20/02/2021

Kebaikan-kebaikan Membawa Bekal ke Sekolah

 Lihat gambar di bawah dengan teliti

Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan membawa bekal ke sekolah. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

·       menjaga kesihatan murid-murid

·       mampu menjimatkan kos murid dan keluarga

·       menjimatkan masa anak-anak di sekolah

        Pada era globalisasi ini, trend murid-murid membawa bekal ke sekolah semakin kurang diamalkan.  Hal ini dikatakan demikian kerana mereka menganggap bahawa membawa bekal ke sekolah adalah perkara yang tidak penting dan susah untuk menyediakannya. Tambahan pula, ada segelintir murid yang berpendapat bahawa membawa bekal ke sekolah adalah perkara yang memalukan kerana mereka akan dianggap sebagai murid prasekolah. Pada masa yang sama, ibu bapa tidak mempunyai waktu untuk menyediakan bekal kepada anak-anak kerana sibuk akan pekerjaan masing-masing. YB Dr. Maslee Malik sewaktu menggalas portfolio Menteri Pendidikan pernah melahirkan kebimbangan beliau kerana ibu bapa tidak mengambil berat dalam hal memastikan anak-anak mereka mengambil sarapan di sekolah kerana perkara ini akan mengganggu anak-anak memulakan sesi pembelajaran di dalam kelas. Persoalannya, apakah kebaikan membawa bekal ke sekolah? Saya akan menghuraikan pendapat mengenai kebaikan-kebaikan membawa bekal ke sekolah dalam perenggan-perenggan seterusnya.

 

       Kebaikan primer / [Lontaran idea pertama] / [Sebagai mukadimah dan pembuka tirai perbincangan, mari kita capahkan lensa perbincangan dengan menyatakan bahawa] membawa bekal ke sekolah dapat menjaga kesihatan murid-murid. Hal ini dapat dilihat apabila murid-murid berupaya menjalani kehidupan yang sihat jika mereka menikmati makanan yang disediakan oleh keluarga. Hal ini berlaku kerana bekal yang dibawa ke sekolah ghalibnya telah disediakan oleh ibu sendiri. Setiap ibu ingin melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat tanpa sebarang masalah kesihatan. Jadi ibu akan memastikan bekal yang dibawa oleh anak-anak ke sekolah mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh badan supaya anak-anak dapat membesar dengan seimbang. Oleh sebab itu, ibu akan menyediakan makanan yang digariskan mengikut piramid makanan. Ibu juga akan memastikan penyediaan makanan ini dalam kondisi yang bersih dan bahan-bahan yang segar sahaja dimasak. Jadi anak-anak mereka akan menikmati makanan yang bersih, berkhasiat dan berkualiti sekali gus keracunan makanan dapat dielakkan. Sebagai contoh, Datuk Seri Dr Zukifli Ahmad sewaktu menggalas jawatan Menteri Kesihatan menegaskan bahawa kebanyakan insiden keracunan makanan berlaku kerana  pengusaha kantin tidak mematuhi pelbagai syarat yang ditetapkan dan kurang memberi tumpuan kepada aspek kebersihan dan kesihatan dalam penyediaan makanan. Beliau bekata lagi bahawa sebanyak 5,265 kes keracunan makanan daripada 12,122 kes keracunan makanan yang berlaku di seluruh negara  tahun lalu adalah berlaku di sekolah. Oleh sebab itu, membawa bekal ke sekolah mampu mengelakkan murid-murid mengalami keracunan makanan kerana membawa bekal ke sekolah menjadi preventif kepada perkara yang lebih teruk lagi ibarat kata peribahasa mencegah lebih baik daripada merawat. Di samping itu, makanan yang disediakan oleh ibu juga menepati keperluan diet seharian. Kajian mendapati nutrisi baik dan pengambilan gizi yang seimbang bukan saja mampu membantu perkembangan fizikal, malah dapat meningkatkan kalsium dan vitamin khususnya dalam menjadikan anak-anak lebih kuat dan merangsang keupayaan minda yang lebih cerdas. Sebagai penghias bicara, tidak dapat dinafikan bahawa membawa bekal ke sekolah mempunyai banyak faedah yang boleh diperoleh murid terutamanya dalam aspek menjaga kesihatan diri.

       Lain daripada itu, / [Bertunjangkan idea yang relevan, mari kita lebarkan lensa perbincangan kepada skop yang lebih spesifik di bawah kata kunci] membawa bekal ke sekolah juga mampu menjimatkan kos murid dan keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap keluarga dapat merancang perbelanjaan harian supaya kehidupan mereka dapat diatur dengan tersusun tanpa sebarang masalah. Tambahan pula perbelanjaan harian untuk persekolahan anak-anak merupakan salah satu aspek yang diambil kira dalam perbelanjaan keluarga. Dengan kos hidup yang agak tinggi pada masa ini, ibu bapa perlu merancang perbelanjaan harian dengan lebih teliti lagi. Salah satu cara adalah dengan menyediakan bekal kepada anak-anak untuk di bawa ke sekolah. Usaha ini dapat mengurangkan perbelanjaan ibu bapa kerana mereka tidak perlu menyediakan wang yang banyak kepada anak-anak untuk berbelanja di sekolah. Secara tidak langsung ibu bapa dapat mengurangkan kos perbelanjaan apabila anak-anak membawa bekal ke sekolah. Murid-murid pula tidak perlu lagi berbelanja di kantin atau koperasi sekolah kerana mereka sudah ada bekal yang disediakan oleh ibu mereka. Dengan berbuat demikian, murid-murid boleh menyimpan duit saku tersebut di dalam tabung sebagai persediaan masa depan. Secara tidak langsung amalan menabung dalam kalangan anak-anak dapat direalisasikan. Walaupun wang saku yang ditabung tidaklah banyak, namun jika dilakukan setiap hari tabungan anak-anak akan menjadi banyak ibarat kata peribahasa sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Kendatipun demikian, aspek menabung ini perlu dilihat dengan serius kerana tatkala kita mengharung gelombang pandemik COVID-19 ini, kos hidup semakin meningkat dan memerlukan kebestarian akal dalam menghadapinya. Wang tabungan amat penting dan perlu direncanakan secara sistematik agar mereka boleh menggunakan wang tersebut untuk melanjutkan pengajian dan sebagainya. Oleh sebab itu, dengan membawa bekal anak-anak juga dapat melatih diri supaya lebih matang dan proaktif dalam mengharungi tingkap globalisasi yang  kian mencabar kini dan sentiasa ingat akan peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Sikap ini haruslah dibentuk dari usia setahun jagung lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka jelaslah bahawa / [Sebagai pengikat wacana, jelaslah bahawa] membawa bekal ke sekolah dapat menjimatkan kos perbelanjaan keluarga.

       Setelah meneliti isu di atas secara mendalam dan terperinci, mauduk tentang kebaikan membawa bekal ke sekolah akan dibugar dari perspektif dapat menjimatkan masa anak-anak di sekolah. Tidak dapat disangkal bahawa masa sangat penting kepada anak-anak kerana masa itu emas. Masa rehat anak-anak di sekolah adalah terhad kerana sebahagian besar mereka berada di dalam kelas untuk proses pembelajaran. Sebagai contoh, masa rehat yang diperuntukkan kepada anak-anak di sekolah adalah sangat singkat iaitu antara 20 hingga 30 minit sahaja. Murid-murid perlu mematuhi masa rehat tersebut jika tidak mahu ketinggalan di dalam kelas. Bagi murid yang faham dan dapat menguruskan masa dengan baik, mereka dapat mengatasi masalah tersebut namun apa pula yang terjadi kepada pelajar yang kurang memahaminya dan tidak menghayati akan masa yang sudah diberi? Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa membawa bekal ke sekolah dapat menjimatkan masa murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila murid-murid membawa bekal ke sekolah, mereka tidak perlu lagi berbaris panjang untuk membeli makanan di kantin atau koperasi sekolah. Murid biasanya mengambil masa 5 hingga 10 minit dengan beratur untuk mendapatkan makanan sedangkan masa rehat adalah singkat. Mereka akan makan dengan cepat kerana masa rehat yang berbaki adalah singkat. Jadi jika mereka membawa bekal ke sekolah, mereka boleh terus makan di kantin tanpa beratur untuk mendapatkan makanan.  Murid hanya menghabiskan masa rehat sekitar 10 minit sahaja jika mereka membawa bekal ke sekolah. Masa yang ada selebihnya boleh digunakan oleh murid untuk pergi ke pusat sumber, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru, bertanya kepada guru mengenai topik yang tidak difahami, solat sunat dhuha dan sebagainya. Amalan ini wajar dipraktikkan oleh murid kerana pengurusan masa adalah sangat penting. Murid perlu menggunakan masa yang ada untuk meningkatkan kecemerlangan diri kerana masa ibarat mata pedang, jika kita tidak memotongnya, nescaya masa akan memotong kita. Oleh itu, membawa bekal dapat menjimatkan masa murid-murid di sekolah.

       Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai maslahat amalanmembawa bekal ke sekolah. Pelbagai inisiatif seyogia diimplementasikan untuk memupuk amalan membawa bekal ke sekolah dalam sanubari murid-murid. Oleh itu, pihak lain seperti pihak kerajaan dan ibu bapa haruslah memainkan peranan yang jitu supaya peribahasa seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tidak diamalkan dan melakukannya dengan istiqamah bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga. Murid haruslah merebut peluang tersebut dan berganding bahu kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi bagi menghayati tujuan membawa bekal ke sekolah dalam kehidupan kita. Harapan saya agar semua pihak menjangkau sehabis tangan untuk mencorakkan masa depan negara dengan warna seindah pelangi dalam merealisasikan misi dan visi agar anak-anak terhindar daripada sebarang penyakit dan mampu menjalani kehidupan yang sempurna.

 

Sumber http://blogcikguazaman.blogspot.com/ [sedikit pengubahsuaian, mohon izin]

No comments:

Post a Comment