01/01/2017

Songket Berbenang Emas

Songket Berbenang Emas
Sinopsis Keseluruhan Novel
     Novel ini mengisahkan kehidupan Dahlia, seorang pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat yang pintar dan disenangi oleh teman-temannya seperti Kavita dan Siti Wangi. Namun, Dahlia menghadapi masalah keluarga hingga mengganggu tumpuannya terhadap peperiksaan STPM yang bakal didudukinya. Ibunya iaitu Saleha dimasukkan ke Hospital Permai, Johor Bahru kerana kemurungan dan hilang ingatan. Ayahnya pula iaitu Embong dimasukkan ke wad 4 Hospital Batu Pahat kerana pahanya dipatuk ular tedung. Adiknya iaitu Abu Bakar tidak mendengar kata/bersikap degil  setelah tersilap memilih rakan. Dia tergamak menjual kambing peliharaan ayahnya demi mendapatkan wang kerana dia tidak bekerja setelah mendapat pangkat 3 dalam SPM. Dia juga pada mulanya tidak menghiraukan masalah yang melanda keluarganya walaupun dia anak lelaki tunggal dalam keluarga Dahlia. Nenek Kiah pula beranggapan bahawa keluarga Dahlia ditimpa nasib malang kerana beranggapan rumah yang didiami oleh mereka berhantu. Nenek Kiah juga sering mencemuh mereka berbanding anak cucunya yang lain. Dengan hasutan Seman iaitu bapa saudara Dahlia, Nenek Kiah mengambil keputusan untuk menjual tanahnya yang diduduki / ditumpangi oleh keluarga Dahlia. Namun begitu, Tauke Lim menawarkan pertolongannya tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran.
     Sebagai anak sulung, Dahlia terpaksa memberikan perhatian kepada keluarganya.  Sementelahan, adik-adiknya iaitu Mawar (pelajar sekolah berasrama penuh), Kiambang (pelajar tingkatan 1 / berusia 13 tahun), Melati (11 tahun) dan Anggerik (11/2 tahun) masih belum mampu berdikari. Apabila ibunya dirawat di Hospital Permai, Dahlia terpaksa memilih untuk keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya. Apabila masalah kelurganya makin meruncing, Dahlia bertekad untuk berhenti sekolah, dan bekerja di kilang bagi menyara adik-adiknya yang masih bersekolah.  Dahlia tetap dengan keputusannya walaupun dinasihati oleh cikgu Hisyam.  Setelah ibunya dibenarkan keluar dari wad, kampung mereka dilanda banjir besar.  Rumah mereka dihanyutkan manakala mereka sekeluarga pula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir (balai raya bersaiz 50m X 20m) yang terputus bekalan air dan elektrik.  Namun begitu, Dahlia tetap tabah mengulang kaji pelajarannya sehingga mendapat pujian daripada Encik Daim (wakil peribadi Ahli Parlimen Sri Gading).
     Tekanan kian bertambah kerana hubungan akrabnya dengan Azhari dipandang serong oleh jiran-jirannya.  Tindakan berani Dahlia terjun ke sungai untuk menyelamatkan Said tidak dihargai malah dicemuh pula kerana gagal menyelamatkannya. Walau bagaimanapun Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan demi dugaan yang menimpanya.  Setelah keadaan dan masalah keluarganya reda, Dahlia mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya semula. Ketika tarikh  peperiksaan STPM cuma tinggal seminggu lagi (Hari Isnin - 29 November), Dahlia menemui cikgu Salwani bagi meminta kebenaran untuk tinggal di asrama. Majlis pertunangannya dengan Azhari pula akan diadakan pada 30 Disember setelah tamat peperiksaan STPM.
     Berkat kesabarannya menghadapi pelbagai dugan hidup, dia terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam kursus Pengurusan Perniagaan peringkat ijazah pertama selama 4 tahun.  Oleh itu, Dahlia akan mengikuti kursus bahasa Jepun di Universiti Malaya selama 6 bulan yang bermula 2 Januari. Dahlia dipilih berdasarkan keputusan SPM dan peperiksaan semesternya yang cemerlang.  Dia perlu mendaftarkan dirinya pada 31 Disember, dan pada hari tersebut juga akan berlangsung minggu suai kenal. Dengan itu, Dahlia perlu bertolak ke Kuala Lumpur pada 30 Disember iaitu pada hari pertunangannya.
     Dahlia tidak menghadiri majlis pertunangannya kerana keluarga Azhari terlambat sampai ke rumah keluarga Dahlia ekoran pak cik Azhari yang menjadi jurucakap majlis pertunangan lambat tiba.  Haji Sulaiman iaitu ketua kampung telah menghantar Dahlia ke stesen bas Bandar Penggaram untuk ke Kuala Lumpur. Haji Sulaiman juga menyerahkan sumbangan penduduk kampung sebanyak RM500. 00 kepada Dahlia. Daripada jumlah tersebut Tauke Lim telah menyumbang sebanyak RM300. 00. Walau bagaimanapun Azhari sempat bertemu dengan Dahlia sebelum bas bertolak ke Kuala Lumpur. Dalam pertemua tersebut, beliau telah menghadiahi Dahlia sehelai kain songket merah berbenang emas bagi mengingatkan Dahlia agar dia sentiasa menjaga tatasusila dan budaya masyarakat Timur walau di mana-mana dia berada.


Bab 1: Kalaulah Engkau Mengerti
     Setelah penat berlatih bola jaring untuk bertanding dengan pelajar tingkatan enam rendah, Dahlia berbual-bual dengan Siti Wangi, rakan karibnya mengenai kertas kerja yang disuruh oleh Cikgu Hisyam. Dahlia memberitahu Siti Wangi, isi telah dicari tetapi fakta-fakta masih tidak lengkap. Kemudian, Kavita datang menemui Dahlia dengan membawa pesanan seorang lelaki mahu bertemunya di kantin. Dahlia pergi bertemu dengan lelaki itu yang bernama Azhari. Lelaki itu memberitahu Dahlia, dia telah habis belajar dan akan mendapat segulung ijazah pada bulan Ogos nanti.  Azhari juga memaklumkan keluarganya akan datang ke rumah Dahlia untuk tujuan merisik.  Dahlia meminta Azhari mengerti bahawa dia masih belajar dan ingin membantu keluarganya kerana dia merupakan anak sulung.

Bab 2: Detik-detik Hati Tersentuh
     Pada petang itu, Azhari menghantar Dahlia pulang ke kampungnya tetapi sehingga ke jambatan sahaja. Jirannya yang bernama Aton telah menegurnya semasa dia turun dari kereta Azhari.  Aton juga menyindir Dahlia yang selalu balik dengan mengatakan bahawa dia tidak suka tinggal di asrama.  Dahlia membalas sindiran Aton dengan mengatakan bahawa orang tuanya masih ada.  Dahlia tidak suka akan Aton kerana Aton mengatakan emaknya “tak betul”.
     Sewaktu sampai di rumahnya, Dahlia terdengar adiknya, Anggerik menangis kelaparan.  Melati memberitahu emak mereka telah keluar rumah dan belum pulang lagi.  Dahlia terus mendapatkan Anggerik dan memarahi Melati kerana membuat susu yang terlalu cair.  Sebenarnya, susu telah habis. Dahlia telah menyiapkan makan malam manakala Melati disuruh pergi ke kedai Tauke Lim untuk membeli susu dan gula pasir sekilo secara hutang.

     Selepas itu, Dahlia pergi mencari emaknya di kebun getah. Dahlia terdengar emaknya bercakap sendirian dan tidak mempedulikan panggilannya. Hati Dahlia benar-benar tersentuh apabila melihat ibunya sebegitu. Emaknya juga tidak mengenalinya menyebabkan Dahlia menangis. Tiba-tiba, abahnya Embong muncul dan bertanyakan sebab Dahlia di situ kerana sudah masuk waktu Maghrib. Dahlia menuding ke arah emaknya. Embong cuba memujuk Saleha balik ke rumah tetapi Saleha mengatakan rumahnya di tengah kebun getah itu dan dia tidak mahu diganggu. Dahlia mencadangkan abahnya supaya mendapatkan bantuan orang kampung sebelum emaknya pergi lebih jauh ke dalam kebun. 

No comments: