Renung-renungkan…
Seorang pemuda duduk
di hadapan lap topnya. Log in facebook. Benda pertama sekali dia check
adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama
ini. Bahagian 'OTHER' di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam.
Mesej kedua dibukanya. Tarikh mesej 3 bulan yang lepas. Ditatap isinya.
"Salam.
Inilah kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai
kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni. Abah cuba hantar
mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah
yang ajarkan.
Ingat tak bila
pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian kerana semua
anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan
harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama
atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali.
Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call
abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?
Masa kamu kecil
dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, 'Abah,
abah, abah'. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama.
Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan
tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan
mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami
berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.
Bila kamu sekolah
rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng
motor dengan abah setiap kali pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu
ceritakan pada abah. Tentang cikgu, tentang sekolah, tentang kawan-kawan. Abah
jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah.
Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke
sekolah belajar.
Bila kamu sekolah
menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik.
Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang
bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak
antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak
perlu. Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat
tahu kamu ada kekasih.
Ketika di
universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi
kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu
dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri.
Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan
mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah
kami ibarat tabung pada kamu sahaja?
Hakikatnya, kamu
jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa
tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma
hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah,
kamu tak balik cuti.
Malam ni, abah
sebenarnya rindu sangat pada kamu. Bukan mahu berleter, mengungkit atau
membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah
tidak sekuat dulu lagi. Abah tak minta banyak...
Kadang-kadang, abah
cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa
yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah. Mengadu pada abah.
Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.
Apapun. Maafkan abah
atas curahan hati abah ini. Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman. Mungkin
kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak
punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang
melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu
mengabaikan Tuhan. Maafkan abah atas segalanya."
Pemuda menitiskan
air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya. Tulisan ayahandanya
itu hanya dibaca setelah 3 bulan ayahnya pergi buat selama-lamanya. Di
saat dia tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya.
Pada yang masih punya ibu & bapa,
BAGAIMANA kah KITA?
Catatan
-
Maaf kerana terdapat banyak kesalahan bahasa dalam petikan di atas.
Bahasa seorang bapa kepada anaknya.
No comments:
Post a Comment