Usaha berterusan
membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar
demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?
Orang
Kelainan Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa
yang cacat keadaan fizikal atau
mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan
fizikal dan mental ini menghalang
mereka daripada melakukan aktiviti-aktiviti
normal seperti sosial, rekreasi,
pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)
secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kelainan upaya secara kekal dan kelainan upaya secara sementara. Walaupun banyak
kekurangan yang ada, masyarakat kelainan upaya ini tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan
kepada negara. Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu
OKU meneruskan kehidupan dengan
sempurna.
Antara usaha
yang dapat dilakukan ialah masyarakat
perlu menerima kehadiran golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka
menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini demikian kerana masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak
meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk
hidup sama seperti orang lain.
Tidak kupinta lahir ke dunia,
Tidak kuduga cacat
begini,
Tiada insan yang mahu dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna justeru golongan Kelainan Upaya (OKU)
haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut mempunyai perasaan yang
sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap tidak
berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam
keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat
duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya.
Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak
dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, simpati, belas kasihan dan
tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama ada media elektronik
atau media cetak juga berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak
media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada
segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap
kali memaparkan kisah sedih dan pilu OKU
untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini, perasaan masyarakat
pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan
terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh
pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU.
Oleh hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan
daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu OKU dengan memberi peluang kepada mereka
untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang. Golongan Kelainan Upaya (OKU)
diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan dan
peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat Giat Mara,
Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain
institusi. Di sini, OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka
dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga sendiri.
Setelah mantap dalam bidang pekerjaan, mereka akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan
orang lain membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu
menyara hidup sendiri dan keluarga.
Tambahan
pula, pihak kerajaan juga turut membantu
OKU dengan memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit, makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal,
peralatan pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini
disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan
seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah dapat menggembirakan
hati mereka dalam meneruskan kehidupan di
dunia ini. Bantuan
modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian
kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin.
Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah berusaha memberi bantuan modal kepada semua OKU yang
berminat melalui permohonan dan sokongan daripada persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini
sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa
bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.
Selain
itu, pihak kerajaan juga menyediakan
peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU.
Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar
supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak
mereka. Sehubungan dengan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan
bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah
pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kuota pengajian di
peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat
keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi
Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib
hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang
dimiliki itu.
Di
samping itu, pihak swasta pula
digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat mereka.
Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan
kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah
ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani walhal
sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Selain
itu, usaha murni Pasar raya Besar Carrefour yang telah menyasarkan lima peratus
daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi
peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan
keluarga mereka.
Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.
* Soalan lain yang boleh diajukan peranan anda untuk membantu golongan OKU.
Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.
* Soalan lain yang boleh diajukan peranan anda untuk membantu golongan OKU.
2 comments:
share :D
Izinkan saya share untuk dijadikan soalan peperiksaan puan
Post a Comment