Sekolah anda telah mengadakan aktiviti
Sepanjang Bulan Kemerdekaan bagi melahirkan semangat cinta akan tanah air
kepada para pelajar. Sehubungan dengan itu, anda ditugaskan untuk menyediakan
satu laporan lengkap tentang Sambutan Bulan Kemerdekaan yang telah dianjurkan
untuk dimuatkan dalam ruangan majalah sekolah. Tulis laporan itu selengkapnya.
Laporan Bulan Kemerdekaan
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak
Sepanjang bulan Ogos 2017, Sekolah Menengah
Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai, telah mengadakan Sambutan Bulan
Kemerdekaan. Program tersebut diadakan bertujuan mencetus dan menanamkan
semangat cinta akan tanah air dalam kalangan pelajar. Hal ini ditegaskan oleh
Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana,
Sungkai, ketika merasmikan majlis yang bersejarah itu pada 10 Ogos 2017 di
Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai. Tuan pengetua juga
mengharapkan aktiviti yang dijalankan dapat meningkatkan jati diri, menanamkan
rasa keinsafan dan perasaan bersyukur dalam kalangan pelajar. Mereka sewajarnya
menghargai pengorbanan para pejuang tanah air yang berjuang dengan serba
kekurangan, tanpa senjata moden, tanpa alat komunikasi canggih dan tanpa kekayaan
harta benda. Mereka hanya memiliki tulang empat kerat untuk menggalas
perjuangan bak kata pepatah tiada rotan, akar pun berguna.
Upacara perasmian, Sambutan Bulan Kemerdekaan
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, dimulakan dengan menaikkan Jalur
Gemilang. Apabila tirai pentas dibuka, kumpulan koir Bulan Kemerdekaan Sekolah
Menengah Satria Perdana, Sungkai, telah bersedia untuk menyanyikan lagu
"Bahtera Merdeka" dan "Tanggal 31". Mereka menyanyi dengan
penuh semangat. Setelah tamat persembahan koir, pementasan drama patriotik yang
bertajuk "Peristiwa Bukit Kepong" nukilan Puan Hasliza Manap seorang guru
Sejarah sekolah ini telah dipentaskan. Drama ini mengisahkan tentang serangan
pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang terkenal dalam
sejarah Malaysia. Persembahan drama yang bertemakan berpantang mati
sebelum ajal begitu menyentuh jiwa dan perasaan guru-guru dan para
pelajar.
Selain itu, pihak sekolah juga menjemput
seorang tokoh akademik, iaitu Dr. Amira Azman untuk menyampaikan ceramah yang
bertajuk "Perjuangan Pemimpin Menuntut Kemerdekaan dan Implikasinya
terhadap Negara". Kehadiran Dr. Amira Azman ibarat sirih pulang ke gagang
kerana beliau merupakan bekas murid sekolah ini. Dalam ceramahnya, beliau
mengupas senario perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tok Janggut, Datuk
Bahaman, Mat Kilau dan Dato' Maharajalela dan sebagainya. Bagi Dr. Amira, pejuang-pejuang
kemerdekaan tersebut umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang
lain. Beliau menasihatkan para pelajar supaya berusaha gigih dalam pelajaran
demi menjadi manusia yang berguna dan menguasai ilmu pengetahuan bagi mengisi
kemerdekaan negara. Beliau juga menasihatkan para pelajar supaya tidak menjadi
seperti kacang lupakan kulit.
Pada 12 Ogos 2017, Pertandingan Deklamasi
Sajak Patriotik telah mengisi atur cara sambutan. Pertandingan tersebut
melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 5. Peserta yang mengambil bahagian
ternyata amat bersemangat sewaktu mendeklamasikan sajak mereka. Bakat peserta
yang mengambil bahagian tidak kurang hebatnya. Mereka telah menyampaikan sajak
dengan pelbagai gaya dan kreativiti. Pelajar-pelajar yang tidak mengambil bahagian
dalam pertandingan deklamasi sajak diminta menyiapkan biografi tentang tokoh-tokoh
kemerdekaan. Mereka dimestikan mendapat maklumat tentang tokoh-tokoh tersebut
dengan melayari Internet. Biografi yang telah dihasilkan oleh para pelajar akan
dipertandingkan. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Majlis Penutupan
Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah.
Pihak sekolah juga pada 15 dan 16 Ogos 2017
telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah di Muar,
Johor. Antara tempat yang dilawati ialah Balai Polis Bukit Kepong, Makam Sultan
Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja Pagoh dan Hutan Lipur Gunung Ledang.
Lawatan ini bertujuan mendedahkan para pelajar untuk melihat kesan dan bukti
sejarah yang terdapat di kawasan sendiri. Balai Polis Bukit Kepong merupakan
sebuah balai polis yang pernah melalui detik hitam dalam sejarah negara, iaitu
peristiwa pertempuran pasukan polis dengan pengganas komunis. Manakala Makam
Sultan Alauddin Riayat Syah merupakan makam salah seorang sultan dalam
Kesultanan Melayu Melaka. Gunung Ledang pula merupakan satu tempat yang
mempunyai kaitan yang rapat dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka apabila
Sultan Mahmud ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang pada suatu ketika
dahulu.
Sebagai acara kemuncak, pada 30 Ogos 2017,
telah diadakan Majlis Perarakan dan Mengibarkan Jalur Gemilang Peringkat
Sekolah. Majlis yang dimulai pada pukul 8.00 pagi itu mendapat sambutan di luar
dugaan daripada kalangan warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
Setiap individu yang terlibat diberi Jalur Gemilang bersaiz kecil untuk
dikibarkan semasa perarakan. Para pelajar membawa sepanduk yang ditulis dengan
kata-kata semangat seperti "Cintai dan Sayangi Malaysia", dan
"Malaysia, Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" mengikut kreativiti
pelajar. Majlis perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari dataran
perhimpunan dan berakhir di tempat yang sama. Setelah tamat acara perarakan,
program pada pagi tersebut diteruskan dengan ucapan penutupan program oleh Tuan
Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai.
Dalam ucapannya beliau menyatakan perasaan gembira dan amat berpuas hati dengan
perjalanan Sambutan Bulan Kemerdekaan pada kali ini. Beliau mengucapkan terima
kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis yang
amat bermakna terutama kepada para pelajar. Selepas itu, Tuan Pengetua
menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak dan
Pertandingan Menulis Biografi Tokoh Kemerdekaan. Majlis yang penuh warna-warni
dan bersejarah itu melabuhkan tirainya tepat pukul 11.30 pagi
dengan nyanyian lagu "Negaraku".
Laporan disediakan,
10 SEPTEMBER 2017
(NUR NAJWA MOHD ALI)
Tingkatan 5 al-Ghazali,
Sekolah Menengah Satria Perdana,
Sungkai.
3 comments:
Karangan yang menarik
Mohon dijadikan rujukan ye!:)
Silalahh~~
Post a Comment