17/05/2015

DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

SINOPSIS
Drama ini mengisahkan Aiman, seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Oleh sebab berasal daripada keluarga yang berada dan sudah biasa hidup dalam kemewahan, Aiman beranggapan bahawa PLKN mungkin akan menggugat zon keselesaannya.
Walaupun ibu Aiman, Masnah memihak kepada Aiman agar tidak menyertai PLKN, namun ayahnya Khir Ghazali member galakan dan kata-kata perangsang kepada Aiman untuk menyertainya. Selain Khir Ghazali, watak posmen, Nora, Sundarani, Ah Tiau, Syuhada dan Cikgu Dahari turut memberikan dorongan kepada Aiman untuk menyertai Khidmat Negara.
Akhirnya, setelah melayari sesawang yang memaparkan kejayaan pelajar senior yang menyertai dan menerima anugerah PLKN, hati Aiman terbuka untuk menyertai PLKN dan dia bertekad untuk membuktikan sikap berdikari dan semangat cinta akan tanah air.

PEMIKIRAN
Sikap remaja yang mempunyai tanggapan negatif tentang PLKN. – Aiman berusaha untuk menggelakkan diri daripada menyertai PLKN.

PERSOALAN
1.         Sikap positif golongan remaja yang berminat untuk menyertai PLKN dan memberikan sumbangan kepada negara.
Contoh: Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada berasa seronok apabila mereka terpilih sebagai peserta PLKN dan nama mereka terpampang di papan kenyataan sekolah.

2.         Kesibukan dalam kalangan ahli keluarga yang merenggangkan hubungan kekeluargaan.
Contoh: Aiman sentiasa berasa kesunyian kerana ayahnya sibuk bekerja manakala ibunya Datin Masnah sibuk dengan urusan di luar dan kakaknya Dapnia sibuk dengan tugasannya di universiti.

3.         Sikap segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak
Contoh: Datin Masnah menyokong hasrat Aiman yang ingin mengecualikan diri daripada menyertai PLKN. Sebagai seorang ibu dan juga isteri kepada seseorang yang terpengaruh, beliau sepatutnya mendorong dan memberi motivasi kepada anaknya untuk berkhidmat  kepada negara.

4.         Peranan seorang guru dalam memberikan kesedaran dan mewujudkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar
Contoh: Cikgu  Dahari memberikan penerangan yang jelas kepada murid-muridnya agar mereka faham akan objektif dan pelaksanaan PLKN.

PLOT
1.    Permulaan
o    Aiman menerima sepucuk surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara. Posmen yang menyampaikan surat tersebut cuba memberi penerangan kepada Aiman tentang manfaat PLKN apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat tersebut. Aiman berkelakuan biadab terhadap pembantu rumahnya, Nek Sinah yang melayannya seperti anak sendiri. Nek Sinah tersinggung dan kesal akan sikap Aiman dan layanan keluarganya yang mementingkan wang ringgit sahaja.

2.    Perkembangan
o    Perbualan antara Aiman dan rakan-rakannya di sekolah tentang senarai nama peserta PLKN  yang dipaparkan di papan kenyataan sekolah. Cikgu Dahari memberi penerangan yang jelas tentang PLKN kepada anak-anak muridnya. Beliau menjelaskan setiap pertanyaan murid dengan memberikan  jawapan yang positif agar mereka berasa seronok untuk menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara.

3.    Perumitan
o    Konflik antara ahli keluarga berlaku apabila Aiman dan Datin Masnah menyuruh Khir Ghazali menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian agar Aiman tidak menyertai PLKN. Khir Ghazali berasa marah dan kesal dengan sikap isteri dan anaknya yang mempunyai tanggapan dan negative tentang PLKN.

4.    Peleraian
o    Aiman melayari internet di biliknya dan ketika melayari beberapa sesawang, Dia terbaca berita mengenai kejayaan pelajar-pelajar seniornya di PLKN. Syufia yang dikenali sebagai kera sumbang di sekolah berjaya memperoleh anugerah pelatih terbaik WIRAWATI untuk Kem Gerakkas di Desaru Johor. Manakala Ziman yang kuat makan dan tidur juga berjaya menyertai PLKN. Aiman sedar akan kepentingan PLKN dan bertekad untuk menyertainya.

TEKNIK PLOT

1.         Monolog Dalaman
Aiman : Patutkah aku simpan surat ini atau aku buang saja? Hmm, kalau aku buang, nanti ada orang lain jumpa pula. Hah, baik aku bakar!. Tak ada kesannya nanti. Baik aku simpan dulu, cukup masa kalau aku tak berminat, baru aku bakar.

2.         Pemerian
Pada permulaan cerita pengarang menggambarkan keadaan keluarga Aiman yang hidup mewah dan kemewahan tersebut yang telah mengubah dirinya menjadi seorang remaja yang manja dan malas.

3.         Imbas Muka
Aiman bermimpi menyertai PLKN. Dalam program tersebut Aiman mendapati keadaan kem yang panas, makanan yang tidak menyelerakan, mandi air kolam sejuk dan membotakkan kepala. Hanya perkara yang negatif yang terlintas dalam fikirannya ketika bermimpi.


WATAK DAN PERWATAKAN
Watak utama
Aiman
1.    Seorang remaja berusia kira-kira 16 tahun
2.    Berasal daripada keluarga yang berada
3.    Seorang yang agresif. Contoh: bersifat kasar terhadap pembantu rumah yang melayannya dengan baik dan mesra
4.    Seorang yang malas dan mesra. Contoh: segala kerjanya di rumah dibantu oleh orang gaji dan apabila berdepan dengan sesuatu masalah , dia akan tidur.
5.    Seorang yang mengagungkan nilai-nilai barat. Contoh: ketika bermimpi tentang PLKN, Aiman meluahkan keinginannya untuk menikmati masakan Barat. Dia juga tahu lokasi Jempol dengan alasan selalu bercuti di luar negara.

Watak sampingan
1.         Khir Ghazali
·           Ayah kepada Aiman
·           Seorang yang bertanggungjawab. Contoh: walaupun sibuk bekerja beliau mengambil berat terhadap Aiman. Apabila Aiman berdepan dengan masalah beliau mendengarnya dengan sabar dan cuba menyelesaikannya.
·           Seorang yang tegas. Contoh: Apabila Aiman meminta Khir Ghazali membantunya mendapatkan pengecualian daripada PLKN, beliau bertegas untuk tidak membantunya. Hal ini adalah kerana beliau tahu bahawa PLKN akan banyak memanfaatkan Aiman
·           Seorang yang sensitive. Contoh: apabila isterinya bertegang leher dengannya ubntuk tidak menghantar Aiman ke PLKN, beliau berasa tersinggung lalu beredar meninggalkan tempat perbincangan mereka.

2.         Masnah
a.      Ibu kepada Aiman
b.      Berpangkat datin
c.      Seorang yang suka berfikiran negatif. Contoh: beranggapan bahawa PLKN membahayakan nyawa anaknya dan turut menyokong hasrat anaknya untuk menghadiri PLKN
d.      Seorang yang sanggup menyalahgunakan pengaruh untuk kepentingan sendiri. Contoh: Datin Masnah meminta suaminya menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian untuk anaknya daripada menghadiri PLKN.

3.         Cikgu Dahari
·           Seorang guru
·           Terlibat dengan PLKN dalam penghasilan modul program Penghayatan Sastera dan Budaya
·           Seorang yang berfikiran positif. Contoh apabila Aiman menyatakan bahawa keselamatan peserta di dalam kem latihan tidak terjamin dan sastera dan budaya tidak penting dalam kehidupan zaman moden, Cikgu Dahari menafikan pendapat tersebut dengan  menerangkan bahawa keselamatan peserta sentiasa terjamin. Beliau juga menerangkan peranan sastera dan budaya dalam kalangan masyarakat.
·           Seorang yang sentiasa memberi galakan kepada anak murid. Contoh: Apabila Nora memberitahu bahawa ramai pelajar terpilih sebagai peserta PLKN, Cikgu Dahari berasa teruja dan menyatakan bahawa Malaysia bertuah kerana mendapat remaja mereka yang sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara.

4.         Posmen
·           Seorang yang berfikiran positif. Contoh: Apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat Jabatan Latihan Khidmat Negara, posmen telah memberi nasihat kepada Aiman agar fikir tentang kemahiran dan pengalaman yang bakal diperoleh oleh Aiman melalui PLKN.
·           Seorang yang amanah. Contoh: selepas memberi kata-kata perangsang kepada Aiman  tentang kebaikan PLKN, posmen meminta diri untuk meneruskan tugasnya menghantar surat kerana dia menganggap surat-surat tersebut adalah amanah yang diberikan kepadanya.

LATAR
1.         Latar masa
o    Alaf baru (Program PLKN – bermula tahun 2004)
o    Waktu tengah hari.
Contoh     : Aiman menerima sepucuk surat ketika duduk bersantai di rumah.
: Nek Sinah menjemput Aiman menikmati makan tengah hari
o    Waktu pagi
Contoh    : Aiman berdialog bersama-sama rakan-rakan di sekolah tentang PLKN yang bakal dihadiri mereka
o    Waktu petang
Contoh      : Selepas balik dari sekolah Aiman berbual bersama-sama dengan ayah dan ibunya di rumah.

2.         Latar tempat
·                Rumah Aiman.
Contoh
: Peristiwa Aiman menerima surat daripada Jabatan latihan Khidmat Negara
: peristiwa Khir Ghazali, Aiman dan Masnah berbincang tentang keengganan
Aiman menghadiri PLKN
·         Sekolah Menengah
Contoh
: dialog antara Aiman, Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan.
: Cikgu Dahari menerangkan kepada anak-anak muridnya tentang manfaat PLKN dan bagaimana program itu dijalankan.

3.         Latar masyarakat

Latar masyarakat
Peristiwa/Bukti
·       Masyarakat bandar yang sibuk bekerja.

o     Contoh: Khir Ghazali iaitu ayah Aiman digambarkan sebagai hartawan yang sibuk bekerja. Ibunya, Datin Masnah juga selalu tidak berada di rumah manakala kakaknya, Dapnia sibuk dengan tugasan di universiti.
·       Masyarakat yang penyayang

o     Contoh: Walaupun Nek Sinah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Khir Ghazali namun dia amat menyayangi Aiman dan memasak makanan kegemarannya serta melayannya seperti cucu sendiri.
·       Masyarakat yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab

o     Contoh: Posmen dalam drama ini mengedarkan surat kepada penerima dengan penuh tanggungjawab kerana dia berpendapat bahawa surat itu adalah amanah masyarakat terhadapnya.
·       Masyarakat yang sombong dan mementingkan kekayaan.

o     Contoh: Aiman berkelakuan biadab terhadap pembantu rumahnya yang sentiasa bersikap lemah lembut. Nek Sinah berasa kesal dengan tingkah laku Aiman dan ahli keluarganya yang hanya mementingkan wang ringgit
·       Masyarakat yang berfikiran positif.

o     Contoh: Walaupun Khir Johari  mempunyai pengaruh dan kedudukan untuk membantu Aiman mengecualikan diri daripada menyertai PLKN, namun Khir Ghazali mahu anaknya menyertai program tersebut kerana beliau tahu bahawa anaknya akan memperoleh banyak manfaat daripada PLKN.
o     Contoh: Cikgu Dahari menerangkan tentang kebaikan PLKN kepada pelajar-pelajarnya agar dapat mengikis tanggapan negatif mereka terhadap program tersebut dan memberikan sumbangan mereka kepada negara.
o     Contoh: Apabila Aiman meluahkan perasaannya yang memandang rendah terhadap PLKN, Posmen bertindak menyedarkan Aiman dengan menceritakan bagaimana anak jirannya yang pemalas berubah sikap setelah menyertai PLKN.



GAYA BAHASA
1.         Sinkope
     Contoh: kata singkatan ‘tak’ dalam ayat. Saya tak berminat langsung (m.s 3)
2.         Inversi
     Contoh: amanah orang semua surat ini (m.s 4)
3.         Peribahasa
     Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. (m.s 7)
4.         Bahasa asing
     Contoh: penggunaan perkataan bahasa Inggeris daddy, mummy (m.s 14) 
5.         Simile
     Contoh: perkataan ‘macam’ dalam ayat, Nak angan-angan macam Mat Jenin

NILAI

Nilai
Peristiwa/Bukti
Amanah

Posmen amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya menghantar surat

kasih sayang  

o   Nek Sinah melayan Aiman seperti cucunya sendiri dan masak makanan kegemarannya.
o   Khir Ghazali amat menyayangi Aiman dan keluarganya. Beliau memutuskan agar Aiman menyertai PLKN untuk membentuk peribadi anaknya itu menjadi seorang insan yang berguna kepada nusa dan bangsa
Bertanggungjawab

o   Walaupun sibuk bekerja, Khir Ghazali meluangkan masa mendengar masalah Aiman
o   Nik Sinah bertanggungjawab menjaga makan dan minum Aiman dan menasihati Aiman tentang situasi keluarganya.
o   Cikgu Dahari melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang guru dengan baik apabila turut menyentuh tentang pelaksanaan dan keberkesanan PLKN untuk membentuk generasi muda yang berjiwa patriotik.
Cinta akan tanah air
o   Kawan Aiman iaitu Sundarani menegurnya dengan mengatakan bahawa kita perlu menghargai tanah air kita apabila Aiman menyatakan bahawa dia tidak tahu di mana terletaknya Jempol kerana selalu bercuti di luar negara.
o   Cikgu Dahari menjadi jurulatih PPSB PLKN
o   Rakan-rakan Aiman, Nora, Syuhada, Ah Tiau dan Sundarani sangat teruja dan berbangga terpilih menyertai PLKN sebagai bukti cinta akan negara
Rasional
Khir Ghazali bertindak rasional dengan menolak permintaan anaknya untuk mendapatkan pengecualian menyertai PLKN



PENGAJARAN

Pengajaran
Peristiwa/Bukti
Kita haruslah menghormati orang yang lebih tua daripada kita.
Contoh: Aiman biadab terhadap pembantu rumahnya yang menganggapnya sebagai cucu sendiri

Kita mestilah bersikap amanah dalam menjalankan tugas.
Posmen menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang posmen dengan penuh amanah

Kita perlulah memberi sokongan kepada program kerajaan
o     Masnah tidak memberi galakan kepada anaknya untuk menyertai PLKN malah memberitahu suaminya bahawa program tersebut mungkin membahayakan nyawa anaknya.
o     Cikgu Dahari memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada anak-anak muridnya agar menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara.

Soalan HOT
1.         Huraikan pandangan anda sama ada bersetuju atau tidak tentang kewajaran penulis menggunakan ‘Berkhidmat untuk Negara’ sebagai judul drama ini.
2.         Huraikan perwatakan watak Aiman dalam petikan satu lagi dari keseluruhan petikan yang perlu dijadikan sempadan dalam kehidupan dan alasan-alasan anda.
3.         Bersetujukah anda dengan persoalan PLKN membentuk sikap berdikari dan jati diri dalam diri generasi muda. Jelaskan.
4.         Jika anda diberi peluang untuk menyudahkan cerita berdasarkan drama, huraikan kesudahan drama tersebut.
5.         Sebagai pembaca yang kritis, huraikan pendapat anda tentang cara pengarang menamatkan cerita dalam cerpen sama ada wajar atau tidak.


No comments: