Budaya makan bersama-sama
keluarga di rumah semakin kurang diamalkan oleh masyarakat kita disebabkan
setiap orang sibuk dengan urusan masing-masing.
Huraikan pelbagai kebaikan
dengan makan bersama-sama keluarga.
Dalam kehidupan manusia yang berkeluarga, waktu makan merupakan
masa yang paling istimewa dapat dilakukan sekiranya ada perancangan yang
teliti. Hal ini telah diperjelaskan oleh William J. Siegel, iaitu manusia tidak
merancang untuk gagal, tetapi sebenarnya mereka gagal untuk merancang. Oleh
itu, ibu bapa perlulah membentuk budaya makan di rumah atau di luar rumah.
Galakan agar setiap ahli keluarga duduk bersama-sama di meja makan perlulah
diberikan keutamaan. Namun, budaya makan bersama-sama keluarga yang menjadi
teras ikatan kekeluargaan semakin dipinggirkan. Anak-anak pada zaman sekarang
makan tanpa mengikut waktu makan. Punca utama yang dikenal pasti fenomena ini
berlaku kerana bersikap mementingkan diri sendiri
bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dalam
menggalakkan anak-anak makan bersama-sama. Ghalibnya, kebaikan makan bersama
dengan keluarga sememangnya tiada penghujungnya untuk dibincangkan.
Sesungguhnya, pelbagai kebaikan makan bersama-sama keluarga perlu kita kupas
untuk dijadikan panduan.
Pada pandangan saya, manfaat utama apabila sesebuah keluarga dapat
makan bersama-sama ialah budaya ini dapat meningkatkan
disiplin dan adab ketika makan dalam ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian
kerana adab ketika di meja makan kini semakin hilang. Anak-anak pula lebih
gemar menikmati makanan ketika menonton televisyen ataupun mendengar muzik.
Anak-anak pula akan tergesa-gesa untuk menghabiskan makanan bagi mengejar rancangan
hiburan masing-masing yang tiada penghujungnya. Oleh sebab itu, ibu bapa
wajarlah menetapkan disiplin atau adab di meja makan. Ibu bapa boleh mengajar
anak-anak untuk menyediakan hidangan, membasuh pinggan mangkuk dan mengemas
apabila selesai makan. Sebagai kesannya, didikan ini akan menyebabkan ibu bapa
akan pulang ke rumah untuk makan bersama-sama anak-anak. Selain itu, kelazatan
dan kebersihan makanan serta minuman tersebut akan terjamin. Tambahan pula,
kesihatan dengan makan bersama-sama keluarga dapat ditingkatkan. Pepatah Melayu
ada menyatakan bahawa
mencegah lebih baik daripada mengubatinya dalam soal pengambilan
makanan ini. Hakikatnya, makan bersama dengan keluarga mampu membentuk adab
sopan anak-anak demi menjadikan mereka anggota masyarakat yang berhemah dalam
soal pemakanan.
Selain peningkatan disiplin dan adab ketika makan, budaya makan
bersama-sama juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan yang semakin terhakis
kini. Hal ini begitu kerana waktu makan ialah masa yang berkualiti, tenang dan
menyeronokkan. Dengan demikian, ibu bapa boleh berinteraksi sambil bual-bual
dengan anak- anak ketika makan. Selain itu, ibu bapa dan anak-anak boleh
berbincang tentang sesuatu perkara yang menggembirakan atau menyedihkan yang
telah berlaku dalam tempoh masa yang terdekat. Ibu bapa juga bolehlah bertanya
tentang masalah yang dihadapi sama ada masalah peribadi ataupun masalah
pembelajaran mereka. Untuk menjadi lebih menyeronokkan ahli-ahli keluarga boleh
memasak bersama-sama untuk menyediakan makanan. Anak-anak boleh membantu
mengupas bawang dan memotong sayur. Sebagai impaknya, ibu bapa dapat mengesan
pergerakan harian anak-anak jika mereka sentiasa bersama. Kemungkinan anak-anak
untuk terbabit dalam gejala sosial dapat dikurangkan. Seterusnya, rumah akan
dijadikan tempat yang menyeronokkan untuk tinggal dengan lebih lama. Tradisi
makan bersama- sama ini dapat mengekalkan institusi keluarga daripada runtuh.
Benarlah kata orang cerdik pandai bahawa Rumahku Syurgaku dapat disemai dalam
diri anak-anak. Sesungguhnya, makan bersama-sama ini dapat melahirkan suasana
yang aman dan damai serta harmoni.
Budaya makan bersama-sama jika diamalkan secara
rutin dalam aktiviti harian keluarga akan dapat meningkatkan tahap komunikasi
dalam sesebuah keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa mestilah meluarigkan masa makan bersama
dengan anak sekurang-kurangnya lima kali seminggu dalam meningkatkan
komunikasi. Selain itu, meja makan ialah tempat yang sempurna untuk
membincangkan sesuatu yang berlaku dalam kehidupan setiap ahli keluarga. Oleh
hal demikian, ibu bapa boleh berkongsi perbualan dengan ahli keluarga yang
lain. Ketika berbual-bual ini maka suasana ini akan memberi kesempatan
berkomunikasi kepada mereka. Hal ini juga membolehkan anak-anak memerhatikan
kelakuan orang lain, khususnya perbuatan yang positif akan dijadikan contoh dan
panduan untuk mengharungi hidup yang semakin mencabar di luar sana. Sekiranya
komunikasi dua hala dapat dilakukan dengan berhemah dan cemerlang maka sudah
tentu tradisi makan bersama-sama ini dapat menjalin ikatan dan perhubungan
mesra antara satu dengan yang lain. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa hubungan
bagai aur dengan tebing dapat diterapkan dalam institusi keluarga yang
seterusnya akan membentuk keharmonian keluarga itu sendiri. Pendek kata, makan
bersama dengan keluarga merupakan satu wahana ataupun kaedah komunikasi yang
lebih canggih dalam pembentukan institusi keluarga yang mapan.
Kebaikan seterusnya amalan makan bersama-sama
keluarga ialah aktiviti ini dapat mendedahkan anak-anak tentang kepentingan
pemakanan seimbang yang menjadi tunjang kesihatan diri. Hal ini disebabkan
anak-anak lebih mengutamakan pemakanan ringan ataupun makanan segera sebagai
menu makanan utama mereka. Anak-anak juga perlu tahu bahawa pengambilan
buah-buahan, sayuran dan makanan yang ada nutrien adalah lebih tinggi diambil
dalam sajian makanan harian. Oleh sebab itu, anak-anak akan memilih makanan
yang lebih menyihatkan ketika mereka makan bersama. Seterusnya, anak-anak akan
kurang mengambil makanan goreng, lemak tepu dan pengambilan minuman manis.
Tradisi makan bersama-sama ini akan dapat menunjukkan cara pengambilan makanan
yang sihat dijadikan keutamaan. Sebagai kesannya, anak-anak dan ahli keluarga
akan melebihkan pengambilan makanan berserat dan menyihatkan. Secara tidak
langsung, pemakanan yang sihat dapat menurunkan kadar masalah obesiti dalam
kalangan anak-anak. Ibu bapa perlulah menunjukkan cara pemakanan yang sihat
kepada anak-anak kerana merekalah uswatun hasanah yang paling rapat dengan anak-anak. Tegasnya, ibu bapa
sebagai pemimpin sesebuah keluarga haruslah mampu memastikan anak-anak membuat
pilihan yang baik tentang pemakanan apabila makan bersama-sama.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa kebaikan dengan
mengamalkan tabiat makan bersama-sama keluarga adalah tidak ternilai harganya.
Ibu bapa terutamanya perlu menjadikan tradisi makan bersama-sama keluarga
menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Bill Gate ada berkata
bahawa sekiranya kita tidak mahu berubah, sedangkan orang lain sudah berubah
sebenarnya kita belum berubah. Oleh hal yang demikian, setiap ahli keluarga haruslah
mengamalkan tabiat makan bersama-sama dalam keluarga mereka. Pepatah Melayu
juga ada menyebut bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya Dalam erti kata yang lain, budaya makan bersama-sama ini haruslah
dijadikan amalan dan budaya yang berkekalan. Seyogia, amalan makan bersama-sama
ialah resipi kebahagiaan sesebuah keluarga. Individu yang sihat akan mampu
memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara. Slogan "Rakyat
Sihat Negara Sejahtera, haruslah tersemat dalam diri semua insan yang cinta
akan kerukunan dan kebahagian rumah tangga.
No comments:
Post a Comment