Friday, 28 October 2016

Sunday, 9 October 2016

Tip Bahasa : Bahasa Istana



TIP KOSA KATA

BAHASA ISTANA

Bahasa Istana ialah laras bahasa yang digunakan oleh kerabat diraja. Bahasa istana   digunakan apabila berhubung atau berkomunikasi dengan kerabat diraja atau apabila kita  berbicara tentang hal ehwal kesultanan.

Bahasa istana masih digunakan pada hari ini biarpun sistem feudal lama hanya tinggal sejarah.


 Bil.
BAHASA STANDARD
BAHASA ISTANA
1
Kalau rakyat  makan dan minum
Raja  santap
2
Kalau rakyat  tidur
Raja  beradu
3
Kalau rakyat  mandi
Raja  bersiram
4
Kalau rakyat  marah
Raja  murka
5
Kalau rakyat  berjalan / bertolak
Raja  berangkat
6
Kalau rakyat  hadir / singgah
Raja  bercemar duli
7
Kalau rakyat  sakit
Raja  gering
8
Kalau rakyat  berkata-kata
Raja  bertitah / bersabda
9
Kalau rakyat tinggal  di pondok / teratak
Raja tinggal di  istana
10
Kalau rakyat duduk di  kerusi / takhta
Raja duduk di  singgahsana
11
Kalau rakyat ada  ayah
Raja ada  paduka ayahanda
12
Kalau rakyat ada  ibu
Raja ada  paduka bonda
13
Kalau rakyat ada  isteri
Raja ada  paduka permaisuri
14
Kalau rakyat ada  nenek
Raja ada  paduka nenda
15
Kalau rakyat ada  anak lelaki
Raja ada  putera
16
Kalau rakyat ada  anak perempuan
Raja ada  puteri
17
Kalau rakyat ada  kakak / abang
Raja ada  paduka kakanda
18
Kalau rakyat ada  adik
Raja ada  paduka adinda
19
Kalau rakyat meninggal  dikebumikan
Raja  dimakamkan
20
Kalau rakyat  meninggal dunia
Raja  mangkat
21
Kalau rakyat jadi  allahyarham
Raja jadi  almarhum
22
Kalau rakyat  memberi  
Raja  menganugerahi / mengurniai
23
Kalau hujan rakyat menggunakan  payung
Raja menggunakan  iram-iram
24
Kalau rakyat membaling  kasut
Raja membaling  kaus
25
Kalau rakyat menyambut  hari lahir
Raja menyambut  hari keputeraan
26
Kalau rakyat ke  bilik air
Raja ke  sungai
27
Kalau rakyat membuang  air kecil
Raja membuang  air seni
28
Kalau rakyat  membuang air besar
Raja  menqada hajat
29
Kalau rakyat  suka / sudi / bersetuju
Raja  berkenan
30
Kalau rakyat  pening kepala
Raja  gering hulu
31
Kalau rakyat  gembira
Raja  sukacita
32
Kalau rakyat  susah hati / sedih
Raja  dukacita / masyghul
33
Kalau rakyat  duduk
Raja  bersemayam
34
Kalau rakyat guna khidmat  pengasuh
Raja guna khidmat  inang
35
Kalau rakyat ada  kepala
Raja ada  jemala
36
Kalau rakyat guna  pelayan
Raja guna  dayang
37
Kalau rakyat guna  hamba perempuan
Raja guna  beti-beti
38
Kalau rakyat tidur di atas  katil
Raja beradu di atas  geta
39
Kalau rakyat ada  tukang masak
Raja ada  gerau
40
Kalau rakyat sedang  berduka
Raja sedang  bercinta
41
Kalau rakyat jadi  tentera
Raja jadi  kesateria
42
Kalau rakyat  minta panjang usia  
Raja  mohon dirgahayu
43
Kalau rakyat guna  hamba pengiring
Raja guna  penakawan  
44
Kalau rakyat  dibantah
Raja  disanggah
45
Kalau rakyat memberi  ucapan takziah
Raja memberi  belasungkawa
46
Kalau rakyat memiliki  kuasa
Raja memiliki  daulat
47
Kalau rakyat  berdoa
Raja  beryang-yang
48
Kalau rakyat ada  pegawai tinggi di istana
Raja ada  sida-sida (pendeta)
49
Kalau rakyat  menurut arahan
Raja  menjunjung titah  
50
Kalau rakyat  berterima kasih
Raja  menjunjung kasih / kurnia 
51
Kalau rakyat  merendah diri
Raja  mencemar duli
52
Kalau rakyat  minta maaf
Raja  mohon ampun kurnia
53
Kalau rakyat berduka di  katil
Raja bercinta di  peraduan
54
Kalau rakyat beri kerelaan, persetujuan
Raja beri  perkenan
55
Kalau rakyat perlu  ditemu
Raja perlu  dihadap

Catatan daripada sahabat saya; Cikgu Nor Azizi

Sunday, 2 October 2016

PENULISAN 7 : Pusat Sumber Sekolah

Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.

DI PERPUSTAKAAN

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Maslahatnya jelas terungkap dalam bait-bait sajak Perpustakaan di atas. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih. Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan kemas  di atas rak-rak  buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program NILAM untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contoh, saya boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program NILAM. Oleh itu, program NILAM dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program NILAM merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Jelaslah bahawa, pelaksanaan program NILAM yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan  komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari Internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini. Saya akan membantu dari segi  penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama, bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada  pengawas  menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengaja  tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah, sistem pinjaman yang sistematik dan efektif adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah minda. Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.