Monday, 3 April 2017

Penulisan : Mengesan Isi Penting

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggalakkan sekolah-sekolah di negara ini melaksanakan aktiviti lawatan sambil belajar dan anda sering menyertai aktiviti tersebut.
Berikan pendapat tentang faedah-faedah
yang dapat anda peroleh daripada lawatan sambil belajar.

Kunjungi universiti dalam program lawatan sambil belajar

JOHOR BAHRU 4 Okt. - Pihak sekolah disaran memasukkan kunjungan ke universiti dalam program lawatan sambil belajar yang dianjurkan sejajar usaha untuk memberi pendedahan kepada pelajar sebelum melangkah ke 'menara gading'.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pemerhatiannya mendapati program seumpama itu lebih tertumpu kepada tempat-tempat pelancongan dan bersejarah di negara ini.
"Saya yakin lawatan ke universiti mampu memberi lebih manfaat dan pendedahan kepada pelajar, terutamanya yang bakal mengakhiri zaman persekolahan, sekali gus mendorong mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya semasa merasmikan Program Selangkah ke U di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang.
Pada majlis itu, kira-kira 100 pelajar tingkatan empat melibatkan enam kawasan Parlimen di negeri ini iaitu Pontian, Batu Pahat, Pasir Gudang, Sembrong, Kluang dan Segamat mengadakan lawatan sambil belajar sehari di UTM dengan diiringi oleh guru masing-masing.
Semasa lawatan tersebut, pelajar dibawa mengunjungi kampus universiti itu serta kawasan sekitar bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai keadaan sebenar dalam kampus UTM dan pada masa sama berharap ia mampu menjadi pendorong untuk lebih tekun belajar.
Sementara itu, Zaini turut mencadangkan supaya lawatan sambil belajar ke universiti pada masa akan datang dapat menginap di kampus, sekurang-kurangnya satu malam bagi membolehkan pelajar terlibat merasai kehidupan sebenar sebagai seorang mahasiswa.
"Saya merasakan lawatan satu hari ini tidak cukup kerana masa terlalu singkat. Kalau dapat bermalam, banyak lagi perkara dan pengalaman dapat diperoleh mereka," katanya.


Pelajar KAYM ikuti lawatan sambil belajar ke Istana Budaya

MELAKA 5 Feb. - Sebanyak 40 pelajar Kelab Kebudayaan dan Kesenian Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mengikuti lawatan sambil belajar ke Istana Budaya, Kula Lumpur baru-baru ini.
Ketua Pembangunan Pelajar, Zeti Akhtaa Muhamaad berkata, lawatan itu bertujuan memberi pendedahan kepada penggiat seni budaya dalam kalangan pelajar KAYM berkaitan aktiviti kebudayaan dan kesenian yang boleh memberi inspirasi serta pengalaman berguna kepada mereka.
Menurutnya, program itu membolehkan para peserta mendapat maklumat dengan lebih terperinci mengenai suasana persekitaran di Istana Budaya di samping mendapat gambaran sebenar proses pementasan dan pengurusan yang boleh dipelajari serta diaplikasikan di kolej berkenaan.
"Lawatan ini merupakan satu bentuk pembelajaran secara tidak formal kepada pelajar selain memberi peluang kepada mereka mendekatkan diri dengan para karyawan serta budayawan tempatan.
"Kerjasama antara KAYM dan Istana Budaya ini amat penting dalam memastikan nilai seni budaya di Malaysia dapat dimartabatkan dan dipertingkatkan dalam kalangan mahasiswa," katanya.
Zeti Akhtaa berkata, pendedahan para peserta itu juga akan menyuntik semangat cintakan budaya dalam kalangan mahasiswa sekali gus menaikkan nama KAYM sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa tetapi masih utuh menjaga nilai seni budayanya.
Menurutnya, KAYM sedia menjalin kerjasama dalam bidang seni pada masa akan datang yang mampu memberikan impak positif dan bermanfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Tambahnya, dalam lawatan itu para pelajar turut melahirkan rasa teruja kerana berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan kumpulan penari-penari kesenian Istana Budaya yang dipentaskan khas untuk para peserta KAYM.
Lawatan sambil belajar elak murid alami tekanan
28 September 2014 2:16 AM
KUALA TERENGGANU 27 Sept. - Ketika rata-rata sekolah berusaha gigih mengatur semula program-program motivasi demi memulihkan kembali semangat para pelajarnya akibat kebocoran kertas soalan Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 lalu, lain pula pendekatan yang digunakan Sekolah Kebangsaan (SK) Belara di sini.
Bagi pihak sekolah, dalam situasi sebegini usaha tidak hanya tertumpu kepada program latih tubi dan kelas-kelas tambahan sebaliknya perlu disokong dengan aktiviti luar kelas bagi mengurangkan tekanan sekali gus meningkatkan moral murid.
Serentak dengan itu, guru besar sekolah berkenaan, Mat Saat Ibrahim berkata, pihaknya memilih untuk meneruskan program lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur dan Melaka kerana yakin langkah itu mampu memberi impak positif terutama kepada pelajar.
"Sebenarnya lawatan sambil belajar ini telah dirancang awal dan merupakan hadiah buat kesemua 26 calon UPSR di sekolah ini di atas segala usaha yang telah dilaksanakan mereka dalam peperiksaan itu, bagaimanapun kita tidak sangka berlaku insiden kebocoran kertas soalan.
"Sekiranya program ini dibatalkan pastinya menambahkan lagi kekecewaan mereka yang begitu teruja untuk menyertai lawatan itu, justeru, pihak sekolah berpendapat tidak salah untuk meneruskannya kerana sedikit sebanyak dapat menghilangkan seketika tekanan yang dihadapi," katanya.
Mat Saat memberitahu, lawatan sambil belajar selama tiga hari dua malam pada Rabu lalu (24 September) seperti `menyelam sambil minum air’ kerana antara lokasi yang menjadi kunjungan adalah Pusat Sains Negara, Petrosains dan Muzium Negara di Kuala Lumpur manakala Zoo Melaka, Melaka.
Katanya, segala maklumat dan informasi yang diperoleh sepanjang lawatan dalam mengenali dunia melalui sains di lokasi-lokasi itu secara tidak langsung dapat melengkapkan dan memberi persediaan bagi calon untuk menduduki semula peperiksaan kertas Sains tidak lama lagi.

Lawatan sambil belajar hasilkan piza sedap, berkualiti
04 Januari 2016 12:25 AM
Sempena cuti persekolahan baru-baru ini, lebih 50 murid sekolah rendah sekitar Lembah Klang berpeluang menimba pengalaman baharu mengenai proses penghasilan makanan pizza menerusi program ‘Little Papa’ anjuran Papa John’s Pizza Malaysia.
Di bawah program itu, murid menyertai bengkel membuat piza sempena lawatan sambil belajar ke restoran Papa John’s Pizza di Kuala Lumpur.
Melaluinya, murid didedahkan mengenai proses pembuatan piza Papa John’s iaitu ‘Better Ingre­dients. Better Pizza’ dan mengetahui rahsia menghasilkan piza yang enak dan berkualiti.
Murid kemudiannya diberi taklimat mengenai lawatan program lalu dibawa meninjau operasi dapur restoran Papa John bagi membolehkan murid melihat sendiri penghasilan pizza.
Ketika lawatan itu, setelah selesai mengenali peralatan dapur dan bahan-bahan dalam penghasilan piza, murid diajar membuat pizza sendiri bermula dengan doh kosong, menyemai ‘topping’ kegemaran mereka bersama hirisan keju, menunggu pizza dibakar dan akhirnya menikmati piza buatan masing-masing.
Suasana restoran bertambah meriah apabila dipenuhi dengan gelak ketawa murid dan kakitangan Papa John’s yang ceria sepanjang program berlangsung.
Pada penghujung program itu, setiap peserta diberi Sijil Pencapaian dan lencana Little Papa yang eksklusif, yang membolehkan mereka menikmati pizza percuma bagi kunjungan seterusnya di restoran Papa John’s Pizza Malaysia.

Lawatan sambil belajar ke loji air
BAK kata pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’, begitulah juga bimbingan dan tunjuk ajar untuk manusia.
Bagi melahirkan seorang insan yang berilmu dan prihatin, kanak-kanak perlu diberi pendedahan dan pendidikan yang berkaitan sejak di peringkat awal.
Dalam usaha tersebut, sebanyak 40 kanak-kanak dari Tabika Kemas Parit 3, Sekinchan, Selangor telah dibawa melawat Loji Pembersih Air di Parit Satu, Sungai Sireh, Tanjong Karang.
Lawatan sambil belajar yang ditemani oleh ibu bapa masing-masing itu memberi peluang untuk mereka melihat secara dekat bagaimana air sungai diproses sebelum dihantar kepada pengguna. Sepanjang lawatan tersebut, kanak-kanak dan ibu bapa telah dibawa melawat sekitar kawasan loji. Mereka turut diberi taklimat oleh pengurus tapak loji, Norazilan Miswat, mengenai kerja-kerja memproses air untuk membolehkan ia bersih dan selamat digunakan oleh orang ramai. Menurut Norazilan, loji tersebut mendapat bekalan air mentah dari Sungai Tengi yang membawa bersama-samanya bahan terapung seperti daun kayu dan sampah sarap.
“Loji ini sentiasa mendapat perhatian pelawat terutamanya daripada kalangan pelajar sekolah dan tabika yang ingin mengetahui dan mempelajari tentang bagaimana air dari sungai diproses,” katanya.

Tambah beliau, loji yang beroperasi 24 jam dengan 30 kakitangan itu berupaya menghasilkan 6 juta gelen air bersih sehari. Jumlah tersebut mampu menampung 100 peratus keperluan penduduk Tanjung Karang dan Sekinchan.

No comments:

Post a Comment