11/01/2017

SEJADAH RINDU

SAJAK : SEJADAH RINDU


RANGKAP SAJAK
MAKSUD
PERSOALAN
NILAI
PENGAJARAN
Rangkap 1

Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
bait bicara tersentuh kalbu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu.
Penyajak termenung di atas sejadah sewaktu mengungkapkan kalimah syahdu/ sedih hingga menyentuh hatinya dan menjadikan dia menginsafi akan dosa-dosanya yang lalu.

Persoalan tentang keinsafan atas segala dosa lalu yang menghantui hidup.

Keinsafan
Penyajak menginsafi dosa-dosanya yang lalu.

Kita hendaklah insaf setelah melakukan kesalahan/ dosa.
Rangkap 2

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.

Dengan rasa rendah diri, penyajak memohon kepada Tuhan agar diberi keampunan dan segala taubatnya diterima sebelum beliau meninggal dunia seperti yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Persoalan tentang pengharapan akan pengampunan daripada Pencipta sebelum meninggal dunia.

Kegigihan :
Penyajak bersungguh-sungguh dan gigih untuk mendapatkan keampunan sebelum meninggal dunia.

Kita hendaklah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keampunan.
Rangkap 3

Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

Penyajak menangis dengan sesungguh hati dan dia menyerah diri kepada Tuhan. Dalam suasana hening, penyajak teresak-esak menyatakan keinsafan diri.

Persoalan tentang keikhlasan ketika memohon keampunan daripada Pencipta.

Keikhlasan :
Penyajak bertaubat dengan penuh keikhlasan sehingga menitiskan air mata.

Kita hendaklah ikhlas dalam setiap perbuatan kita.
Rangkap 4

Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari pencipta dalam gemuruh.

Hati penyajak sedih dan jiwanya tersentuh dengan ayat-ayat cinta yang disusun rapi sewaktu memohon keampunan daripada Pencipta dengan perasaan yang amat gemuruh.

Persoalan tentang kesungguhan memohon keampunan daripada Pencipta.

Ketaatan : Penyajak taat kepada pencipta dan hanya berharap kepada pengampunan daripada Pencipta.

Kita hendaklah taat kepada pencipta kita.
Rangkap 5

Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.

Penyajak berdoa kepada Tuhan agar menerima dan mengizinkan dirinya menjadi manusia yang sentiasa taat akan perintah Tuhan. Dia juga sedar bahawa dunia ini hanyalah sementara.

Persoalan tentang dunia ini yang hanya bersifat sementara.

Kesedaran :
Penyajak mempunyai kesedaran bahawa dunia ini bersifat sementara sahaja.

Kita hendaklah sedar bahawa dunia ini bersifat sementara.
TEMA

Keinsafan di saat meniti hari-hari terakhir. Penyajak menyesali dosanya dan memohon diberi kesempatan untuk tidak mengulang kembali kehidupan yang lalu kerana penyajak sudah benar-benar insaf.
Contoh :
(R1; B5;B6)
Merekah keinsafan di hati yang beku
Mengenang dosaku yang terdahulu.


PENGAJARAN
Kita hendaklah/ haruslah/ mestilah......

(a)   Kita mestilah segera insaf akan kesilapan diri dan kembali ke jalan hidup yang sebenar.
(b)   Kita mestilah percaya bahawa adanya kita di bumi ini kepada kuasa Tuhan yang Maha Esa.
(c)   Kita mestilah berfikiran matang dan rasional dalam tindakan terutamanya sewaktu usia semakin tua.
(d)   Kita mestilah bersyukur kepada Tuhan atas segala nikmat dan peluang hidup yang dikurniakan kepada kita.
(e)   Kita mestilah taat akan didikan agama dan mengamalkan ajaran agama dengan penuh ketakwaan.
(f)    Kita mestilah mengakui kesalahan diri dan sedar bahawa keampunan daripada Tuhan dapat memberikan ketenangan hidup.
(g)   Kita mestilah ikhlas meminta keampunan daripada Tuhan Yang Maha Esa agar hidup menjadi lebih tenang.
(h)   Kita haruslah jujur dalam perbuatan dan tingkah laku agar tidak menyesal kemudian hari.
(i)    Kita mestilah berani menghadapi segala cabaran dalam kehidupan demi ketenangan hidup pada usia tua

KBAT
   1.    Pada pendapat anda, apakah sebab-sebab seseorang perlu bertaubat daripada segala dosanya yang    lalu?
   2.    Sebagai seorang pelajar, apakah usaha yang perlu anda lakukan untuk membantu rakan anda yang    telah insaf daripada kesalahannya?

   3.    Pada pendapat anda, selain memohon ampun kepada Tuhan, apakah cara-cara lain yang boleh     dilakukan untuk membuktikan bahawa kita telah insaf atas kesalahan yang dilakukan?

No comments: