08/08/2017

Laporan Bulan Kemerdekaan

Sekolah anda telah mengadakan aktiviti Sepanjang Bulan Kemerdekaan bagi melahirkan semangat cinta akan tanah air kepada para pelajar. Sehubungan dengan itu, anda ditugaskan untuk menyediakan satu laporan lengkap tentang Sambutan Bulan Kemerdekaan yang telah dianjurkan untuk dimuatkan dalam ruangan majalah sekolah. Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Bulan Kemerdekaan
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak

Sepanjang bulan Ogos 2017, Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai, telah mengadakan Sambutan Bulan Kemerdekaan. Program tersebut diadakan bertujuan mencetus dan menanamkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan pelajar. Hal ini ditegaskan oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, ketika merasmikan majlis yang bersejarah itu pada 10 Ogos 2017 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai. Tuan pengetua juga mengharapkan aktiviti yang dijalankan dapat meningkatkan jati diri, menanamkan rasa keinsafan dan perasaan bersyukur dalam kalangan pelajar. Mereka sewajarnya menghargai pengorbanan para pejuang tanah air yang berjuang dengan serba kekurangan, tanpa senjata moden, tanpa alat komunikasi canggih dan tanpa kekayaan harta benda. Mereka hanya memiliki tulang empat kerat untuk menggalas perjuangan bak kata pepatah tiada rotan, akar pun berguna.
Upacara perasmian, Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang. Apabila tirai pentas dibuka, kumpulan koir Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, telah bersedia untuk menyanyikan lagu "Bahtera Merdeka" dan "Tanggal 31". Mereka menyanyi dengan penuh semangat. Setelah tamat persembahan koir, pementasan drama patriotik yang bertajuk "Peristiwa Bukit Kepong" nukilan Puan Hasliza Manap seorang guru Sejarah sekolah ini telah dipentaskan. Drama ini mengisahkan tentang serangan pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang terkenal dalam sejarah Malaysia. Persembahan drama yang bertemakan berpantang mati sebelum ajal begitu menyentuh jiwa dan perasaan guru-guru dan para pelajar.
Selain itu, pihak sekolah juga menjemput seorang tokoh akademik, iaitu Dr. Amira Azman untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Perjuangan Pemimpin Menuntut Kemerdekaan dan Implikasinya terhadap Negara". Kehadiran Dr. Amira Azman ibarat sirih pulang ke gagang kerana beliau merupakan bekas murid sekolah ini. Dalam ceramahnya, beliau mengupas senario perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Dato' Maharajalela dan sebagainya. Bagi Dr. Amira, pejuang-pejuang kemerdekaan tersebut umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Beliau menasihatkan para pelajar supaya berusaha gigih dalam pelajaran demi menjadi manusia yang berguna dan menguasai ilmu pengetahuan bagi mengisi kemerdekaan negara. Beliau juga menasihatkan para pelajar supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.
Pada 12 Ogos 2017, Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotik telah mengisi atur cara sambutan. Pertandingan tersebut melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 5. Peserta yang mengambil bahagian ternyata amat bersemangat sewaktu mendeklamasikan sajak mereka. Bakat peserta yang mengambil bahagian tidak kurang hebatnya. Mereka telah menyampai­kan sajak dengan pelbagai gaya dan kreativiti. Pelajar-pelajar yang tidak mengambil bahagian dalam pertandingan deklamasi sajak diminta menyiapkan biografi tentang tokoh-­tokoh kemerdekaan. Mereka dimestikan mendapat maklumat tentang tokoh-tokoh tersebut dengan melayari Internet. Biografi yang telah dihasilkan oleh para pelajar akan dipertanding­kan. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah.
Pihak sekolah juga pada 15 dan 16 Ogos 2017 telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah di Muar, Johor. Antara tempat yang dilawati ialah Balai Polis Bukit Kepong, Makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja Pagoh dan Hutan Lipur Gunung Ledang. Lawatan ini bertujuan mendedahkan para pelajar untuk melihat kesan dan bukti sejarah yang terdapat di kawasan sendiri. Balai Polis Bukit Kepong merupakan sebuah balai polis yang pernah melalui detik hitam dalam sejarah negara, iaitu peristiwa pertempuran pasukan polis dengan pengganas komunis. Manakala Makam Sultan Alauddin Riayat Syah merupakan makam salah seorang sultan dalam Kesultanan Melayu Melaka. Gunung Ledang pula merupakan satu tempat yang mempunyai kaitan yang rapat dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka apabila Sultan Mahmud ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang pada suatu ketika dahulu.
Sebagai acara kemuncak, pada 30 Ogos 2017, telah diadakan Majlis Perarakan dan Mengibarkan Jalur Gemilang Peringkat Sekolah. Majlis yang dimulai pada pukul 8.00 pagi itu mendapat sambutan di luar dugaan daripada kalangan warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa  dan Guru. Setiap individu yang terlibat diberi Jalur Gemilang bersaiz kecil untuk dikibarkan semasa perarakan. Para pelajar membawa sepanduk yang ditulis dengan kata-kata semangat seperti "Cintai dan Sayangi Malaysia", dan "Malaysia, Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" mengikut kreativiti pelajar. Majlis perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari dataran perhimpunan dan berakhir di tempat yang sama. Setelah tamat acara perarakan, program pada pagi tersebut diteruskan dengan ucapan penutupan program oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai. Dalam ucapannya beliau menyatakan perasaan gembira dan amat berpuas hati dengan perjalanan Sambutan Bulan Kemerdekaan pada kali ini. Beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis yang amat bermakna terutama kepada para pelajar. Selepas itu, Tuan Pengetua menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak dan Pertandingan Menulis Biografi Tokoh Kemerdekaan. Majlis yang penuh warna­-warni dan bersejarah itu melabuhkan tirainya tepat pukul 11.30 pagi dengan nyanyian lagu "Negaraku".

Laporan disediakan,                                             10 SEPTEMBER 2017
    
(NUR NAJWA MOHD ALI)
Tingkatan 5 al-Ghazali,
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai.  





07/08/2017

PENULISAN : AKTIVITI MENARIK DI SEKOLAH

Kemeriahan sambutan Bulan Kemerdekaan di sekolah, haruslah diserikan dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik dan berunsurkan patriotik. Semangat kecintaan terhadap negara secara tak langsung dapat diserapkan kepada anak pelajar melalui program-program seumpama ini. Jom kita tinjau apa idea aktiviti menarik yang boleh dijalankan sepanjang Bulan Kemerdekaan.

1.   Kayuhan Merdeka
Bagi sekolah yang mempunyai ramai bilangan pelajar yang datang ke sekolah dengan menaiki basikal, maka aktiviti ini memang terbaik jika dijalankan. Tak perlu sehingga ke jalanraya utama untuk berkayuh jika bimbangkan keselamatan pelajar. Cukuplah sekadar kayuhan dalam kawasan sekolah dengan membaca bendera Malaysia. Jangan lupa, satu juga basikal untuk Pengetua atau Guru Besar!

2.   Larian Merdeka
Program seumpama ini sebenarnya boleh dijalankan dalam skala yang besar. Iaitu pihak sekolah boleh melibatkan semua warga sekolah bagi tujuan Larian Sempena Kemerdekaan. Senang kan? Cuma tetapkan hari, kumpulkan warga sekolah dan sila lah berlari. Ini juga antara aktiviti yang senang dikawal.


3.   Konvoi Merdeka
Bagi sekolah dengan bilangan pelajar ke sekolah dengan menaiki motosikal yang ramai, maka mungkin anda boleh cuba aktiviti ini. Iaitu Konvoi Merdeka. Kumpulkan bilangan motosikal atau kereta yang mencukupi, hiaskan dengan bendera Malaysia, dan kemudiannya mulakan konvoi anda. Boleh berkonvoi jauh ke kawasan menarik di sekitar tempat anda atau cukup berkonvoi dari luar pagar sekolah ke dalam  kawasan sekolah sebagai simbolik upacara penyerahan bendera kepada Pengetua.


4.   Tayangan Filem Merdeka
Kadang-kadang atas sebab beberapa faktor, pelajar sekarang jarang-jarang diberi peluang menonton cerita keperwiraan yang menjadi idola kita pada suatu hari dulu. Watak-watak dalam filem "Sarjan Hasan", "Leftenan Adnan" dan "Hati Malaya" sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada para pelajar dalam menghayati erti perjuangan yang sebenar. Secara tak langsung juga, dapat mereka belajar pasal sejarah dahulu kala.


5.    Ceramah Tokoh
Bagi sekolah yang berada di tempat bersejarah atau pun mengenali tokoh-tokoh yang pernah terlibat mengusir penjajah dari bumi Malaysia ini, maka anda boleh jemput mereka untuk berkongsikan pengalaman dan kisah menarik mereka. Mendengar daripada orang yang mengalaminya sendiri, tentu memberi lebih banyak kesan kepada mereka yang mendengar. Bukan senang nak dapat tengok 'bukti hidup'. Jika mereka dah tiada, waris mereka juga merupakan calon yang sesuai untuk difikirkan.



6.    Gantung Kain Rentang
Aktiviti ini normal bagi hampir kesemua sekolah yang mengadakan sambutan Bulan Kemerdekaan. Kain rentang dengan warna dan juga kata-kata patriotik dihias indah di seluruh kawasan sekolah. Tak dilupakan juga bendera Malaysia dan negeri masing-masing yang menjadi kebanggaan. Cadangan saya, jika mahu berjimat, maka tuliskan saja "Selamat Hari Kebangsaan" tanpa perlu menulis tahun atau sambutan kali ke berapa. Nanti tahun depan boleh guna lagi!

7.    Hias Kelas
Bagi nak menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah, maka jangan lupa juga hiaskan kelas anda dengan hiasan yang bertemakan Kemerdekaan. Bendera Malaysia dan bendera negeri merupakan antara hiasan wajib ada dalam kelas. Tak lupa juga poster dengan wajah-wajah tokoh yang berjuang untuk kemerdekaan negara. Kata-kata patriotik daripada tokoh-tokoh ini juga boleh dijadikan poster hiasan dinding yang menarik.


8.    Nyanyian
Persembahan nyanyian di dataran sekolah, mungkin seminggu sekali dalam bulan Kemerdekaan, atau pun setiap hari dalam minggu sambutan. Setiap kelas yang mempersembahkan nyanyian mereka perlulah mengenakan pakaian tradisional bagi menambah seri.



9.    Main Muzik Tradisional

Bakat hebat macam nih memang jarang nak jumpa. Tapi kalau kat sekolah cikgu ada pelajar-pelajar yang pandai main alat muzik tradisional macam Er-Hu, Betaboh, Tabla, Gendang Cina, Seruling, Gamelan, Angklung, Sumputon dan lain-lain, maka sila lah gunakan bakat mereka dengan seadanya. Sekurang-kurangnya ini juga peluang mereka untuk mengasah bakat. Dalam masa yang sama tentu muncul peminat dan penggemar baru bagi alat muzik tersebut.



10.   Bendera Botol

Aktiviti yang banyak sekolah buat sejak dari zaman berzaman. Namun keseronokannya masih boleh dirasakan apatah jika dibuat beramai-ramai. Boleh arahkan pelajar mengumpulkan botol mineral bersaiz kecil. Warnakan mengikut bendera jika rajin. Kemudian susun di pagar sekolah mengikut bendera Malaysia, atau mengikut kata-kata sempena Merdeka.



11.   Bina Model Bangunan Bersejarah

Jika nak tambahkan lagi rasa kemeriahan sambutan Merdeka di sekolah, boleh juga binakan model sementara bangunan bersejarah yang ada di Malaysia. Bayangkan jika Kota A Famosa versi mini dan model dibina di kawasan strategik sekolah anda, bersebelahan dengan bangunan bersejarah lain yang ada di Malaysia, tentu sesuai sekali dijadikan lokasi fotografi terbaik di sekolah!



12.   Lakonan Semula Adegan Sejarah

Sekolah dengan pasukan teater atau drama yang aktif boleh mengadakan lakonan semula adegan sejarah perjuangan Kemerdekaan bagi membolehkan pelajar mengikuti kisah mereka dengan lebih dekat. Kalau nak lebih menarik, boleh terus adakan di kawasan terbuka seperti kantin, dewan sekolah atau dataran perhimpunan, tanpa perlu ada perancangan yang rapi. Spontan!



13.   Berpakaian Tradisional

Bagi nak memeriahkan perhimpunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan di sekolah, apa kata pihak sekolah benarkan para pelajar berpakaian tradisional untuk satu hari. Tentu menarik jika kita melihat satu sekolah dengan pakaian tradisional masing-masing. Bekalkan juga bendera Malaysia, bagi mewujudkan lagi suasana seperti yang dikehendaki. Sebelum tamat persekolahan, umumkan juga Raja dan Ratu Sehari ala-ala Prom King, Prom Queen.



14.   Pertunjukan Fesyen

Sekali sekala buat kelainan sambutan Merdeka dengan Pertunjukan Fesyen. Boleh anjurkan pertandingan mereka fesyen dalam kalangan para pelajar, atau pun sekadar pertunjukan fesyen-fesyen yang sesuai dengan tema kemerdekaan. Jika sekiranya sekolah anda mempunyai koleksi-koleksi pakaian tradisional dari pelbagai bangsa di Malaysia, elok juga gunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan kepada anak murid mengenai pakaian tradisional tersebut.



15.   Pameran

Akhir sekali, pameran yang berkaitan dengan Kemerdekaan boleh juga dianjurkan di sekolah. Pilih satu ruang atau kawasan yang sesuai, dan pamerkan barang-barang, atau artikel, atau gambar yang berkaitan dengan sejarah kemerdekaan. Tak lupa juga nak bagi lebih menarik, hias cantik-cantik kawasan tersebut dengan hiasan yang berciri Hari Kemerdekaan.



Semoga aktiviti-aktiviti ini dapat memberi idea kepada rakan guru dalam memikirkan aktiviti sesuai yang menarik untuk diadakan di sekolah sepanjang Bulan Kemerdekaan ini. Paling penting harus diingat adalah impak aktiviti tersebut kepada pelajar dalam mendidik pelajar untuk menghayati erti nilai kemerdekaan sebenar. Jom kongsikan idea sambutan daripada sekolah anda pulak!

sumber : http://www.cikguhailmi.com/