Ibu bapa merupakan insan yang berperanan
penting bagi menggalakkan anak-anak menggunakan barangan buatan
Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh
ibu bapa terhadap anak-anak dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan
Malaysia.
Sebagai
sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju,
Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai
barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar
tidak lagi mendewa-dewakan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini
sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah
produk keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walau bagaimanapun, masih ramai
lagi yang tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar
barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya
mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah
peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan
yang amat penting perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa adalah menjadi suri teladan kepada
anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa mengikuti jejak langkah
kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Ibu bapa merupakan insan yang paling
dikagumi kerana ibu bapalah orang yang
terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu
bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah
dan bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti
ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan
anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa
haruslah membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar,
barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa
haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan
buatan Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk
perasaan cinta akan negara kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat
patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka terpanggil
untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga
boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran
Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal
ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan
negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi muda kita. Ibu bapa
patut menyeru anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana
rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri.
Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk
negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan
Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat melalui
Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang
baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak
telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan
Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat
dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak
berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan
laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh
dilaksanakan oleh ibu bapa adalah dengan membawa anak-anak ke pameran barangan
buatan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak ke Karnival
Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia
dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah ditetapkan
hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang
istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan
dan batik, merupakan budaya yang menggambarkan
tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan
tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri.
Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa
haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan
barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis
pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak
menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan
menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat
mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan
Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa,
tak kenal
maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan
Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah
menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia kepada anak-anak mereka
supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya, menyokong dan menggunakan
barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak tentang
kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya setanding
dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk
dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah
diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk
memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan
Malaysia. Sikap prejudis,
memandang rendah barangan tempatan dari
sudut pemikiran juga seharusnya
dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada anak-anak
mereka, tetapi, sebaliknya, membina semangat Malaysia
Boleh dari serba-serbi, termasuk soal
kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan
penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada
anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan
mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang merupakan insan terdekat kepada
generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang amat penting dalam
menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan
Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja mengimport
barangan luar negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat
dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak
sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai
kualiti dan kuantiti yang baik. Walau bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah
tidak mencukupi. Rakyat Malaysia
patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan
semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu
perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan
azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu
tinggi.
2 comments:
good essay
assalamualaikum..mohon izin kongsikan karangan ini dengan murid - murid ...terima kasih
Post a Comment