01/10/2017

Penulisan Singkatan

Beberapa cara penulisan singkatan dalam bahasa Melayu:

i) Singkatan nama negara, ibu negara, negeri, ibu negeri, jabatan, institusi, organisasi, tahun dan nama-nama khas ditulis tanpa titik (.). Selain itu, huruf yang digunakan ialah huruf besar yang merupakan huruf pertama bagi setiap perkataan seperti AS (Amerika Syarikat), KL (Kuala Lumpur), PP (Pulau Pinang), KK (Kota Kinabalu), DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), TM (Tahun Masihi), SM (Sebelum Masihi) dan lain-lain lagi.

ii) Singkatan sapaan atau rujukan hormat, jawatan, dan pingat yang lebih daripada satu perkataan juga tidak menggunakan titik dan ditulis dengan huruf  besar  semuanya, contohnya YAB (Yang Amat Berhormat), YB (Yang Berhormat), YAM (Yang Amat Mulia), KSN (Ketua Setiausaha Negara), AMN (Ahli Mangku Negara) dan lain-lain lagi. 

iii) Singkatan gelaran, jawatan, pangkat, dan sapaan yang terdiri daripada satu perkataan pula ditulis menggunakan titik di hujungnya, contohnya Dr. (Doktor), Prof. (Profesor), Kol. (Kolonel), En. (Encik), Tg. (Tengku) dan Tn. (Tuan).

iv) Singkatan gelaran, jawatan, pangkat dan sapaan yang terdiri lebih daripada satu perkataan dengan gabungan huruf besar dan huruf kecil perlu diletakkan titik di hujung singkatan, contohnya YABhg. (Yang Amat Berbahagia), YBhg. (Yang Berbahagia), YABrs. (Yang Amat Berusaha) dan YBrs. (Yang Berusaha).

v) Singkatan umum yang terdiri daripada frasa juga ditulis menggunakan titik, dan tanda titik digunakan pada setiap kata yang disingkatkan, contohnya b.p. (bagi pihak), s.k. (salinan kepada), u.p. (untuk perhatian), a.n. (atas nama), m.s. (muka surat) dan t.p. (tanpa nama).

vi) Singkatan umum yang terdiri daripada tiga huruf atau lebih pula ditulis menggunakan satu titik di hujung, contohnya dsb. (dan sebagainya), dll. (dan lain-lain), jln. (jalan), hlm. (halaman) dan spt. (seperti).

vii) Singkatan khusus yang menjadi lambang atau simbol tidak menggunakan titik, contohnya m (meter), in (inci), cm (sentimeter), kg (kilogram) dan kb (kilobait).

viii) Singkatan bagi perkataan pinjaman daripada bahasa Arab yang popular ialah ALLAH SWT (ALLAH Subhanahuwataala), Muhammad SAW (Muhammad Sallallahualaihiwasallam) dan Ibrahim a.s. (Ibrahim alaihissalam).

Dalam situasi rasmi, penggunaan singkatan tidak digalakkan terutama untuk nama orang kecuali benar-benar diperlukan seperti nama dan gelaran yang terlalu panjang.

Jikalau hendak digunakan juga singkatan dalam penulisan, ejaan penuh perlulah ditulis terlebih dahulu dan diikuti oleh singkatan dalam tanda kurung, contohnya Amanah Saham Nasional (ASN), atau Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Hal ini perlu dilakukan apabila menggunakannya pada kali pertama, setelah itu barulah singkatan boleh digunakan secara berterusan.  

No comments: