30/04/2019

Prosa Tradisional : Berbuat Istana Zaman Dahulu [Soalan KBAT dan KOMSAS]


Komsas Tingkatan 5 : Berbuat Istana Zaman Dahulu
Soalan KBAT
1.    Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk mengekalkan seni binaan seperti dalam syair tersebut
P1 Mewujudkan kelas / sekolah / institut kemahiran pertukangan
P2 Melantik pakar yang sedia ada sebagai jurulatih / penasihat
P3 Kemahiran seni bina didokumentasikan / dibukukan
P4 Mengadakan pertandingan berkaitan dengan kemahiran pertukangan

2.    Ciri-ciri rumah yang selesa
P1 kemudahan asas yang lengkap
P2 mempunyai ruang yang luas
P3 persekitaran yang bersih
P4 mudah memperoleh capaian Internet

3.    Sesebuah istana dibina dalam keadaan yang mewah dan indah.
P1 Untuk membezakan taraf/status antara raja dengan rakyat
P2 Untuk menunjukkan kekukuhan ekonomi negara
P3 Menjaga imej/maruah raja
P4 Sebagai lambang/mercu tanda sesebuah negara
P5 menunjukkan kepada kerajaan lain / raja lain akan kehebatan baginda / supaya negara lain kagum akan kehebatan baginda

4.    Apakah kepentingan-kepentingan memelihara bangunan lama
P1 Dapat dijadikan bukti yang kukuh tentang peristiwa yang berlaku / sejarah bangunan lama
P2 Dapat menjadi teladan/iktibar kepada masyarakat tentang jasa para pejuang
P3 Banyak memberi manfaat dari sudut pelancongan
P4 Sebagai sumber rujukan seni bina bangsa

5.    Punca-punca seni ukir kurang diminati oleh generasi muda:
P1 Kurang / tiada pendedahan sejak kecil
P2 terpengaruh oleh gaya hidup moden
P3 kurang penganjuran pertandingan seni ukir
P4 tiada bantuan daripada pihak kerajaan

6.    Selain mementingkan aspek kesenian dan keunikan seni bina, apakah aspek lain yang perlu diambil kira oleh seseorang raja dalam pembinaan sesebuah istana?
P1  Aspek keselamatan – bangunan yang kukuh dan bebas daripada ancaman musuh serta lokasi yang strategik
P2  Kos perbelanjaan pembinaan – membeli bahan binaan dan upah pekerja
P3  Keselesaan – saiz yang luas dan peralatan yang lengkap
P4  Penggunaan teknologi canggih dalam pembinaan

7    Pada pendapat anda, mengapakah istana dibina dengan memuatkan elemen-elemen ukiran dari negara luar?
     P1 menunjukkan mempunyai perhubungan diplomatik dengan negara-negara terbabit
     P2 sebagai tanda kemegahan mempunyai hubungan dengan kuasa-kuasa besar
     P3 menarik pedagang-pedagang negara terbabit untuk berdagang
P4 kelainan untuk mengelakkan persamaan dengan ciri-ciri bangunan tempatan/rakyat tempatan

8.    Setiap orang mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri. Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri sebuah rumah yang selesa?
P1 Mempunyai pelbagai ruang seperti ruang tamu, ruang makan, dapur, dan bilik tidur serta tandas.
     P2 Ruang pengudaraan yang bebas dan tidak tertutup.
     P3 Rumah dibina di kawasan yang banyak mempunyai jiran tetangga.
     P4 Mempunyai tahap keselamatan yang tinggi

9.    Pada pendapat anda, apakah manfaat jika tukang yang membina istana raja tersebut tidak mati selepas istana tersebut siap dibina?                                (3 markah)
-  Raja boleh menggunakan kepakaran tukang tersebut untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih bangunan istana sekiranya mengalami kerosakan
-  Raja juga boleh mendapatkan keuntungan dengan menawarkan kepakaran tukang tersebut kepada negara lain / raja lain yang ingin membina istana
-  Kepakaran tukang-tukang tersebut juga boleh digunakan untuk membina bangunan yang diperlukan oleh raja pada masa hadapan
-  Tenaga pakar itu juga boleh menurunkan kepakaran mereka kepada generasi muda agar bilangan tenaga profesional bertambah dalam negara tersebut untuk memajukan negara tersebut

10.   Pada pendapat anda, mengapakah istana tersebut tidak mampu ditiru seni binanya?
     P1  tiada tukang baharu yang semahir tukang lama
     P2  kemahiran dan kepakaran tukang lama tidak sempat diperturunkan/diwariskan
     P3

Soalan KOMSAS
1.    Kemukakan dua nilai yang terdapat pada seloka tersebut tersebut.
(4 markah)
-            Antara nilai murni yang terdapat dalam seloka tersebut ialah nilai kesetiaan.  Contohnya Orang Besar Empat setia menjunjung titah perintah raja untuk membina sebuah istana yang indah, cantik dan unik. Contohnya, semua rakyat setia pada raja sehingga sanggup melaksanakan perintah raja tanpa membantah dan bekerja siang dan malam tanpa henti.
-            Nilai murni berikutnya ialah nilai bekerjasama.  Contohnya, 44 orang tukang dan utas saling bekerjasama untuk menyiapkan istana raja. Orang Besar Empat, Pawang dan tukang istana yang pakar itu sanggup bekerjasama bekerja siang dan malam sehingga akhirnya berjaya menyiapkan istana raja lam tempoh tujuh bulan.
-            Nilai bertanggungjawab - orang besar berempat bertanggungjawab untuk menguruskan pembinaan istana seperti yang dititahkan oleh raja.
-            Nilai ketaatan – Contohnya, pembesar, Pawang raja dan semua tukang taat pada perintah raja dan menjalankan tugas mereka masing-masing.
-            Nilai kerajinan/ kegigihan dalam melakukan sesuatu pekerjaan agar hasil kerja berkualiti dan siap tepat pada waktunya. – Contohnya, 44 orang tukang dan utas yang gigih dan rajin melakukan kerja-kerja membina istana raja.

3.    Jelaskan dua latar masyarakat yang terdapat dalam seloka tersebut.
(4 markah)
-       Masyarakat yang setia kepada pemerintah / patuh pada perintah raja
-       Masyarakat yang rajin / gigih dalam menyiapkan sesuatu pekerjaan.
-       Masyarakat yang pakar dalam seni ukiran dan seni bina Melayu.
-       Masyarakat yang bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan

4.  Jelaskan dua persoalan yang terdapat dalam seloka tersebut.
(4 markah)
-        Persoalan kesetiaan rakyat kepada pemerintah.
-        Persoalan kerajinan / kegigihan dalam menyiapkan sesuatu pekerjaan.
-        Persoalan keunikan seni ukiran dan seni bina Melayu.
-        Persoalan kerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan

5.  Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam seloka di atas. [4 markah]
    - Dua persoalan yang terdapat dalam seloka di atas ialah persoalan kesetiaan rakyat terhadap   arahan dan perintah raja. Selain itu, kehalusan seni ukiran dan keunikan seni  bina istana.
    - Persoalan lain ialah persoalan ketaatan rakyat kepada  pemerintah. Contohnya, apabila arahan diberikan untuk membina istana semua rakyat taat untuk melaksanakannya
    -  Persoalan bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Contohnya, setiap orang yang mempunyai kemahiran membangunkan istana secara bekerjasama.
    -  Persoalan ketekunan masyarakat  tradisional.  Contohnya, sanggup bekerja untuk membangunkan istana  siang dan malam  serta membahayakan  membahayakan mereka sendiri.

5.    Kemukakan dua pengajaran yang terdapat dalam gurindam tersebut.
                                                               (4 markah)  
-  kita haruslah patuh pada perintah raja.
-       kita haruslah rajin/ gigih dalam melakukan sesuatu pekerjaan agar hasil kerja berkualiti dan siap tepat pada waktunya.
-       kita haruslah berkerjasama dalam menyiapkan sesuatu pekerjaan agar dapat disiapkan dengan mudah dan pantas.
-       kita haruslah taat setia kepada pemerintah / pemimpin negara

29/04/2019

SELOKA – BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU (Za’ba)

SELOKA – BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU (Za’ba)

A MAKSUD

RANGKAP 1
Baginda menitahkan orang besar empat,
Membuat istana puri berkota;
Lalu dipanggil Pawang Raja.
Pawang mengerah orang bekerja,
Empat puluh empat tukang dan utas,
Siang malam tidak berhenti.


Baginda sultan menitahkan orang besar berempat untuk membina istana sebagai mercu tanda kotanya. Oleh hal yang demikian, Pawang Raja telah mengerah rakyat untuk bekerja keras. Sebanyak empat puluh empat orang jurubina dan pandai tukang dan projek pembinaan itu dijalankan siang dan malam tanpa henti.

RANGKAP 2
Tujuh bulan tujuh purnama,
Istana siap dengan alatnya;
Besar tersergam sembilan ruang,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.
Pembinaan istana baginda itu menelan masa tujuh bulan sehingga siapkan sempurna dengan perabot dan segala peralatan di dalamnya. Istana yang disiapkan itu tersergam indah dengan sembilan ruang utama yang memiliki sepuluh batang tiang penyokong. Di dalam istana itu, ada kain yang disusun dan diikat serong dengan puncanya tergantung dan memiliki kawasan anjung yang tinggi.
RANGKAP 3
Tiga sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharaja lela,
Tiang tengah syukur menanti;
Galang-galangnya ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Kasau lentik helang berbega.
Di dalam istana itu, ada tiga sudut untuk kegunaan lapan orang menteri yang utama yang dihias dengan tiga batang tiang yang dinamakan maharaja lela. Di tengah-tengah istana itu, ada sebatang tiang besar yang kukuh yang bertanggam dengan ukiran corak ular yang garang. Kayu yang melintang pada atap istana pula bercorak seorang puteri yang menyembah dan sebatang kayu yang melengkung pada atap istana juga bercorak ukiran helang di sekelilingnya.
RANGKAP 4
Berbunga sawa mengelempai,
Bertakuk bersedelinggam,
Berjenang berbatu kawi,
Berselimpat ukir Jawa,
Lilit-melilit akar Cina;
Garam sebuku sisa jeragan,
Bunga kenanga dimakan ular,
Layang-layang di pintu Raja.
Bahagian tingkap istana raja dibina dengan seni yang istimewa, yakni berukir corak bunga dan ular sawa yang berbaring dengan lemah longlai. Di samping itu, jendela istana pula diperbuat daripada batu yang kukuh dan bertiang. Seni bina ini dipercantik dengan ukiran Jawa dan Cina. Selepas itu, garam ditaburkan di sekeliling istana yang baharu untuk membuang segala kekotoran dan anasir jahat yang cuba dibawa oleh pendatang asing atau nakhoda. Pada pintu istana yang besar itu, ukiran bunga kenanga amat jelas kelihatan bersama corak ular. Demikianlah keunikan istana raja yang siap dibina.
RANGKAP 5
Istana siap tukang pun mati,
Tiada orang dapat meniru:
Dipersembahkan kepada baginda suami isteri.
Setelah istana siap dibina, tukang bina istana pun meninggal dunia. Kesetiaan jurubina istana ini menyempurnakan pembinaan istana ini amat terserlah apabila tiada sesiapa yang dapat meniru teknik dan gaya pembinaan istana tersebut. Apabila istana siap dibina, pembesar yang bertanggungjawab dalam pembinaan itu mempersembahkan istana tersebut kepada baginda raja dan permaisuri.
Kalung Bunga Za'ba, 2008
Dewan Bahasa dan Pustaka

B    TEMA DAN PERSOALAN

Sindiran terhadap golongan raja yang mengutamakan kepentingan sendiri  untuk kemahsyuran peribadi sehingga sanggup mengorbankan nyawa orang lain. Hal ini dapat dibuktikan apabila tukang bina istana meninggal dunia selepas istana siap dibina dan memastikan tiada sesiapa yang mampu meniru pembinaan itu.

Contohnya: 
(R1)   Pawang mengerah orang bekerja.
                   Empat puluh empat tukang dan utas.
                   Siang malam tidak berhenti.

(R5)   Istana siap tukang pun mati.,
                   Tiada orang dapat meniru:

Persoalan
a.     Persoalan seni bina istana masyarakat Melayu tradisional.
(R3)   Galang-galangnya ular berang.
                   Kasau kecil puteri menyembah.
                   Kasau lentik helang berbega.

b.     Persoalan golongan raja yang mementingkan diri sendiri.
R5)    Istana siap tukang pun mati,
                    Tiada orang dapat meniru

c.     Persoalan kehalusan seni ukiran Melayu tradisional
(R4)   Lilit-melilit akar Cina
                   Garam sebuku sisa jeragan
                   Bunga kenanga dimakan ular
                   Layang-layang di pintu Raja

(d)   Kepentingan istana kepada raja.
(e)   Keunikan seni bina istana.
(f)   Kesetiaan pembesar kepada raja.
(g)   Kesempurnaan seni bina istana lama.

C      GAYA BAHASA

(a)    Repitisi
Buktinya,
empat puluh empat tukang dan utas

(b)    Imej alam atau imejan
Buktinya,
Berbunga sawa mengelempai,
Garam sebuku sisa jeragan
Bunga kenangan dimakan ular

(c)     Anafora
Buktinya,
Tiang panjang maharaja lela
Tiang tengah syukur menanti
Kasau kecil puteri menyembah
Kasau lentik helang berbega

(d)    Responsi

Buktinya,
Istana siap dengan alatnya,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.


D NILAI MURNI

(a) Kesetiaan
(b) Bertanggungjawab
(c) Amanah
(d) Kegigihan
(e) Ketaatan

E PENGAJARAN

(a)   Kita mestilah setia kepada raja dan menjalankan titah perintah raja dengan sempurna.
(b)   Kita mestilah bertanggungjawab dalam semua tugasan yang kita jalankan.
(c)   Kita mestilah memegang amanah yang diberikan kepada kita oleh raja.
(d)   Kita mestilah gigih mengerjakan sesuatu tugasan sehingga selesai.
(e)   Kita mestilah taat setia kepada raja dan mengikut titah perintah baginda.




28/04/2019

KEBAIKAN AMALAN MAKAN BERSAMA-SAMA KELUARGA

Budaya makan bersama-sama keluarga di rumah semakin kurang diamalkan oleh masyarakat kita disebabkan setiap orang sibuk dengan urusan masing-masing.
Huraikan pelbagai kebaikan dengan makan bersama-sama keluarga.

Dalam kehidupan manusia yang berkeluarga, waktu makan merupakan masa yang paling istimewa dapat dilakukan sekiranya ada perancangan yang teliti. Hal ini telah diperjelaskan oleh William J. Siegel, iaitu manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi sebenarnya mereka gagal untuk merancang. Oleh itu, ibu bapa perlulah membentuk budaya makan di rumah atau di luar rumah. Galakan agar setiap ahli keluarga duduk bersama-sama di meja makan perlulah diberikan keutamaan. Namun, budaya makan bersama-sama keluarga yang menjadi teras ikatan kekeluargaan semakin dipinggirkan. Anak-anak pada zaman sekarang makan tanpa mengikut waktu makan. Punca utama yang dikenal pasti fenomena ini berlaku kerana bersikap mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dalam menggalakkan anak-anak makan bersama-sama. Ghalibnya, kebaikan makan bersama dengan keluarga sememangnya tiada penghujungnya untuk dibincangkan. Sesungguhnya, pelbagai kebaikan makan bersama-sama keluarga perlu kita kupas untuk dijadikan panduan.

Pada pandangan saya, manfaat utama apabila sesebuah keluarga dapat makan bersama-sama ialah budaya ini dapat meningkatkan disiplin dan adab ketika makan dalam ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana adab ketika di meja makan kini semakin hilang. Anak-anak pula lebih gemar menikmati makanan ketika menonton televisyen ataupun mendengar muzik. Anak-anak pula akan tergesa-gesa untuk menghabiskan makanan bagi mengejar rancangan hiburan masing-masing yang tiada penghujungnya. Oleh sebab itu, ibu bapa wajarlah menetapkan disiplin atau adab di meja makan. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak untuk menyediakan hidangan, membasuh pinggan mangkuk dan mengemas apabila selesai makan. Sebagai kesannya, didikan ini akan menyebabkan ibu bapa akan pulang ke rumah untuk makan bersama-sama anak-anak. Selain itu, kelazatan dan kebersihan makanan serta minuman tersebut akan terjamin. Tambahan pula, kesihatan dengan makan bersama-sama keluarga dapat ditingkatkan. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya dalam soal pengambilan makanan ini. Hakikatnya, makan bersama dengan keluarga mampu membentuk adab sopan anak-anak demi menjadikan mereka anggota masyarakat yang berhemah dalam soal pemakanan.

Selain peningkatan disiplin dan adab ketika makan, budaya makan bersama-sama juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan yang semakin terhakis kini. Hal ini begitu kerana waktu makan ialah masa yang berkualiti, tenang dan menyeronokkan. Dengan demikian, ibu bapa boleh berinteraksi sambil bual-bual dengan anak- anak ketika makan. Selain itu, ibu bapa dan anak-anak boleh berbincang tentang sesuatu perkara yang menggembirakan atau menyedihkan yang telah berlaku dalam tempoh masa yang terdekat. Ibu bapa juga bolehlah bertanya tentang masalah yang dihadapi sama ada masalah peribadi ataupun masalah pembelajaran mereka. Untuk menjadi lebih menyeronokkan ahli-ahli keluarga boleh memasak bersama-sama untuk menyediakan makanan. Anak-anak boleh membantu mengupas bawang dan memotong sayur. Sebagai impaknya, ibu bapa dapat mengesan pergerakan harian anak-anak jika mereka sentiasa bersama. Kemungkinan anak-anak untuk terbabit dalam gejala sosial dapat dikurangkan. Seterusnya, rumah akan dijadikan tempat yang menyeronokkan untuk tinggal dengan lebih lama. Tradisi makan bersama- sama ini dapat mengekalkan institusi keluarga daripada runtuh. Benarlah kata orang cerdik pandai bahawa Rumahku Syurgaku dapat disemai dalam diri anak-anak. Sesungguhnya, makan bersama-sama ini dapat melahirkan suasana yang aman dan damai serta harmoni.

Budaya makan bersama-sama jika diamalkan secara rutin dalam aktiviti harian keluarga akan dapat meningkatkan tahap komunikasi dalam sesebuah keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa mestilah meluarigkan masa makan bersama dengan anak sekurang-kurangnya lima kali seminggu dalam meningkatkan komunikasi. Selain itu, meja makan ialah tempat yang sempurna untuk membincangkan sesuatu yang berlaku dalam kehidupan setiap ahli keluarga. Oleh hal demikian, ibu bapa boleh berkongsi perbualan dengan ahli keluarga yang lain. Ketika berbual-bual ini maka suasana ini akan memberi kesempatan berkomunikasi kepada mereka. Hal ini juga membolehkan anak-anak memerhatikan kelakuan orang lain, khususnya perbuatan yang positif akan dijadikan contoh dan panduan untuk mengharungi hidup yang semakin mencabar di luar sana. Sekiranya komunikasi dua hala dapat dilakukan dengan berhemah dan cemerlang maka sudah tentu tradisi makan bersama-sama ini dapat menjalin ikatan dan perhubungan mesra antara satu dengan yang lain. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa hubungan bagai aur dengan tebing dapat diterapkan dalam institusi keluarga yang seterusnya akan membentuk keharmonian keluarga itu sendiri. Pendek kata, makan bersama dengan keluarga merupakan satu wahana ataupun kaedah komunikasi yang lebih canggih dalam pembentukan institusi keluarga yang mapan.

Kebaikan seterusnya amalan makan bersama-sama keluarga ialah aktiviti ini dapat mendedahkan anak-anak tentang kepentingan pemakanan seimbang yang menjadi tunjang kesihatan diri. Hal ini disebabkan anak-anak lebih mengutamakan pemakanan ringan ataupun makanan segera sebagai menu makanan utama mereka. Anak-anak juga perlu tahu bahawa pengambilan buah-buahan, sayuran dan makanan yang ada nutrien adalah lebih tinggi diambil dalam sajian makanan harian. Oleh sebab itu, anak-anak akan memilih makanan yang lebih menyihatkan ketika mereka makan bersama. Seterusnya, anak-anak akan kurang mengambil makanan goreng, lemak tepu dan pengambilan minuman manis. Tradisi makan bersama-sama ini akan dapat menunjukkan cara pengambilan makanan yang sihat dijadikan keutamaan. Sebagai kesannya, anak-anak dan ahli keluarga akan melebihkan pengambilan makanan berserat dan menyihatkan. Secara tidak langsung, pemakanan yang sihat dapat menurunkan kadar masalah obesiti dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa perlulah menunjukkan cara pemakanan yang sihat kepada anak-anak kerana merekalah uswatun hasanah yang paling rapat dengan anak-anak.  Tegasnya, ibu bapa sebagai pemimpin sesebuah keluarga haruslah mampu memastikan anak-anak membuat pilihan yang baik tentang pemakanan apabila makan bersama-sama.


Sudah terang lagi bersuluh bahawa kebaikan dengan mengamalkan tabiat makan bersama-sama keluarga adalah tidak ternilai harganya. Ibu bapa terutamanya perlu menjadikan tradisi makan bersama-sama keluarga menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Bill Gate ada berkata bahawa sekiranya kita tidak mahu berubah, sedangkan orang lain sudah berubah sebenarnya kita belum berubah. Oleh hal demikian, setiap ahli keluarga haruslah mengamalkan tabiat makan bersama-sama dalam keluarga mereka. Pepatah Melayu juga ada menyebut bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya Dalam erti kata yang lain, budaya makan bersama-sama ini haruslah dijadikan amalan dan budaya yang berkekalan. Seyogia, amalan makan bersama-sama ialah resipi kebahagiaan sesebuah keluarga. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara. Slogan "Rakyat Sihat Negara Sejahtera, haruslah tersemat dalam diri semua insan yang cinta akan kerukunan dan kebahagian rumah tangga.


14/04/2019

Bawang oh Bawang!!



Pantun bersumberkan bawang




Tengah hari sampan bertolak,
Membawa peti berisi bawang;
Hamba ke mari tuan mengelak,
Ke mana lagi kasih menumpang

Nasi hangat sayur pun hangat,
Tumis lobak bersama bawang;
Adik ingat abang pun ingat,
Memandang gambar terkenang-kenang.

Ikan sepat di Parit Baru,
Sayur manis di Tanah Bawang;
Sudah dapat sahabat baru,
Dalam manis saya terbuang.

Pacu kuda di tepi kolam,
Rasa kendur baik direnggang;
Sungguh ada senjata tajam,
Tidak kupotong sebarang bawang.

Raga berisi bunga bawang,
Bawang Bali di kedai Cina;
Hati adik sudah tertawan,
Ikut abang barang ke mana.

Bawang putih dibuat rempah,
Supaya perisa makanan orang;
Abang kupilih taat bersumpah,
Kiranya lidah suka bercabang.
  
Bawang dibeli di kedai Cina,
Cina apek di kedai kopi;
Adik ikut barang ke mana,
Adik hendak bersama mati.

Kalau semanggar rumpun bawang,
Pagar berbuah berlapi-lapis;
Kalau mendengar cakap orang,
Dengarkan dahulu habis-habis.

Jangan menggali buah bawang,
Cari dahulu buah kemiri;
Jangan mencari salah orang,
Carilah dahulu salah sendiri.

Makan nasi berulam bawang,
Makan halia tiga hiris;
Besar mana nak meminang orang,
Air disiram haram tak tiris.

Budak-budak kupas bawang,
Taruh mari di dalam mangkuk;
Jangan bawa resmi keluang,
Tak boleh tengok buah di pokok. 

Pergi selat bulan lima,
Beli bawang dua sepuluh;
Saya berhajat sudah lama,
Tiada tempat saya menyuruh. 

Pergi ke selat bulan lima,
Beli bawang dua sepuluh;
Saya berhajat sudahlah lama,
Tiada orang hendak disuruh.

Pergi ke teluk membeli bawang,
Lada muda di perca kain;
Saya tak takut ditinggal abang,
Badan muda mencari lain.