22/09/2014

Pecutan Akhir SPM 2014 : SURAT KIRIMAN

Yayasan Amal telah menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kepada pemohon yang berjaya. Anda turut memohon biasiswa tersebut tetapi anda tidak berjaya. Anda bercadang menulis sepucuk surat kepada pihak berkenaan untuk merayu supaya pemohonan anda dipertimbangkan semula dengan memberikan alasan yang munasabah.
Tulis surat itu selengkapnya.


Muhammad Ammar bin Zuhair.
1961, Lorong Permaisuri 2,
Taman Permaisuri,
35600 Sungkai.
_______________________________________________________
Tuan Pengarah,
Yayasan Amal Negeri Perak,
Tingkat 2, Bangunan Pusat Islam,
Jalan Panglima Bukit Gantang,
30020 Ipoh.                                                     20 SEPTEMBER  2014.

Tuan,

Rayuan Pertimbangan Semula Permohonan Biasiswa

Saya ingin menarik perhatian tuan tentang perkara di atas. Surat tuan bil (18) dlm. YAN Pk/007/04 yang bertarikh 06 Julai 2014  telah selamat saya terima. Sesungguhnya saya berasa amat dukacita kerana pihak tuan telah menolak permohonan saya untuk mendapatkan biasiswa tanpa sebarang alasan ataupun penjelasan yang sewajarnya. Memandangkan ini merupakan peluang yang pertama dan mungkin terakhir saya ditawarkan tempat di Universiti Oxford, London saya dengan rasa rendah diri mengemukakan rayuan agar pihak tuan mempertimbangkan semula permohonan saya.

2.     Seperti yang tuan maklum, biasiswa ini hanya ditawarkan kepada pelajar-pelajar  bumiputera  yang memiliki keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM yang lalu. Sememangnya saya menepati syarat tersebut kerana saya merupakan salah seorang pelajar terbaik yang pernah dilahirkan di daerah Sungkai ini dengan mendapat keputusan 10A keseluruhannya. Saya mendapat A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun, dan Sejarah manakala A- dalam mata pelajaran Biologi. Saya percaya pihak Universiti Oxford menerima saya sebagai salah seorang  pelajar bidang kedoktoran adalah berdasarkan kecemerlangan akademik saya. Apakah anak bumiputera yang secemerlang ini masih belum layak untuk menerima sumbangan biasiswa daripada pihak tuan?

3.    Saya akui, kecemerlangan akademik bukanlah satu jaminan mutlak yang begitu meyakinkan pihak tuan. Lantaran itu, sukacita saya nyatakan di sini bahawa saya juga melibatkan diri secara aktif dalam bidang kokurikulum terutamanya sukan olahraga. Di samping mewakili sekolah dan daerah di peringkat MSSPK, saya juga terpilih untuk mewakili negeri Perak ke peringkat MSSM yang telah diadakan di Perlis pada tahun 2012 dan di Pahang pada tahun 2013. Mungkin kerana ketrampilan saya, pihak Jawatankuasa Pemilihan Sukma Negeri Perak telah memilih saya sebagai salah seorang peserta mewakili negeri Perak ke Kejohanan SUKMA di di Pahang 2012 dan Perlis 2014 bagi acara 100 meter dan 4 x 100 meter. Saya berasa sungguh bangga terpilih kerana ini merupakan satu peluang untuk saya bersaing dengan jaguh pecut terkemuka negara iaitu Muhd Nur Imran Hadi. Untuk makluman tuan juga, kemuncak keterlibatan saya dalam bidang sukan ialah pemilihan saya sebagai Olahragawan Negeri Perak 2013 yang lalu.

4.    Saya difahamkan bahawa penolakan permohonan saya adalah kerana Yayasan Amal memberi keutamaan kepada penuntut-penuntut di universiti tempatan. Sebenarnya, bukan saya memandang rendah terhadap keupayaan universiti tempatan kerana mana-mana universiti pun di dunia ini sama sahaja darjat dan martabatnya tetapi disebabkan kelulusan saya yang sebegitu rupa mendorong saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Apatah lagi bidang yang ditawarkan adalah bidang kedoktoran, satu bidang yang menjadi idaman dan cita-cita saya sejak di bangku sekolah lagi. Tambahan pula negara kita sememangnya kekurangan doktor sehingga kita terpaksa meminjam doktor dari India dan Pakistan. Oleh yang demikian, pemergian saya ke sana sedikit sebanyak akan membantu kerajaan mengatasi masalah kekurangan doktor di negara kita.

5.   Pihak tuan juga mensyaratkan bahawa setiap pemohon mestilah mempunyai pendapatan  kurang daripada RM 800.00 sebulan. Seperti yang telah saya maklumkan dalam surat saya terdahulu, pendapatan ayah  saya yang bekerja sebagai buruh binaan hanyalah sebanyak RM 850.00 sebulan. Wang sebanyak itu perlu digunakan untuk membiayai perbelanjaan harian keluarga di samping menanggung perbelanjaan persekolahan empat orang adik saya lagi. Hakikat yang tuan perlu terima bahawa dalam keadaan sekarang yang taraf kehidupannya tinggi, pendapatan sebanyak RM 850.00 sebulan bukanlah satu jumlah yang besar. Tidak salah jika saya katakan bahawa tahap tersebut selayaknya berada pada garis kemiskinan memandangkan kos hidup yang tinggi pada masa ini. Jadi, pemergian saya ke sana juga bermatlamatkan untuk mengeluarkan keluarga saya daripada belenggu kemiskinan di samping menjadi contoh dan teladan kepada adik-adik saya.

6.   Bersama-sama ini saya sertakan sekali lagi perkara-perkara berikut untuk makluman pihak tuan.
               I.  Slip gaji terakhir ayah saya.
              II.  Slip keputusan SPM saya.
             III.  Salinan sijil-sijil yang berkaitan.

7.   Sekali lagi saya melahirkan harapan saya dan keluarga saya agar pihak tuan dapat memberikan pertimbangan yang seadil-adilnya terhadap rayuan saya ini. Atas segala pertimbangan dan keprihatinan tuan, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang benar,

         ammar
___________________
(MUHAMMAD AMMAR BIN ZUHAIR)












Adik anda bakal menduduki peperiksaan SPM. Adik anda ingin mengetahui ciri-ciri untuk memperoleh kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Balas surat adik anda itu.

18, Blok E,
Kolej Tun Dr. Ismail,
Universiti Putra Malaysia,
43300 Seri Kembangan.

20 September 2014.

Menemui adinda Anum di Pekan, Pahang semoga dalam keadaan sihat dan sejahtera. Ketika menulis surat ini, kekanda dalam keadaan sihat, diharapkan adinda Anum dan seluruh ahli keluarga lebih-lebih lagi.

     Dua hari lalu kekanda menerima surat daripada adinda. Sebenarnya kekanda mahu segera membalas surat tersebut tetapi disebabkan kesibukan menyiapkan tiga tugasan yang diminta oleh pensyarah, kekanda menangguhkan dulu, hinggalah hari ini barulah ada sedikit kelapangan. Sebenarnya kekanda sedang bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran bagi  menghadapi peperiksaan semester akhir di Universiti Putra Malaysia ini. Doakanlah semoga kekanda memperoleh Ijazah Kelas Pertama dalam bidang Komputer Forensik. Kejayaan ini, sesungguhnya menjadi bukti bahawa sesiapa juga boleh berjaya dalam pelajaran, asal sahaja bekerja keras mengulang kaji pelajaran dari awal lagi.

Adinda Anum,
     Bagi kekanda, usaha yang pertama ialah dari diri sendiri, iaitu menyediakan diri dan minda untuk belajar. Hal ini bermakna, seseorang pelajar jika ingin berjaya, perlu bersedia untuk belajar. Sebab, bukan mudah menjadi seorang pelajar; terpaksa bangun pagi, bergegas naik bas, terpaksa menyudahkan tugasan yang guru suruh, mengambil bahagian dalam kokurikulum, dan menelaah pelajaran. Dengan hati yang rela, walaupun terpaksa menghadapi cabaran dan tugasan yang berat, segala masalah perlu dihadapi dengan tenang seperti kata pepatah kalau tak dipecahkan ruyung masanan dapat sagunya. Ketika belajar, ada ketikanya menerima kejayaan dan pada detik yang lain pula menghadapi kegagalan. Kejayaan dijadikan dorongan dan kegagalan pula dijadikan sempadan. Ingatlah kata orang tua-tua, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Berdasarkan pengalaman lampau, ramai teman kekanda ke sekolah kerana terpaksa disebabkan disuruh oleh kedua-dua orang tua. Akhirnya, yang ditemui hanyalah kegagalan setelah masa dan wang ringgit dicurahkan.
       Guru ibarat ibu bapa kita yang perlu dihormati dan disanjungi. Tanyalah kepada semua guru, tentu tidak ada yang mengharapkan kegagalan anak muridnya, sebaliknya mereka gigih berusaha memastikan anak muridnya berjaya dalam pelajaran dan hidup. Apa yang berlaku sekarang, ramai pelajar menganggap guru musuh yang patut dibenci gara-gara menghukum mereka yang melanggar peraturan sekolah. Guru tidak akan sesuka hari menegur, meleteri, dan merotan, jika peraturan yang ditetapkan dipatuhi. Disebabkan bersikap menentang, keberkatan dalam mencari ilmu tidak akan diperoleh. Ingatlah, sayangilah guru dan berusahalah merebut sebanyak mungkin ilmu di mindanya.

Adinda Anum yang dikasihi,
Sewaktu guru mengajar perlulah memberi tumpuan 100 peratus. Memang ada yang mengajak berbual ataupun mengusik, pedulikan mereka. Sesetengah daripada pelajar  menganggap, jika tidak memahami apa yang diajar oleh guru, boleh ditanya di pusat tuisyen. Sebenarnya jika tekun dan memahami sungguh-sungguh apa yang diajar guru, tidak perlu lagi membuang masa mengikuti kelas tuisyen. Namun, bagi mereka yang lemah, adalah digalakkan memanfaatkan masa mengikuti kelas tambahan. Mungkin suasana di kelas, pelajar ramai, panas dan tidak mempunyai peluang untuk bertanya menyebabkan pemahaman sesuatu tajuk sukar berkekalan di kotak fikiran. Sebab itu kekanda ingatkan, jika adinda Anum rasa perlu mengikuti tuisyen, tidak menjadi masalah, namun ketika guru mengajar di kelas, adinda perlu memberikan sepenuh perhatian.
Jadual waktu perlu ada bagi setiap pelajar yang inginkan kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Ada masa untuk belajar, ada masa untuk beriadah, dan berhibur. Balik dari sekolah, setelah bersolat zuhur, bolehlah membaca akhbar sambil mendengar lagu. Selepas itu, kemaskinikan nota pelajaran. Kerja sekolah yang guru suruh perlu disiapkan. Jam 6.00 hingga 7.00 petang bolehlah beriadah sesama rakan sebaya. Sebenarnya aktiviti bersukan, sama ada menerusi permainan ataupun berlari boleh merehatkan minda, sekaligus mengurangkan tekanan. Seelok-eloknya makan malam sebelum waktu maghrib, sebab sejam selepas makan daya ingatan kurang mampu berfungsi. Selepas maghrib, eloklah mengulang kaji pelajaran. Jika pun mahu menonton televisyen hanyalah siaran berita sahaja. Dalam jadual, lebihkan belajar daripada berhibur.

Adinda Anum yang diingati,
       Cara belajar perlulah sistematik. Sebelum sesuatu tajuk diajar oleh guru, adinda perlulah menyediakan diri dengan membaca secara sepintas lalu. Selepas guru mengajar, perlulah membaca dan membuat latihan agar tidak lupa. Jika mahu sesuatu topik kekal lama di dalam ingatan, buatlah latihan sebanyak mungkin. Buku-buku latihan dan buku panduan boleh didapati di kedai buku di bandar Pekan. Kadang-kadang belajar bersendirian mudah mengantuk. Pada hari cuti, khususnya Sabtu dan Ahad bolehlah bawa teman-teman ke rumah; dua atau tiga orang untuk belajar. Namun, sebelum belajar perlulah menetapkan tajuk tertentu agar masing-masing bersedia. Sebaik-baiknya, pilihlah rakan yang mempunyai daya saing untuk memperoleh kejayaan; agar sama-sama mempunyai satu matlamat iaitu memperoleh sebanyak mungkin A dalam SPM.
       Semangat tidak mahu mengaku kalah perlu ada dalam diri. Rata-rata pelajar cepat berputus asa apabila menghadapi kegagalan. Apabila mempunyai jati diri yang kental dan bersemangat waja, yang difikirkan adalah kejayaan demi kejayaan. Dalam waktu yang sama, sebagai orang Islam perlu ingat, qadak dan qadar ketentuan Allah. Kita tidak tahu hikmah yang tersembunyi. Sebagai hamba-Nya, setelah berusaha perlulah memanjatkan doa. Dalam waktu yang sama, restu ayah dan ibu perlu kita pohon. Sebelum ke sekolah, jangan lupa mencium tangan ayah dan ibu. Inilah yang kekanda lakukan selama ini dan kekanda yakin Anum juga begitu. Sekiranya mempunyai semangat waja, gigih berusaha, berdoa kepada Allah, dan memohon restu daripada kedua-dua orang tua, insya-Allah kejayaan yang cemerlang akan menjadi kenyataan.
       Sebenarnya jika kekanda mahu tuliskan kesemuanya, barangkali boleh menghasilkan sebuah buku. Namun memadailah enam ciri tersebut. Sebenarnya kekanda yakin, ciri-ciri tersebut sudah adinda amalkan, sebab itulah pada peperiksaan akhir tahun lalu adinda memperoleh kejayaan cemerlang dan sebelum itu, menerusi peperiksaan PMR  adinda memperoleh 8A. Kekanda yakin adinda calon cemerlang di Pekan dan tahun depan akan melangkah ke universiti. Sebelum berpisah salam untuk adinda Ammar Zuhair, Syazana dan Afifah. Tidak lupa kepada kedua-dua orang tua kita yang jasanya begitu banyak dan tidak mungkin mampu kita membalasnya. Sehingga bertemu lagi, salam sayang daripada kekanda untuk semua.

Sekian, terima kasih.

Kekandamu di UPM.
   Ammar Hafiz




No comments: