Selaku
aktivis dalam Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), anda telah
dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan remaja. Tajuk ceramah
anda ialah, “Dadah Musuh Negara :
Peranginya Habis-habisan”.
Tulis
teks ceramah anda selengkapnya.
Assalamualaikum dan salam muhibah,
Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi
Majlis, Yang Berbahagia Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Desa, Yang
dihormati ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya para remaja yang dikasihi
sekalian.
Peribahasa Melayu selalu menyatakan, ingat sementara
belum kena, jimat sementara belum habis. Peribahasa ini menjadi menjadi sumber
nasihat agar masyarakat sentiasa berwaspada terhadap sesuatu anasir yang boleh
menimbulkan pelbagai implikasi negatif kepada kehidupan. Dadah ialah anasir
paling berbahaya dalam masyarakat yang seyogianya kita jauhi malah perlu
diperangi habis-habisan.
Hadirin sekalian,
Kita sering mendengar sindiran orang tua-tua,
“Jikalau rosak kerana perempuan habis tenaga berhenti, jikalau rosak kerana
berjudi habis wang berhenti, dan jikalau rosak kerana mencuri lepas tertangkap
berhenti. Sebaliknya, jikalau seseorang itu rosak dengan mengambil dadah,
tempat terakhir ialah mati”. Sesungguhnya, atas rasa tanggungjawab
tersebutlah saya mengambil amanah ini demi kepentingan masyarakat betapa
perlunya kita menyedari bahayanya ancaman dadah terhadap masyarakat. Justeru,
saya amat berterima kasih atas keprihatinan semua pihak untuk memerangi gejala
najis dadah ini. Dengan hal yang demikian, bersempena dengan peluang yang
keemasan ini, saya akan menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk, “Dadah
Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Dadah dalam definisi yang mudah ialah sejenis candu.
Candu tersebut telah diproses untuk digunakan sebagai sumber pelali dan penahan
sakit dalam amalan perubatan pada zaman silam. Walau bagaimanapun, dengan
pengaruh teknologi dan kemajuan dalam bidang farmaseutikal pelbagai bentuk
dadah dihasilkan. Antaranya adalah untuk perdagangan dalam teknologi
ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, akibat penggunaan yang berlebih-lebihan,
fungsi dadah sebagai bahan pelali telah disalahgunakan sehingga mengakibatkan
gian atau ketagih yang keterlaluan. Akhirnya dadah dalam bentuk morfim, heroin,
marijuana, syabu, dan ekstasi telah menjadi sumber khayal yang amat diperlukan
oleh penagih tegar. Disebabkan kandungan kafien dan narkotina yang tinggi
kandungan dadah yang berlebihan dalam darah telah bertukar menjadi racun dan membahayakan
penggunanya.
Remaja yang dikasihi sekalian,
Pada hari ini dadah bukan lagi diambil sebagai
sumber untuk melepaskan gian seperti keletihan, menahan sakit atau menjadi ubat
penenang tetapi dadah mula menjadi ancaman besar terhadap kesejahteraan hidup
manusia. Dadah menjadi pembunuh senyap ibarat api dalam sekam dan membawa
ancaman seperti musuh dalam selimut. Setiap penagih tegar akan terus berusaha
mendapatkan dadah walaupun dirinya bagaikan bangkai bernyawa. Pengaruh dadah
dalam kalangan remaja juga seolah-olah mempunyai tangan ghaib yang mampu
menarik remaja dalam sekelip mata untuk berdampingan dengan dadah. Dengan
keajaiban itulah kini negara kita sedang berhadapan dengan masalah bangkai
bernyawa ini yang sudah meningkat sehingga 800 ribu orang dengan kadar tujuh
orang penagih baru dalam setiap hari. Inilah malapetaka dadah yang boleh
menghancurkan sesebuah tamadun atau negara.
Hadirin sekalian,
Tanpa menoleh ke belakang semula kita tidak perlu
mencari tentang di manakah silapnya sehingga begitu hebat sekali serangan
gejala dadah itu? Terlalu banyak puncanya jikalau saya hendak perturunkan satu
persatu. Namun apalah gunanya kita mencari segala kesilapan yang lalu kerana
usaha tersebut tidak mampu menyelesaikan masalah. Justeru, dalam wacana minda
yang sesingkat ini marilah bersama-sama saya, kita menelusuri usaha-usaha yang
boleh menyelesaikan masalah ini. Sebagai anggota masyarakat tidak seorang pun
yang boleh melihat fenomena dadah sebagai masalah yang terpencil sebaliknya
menjadikan tanggungjawab bersama. Mungkin benar pada hari ini ahli keluarga
kita tidak terjebak dengan gejala tersebut, tetapi esok atau lusa bukan
mustahil.
Sebagai ketua keluarga, suami janganlah pula
meletakkan tanggungjawab mengawal anak-anak kepada isteri sahaja. Sebarang
kesalahan anak terus dilemparkan kepada isteri. Cara ini adalah tidak adil. Si
suami mesti tahu akan had dan kemampuan yang ada pada isteri. Bawalah
berbincang dengan isteri dan anak-anak agar mereka sentiasa berasa diri
didekati. Kasih sayang merupakan ubat penenang yang paling mujarab untuk
mencegah gejala yang terburuk dalam sejarah kebejatan sosial manusia itu. Bak
kata orang elok kerja dengan muafakat agar semuanya membawa berkat.
Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
Kepada anak-anak remaja, anggaplah diri anda sebagai
pahlawan. Anda mampu menepis segala ancaman jahat termasuklah ancaman dadah.
Sebagai remaja perkasa, amatlah daif apabila kita sendiri gagal untuk membawa
diri kita menentukan antara yang baik dan yang buruk demi kebaikan masa depan
sendiri. Bijaksanalah dalam memilih rakan. Rakan bukan sekadar untuk
berseronok-seronok tetapi rakan mestilah mampu membimbing kita sama ada dalam
keadaan susah atau senang. Ingatlah, rakan ketawa beramai-ramai, rakan menangis
seorang diri. Sesungguhnya, negara amat berharap kepada sumbangan anda untuk
menjadi tenaga penggerak wawasan. Seandainya anda kecundang, kepada siapakah
yang harus diharapkan lagi untuk menguruskan negara ini?
Selain itu, semua agensi keselamatan sama ada pihak
polis, RELA, dan pihak berkuasa dalam masyarakat hendaklah menjalin kerjasama
bersepadu. Tugas penting kita adalah mengesan musuh dalam selimut yang bersikap
telunjuk lurus kelengkeng berkait yang sentiasa menangguk di air keruh. Bedebah
seperti ini yang perlu dicekup dahulu dan dibawa ke muka pengadilan. Angkara
merekalah yang menyebabkan ratusan ribu anak-anak peria bunga bangsa tersungkur
di tengah-tengah medan juang sebelum mereka mengenali identiti diri. Golongan
yang telah kaya-raya di atas kemusnahan orang lain tidak boleh dibiar lama
berkeliaran dalam masyarakat. Mereka inilah pengedar dan penyebab gejala dadah
bertambah rumit untuk diselesaikan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya yakin, bencana dadah tidak akan lunas sampai
bila-bila masa pun. Bahayanya sudah menular ke peringkat global. Namun kita
harus tabah dan berusaha secara bijaksana agar gejala yang telah memusnahkan
ratusan ribu remaja itu terlerai juga, ibarat orang mementung ular, ular
dipentung biar mati, kayu pementung jangan patah, tanah datar jangan pecah. Justeru,
ingatlah, “Dadah Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.
Sekian terima kasih.
Catatan : Sumber Tuan Haji Ishak Md Shah [http://ishakmdshah.blogspot.com]
No comments:
Post a Comment