Anda sebagai
pengawas pusat sumber sekolah.
Jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan
untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.
Pusat Sumber sekolah merupakan gedung
ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang diperlukan oleh
setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang
mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada
media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana
para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bertepatan dengan kata pesan cendekiawan, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat
sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya
membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan
bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah
usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah,
terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu meningkatkan
penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Satu daripada caranya ialah saya akan
memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya
akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini
pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber akan diadakan secara berkala agar pusat
sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih. Saya juga akan memastikan
buku-buku disusun atur dengan kemas di atas
rak-rak buku mengikut kategori dan jenis
buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat
memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di
pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik
para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru
pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan menyediakan
buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program
Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal
ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga
menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah
satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan
amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan
melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu
akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata
peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan program Nilam yang
berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat
sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan
kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber.
Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan
kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta
pihak pengurusan menyediakan komputer
yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan
pelbagai informasi terkini. Saya akan membantu dari segi penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik.
Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat
meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan
pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak
langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan
para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat
sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa menjalankan
tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi
serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi
masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya
kita. Layanan mesra daripada pengawas menggembirakan para pengunjung dan merupakan
salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga
akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat
dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua
pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengaja tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut
tarikh yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya
akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku
yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan
pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan
sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku
akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan
buku yang dilakukan secara ‘scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem
pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu
menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah
sistem pinjaman yang sistematik dan efektif
adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah
menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi
membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang
pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah minda. Semua pihak
perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber
sekolah bak kata peribahasa bulat air
kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
2 comments:
Post a Comment