Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam
kalangan rakyat ini semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh
pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera.
Pada zaman berteknologi tinggi ini,
orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah komputer untuk mendapatkan
maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau membaca daripada
buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca karya-karya sastera dalam
kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak kenal akan
karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman Awang,
Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh
kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan
identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera ini perlu
disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah
langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai untuk membaca karya sastera?
Langkah-langkah yang perlu
diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya
sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya Pusat Sumber Sekolah. Pusat
Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel
‘Ranjau Sepanjang Jalan’oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh A.Samad Said, ‘Saudagar
Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan ‘Tulang-tulang Berserakan’oleh
Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber
boleh mengadakan pertandingan mengulas novel, sajak, puisi dan pantun pada
setiap bulan. Langkah ini membolehkan
para pelajar untuk membaca karya-karya sastera memandangkan mereka ingin
menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap
karya sastera akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan
setiap kelas menyediakan satu ruang atau
sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya sastera
ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan
yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa
juga amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik minat anak-anak membaca
karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang karya sastera
kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera rakyat kepada anak-anak
sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan silaturahim antara ibu
bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak dapat
mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu bapa
bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka
dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa
lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada
anak-anak mengikut umur mereka. Ibu bapa
juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu
membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu
bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai
bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional
dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk
membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang
penting dalam mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca
karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera
kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini,
lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di
pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau
ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai.
Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita
dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan
peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya
sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik
perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan
haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati karya sastera
di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang untuk
mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula, pihak
kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan
rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak
kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai
penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar
semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki
karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut
memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang
ramai membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO
seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih banyak karya sastera supaya
karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama
dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera. Penerbit
juga perlu memberikan bayaran setimpal
dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk
melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang
bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis.
Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun
dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan
karya sastera yang bermutu.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas tanggungjawab yang berat dalam
usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya sastera. Masyarakat
pula harus bersikap berhati terbuka
supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan
seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah
mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa
dan mencerminkan identiti kita.
4 comments:
Terima kasih atas kerangannya,mohon salin..tapi saya ubah sikit2 ayat dia
Mohon salin yee
Mohon salin yee
ok
Post a Comment