Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.
Bincangkan usaha-usaha yang
wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.
Setiap ibu bapa
mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas
menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama.
Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita dan
membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.
Mereka merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan
hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa, ”Tiada anugerah yang lebih
berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar
dan budi pekerti yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar
pengorbanan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang
berguna. Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat
akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka
agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit..
Satu perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi
harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah
usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai?
Usaha pertama yang
perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah saya akan
belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya
akan menumpukan sepenuh perhatian semasa guru sedang mengajar di kelas.
Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya kepada guru.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik
pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka yang
cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah. Kejayaan
yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan
keluarga. Pada era globalisasi yang penuh dengan persaingan ini, amat
penting bagi seseorang mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing
dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai
seseorang berdasarkan pencapaian akademiknya. Saya akan sentiasa berusaha
untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali
keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan yang
rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan
cemerlang kerana di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. Pada masa
yang sama, saya juga akan memberi perhatian pada perkara yang berkaitan dengan
ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan
akademik bukanlah segala-galanya. Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam
pelbagai bidang. Tegasnya, saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan
gigih bagi membanggakan ibu bapa.
Selain itu, saya juga
akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan.
Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa
dan berkeyakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan. Hal ini demikian
kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu
cemerlang dalam bidang akademik, malahan perlu menjadi seorang yang
cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan
konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai
contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa,
guru-guru, jiran tetangga dan orang di sekeliling saya. Amanat ini
bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya dengan orang lain malah dapat
membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya juga akan sentiasa
menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti mengucapkan selamat
kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki ini pasti akan menggembirakan
hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “akhlak yang baik seperti madu,
sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam diri agar
tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi
penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu
ingat bahawa sekiranya akhlak seseorang itu buruk, walau betapa cemerlang pun
pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya,
amalan berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
Seterusnya, saya juga akan
sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama sekiranya ingin berjaya
dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh membolehkan saya mempunyai
benteng keimanan yang kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya
daripada pengaruh negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya.
Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang
utuh untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah
maksiat. Hal ini demikian kerana Allah sentiasa menyeru hamba-Nya untuk melakukan sesuatu
yang baik serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat
meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang
jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya
pada masa hadapan. Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup
yang boleh membentuk saya menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya
tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya, saya akan
sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Tegasnya, saya
akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam
hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya
akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi
seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya
tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat
dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan
permata dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya.
Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya
akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat
menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta
lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak
langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada
perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan
yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat
dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih
bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut
serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan
sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan-rakan yang baik ini
apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan sesuatu
cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya untuk
membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan nasihat yang
berguna dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan
gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stres.
Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada
dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan
rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam
membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar dapat memenuhi impian dan
harapan ibu bapa.
Seterusnya, saya akan meningkatkan
keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibnu Khaldun pernah berkata bahawa
“membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa
dan sesebuah negara”. Hal ini jelas menunjukkan bahawa membaca adalah
amat penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya
akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti
buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya
kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata kerana
selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga dapat
membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara
langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba
memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk
mengatasi sikap malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai
kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga
kejayaan. Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat
membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan.
Apabila masuk ke alam pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil
dan membalas budi mereka.
Akhir sekali,
saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong
dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh
kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga
terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan dorongan
ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan
mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang
lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu
bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia luar.
Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri saya
tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa
menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga dan
dorongan saya untuk mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh
kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk
mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan
mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling
penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku ke atas diri saya.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk mencapai
impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha
bersungguh-sungguh. Saya akan berusaha memastikan agar
impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus, saya juga dapat
memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya. Charles Dickens pernah berkata
bahawa “kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan
rimba.” Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi
manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka
sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk
menjadikan impian dan cita-cita sebagai kenyataan kerana hendak seribu
daya, tidak hendak seribu dalih.
5 comments:
goooood........love it...
Terbaik
Saya copy ya
Saya copy.
Sangat membantu
Post a Comment