22/10/2017

Faedah Menyertai Pertubuhan Sukarela

Pertubuhan sukarela bermaksud badan atau organisasi yang ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja sukarela tanpa mengharapkan bayaran atau keuntungan. Kerja-kerja sukarela adalah seperti membantu membantu mangsa banjir, menjaga kawasan kejiranan dan membantu golongan kurang upaya atau pesakit. Pertubuhan sukarela yang terdapat di negara kita adalah seperti Sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam [JPAM], Bulan Sabit Merah Malaysia [BSSM], MERCY Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA). Terdapat banyak faedah yang diperoleh oleh individu yang menyertai pertubuhan sukarela.

      Faedah menyertai pertubuhan sukarela ialah seseorang itu dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat. Sebagai contoh, seseorang itu dapat mengisi masa lapang dengan melakukan kerja-kerja membantu mangsa banjir di pusat pemindahan banjir pada masa cuti dengan cara menyertai Sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam [JPAM] atau Bulan Sabit Merah Malaysia [BSSM]. Dengan berbuat demikian, sudah pastilah individu tersebut dapat mengelakkan diri daripada melakukanperkara-perkara negatif seperti melepak di pusat beli-belah atau terlibat dalam kegiatan lumba haram. Oleh itu, nyatalah bahawa penyertaan dalam pertubuhan sukarela dapat mengisi masa sengggang kerana masa itu emas.
      Selain itu, kita juga dapat menambahkan pengetahuan dengan menyertai pertubuhan sukarela. Sebagai contoh, individu yang menyertai JPAM atau BSSM dapat menambahkan pengetahuan tentang teknik menyelamat mangsa dan ilmu pertolongan cemas. Pengetahuan tersebut dipelajari oleh sukarelawan yang menyertai pertubuhan JPAM dan BSSM semasa mereka mengikuti latihan asas sebelum menjalankan kerja-kerja sukarela. Pengetahuan ini dapat menjadi bekalan kepada mereka untuk menghadapi kehidupan pada masa depan. Oleh itu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa penyertaan dalam pertubuhan sukarela ini dapat menjadi batu loncatan kepada seseorang individu untuk memperoleh pengetahuan baharu dalam hidup mereka.
      Penyertaan dalam pertubuhan sukarela juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari seseorang. Nilai-nilai murni ini dapat dipupuk kerana kerja-kerja sukarela dilakukan tanpa mengharapkan balasan dari segi kewangan. Tambahan pula, kerja-kerja yang dilakukan oleh sukarelawan dalam pertubuhan seperti MERCY Malaysia dan JPAM tidak mengira masa. Sebagai contoh, sukarelawan yang bertugas di pusat-pusat bantuan bencana seperti pusat pemindahan banjir terpaksa bersengkang mata mereka untuk bertugas pada waktu tengah malam. Dengan ini, nyatalah bahawa penglibatan seseorang individu dalam pertubuhan sukarela dapat menjadi platform untuk memupuk nilai-nilai murni seperti baik hati, keikhlasan dan semangat bermasyarakat.

      Pendek kata, sunguh banyak faedah yang diperoleh sekiranya seseorang itu menyertai pertubuhan sukarela. Oleh itu rakyat Malaysia, khususnya golongan muda perlu melibatkan diri dalam pertubuhan sukarela agar mereka dapat menimba pengalaman dan pengetahuan daripada penyertaan dalam pertubuhan tersebut. Dengan penyertaan yang aktif itu, diharapkan rakyat Malaysia yang memiliki nilai murni yang mulia akan dapat dilahirkan dalam usaha mewujudkan masyarakat penyayang.

*  JPAM kini dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia

No comments:

Post a Comment