Bab 21: Hijrah Remaja Harapan
Pada pagi itu Dahlia pergi ke balai raya. Pada ketika itu, tidak ramai yang datang ke balai raya untuk bergotong-royong bagi majlis sambutan Maulidur Rasul yang akan diadakan malam nanti. Dahlia membantu kerja-kerja memasak di situ. Tauke Lim turut menyumbangkan barang-barang untuk sambutan tersebut. Haji Sulaiman selaku ketua kampung amat risau akan hal ini kerana kurang sambutan. Aton dan Abu Bakar turut berada di balai raya itu. Kedatangan Abu Bakar mengejutkan Dahlia kerana dia tidak menyangka adiknya akan membantu kerja-kerja tersebut.
Aton banyak bercakap daripada melakukan kerja. Dia memberitahu Mak Aji, isteri Haji Sulaiman bahawa Dahlia membawa lelaki silih berganti ke rumahnya. Kata-kata Aton telah menyebabkan Dahlia bersedih. Abu Bakar yang terdengar akan kata-kata Aton itu telah hilang sabar dan hampir-hampir memukul Aton tetapi dihalang oleh Haji Sulaiman.
Dahlia terus pulang ke rumah selepas peristiwa itu. Abu Bakar telah memujuk Dahlia. Dahlia memberitahu telah banyak dugaan yang ditempuhinya. Abu Bakar juga telah memeluk abahnya dan memberitahu dialah yang telah mencuri kambing milik abahnya.
Bab 22: Kain Merah yang Reput
Abu Bakar telah insaf akan perbuatannya yang terpengaruh oleh kawan-kawannya yang datang daripada keluarga yang senang. Dia banyak membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah. Abu Bakar bertekad untuk memberi sumbangan kepada keluarganya.
Sewaktu mengemas barang-barang di bawah rumahnya, Abu Bakar terjumpa kain merah yang hampir reput membalut dua biji telur ayam yang mengandungi jarum peniti, cincin akik, butiran pasir, dan dua batang paku. Barang-barang ini menunjukkan selama ini ada orang yang berhasad dengki terhadap keluarga mereka. Abu Bakar ingin menunjukkan barang-barang itu kepada Embong tetapi dilarang oleh Dahlia. Dahlia menyuruh Abu Bakar membuangnya ke sungai. Dahlia melarang adiknya menyimpan perasaan dendam.
Dahlia mendapati Nek Kiah sudah beberapa hari tidak kelihatan di rumahnya atau di mana-mana di kampung itu. Keadaan ini merisaukan Dahlia. Dahlia telah pergi ke rumah Nek Kiah dan didapati neneknya sedang sakit. Namun begitu, Nek Kiah telah menghalaunya.
Bab 23: Sinar Kebahagiaan
Dahlia kembali semula ke sekolah. Kehadiran dahlia disambut dengan gembira oleh kawan-kawannya. Kavita memberitahu Dahlia bahawa Najib begitu berharap agar Dahlia dapat menerima cintanya. Akan tetapi, Dahlia hanya menganggap Najib sebagai sahabat sahaja, tidak lebih daripada itu.
Semasa pulang ke rumah, Dahlia amat gembira apabila mendapati emaknya telah pulang dari hospital. Saleha telah pulih daripada penyakitnya. Azhari juga ada bersama-sama ketika itu. Dahlia mengajak Azhari pergi ke rumah neneknya. Nek Kiah terbaring dalam keadaan mata yang terpejam. Panggilan Dahlia juga tidak disahutnya.
Bab 24: Runtuhnya Tembok Kesombongan
Nek Kiah tinggal di rumah Embong selepas dimasukkan ke wad selama dua hari. Nek Kiah berasa bersalah terhadap keluarga Embong. Mereka melayan Nek Kiah dengan baik. Anak-anak dan cucunya yang lain, termasuk Seman langsung tidak menziarahinya ketika beliau sakit.
Pada hari itu, hujan turun dengan lebat. Air sungai sudah mula melimpah. Abu Bakar memaklumkan jambatan telah patah dan orang kampung telah mula mengemas barangbarang untuk berpindah ke balai raya. Embong dah ahli keluarganya turut berkemas untuk berpindah ke balai raya. Dahlia dan keluarganya berpindah dengan menaiki bot ke balai raya. Terdengar rungutan penduduk tentang keadaan yang berlaku itu. Bagi Haji Sulaiman, banjir yang berlaku itu ada hikmah yang tersendiri.
Bab 25: Inilah Kampungku!
Banjir telah menyebabkan rumah Embong roboh. Nek Kiah telah mengajak Embong sekeluarga tinggal di rumahnya. Mereka bersyukur akan perubahan Nek Kiah. Nek Kiah juga tidak lagi menyebut tentang tanah yang hendak dijual itu.
Sebelum semua mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing, Haji Sulaiman telah menyampaikan ucapan kepada penduduk Kampung Parit Haji Rais. Beliau menyeru agar penduduk kampung saling membantu antara satu sama lain dan prihatin akan masalah jiran tetangga. Beliau juga berharap supaya penduduk kampung bersatu dan bersama-sama menjayakan apa-apa projek di kampung itu keran mereka hidup bermasyarakat.
Kesan daripada kata-kata Haji Sulaiman, penduduk kampung itu mulai insaf dan mereka telah bergotong-royong membina rumah Embong semula dengan wang sumbangan parti. Haji Sulaiman bangga akan perubahan sikap penduduk kampungnya. Begitu juga dengan Tauke Lim. Dahlia amat terharu dan terasa dirinya tidak disisihkan. Tauke Lim mengusik Dahlia, rumah baharu nanti bolehlah dia naik pelamin.
Bab 26: STPM, akan Kugapai Kecemerlangan
Dahlia sibuk membuat persiapan terakhir sebelum peperiksaan STPM menjelang. Dalam kesibukan itu, Azhari telah dating dengan ibunya bagi membincangkan tarikh pertunangan mereka. Keputusan dibuat pada 30 Disember, iaitu selepas Dahlia tamat peperiksaannya. Dahlia hanya menurut sahaja kehendak keluarga Azhari dan keluarganya.
Selepas tamat peperiksaan, Dahlia berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawannya. Dahlia juga memberitahu Siti Wangi dan Kavita tentang pertunangannya. Dahlia juga bercadang untuk bekerja di kilang untuk mencari pengalaman.
Bab 27: Bunga-bunga Kejayaan dalam Genggaman
Cikgu Daim telah datang ke rumah Embong untuk memberitahu bahawa Dahlia telah terpilih untuk mengikuti pengajian di salah sebuah universiti di Jepun selama empat tahun. Pemilihan Dahlia dibuat atas cadangan sekolahnya dan Jabatan Pelajaran Johor berdasarkan pencapaiannya dalam peperiksaan. Sebelum bertolak ke Jepun Dahlia akan belajar bahasa Jepun di Universiti Malaya selama enam bulan. Azhari terdengar berita itu ketika dia datang untuk membeli cincin pertunangan mereka. Dia mengucapkan tahniah dan merelakan Dahlia belajar di Jepun. Dahlia akan mendaftar di Universiti Malaya sehari selepas dia bertunang dengan Azhari.
Bab 28 : Koi-bito
Dahlia amat gembira kerana hubungan keluarganya dengan Nek Kiah semakin rapat. Akan tetapi, Dahlia rasa sedikit berduka kerana dia akan ke Kuala Lumpur selepas pertunangannya. Nek Kiah telah menghadiahkan gelang pusaka kepada Dahlia.
Dahlia teringat kembali kenangannya sewaktu pergi membeli cincin dengan Azhari. Kawan-kawan Dahlia dan Cikgu Hisyam turut hadir sewaktu majlis pertunangannya. Bas ke Kuala Lumpur akan bertolak pukul 5:00 petang tetapi rombongan keluarga Azhari belum juga sampai. Dahlia semakin risau. Abahnya menyuruh Dahlia berkemas untuk bertolak ke Kuala Lumpur. Haji Sulaiman menyerahkan sumbangan orang kampung kepada Dahlia sebanyak RM500 termasuk yang diberi oleh Tauke Lim sebanyak RM300.
Akhirnya, Dahlia tiba di stesen bas Bandar Penggaram yang jauhnya kira-kira 17 kilometer dari kampungnya. Azhari datang berjumpa dengan Dahlia dan memberitahu punca kelewatannya kerana jurucakap majlis yang merupakan pak ciknya lambat sampai. Sebelum menaiki bas, Azhari telah menghadiahkan sehelai songket berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia. Azhari juga menyebut “Koi-bito” yang tidak diketahui maksudnya. Azhari meminta Dahlia agar menjaga jati diri sebagai orang Melayu walau berada di mana-mana pun.
No comments:
Post a Comment