Kerja-kerja amal seperti menolong membersihkan rumah
warga tua dan memungut derma untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik
banyak mendatangkan kebaikan kepada remaja, masyarakat dan negara.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
Firman
Allah dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 hingga 8 yang bermaksud "Sesiapa
yang melakukan amalan baik walaupun sebesar zarah sekalipun pasti akan
diperlihatkan amalannya dan sesiapa yang melakukan amalan jahat walaupun
sebesar zarah, pasti akan diperlihatkan amalannya”. Demikianlah peringatan
Allah terhadap hamba-hamba-Nya supaya sentiasa melakukan amalan kebajikan. Hal
ini demikian kerana apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala
amalannya, kecuali tiga perkara yang masih kekal iaitu sedekah dan derma yang
digunakan untuk kebaikan, ilmu yang bermanfaat yang digunakan untuk
kesejahteraan manusia dan anak-anak yang sering mendoakan kesejahteraan ibu
bapanya. Mafhum daripada hadis ini jelas menunjukkan bahawa amalan yang baik,
yakni kerja-kerja amal mampu mendatangkan variasi impak positif kepada remaja,
masyarakat dan negara. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur,
sebelum malaikat maut datang menjemput kita ke alam barzakh, marilah
kita gunakan peluang dan kesempatan masa yang dikurniakan-Nya dengan melakukan
amalan yang mampu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat sejagat. Ahli
falsafah tersohor, Samuel Johnson pernah mengungkapkan "Masa depan dibeli
oleh masa sekarang". Kenyataan ini menjelaskan bahawa setiap individu
perlu menggunakan masa yang terluang dengan melakukan kerja-kerja amal. Marilah
kita seia sekata dan mengatur langkah yang efektif untuk membuat amal kebajikan
kerana terdapat pelbagai maslahat daripada kerja amal yang kita lakukan.
Antara maslahat yang diperoleh apabila remaja melibatkan diri dalam kerja amal
ialah remaja dapat mengisi masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah.
Hal ini bertepatan dengan kata-kata Ibu Zain yang antara lainnya mengungkapkan
"Sesungguhnya kebaikan sebenar ialah apabila kita bekerja menabur bakti
untuk bangsa dan negara selagi kita masih bernyawa". (UM) Kata-kata beliau
izhar menunjukkan bahawa kita perlulah berbakti kepada
masyarakat dengan cara mengisi masa lapang yang terluang dengan melakukan
kerja-kerja amal. Oleh itu, mengisi masa lapang dengan melakukan kerja-kerja
amal mampu mengatasi masalah kebejatan akhlak sedera (sekali gus) remaja tidak
lagi tempang dalam menempuh cabaran hidup masa ini. Hal ini demikian kerana
pada era modenisasi ini, ramai remaja terjebak dengan masalah kebejatan akhlak
yang sudah terang lagi bersuluh bercanggah dengan ajaran agama kita dan
prinsip Rukun Negara yang ingin membina sebuah entiti masyarakat yang mengutamakan
kesopanan dan tatasusila dalam setiap tindakan. Tindakan
remaja melakukan kerja amal seperti menolong warga tua atau Orang Kelainan
Upaya (OKU) di rumah mereka membayangkan remaja melakukan aktiviti yang
berfaedah kerana memanfaatkan usia mudanya untuk menabur bakti demi masyarakat
mahupun negara. Kita harapkan apabila remaja melakukan kerja amal, masalah
kebejatan akhlak seperti lumba haram, ragut, melepak, penyalahgunaan dadah dan
lain-lain lagi akan berkurang dan tidak mustahil akan mencapai tahap sifar sekali
gus dapat membendung kerenah remaja yang dikatakan tidak mempunyai jati
diri. Ada remaja yang masih tidak memahami erti kemerdekaan yang sebenar
walaupun hampir 58 tahun negara kita telah mencapai kemerdekaan. Benarlah
kata-kata pakar motivasi iaitu Dr HM Tuah Iskandar al-Haj, iaitu
"Hakikatnya banyak bangsa di dunia ini telah merdeka, tetapi pemikiran
mereka masih terbelenggu oleh penjara diri. Konklusinya, sebagai bangsa yang
merdeka, kita seyogianya keluar daripada kepompong pemikiran yang jumud supaya
masa yang terluang dapat diisi dengan kerja-kerja amal sekali gus masa terluang
dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Selain itu, kerja amal yang dilakukan mampu merealisasikan konsep
1Malaysia iaitu dengan mengadakan aktiviti gotong-royong yang melibatkan
semua golongan dan usaha ini menjadi teras untuk membina perpaduan yang ampuh. Aktiviti
gotong-royong merupakan salah satu kerja amal yang menjadi wahana memenuhi
misi kemanusiaan iaitu membantu golongan kurang bernasib baik seperti OKU,
golongan miskin dan ditimpa musibah. Hal ini demikian kerana kerja amal yang
kita lakukan berupaya mendekatkan diri kita dengan masyarakat yang turut sama
prihatin iaitu ingin menghulurkan bantuan dan golongan yang
dibantu. Oleh itu, kita tidak akan digelar kera sumbang. Sikap memencilkan
diri dan mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing sebenarnya menyebabkan kita kehilangan tangan kiri kita kerana
hidup kita yang saling memerlukan dalam masyarakat. Tanpa kehadiran anggota
masyarakat yang lain, kita tidak mampu berdiri sebagai sebuah bangsa yang
merdeka kerana sesungguhnya kemajuan sesuatu bangsa itu tidak terletak pada
kesuburan tanahnya tetapi terletak pada kesatuan bangsanya. Kerja-kerja amal yang
dilakukan seperti membina surau, membersihkan kawasan petempatan warga tua
atau rumah anak-anak yatim wajar dipergiatkan kerana remaja yang melibatkan
diri akan mempunyai nilai kasih sayang sekali gus membuka peluang kepada
anggota masyarakat untuk menabur bakti kepada golongan yang memerlukan. Hal
ini bukan sahaja dapat memupuk sikap suka menolong dan bersedekah dalam
kalangan rakyat, justeru dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia tanpa
melihat kepada perbezaan status. Kerja amal yang dilakukan juga memperlihatkan
kepada kita bahawa tiada lagi wujud anggota masyarakat yang lepas tangan
terhadap penderitaan orang lain. Masyarakat yang prihatin dan sentiasa
menghulurkan bantuan berjaya direalisasikan kerana mereka sentiasa
berpadu tenaga ke arah membantu golongan yang tidak bernasib baik ini.
Intihanya, kerja amal yang dilakukan mampu membentuk ukhuwah yang erat kerana
masing-masing tahu peranan yang sepatutnya dimainkan demi kesejahteraan untuk
semua.
Manfaat daripada kerja
amal yang seterusnya ialah kita berjaya menyahut cabaran Wawasan 2020 yang
ketujuh, iaitu mewujudkan masyarakat penyayang. Masyarakat penyayang
sering disinonimkan dengan kehidupan masyarakat yang bermuafakat. Masyarakat
penyayang tidak bersikap individualistik, sebaliknya meletakkan kepentingan
masyarakat lebih daripada kepentingan diri. Kecaknaan golongan yang berupaya
membantu golongan yang kurang bernasib baik membayangkan kepada kita bahawa
mereka mempunyai perasaan sayang akan golongan ini kerana tidak mahu golongan
bernasib malang ini terus dibelenggu kesusahan. Jack Hathawa iaitu seorang ahli
falsafah sendiri pernah ditanya tentang perkara yang akan beliau lakukan
sekiranya menjadi Timbalan Presiden pada suatu masa nanti dan beliau menjawab
"Saya pasti akan memperjuangkan kebajikan masyarakat walaupun saya
terpaksa berkorban harta dan nyawa kerana hal tersebut". Kesediaan kita
membantu membina rumah, membaiki rumah ataupun mengutip dana untuk membantu
golongan yang memerlukan dengan sendirinya membuktikan kita amat sayang kepada
golongan ini kerana tidak mahu mereka hidup dalam kesusahan. Masyarakat
penyayang sanggup merlakukan apa-apa sahaja walaupun terpaksa berkorban harta
dan nyawa demi kebajikan masyarakat. Allah berrman yang bermaksud, "Tidak
akan sempurna iman seseorang itu jika dia tidak mengasihi saudaranya
sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri'. Oleh hal yang demikian,
kerja-kerja amal yang dilakukan dapat mengukuhkan perasaan kasih dan sayang
sesama insan sekali gus masyarakat penyayang dapat dijelmakan di bumi bertuah
ini, Malaysia.
Akhirulkalam, semua anggota masyarakat
perlulah berganding bahu dalam melaksanakan obligasi sebagai anggota
masyarakat yang prihatin terhadap keperitan dan kesusahan yang dialami
oleh golongan yang daif dan ditimpa musibah. Segala amal baik yang dilakukan
akan merealisasikan visi kudsi negara ke arah melahirkan masyarakat penyayang
seperti yang diwara-warakan oleh pemimpin negara. Hal ini bertepatan
dengan sikap kita rakyat Malaysia yang terkenal dengan adab dan
nilai-nilai murni yang tinggi dan moleklah kita jelmakan nilai tersebut dengan
melakukan kerja amal terhadap anggota masyarakat kita yang kurang bernasib
baik. (UNSUR NILAI/MENDIDIK PEMBACA) Bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat, (UNGKAPAN MENARIK) marilah kita
mengatur langkah sederap, seia sekata agar usaha kita berupaya meringankan
beban golongan yang memerlukan bantuan dan merealisasikan slogan 1Malaysia,
Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. (UNGKAPAN MENARIK)
No comments:
Post a Comment