih kecil kerana bapanya, Embong dirawat di hospital akibat dipatuk ular tedung dan dia terpaksa berulang-alik ke hospital melawat bapanya.
-    Dahlia tabah menghadapi desakan neneknya, Nek Kiah yang bercadang hendak menjual tanah yang menjadi tempat tinggal Dahlia dan keluarganya atas alasan tidak mampu membayar wang yang diminta oleh neneknya.
-    Dahlia tabah menghadapi pandangan negatif Aton dan Nek Kiah terhadap keluarganya kerana ibunya Saleha kurang siuman dan dirawat di Hospital Permai.
-    Kecekalan Dahlia juga dapat dilihat melalui sikapnya yang gigih belajar demi mencapai kejayaan. Sungguhpun belajar di tempat yang kurang selesa iaitu di pusat pemindahan banjir namun dia gigih belajar sehingga mendapat pujian daripada Encik Daim, Setiausaha UMNO Bahagian Sri Gading.



PULAU PINANG SET 1 2017 - SKEMA JAWAPAN

Soalan 4 (b)
Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan konflik yang terdapat dalam novel tersebut dan cara watak utama menyelesaikannya.
-      Watak utama dalam novel ini ialah Lili.
-      Konflik dalaman yang dialami oleh Lili yang diminta oleh ibunya supaya menghabiskan cuti persekolahannya di kampung. Cara penyelesaian konflik tersebut ialah Lili menurut sahaja cadangan ibunya supaya bercuti di kampung dan berpura-pura gembira walaupun hatinya berat untuk ke sana kerana dia bercadang menghabiskan cuti persekolahan bersama-sama rakannya di Kuala Lumpur.
-      Konflik kepincangan rumahtangga Che Jah disebabkan sikap panas baran suaminya. Cara penyelesaian konflik tersebut ialah Lili mendapatkan bantuan Kak Mimah menasihati Che Jah agar melaporkan kes keganasan rumah tangganya kepada pihak polis supaya suaminya Seman dapat diheret ke muka pengadilan.
-      Konflik antara penduduk kampung tentang pemasangan kubah. Cara penyelesaian konflik tersebut ialah Lili dan Danel berusaha memberi pelbagai cadangan kepada penduduk kampung untuk berbincang dan bermesyuarat tentang masalah yang dihadapi itu kemudian membuat keputusan agar kubah tersebut dipasang pada bumbung masjid baharu yang bakal dibina di kampung itu.

-   Watak utama dalam novel ini ialah Dahlia
-   Konflik antara Nek Kiah dengan Dahlia apabila Nek kiah berprasangka buruk terhadap Dahlia apabila melihat Azhari menghantar Dahlia pulang ke rumah. Cara penyelesaiannya Dahlia hanya mendiamkan diri sahaja semasa ditegur oleh Nek Kiah
-   Konflik antara Dahlia dengan Cikgu Salwani yang tidak membenarkan Dahlia keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya setelah ibunya dimasukkan ke hospital. Cara penyelesaiannya Dahlia bertekad keluar dari asrama dan berulang-alik dari rumah ke sekolah.
-   Konflik antara Dahlia dan Aton. Dahlia sentiasa dicemuh oleh Aton dan dipanggil perempuan murahan kerana ada beberapa orang lelaki yang melawat rumahnya. Aton juga sentiasa menyalahkan Dahlia atas kematian anaknya. Cara penyelesaiannya, Dahlia dinasihati oleh ayahnya supaya sentiasa bersabar dan tabah menghadapi dugaan Tuhan.




PERCUBAAN PERAK 2017 - SKEMA JAWAPAN
Soalan 4 (a)
Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
Persoalan ketabahan merupakan salah satu daripada persoalan yang terdapat dalam novel yang anda kaji.
Jelaskan dua peristiwa yang dapat dikaitkan dengan persoalan ketabahan dalam sebuah novel yang anda kaji.
- Peristiwa Lili tabah menghadapi kerenah ibunya yang mahu Lili menghabiskan cuti persekolahannya di kampung datuk dan neneknya.
- Peristiwa Lili tabah menghadapi kerenah datuk yang tidak mahu menceritakan sejarah jendela menghadap jalan.
Peristiwa ini dapat dikaitkan dengan persoalan ketabahan menghadapi kerenah orang tua.
- Peristiwa Lili tabah berhadapan dengan Rafik dan Haziq yang menculiknya.
Peristiwa ini dapat dikaitkan dengan persoalan ketabahan menghadapi cabaran ketika diculik.
- Peristiwa Dahlia tabah menghadapi kerenah ibunya yang tidak mengenalinya setelah menghidap tekanan perasaan.
- Peristiwa Dahlia tabah menghadapi kerenah Aton yang menghina Dahlia semasa Azhari menghantarnya pulang ke rumah.
Peristiwa ini dapat dikaitkan dengan persoalan ketabahan menghadapi kerenah ibu dan orang sekeliling
- Peristiwa Dahlia tabah mengulang kaji pelajaran di balai raya semasa kampung mereka dilanda banjir.
Peristiwa ini dapat dikaitkan dengan persoalan ketabahan dalam menuntut ilmu.


Soalan 4 (b)
Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, jelaskan satu sikap masyarakat yang sepatutnya dihindari.
-        Sikap masyarakat yang terlibat dalam gejala sosial
Sebagai contohnya, Rafik dan Haziq suka mencuri harta benda orang kampung. Selain itu, mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
-        Sikap masyarakat yang terlibat dalam masalah perjudian
Sebagai contohnya, Seman, suami Che Jah seorang kaki judi sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga.
-        Sikap masyarakat yang bercanggah pendapat
Sebagai contohnya, penduduk kampung yang mengalami percanggahan pendapat mengenai perletakan kubah di surau ataupun membina masjid yang baru.
-        Sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab
Sebagai contohnya, suami Cik Jah iaitu Pak Seman sering memukul Cik Jah. Dia juga sering berjudi sehingga melupakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
-        Sikap masyarakat yang suka memandang serong terhadap kekurangan orang lain
Sebagai contohnya, Rafiq dan Haziq sering menjadi hinaan dan kutukan masyarakat kampung secara berterusan kerana suka mencuri, menagih dadah dan pecah rumah. Bagi Lili, mereka ialah manusia biasa yang memerlukan bantuan untuk berubah.
-        Sikap masyarakat yang berprasangka buruk terhadap orang lain
Sebagai contohnya, Aton dan Nek Kiah berprasangka buruk terhadap keluarga Dahlia. Nek Kiah suka menghina Dahlia dan keluarganya disebabkan kemiskinan mereka. Atonsuka menabur fitnah tehadap Dahlia dengan mengatakan bahawa Dahlia sudah ditebuk tupai kerana lelaki datang ke rumahnya silih berganti.
-        Sikap masyarakat yang terlibat dalam gejala sosial
Sebagai contohnya, Abu Bakar suka berfoya-foya dengan rakan-rakannya sehingga sanggup mencuri kambing milik bapanya sendiri.
-        Sikap masyarakat yang suka menghina orang lain
Sebagai contohnya, Mak Aton yang suka menghina Dahlia dan keluarganya disebabkan kemiskinan mereka. Mak Aton juga suka menabur fitnah tehadap Dahlia dengan mengatakan bahawa Dahlia sudah ditebuk tupai kerana lelaki datang ke rumahnya silih berganti.
-        Sikap masyarakat yang mempunyai hasad dengki
Sebagai contohnya, Dahlia, Abu Bakar, Kiambang dan Melati menjumpai bungkusan telur yang sudah busuk. Telur itu berisi jarum peniti, cincin akik, butiran pasir dan dua batang paku yang dijumpai mereka dibawah rumah. Bungkusan itu ditanam oleh seseorang yang dengki akan mereka.
-        Sikap masyarakat yang memandang serong terhadap kemiskinan orang lain
Sebagai contohnya, Nek Kiah tidak suka akan menantunya Embong dan cucu-cucunya kerana hidup dalam kemiskinan sedangkan anak-anaknya yang lain berjaya dalam kehidupan.
-        Sikap masyarakat yang tidak mahu menerima ketentuan takdir
Sebagai contohnya, Aton telah menuduh Dahlia yang menyebabkan anaknya, Said mati lemas walaupun Dahlia sanggup berkorban nyawa dengan terjun ke sungai untuk menyelamatkan Said.

PERCUBAAN KEDAH 2017 - SKEMA JAWAPAN
Soalan 4 (a)
Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut.
- Kampung sentosa
Tempat Lili menghabiskan masa cuti persekolahannya selama dua minggu.
- Rumah datuk / Haji Abdual Rahman
Danel dan ayahnya William Ng datang ke rumah datuk untuk berubat.
Tempat Datuk bercerita tentang kemujaraban akar kayu kepada Lili.
- Surau Kampung Sentosa
Tempat berlakunya kekecohan kerana isu pembinaan masjid dan kubah surau serta sikap penduduk kampong yang berpuak-puak.
- Balai Raya
Tempat penduduk kampong berkumpul bagi menyelesaikan masalah pembelian tanah orang kampong oleh orang yang tidak dikenali.
Tempat Che Jah membuat pengakuan bahawa suaminya Seman yang melarikan kubah surau.
- Kedai Runcit Letchumi
Tempat nenek membawa Lili berbelanja
Tempat Lili bertemu dengan Geetha kali kedua
Tempat Geetha bercerita tentang Datuk kepada Lili.
- Rumah Che Jah
Haziq dan Rafiq dipukul oleh ayahnya Seman
Lili dibawa oleh Abang Rashid untuk melawat Hazip dan Raziq yang dipukul oleh Seman.
- Pondok Usang
Tempat Lili dikurung ketika diculik oleh Haziq dan Raziq
- Padang bola jaring
Dahlia berlatih bola jarring bersama dengan rakanya, Siti Wangi.
- Kantin sekolah
Tempat Azahari menunggu Dahlia untuk bertemu dengannya.
- SMK Tun Ismail
Tempat Azahari dan Dahlia belajar, sewaktu Dahlia tingkatan 1 dan Azahari tingkatan 5.
- SM Temenggung Ibrahim
Dahlia menimba ilmu sebagai pelajar tingkatan 6 dan dia tinggal di asrama sekolah ini.
- Bilik kerjaya
Tempat cikgu Hisyam mendapat tahu masalah Dahlia daripada Kavita
Tempat Dahlia bertemu dengan Cikgu Hisyam.
- Kebun getah
Tempat Saleha menorah getah dan bersembunyi.
- Hospital Batu Bahat (Wad 6)
Tempat Saleha dibawa untuk mendapatkan rawatan awal.
- Hospital Batu Bahat (Wad 4)
Tempat embong dirawat setelah dipatuk ular
- Hospital Permai Johor Bahru
Tempat Saleha dirawat
Tempat Azahari bekerja sementara setelah mendapat segulung ijazah.
- Kebun kelapa sawit di Parit Haji Kadir
Tempat Embong bekerja sebagai pengait kelapa sawit
Tempat Embong dibelit oleh ular sawa
- SK Jelotong
Tempat Said dan Melati bersekolah
- Rumah Aton
Tempat Dahlia disindir oleh Aton. Aton mengatakan Dahlia punya kematian Said.
- Balai Raya kampong Haji Rais
Penduduk kampong bergotong-royong semasa majlis sambutan maulidur rasul
Tempat pemindahahn mangsa banjir yang berlaku di kampung Dahlia.


KEDAH 2017 - SKEMA JAWAPAN
Soalan 4 (b)

Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
Dalam sesebuah novel terdapat banyak peristiwa yang memberi teladan kepada pembaca.
Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu peristiwa pada bahagian peleraian yang dapat memberikan teladan kepada pembaca.
-    Peristiwa Lili menyelesaikan masalah keganasan rumah tangga Che Jah dengan bantuan Puan Hamizah, Pegawai Kebajikan Masyarakat.
Sebab: Seseorang yang berada dalam kesusahan perlu dibantu agar dapat meringankan beban mereka.
-    Peristiwa Lili berasa sangat bahagia sewaktu melihat ibu berbual-bual mesra dengan datuk semasa ibu pulang ke kampung untuk menjemput Lili pulang ke Kuala Lumpur.
Sebab: Seseorang anak perlu mempunyai hubungan yang rapat dengan iby bapanya walaupun sudah berkeluarga dan memiliki kerjaya yang baik.
-    Peristiwa Rafik dan Haziq akan menduduki peperiksaan PMR sebagai calon persendirian.
Sebab: Pelajaran amat penting dalam kehidupan.
-    Peristiwa Che Jah dan anak-anaknya mendapat pembelaan yang sewajarnya apabila suaminya Seman Berjaya dihadapkan ke muka pengadilan.
Sebab: Seseorang yang melakukan kesalahan perlu menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahannya.
-    Peristiwa Nek Kiah yang tidak menyukai keluarga Dahlia dan bersikap pilih kasih akhirnya insaf selepas dia dijaga dengan baik oleh Dahlia dan adik-beradiknya semasa Nek Kiah sakit.
Sebab: Ahli keluarga tidak perlu mempunyai sikap pilih kasih terhadap anak cucu.
-    Peristiwa Penduduk Kampung Haji Rais telah bermuafakat dan bekerjasama membina rumah Embong semula yang musnah akibat banjir. Kaum wanita bergotong-royong menyediakan makan.
Sebab: Permuafakatan amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
-    Peristiwa Masyarakat kampung telah Berjaya memungut sumbangan sebanyak RM500.00 dan sumbangan peribadi RM300 daripada Tauku Lim kepada Dahlia untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun
Sebab: Kepentingan budaya tolong menolong dalam kehidupan bermasyarakat
-    Peristiwa Dahlia terpilih melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan perniagaan selama empat tahun di Jepun.
Sebab: Ketabahan dan kegighan menempuh pelbagai cabaran membuahkan memperoleh kejayaan.
-    Peristiwa Azhari menghadiahi sehelai songket berbenang kepada Dahlia sebagai merainya kejayaan melanjutkan pelajaran dan symbol bahawa mereka orang Melayu.
Sebab: Kepentingan menjaga mempertahankan budaya Melayu.




4b
Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu persoalan kebijaksanaan bagi setiap novel tersebut.
-    Persoalan kebijaksanaan dalam menegakkan syair Islam
Dalam perjuangan membina kubah surau di kampung dalam menegakkan syiar Islam. Penduduk sanggup menolak peruntukan dari Yang Berhormat untuk membina sebuah balai raya tetapi bersetuju untuk membina kubah surau bagi tujuan keagamaan.
-    Persoalan kebijaksaan menuntut ilmu pengetahuan
Geetha merupakan seorang mahasiswa yang rajin menuntut ilmu, juga merupakan seorang pelajar tahun satu Jurusan Kejuteraan Awam, Universiti Malaya, begitu juga Lili yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
-    Persoalan golongan muda yang terjebak masalah dadah
Haziq dan Rafiq yang terjerumus ke dalam kancah ketagihan dadah akibat masalah keluarga yang dihadapi. Tertekan dengan masalah keluarga kerana ayahnya Seman begitu garang dan sering memukul anak-anaknya sehingga menyebabkan hidup mereka tertekan. Mereka mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam kancah ketagihan dadah.
-    Persoalan hubungan kekeluargaan antara anak dan ibu bapa
Ibu Lili tidak berminat untuk menghabiskan masanya di kampung, tetapi menghantar Lili ke kampung sepanjang cuti persekolahan. Ibu Lili melanjutkan pelajaran keluar negara, terdedah dengan dunia Barat sehingga menganggap kampung terlalu jumud. Ibu Lili juga terlalu jarang pulang ke kampung untuk menjenguk kedua-dua ibu bapanya, menyebabkan hubungannya menjadi renggang.
-    Persoalan kebijaksanaan dalam pelajaran.
Dahlia tetap mengutamakan pelajarannya dengan meminjam nota dan bertanyakan kepada Kavita dan Siti Wangi walaupun terpaksa membantu ayahnya menguruskan rumah tangga setelah ibunya di hantar ke hospital untuk menerima rawatan.
-    Persoalan kebijaksaan bertindak dalam menghadapi situasi yang bahaya
Embong berjaya mengalahkan ular sawa yang cuba membelitnya sewaktu memotong kelapa sawit di ladang.
-    Persoalan bantu-membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang lain
Kavita membantu Dahlia mengulang kaji pelajaran dengan memberikan nota pelajaran sepanjang ketidakhadirannya ke sekolah. Najib cuba menghulurkan bantuan kewangan semasa Nek Kiah beria-ia ingin menjual tanahnya yang menjadi tempat tinggal Dahlia dan keluarganya
-    Persoalan kebijaksanaan mencari ilmu bagi mengubah taraf hidup
Embong amat mementingkan pelajaran dan sering menasihatkan anak-anaknya agar belajar bersungguh-sungguh. Embong mengharapkan anak-anaknya dapat mengubah taraf hidup keluarga setelah berjaya dalam pelajaran mereka nanti.


Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
4a. Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua konflik antara watak yang terdapat dalam novel tersebut.
-    Konflik antara suami dengan isteri.
Hampir 10 tahun Che Jah dan anak-anaknya menjadi mangsa penderaan suaminya, Seman yang pulang lewat malam. Akibat kesan alcohol dan kalah judi mereka sering dibelasah oleh Seman
-    Konflik antara masyarakat kampung.
Penduduk Kampung Sentosa menghadapi konflik tentang isu peletakan kubah yang baharu di masjid lama atau di masjid baharu yang akan dibina
-    Konflik antara generasi muda dengan golongan tua.
Danel yang mewakili generasi muda hari ini lebih gemar memilih rawatan moden untuk mengubati penyakit bapanya namun bapanya memilih rawatan tradisional yang diusahakan oleh datuk Lili.
-    Konflik antara bapa dengan anak.
Dahlia tidak bersetuju dengan tindakan bapanya, Embong yang ingin menghantar ibunya, Saleha ke hospital bahagia untuk mendapatkan rawatan lanjut.
-    Konflik antara anak murid dengan guru.
Cikgu Salwani tidak membenarkan Dahlia keluar dari asrama untuk tinggal di rumah tetapi Dahlia berdegil dan terus meninggalkan asrama tanpa kebenaran gurunya.
-    Konflik antara ibu mentua dengan menantu.
Nek Kiah tidak suka akan perkahwinan antara anaknya, Saleha dan Embong dan sering membanding-bandingkan keluarga mereka yang hidup miskin dengan anak-anak Nek Kiah yang lain.
Soalan 4 (b)
Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
Satu daripada nilai yang terdapat dalam kedua-dua novel yang anda kaji ialah nilai keberanian.
Jelaskan satu peristiwa yang menggambarkan nilai keberanian bagi setiap novel tersebut.
-    Peristiwa keberanian Danel menyelamatkan mangsa culik.
Lili telah menjadi mangsa culik oleh Rafiq dan Haziq dan disembunyikan di sebuah rumah using. Danel yang mengetahui tempat persembunyian mereka telah dating seorang diri untuk menyelamatkan Lili.
-    Peristiwa keberanian Lili untuk membuat aduan tentang isu keganasan rumah tangga.
Lili berani menyuarakan permasalahan rumah tangga Cik Jah dan suaminya kepada Puan Hamimah iaitu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat.
-    Peristiwa keberanian Dahlia terjun ke dalam sungai.
Dahlia sanggup terjun ke dalam sungai yang deras untuk menyelamatkan nyawa Said
-    Peristiwa keberanian Embong membunuh seekor ular.
Embong berani melawan dan Berjaya membunuh uar sawa di lading kelapa sawit. Ular sawa telah membelit badan Embong ketika dia mencari buluh di kawasan kelapa sawit.