Saturday, 14 January 2017

Novel T3 : Tawanan Komander Caucasus



Tawanan
Komander Caucasus


Farhani dan rakan-rakannya dalam usaha mereka untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat setelah menjadi tawanan tentera kumbang. Cerita bermula apabila warga Sekolah Menengah Seri Kencana dan penduduk kampung dikejutkan dengan berita kehilangan Kim Yong yang keluar mencari kumbang di pinggir hutan di kampungnya. Pelbagai spekulasi tentang kehilangan Kim Yong telah dibuat. Sebagai rakan sekelas, Farhani, Chea Mei, Mira, Haikal, Devnath dan Wei turut bersimpati dan bersedih atas kehilangan Kim Yong. Mereka bersepakat menziarahi Puan Lee, ibu Kim Yong yang begitu sedih atas kehilangan anak tunggalnya itu.
Setelah sebulan berita kehilangan Kim Yong berlalu, Cikgu Salimah selaku guru Sains Tingkatan Satu Arif di Sekolah Menengah Seri Kencana telah memberikan satu tugasan kepada murid-muridnya untuk mencari serangga bagi memastikan zoo mini serangga yang diilhamkan di sekolah mereka itu menjadi suatu kenyataan. Dalam pembahagian tugasan itu, Farhani, Chea Mei dan Mira ditugaskan untuk mencari kumbang. Sementara itu, Haikal berasa terkilan kerana Cikgu Salimah tidak memberikan tugasan mencari kumbang itu kepadanya. Oleh sebab itu, Haikal memperlekehkan kewibawaan Farhani dan rakan-rakannya untuk mencari kumbang tersebut. Farhani bertekad untuk mendapatkan kumbang tersebut.
Bagi melengkapkan tugasan yang diarahkan oleh Cikgu Salimah, Farhani, Chea Mei dan Mira telah bersetuju dan bersepakat untuk mencari kumbang di dusun datuk Farhani. Disebabkan Farhani tiba awal di dusun datuknya, dia mengisi masa menunggu kedatangan Mira dan Chea Mei dengan mencari kumbang lebih dahulu sehingga pencariannya itu telah membawanya jauh ke dalam dusun datuknya. Akhirnya, Farhani menemukan sebuah rumah lama dan masuk ke dalam rumah lama itu. Dia menemukan anak tangga yang menuruni ke ruang bawah tanah hingga membawanya ke dimensi kerajaan kumbang. Sementara itu, Mira dan Chea Mei telah tiba di dusun datuk Farhani setengah jam lewat daripada masa yang telah dijanjikan. Mereka tidak nampak kelibat Farhani di situ.
Chea Mei dan Mira terkejut apabila ibu Farhani, iaitu Puan Asmah memaklumkan kepada mereka bahawa Farhani telah pergi ke dusun datuknya selepas solat zuhur. Ibu Farhani bersedih atas kehilangan Farhani memandangkan Farhani ialah anak bongsunya. Encik Adnan, bapa Farhani meminta isterinya bertenang dan bersabar. Peristiwa kehilangan Farhani dan Kini Yong yang dikaitkan dengan kejadian mereka keluar mencari kumbang telah menjadi perbualan masyarakat setempat dan seluruh rakyat Malaysia. Cikgu Salimah berasa bersalah atas kehilangan Farhani. Dia mengajak murid-murid di kelas Tingkatan Satu Arif menjejaki kehilangan misteri Farhani di dusun datuk Farhani. Di dalam dusun datuk Farhani, mereka telah menemukan sebuah rumah usang. Haikal telah mengajak Devnath dan Wei untuk kembali semula pada malamnya untuk menjejaki kehilangan Farhani di ruang bawah tanah di rumah usang itu setelah mereka menemukan sapu tangan milik Farhani.
Kesilapan Farhani melangkah kakinya ke alam dimensi kerajaan kumbang menyebabkan dia telah ditawan oleh tentera Komander Caucasus. Farhani telah dibawa oleh kumbang Bara untuk menghadap Maharaja Tanduk di sebuah istana. Selepas itu, Farhani juga telah dikurung di dalam sebuah tabung uji bersaiz besar di sebuah makmal rahsia Komander Caucasus yang akan menjadikannya sebagai bahan uji kaji untuk mencapai impian Komander Caucasus menakluki dunia dan menguasai manusia. Di makmal rahsia itu, Farhani telah bertemu secara tidak sengaja dengan Kim Yong yang telah dilaporkan hilang selama sebulan lebih itu.
Komander Caucasus merupakan seekor kumbang yang tamak dan gila kuasa apabila dia dan tenteranya cuba merampas takhta kerajaan kumbang dengan menggulingkan takhta Maharaja Tanduk dan giat memburu Puteri Coleoptera dan para pengikutnya yang sedang bersembunyi. Suatu ketika, berlaku kejadian huru-hara sehingga menyebabkan Bara dan Dara Bintik yang merupakan pengikut Puteri Coleoptera bergegas menyelamatkan diri dengan membawa bersama Farhani dan Kim Yong. Di satu kawasan perkhemahan, Bara dan Dara Bintik telah membawa Farhani dan Kim Yong menghadap Puteri Coleoptera yang sangat baik dan sopan. Puteri Coleoptera memohon bantuan mereka berdua untuk menumpaskan Komander Caucasus yang kejam dan tidak berhati perut itu.
Sementara itu, ketika Haikal, Devnath dan Wei mencari jejak kehilangan Farhani di ruang bawah tanah rumah lama itu, mereka telah memasuki dimensi kerajaan kumbang sehingga mereka ditangkap oleh tentera kumbang Bara. Selepas tersedar daripada pengsan, mereka terkejut apabila mendapati mereka menjadi tawanan kumbang yang bersaiz besar di sebuah kawasan hutan. Mereka juga terkejut kerana telah bertemu semula dengan Farhani dan Kim Yong di situ yang berada dalam keadaan selamat. Farhani dan Kim Yong meyakinkan mereka bertiga bahawa kumbang-kumbang itu berhati baik dan merupakan sahabat mereka berdua. Sekali lagi kumbang Bara meminta bantuan daripada mereka berlima untuk membantu Puteri Coleoptera dan pengikutnya menewaskan Komander Caucasus dan tenteranya.
Tiba-tiba, mereka mendapat maklumat bahawa tempat persembunyian mereka itu telah dikesan oleh tentera Caucasus sehingga menyebabkan Puteri Coleoptera, semua pengikutnya, Farhani, dan empat orang rakannya terpaksa meninggalkan tempat itu. Setelah menempuh perjalanan yang memenatkan, akhirnya mereka tiba di tempat persembunyian baharu. Lima buah khemah berjaya didirikan. Tidak lama kemudian, tempat persembunyian mereka telah diserang hendap oleh tentera Komander Caucasus setelah mendapat maklumat daripada si pembelot, Dara Bintik.
Dalam serang hendap itu, Haikal, Devnath dan Wei telah ditangkap sekali lagi dan ditawan oleh tentera Komander Caucasus bersama-sama dengan Puteri Coleoptera dan Bara. Namun dalam serangan hendap itu, Farhani dan Kim Yong berjaya menyembunyikan diri masing-masing. Maharaja Caucasus yang telah menaiki takhta kerajaan kumbang dengan cara menggulingkan Maharaja Tanduk itu berasa amat marah apabila Kim Yong dan Farhani gagal ditangkap. Maharaja Caucasus mengarahkan tenteranya segera mencari Kim Yong dan Farhani yang amat diperlukan untuk dijadikan bahan uji ka|i bagi mencapai impiannya menakluki dunia dan manusia.
Pada suatu malam, Dara Merah, Farhani, Kim Yong, kunang-kunang, dan pengikut mereka telah menyusun strategi untuk menumpaskan Komander Caucasus dan tenteranya  melalui penggunaan cecair Endosulfan sekali gus membebaskan semua tawanan yang dipenjarakan oleh Komander Caucasus. Akhimya, strategi yang telah dirancang itu digunakan pada satu tengah malam. Mereka berjaya menewaskan Komander Caucasus yang kejam dan para tenteranya sekali gus berjaya membebaskan Puteri Coleoptera, Bara, Maharaja Tanduk dan tiga orang rakannya, Haikal, Wei dan Devnath yang telah dikurung itu dengan selamat. Manakala, Komander Caucasus, Dara Bintik dan para tenteranya telah dikurung.
Puteri Coleoptera telah ditabalkan sebagai pemerintah kerajaan kumbang yang baharu. Puteri Coleoptera terhutang budi atas kerjasama dan bantuan danpada Farhani dan empat orang rakannya. Sebagai tanda terima kasih, Puteri Coleoptera menghadiahkan sebuah lambang kebesaran kerajaan kumbang yang diperbuat daripada logam perak berukir cantik kepada setiap seorang. Farhani dan empat orang rakannya telah dibenarkan untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing, namun mereka kecewa kerana kepulangan mereka tidak dapat dilihat oleh ahli keluarga disebabkan mereka telah menjadi halimunan.


Setelah kata sepakat diambil, Farhani dan empat orang rakannya kembali ke dimensi kerajaan kumbang untuk bertemu dengan kumbang Bara. Setelah meminum serum yang diberikan oleh Bara, akhirnya mereka berjaya kembali menjadi manusia asal dan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat. Berita kepulangan mereka telah mendapat liputan yang meluas daripada syarikat media cetak dan media elektronik. Namun, mereka bersepakat untuk merahsiakan cerita sebenar mereka yang menjadi tawanan kerajaan kumbang pimpinan Komander Caucasus.

Friday, 13 January 2017

CHOT



Sinopsis : CHOT

Novel ini mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Alias yang memiliki seekor beruk bernama Chot. Hubungan antara Alias dengan Chot sangat rapat kerana Alias amat mengharapkan Chot untuk membantunya menyara kehidupannya dan ibunya. Ibu Alias mengalami lumpuh, manakala ayahnya telah meninggal dunia sejak lima tahun yang lalu akibat terjatuh semasa memanjat pokok kelapa. Chot merupakan peninggalan arwah ayahnya yang telah dilatih untuk memetik buah kelapa.
Alias tinggal dan membesar di Kampung Dingin. Dia tinggal di sebuah rumah yang sangat usang kerana hanya beratapkan daun rumbia, berdindingkan buluh, papannya pula sudah dimakan anai-anai, manakala tangganya diperbuat daripada batang kayu dan tempinis lama. Mujurlah Mak Su Kiah, iaitu jiran Alias seorang yang baik hati dan selalu menghantar makanan untuk mereka.
Som ialah jiran dan sahabat Alias yang paling rapat serta memahaminya. Mereka bersekolah di sekolah yang sama. Cabaran hidup Alias bertambah rumit apabila Cikgu Sunan, iaitu guru mata pelajaran Matematiknya telah menengkingnya sehingga membuatkan Alias terkejut dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena pada bucu meja rakannya. Akibatnya, telinga Alias bengkak dan bernanah serta berbau busuk. Alias mengambil keputusan untuk tidak datang ke sekolah kerana berasa malu.
Chot pernah hilang sebanyak dua kali. Alias mencarinya di sekeliling kawasan kampung kerana dia amat sayang akan beruknya itu. Alias dan Chot mengambil upah dengan memetik buah kelapa di kebun Pak Din, iaitu ayah Som. Upah memetik buah kelapa itu telah digunakan oleh Alias untuk membeli barangan dapur bagi menyara kehidupannya dan ibunya. Alias dan Chot selalu diusik oleh Budin, Kamal, dan Talib semasa memetik buah kelapa. Pada masa yang sama, Chot telah dituduh menceroboh kebun Miah dan merosakkan setandan pisang miliknya. Pak Din berusaha untuk mententeramkan keadaan dan berjanji akan membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut. Rupa-rupanya beruk yang merosakkan kebun pisang Miah itu bukanlah Chot.
Cikgu Sunan berasa bertanggungjawab atas tindakannya yang menyebabkan Alias jatuh terlentang sehingga telinganya bengkak dan bernanah. Beliau telah meminta bantuan Som untuk menunjukkan lokasi rumah Alias. Kehadiran Cikgu Sunan ke rumah Alias adalah untuk bertanyakan sebab Alias tidak datang ke sekolah sedangkan peperiksaan akhir akan bermula tidak lama lagi. Chot yang berada di atas pokok langsat berasa kurang senang akan kehadiran Cikgu Sunan. Alias yang baru pulang sambil membawa dua biji buah kelapa bersalaman dengan Cikgu Sunan. Cikgu Sunan ingin melihat telinga Alias yang bengkak dan bernanah itu.
Semasa Cikgu Sunan melihat telinga Alias, Chot yang berada di atas dahan pokok langsat telah meronta-ronta sehingga rantai yang mengikatnya putus. Chot menerkam dan menggigit lengan Cikgu Sunan. Alias cuba untuk melepaskan lengan Cikgu Sunan daripada gigitan Chot tetapi gagal. Alias mengambil lembingnya lalu merodok perut Chot hingga menyebabkan Chot terkulai dan mati. Alias berasa amat sedih kerana beruk yang selama ini membantunya mencari rezeki telah mati dan dia tidak dapat ke sekolah lagi. Cikgu Sunan menenangkan Alias dan berjanji akan menanggung segala kos persekolahannya sehinggalah dia memasuki universiti. Alias menguburkan Chot di tepi pokok langsat dan mencacakkan papan yang tertulis “Tunggu aku di pintu universiti, Chot". Alias memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk ke sekolah pada hari esok.

Wednesday, 11 January 2017

SEJADAH RINDU

SAJAK : SEJADAH RINDU


RANGKAP SAJAK
MAKSUD
PERSOALAN
NILAI
PENGAJARAN
Rangkap 1

Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
bait bicara tersentuh kalbu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu.
Penyajak termenung di atas sejadah sewaktu mengungkapkan kalimah syahdu/ sedih hingga menyentuh hatinya dan menjadikan dia menginsafi akan dosa-dosanya yang lalu.

Persoalan tentang keinsafan atas segala dosa lalu yang menghantui hidup.

Keinsafan
Penyajak menginsafi dosa-dosanya yang lalu.

Kita hendaklah insaf setelah melakukan kesalahan/ dosa.
Rangkap 2

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.

Dengan rasa rendah diri, penyajak memohon kepada Tuhan agar diberi keampunan dan segala taubatnya diterima sebelum beliau meninggal dunia seperti yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Persoalan tentang pengharapan akan pengampunan daripada Pencipta sebelum meninggal dunia.

Kegigihan :
Penyajak bersungguh-sungguh dan gigih untuk mendapatkan keampunan sebelum meninggal dunia.

Kita hendaklah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keampunan.
Rangkap 3

Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

Penyajak menangis dengan sesungguh hati dan dia menyerah diri kepada Tuhan. Dalam suasana hening, penyajak teresak-esak menyatakan keinsafan diri.

Persoalan tentang keikhlasan ketika memohon keampunan daripada Pencipta.

Keikhlasan :
Penyajak bertaubat dengan penuh keikhlasan sehingga menitiskan air mata.

Kita hendaklah ikhlas dalam setiap perbuatan kita.
Rangkap 4

Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari pencipta dalam gemuruh.

Hati penyajak sedih dan jiwanya tersentuh dengan ayat-ayat cinta yang disusun rapi sewaktu memohon keampunan daripada Pencipta dengan perasaan yang amat gemuruh.

Persoalan tentang kesungguhan memohon keampunan daripada Pencipta.

Ketaatan : Penyajak taat kepada pencipta dan hanya berharap kepada pengampunan daripada Pencipta.

Kita hendaklah taat kepada pencipta kita.
Rangkap 5

Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.

Penyajak berdoa kepada Tuhan agar menerima dan mengizinkan dirinya menjadi manusia yang sentiasa taat akan perintah Tuhan. Dia juga sedar bahawa dunia ini hanyalah sementara.

Persoalan tentang dunia ini yang hanya bersifat sementara.

Kesedaran :
Penyajak mempunyai kesedaran bahawa dunia ini bersifat sementara sahaja.

Kita hendaklah sedar bahawa dunia ini bersifat sementara.
TEMA

Keinsafan di saat meniti hari-hari terakhir. Penyajak menyesali dosanya dan memohon diberi kesempatan untuk tidak mengulang kembali kehidupan yang lalu kerana penyajak sudah benar-benar insaf.
Contoh :
(R1; B5;B6)
Merekah keinsafan di hati yang beku
Mengenang dosaku yang terdahulu.


PENGAJARAN
Kita hendaklah/ haruslah/ mestilah......

(a)   Kita mestilah segera insaf akan kesilapan diri dan kembali ke jalan hidup yang sebenar.
(b)   Kita mestilah percaya bahawa adanya kita di bumi ini kepada kuasa Tuhan yang Maha Esa.
(c)   Kita mestilah berfikiran matang dan rasional dalam tindakan terutamanya sewaktu usia semakin tua.
(d)   Kita mestilah bersyukur kepada Tuhan atas segala nikmat dan peluang hidup yang dikurniakan kepada kita.
(e)   Kita mestilah taat akan didikan agama dan mengamalkan ajaran agama dengan penuh ketakwaan.
(f)    Kita mestilah mengakui kesalahan diri dan sedar bahawa keampunan daripada Tuhan dapat memberikan ketenangan hidup.
(g)   Kita mestilah ikhlas meminta keampunan daripada Tuhan Yang Maha Esa agar hidup menjadi lebih tenang.
(h)   Kita haruslah jujur dalam perbuatan dan tingkah laku agar tidak menyesal kemudian hari.
(i)    Kita mestilah berani menghadapi segala cabaran dalam kehidupan demi ketenangan hidup pada usia tua

KBAT
   1.    Pada pendapat anda, apakah sebab-sebab seseorang perlu bertaubat daripada segala dosanya yang    lalu?
   2.    Sebagai seorang pelajar, apakah usaha yang perlu anda lakukan untuk membantu rakan anda yang    telah insaf daripada kesalahannya?

   3.    Pada pendapat anda, selain memohon ampun kepada Tuhan, apakah cara-cara lain yang boleh     dilakukan untuk membuktikan bahawa kita telah insaf atas kesalahan yang dilakukan?

Tuesday, 10 January 2017

PROSA TRADISIONAL SPM : BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA


BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA
SINOPSIS
Raja Siam mendapat tahu tentang negeri Melaka sebagai sebuah negara yang kuat dan tidak pernah dikalahkan oleh sesiapa. Raja Siam iaitu Bubunnya menghantar wakil berjumpa Sultan Muzaffar Syah meminta supaya Melaka menyembah (membayar ufti) kepada raja Siam. Sultan Muzaffar menolaknya. Raja Siam marah dan menghantar hulubalangnya iaitu Awi Cakri untuk menyerang Melaka.
Berita Siam hendak menyerang Melaka diketahui oleh Sultan Muzaffar. Baginda menitahkan semua rakyat lelaki dihimpunkan di Melaka. Tun Perak dari Kelang mengumpulkan orang lelaki dari Kelang bersama-sama dengan keluarga mereka. Tujuannya supaya mereka berperang dengan bersungguh-sungguh demi menyelamatkan keluarga mereka. Tentera Siam dapat dikalahkan. Kebijaksanaan Tun Perak mendapat perhatian sultan dan diminta tinggal di Melaka serta dilantik sebagai bentara.
Ada seorang orang Kelang iri hati kepada Tun Perak dan mengadu kepada Sultan bahawa Tun Perak menganiayainya. Sultan menitahkan Tun Perak supaya mengadap. Tun Perak berkata dia bertugas untuk negara dan tahu tanggungjawabnya untuk menjaga negeri. Tun Perak meminta sultan memecatnya jika percaya akan fitnah orang Kelang itu. Sultan sangat gembira dengan jawaban Tun Perak lalu melantiknya sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja. Kedudukan Tun Perak setaraf dengan seorang lagi pegawai iaitu Seri Nara Diraja di balai perjumpaan.
Apabila ada dua orang pembesar, rakyat Melaka berpecah dua. Sebahagian berpihak kepada Paduka Raja dan sebahagian berpihak kepada Seri Nara Diraja. Mereka berdua saling berselisih faham dan tidak bermuafakat hingga boleh membinasakan negara. Sultan berdukacita dan bercadang mendamaikan mereka berdua.
Sultan telah menceraikan isterinya Tun Kudu iaitu anak bendahara Seri Wak Raja iaitu saudara Paduka Raja supaya dapat dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Tun Kudu pernah dipelihara oleh Paduka Raja dengan tanggungan sultan. Sejak dikahwinkan, hubungan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja menjadi erat. Seri Nara Diraja turut menyokong Paduka Raja menjadi Bendahara.
Pada waktu itu terdapat tiga pembesar yang bijaksana di wilayah tersebut iaitu Paduka Raja dan Seri Nara Diraja di Melaka, Patih Aria Gajah Mada di Majapahit dan Orang Kaya Kanayan di Pasai.
Siam menyerang Melaka sekali lagi di bawah pimpinan Awi Dicu. Paduka Raja mengetuai pertahanan Melaka untuk menentang Siam. Seri Bija Diraja telah mengetuai tentera Melaka untuk menyerang Siam yang sudah sampai berhampiran Batu PahatTun Umar yang menaiki perahu bertindak melanggar banyak perahu Siam hingga Siam kalah. Tindakan Tun Umar itu menyebabkan tentera Siam berasa sangat hairan.
Pada waktu malam, Paduka Raja memerintahkan supaya dinyalakan api pada pokok kayu bakau, nyirih dan tumpu api-api. Cahaya api itu menggambarkan seolah-olah terlalu ramai tentera Melaka sedang berkawal di tepi pantai. Askar Siam ketakutan melihat banyaknya askar Melaka lalu mereka balik ke Siam dan tidak jadi menyerang Melaka.
Sultan Muzaffar merayakan kemenangan askar Melaka dengan hadiah persalinan baru. Di Siam, Paduka Bubunnya sangat marah. Anaknya Cau Pandan bermohon untuk untuk menyerang Melaka dan dilengkapkan dengan pelbagai kelengkapan serta perahu yang sangat banyak bilangannya.
Apabila mendengar berita itu, Sultan Muzaffar memerintahkan seorang yang warak (kuat ugama) iaitu Tuan Sidi Arab menggunakan kesaktiannya. Tuan Sidi Arab menghalakan panahnya ke Siam sambil mengatakan Cau Pandan akan mati. Di Siam, Cau Pandan berasa sakit dada kemudian muntah darah lalu mati. Sultan menghadiahkan Tuan Sidi Arab dengan pelbagai anugerah.
Selepas 42 tahun memerintah, Sultan Muzaffar mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda iaitu Sultan Mansur Syah yang berusia 27 tahun. Baginda berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam iaitu anak Seri Nara Diraja.

B.   TEMA:
Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah dihadapi.
Contoh : Tun Perak menyuruh orang lelaki dari Kelang membawa isteri dan anak-anak mereka supaya mereka berperang dengan bermati-matian untuk mengalahkan Siam.

C.   PERSOALAN:
PERSOALAN
PERISTIWA
Kebijaksanaan menggunakan akal dan strategi untuk menyelesaikan masalah
Sultan Muzaffar menggunakan strategi mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu untuk mendamaikan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja.
Perpecahan dalam kalangan pemimpin akan membinasakan negara
Perbalahan antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja menyebabkan orang Melayu berpecah dua dan Melaka dalam keadaan bahaya.
Bersiap siaga dengan ancaman musuh
Paduka Raja sentiasa bersiap sedia dengan strategi awal yang bijak untuk mengalahkan askar Siam.
Kepentingan ilmu dalam kehidupan
Tun Sidi Arab memiliki ilmu yang tinggi hingga boleh membunuh Cau Pandan di Siam hanya dengan menggunakan panahnya dari Melaka.
Keberanian menghadapi cabaran
Tun Perak tidak takut apabila dipanggil sultan setelah orang Kelang menuduhnya menganiaya sultan sebaliknya beliau berani memberi jawapan yang baik hingga sultan melantiknya sebagai perdana menteri.
Taat setia kepada pemimpin
Rakyat Melaka setia dan memberikan daulat kepada sultan Muzaffar hingga menjadikan Melaka sebuah negeri yang kuat dan maju.

D. WATAK DAN PERWATAKAN:

WATAK
PERWATAKAN
PERISTIWA


Tun Perak
bijaksana
mengarahkan lelaki Kelang membawa anak isteri ketika menentang Siam
baik hati
menjaga Tun Kudu yang telah diceraikan sultan sebelum Tun Kudu berkahwin semula.
berani
memimpin askar Melaka menentang askar Siam yang hendak menyerang Melaka.
berpengaruh
beliau mempunyai pengikut yang menyokongnya ketika bersengketa dengan Seri Nara diraja.




SULTAN MUZAFFAR SYAH
mementingkan keharmonian Melaka
berusaha mendamaikan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja untuk memakmurkan Melaka.
prihatin
meraikan askarnya yang menang dengan pemberian hadiah pakaian persalinan.
bijaksana
mendamaikan pembesarnya dengan mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu.
tidak terburu-buru
tidak menghukum Tun Perak setelah Tun Perak difitnah sebaliknya memanggil Tun Perak untuk menceritakan keadaan yang sebenarnya.
menghargai rakyatnya
memberi anugerah dan pujian kepada Tun Sidi Arab yang telah membunuh Cau Pandan.

E. LATAR:
1.   Latar tempat:
-   Melaka - cerita berkisar di negeri Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.
-   Muar - askar Siam di bawah pimpinan Awi Dicu berada di Muar selepas menyerang Melaka.
-   Batu Pahat - askar Siam berada di Batu Pahat untuk menyerang Melaka di bawah Awi Dicu.
-   Kelang - tempat tinggal Tun Perak sebelum dilantik menjadi bendahara Melaka.
-   Siam - tempat tinggal Paduka Babunnya.

2.   Latar masa:
-   Zaman Pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka - semasa Melaka sedang maju dan kuat.
-   Zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah - Sultan Muzaffar memerintah Melaka selama 42 tahun dan Melaka menjadi negeri yang makmur.
-   Zaman Tun Perak menjadi bendahara Melaka - Tun Perak dilantik menjadi bendahara dengan gelaran Paduka Raja. Ketika itu Melaka sangat kuat.

F. NILAI:

NILAI
PERISTIWA
kebijaksanaan
Tun Perak bijaksana apabila mengikat puntung api pada pokok kayu bakau, nyirih dan tumpu api-api pada waktu malam hingga cahaya api itu menggambarkan askar Melaka yang ramai sehingga menakutkan askar Siam.
baik hati
Sultan Muzaffar memberikan askarnya yang menang peperangan dengan sepasang persalinan.
bersatu padu
Semua lelaki Kelang berkumpul dan bersatu untuk menentang askar Siam.
keikhlasan
Seri Nara Diraja sepakat menyokong Paduka Raja dengan ikhlas untuk menjadi bendahara supaya rakyat Melaka bersatu padu dan kuat.
keberanian
Tun Perak berani menentang askar Siam yang ramai jumlahnya hingga dua kali percubaan Siam menyerang Melaka menemui kegagalan
pengorbanan
Sultan Muzaffar berkorban menceraikan Tun Kudu demi mendamaikan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja.
berilmu pengetahuan
Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi sehingga mampu membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dengan hanya menghalakan panahnya ke Siam.

G. PENGAJARAN:

Pengajaran
Peristiwa
Kita mestilah berani menghadapi ancaman musuh demi negara.
Tun Perak dan tentera-tenteranya berani menentang tentera Siam.
Kita mestilah bijak menggunakan strategi untuk menyelesaikan masalah.
Sultan Muzaffar Syah bijaksana dalam menyelesaikan konflik antara Seri Nara Diraja dengan Padka Raja. Tindakan baginda mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu, iaitu saudara Tun Perak telah berjaya menyelesaikan perbalahan antara dua pembesar dan membawa kepada keharmonian neger Melaka.
Kita mestilah ikhlas apabila melakukan sesuatu perbuatan.
Seri Nara Diraja ikhlas menyokong pelantikan Paduka Raja sebgai Bendahara Melaka.
Kita mestilah sanggup bekorban untuk memperoleh kebaikan.
Sultan Muzaffar sanggup berkorban dengan menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Tindakan tersebut dilakukan supaya Seri Nara Diraja berbaik-baik dengan Tun Perak.
Kita mestilah bersatu padu supaya negara menjadi kuat dan maju.
Seri Nara Diraja dan Bendahara Paduka Raja hidup bermuafakat dengan bersatu padu sehingga membolehkan Melaka menghadapi ancaman Siam.
Kita mestilah menghargai jasa dan usaha yang telah dilakukan oleh orang lain kepada kita.
Sultan Muzaffar memberikan askarnya yang menang peperangan dengan sepasang persalinan.
Kita hendaklah menggunakan ilmu pengetahuan untuk melakukan tindakan yang betul.
Tuan Sidi Arab menggunakan ilmu pengetahuannya yang tinggi untuk membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dari jauh demi memastikan keamanan Melaka tidak tergugat.