Anda sebagai pengawas pusat sumber
sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah anda.
DI PERPUSTAKAAN
Melangkah
ke ruangmu
Satu
pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati
Pusat
Sumber Sekolah (PSS) merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan
pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Maslahatnya jelas
terungkap dalam bait-bait sajak Perpustakaan di atas. Namun, sejak akhir-akhir
ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering
diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal
ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal
menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara
sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar
menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan
Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan
pusat sumber sekolah?
Selaku
pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan
untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah
satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan
kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain
untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat
sumber akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam
keadaan bersih. Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan
kemas di atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan
ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi
keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat
sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para
pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain
itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program NILAM untuk
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contoh, saya boleh
membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk
kegunaan para pelajar semasa program NILAM. Oleh itu, program NILAM dapat
dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan
pelajar. Program NILAM merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan
Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.
Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa.
Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai
pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Jelaslah bahawa,
pelaksanaan program NILAM yang berkesan menjadi daya penarik kepada para
pelajar untuk mengunjungi pusat sumber.
Seterusnya,
saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang
lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar
dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan
pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar
untuk melayari Internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini. Saya akan
membantu dari segi penyediaan buku-buku
yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini,
pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu
menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara
tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan
menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di
samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya
mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi
pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan
pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan
agama, bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada pengawas
menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk
menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak
sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh
pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan
terutama sekiranya mereka lewat atau sengaja
tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.
Selaku
pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar
menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT
khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan
masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua
bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan
urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘scaning’. Kaedah ini
akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para
pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan
buku. Jelaslah, sistem pinjaman yang sistematik dan efektif adalah penting
untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya,
pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam
pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang
bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada
pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah
minda. Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan
pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat.
No comments:
Post a Comment