Showing posts with label RENUNGAN. Show all posts
Showing posts with label RENUNGAN. Show all posts

02/06/2017

Renungan : Kisah lobak merah, telur dan biji kopi




oleh Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man 

Jamil datang ke rumah ustaz Ibrahim menceritakan bagaimana hidupnya diuji dengan penuh kesusahan. Jamil berkata beliau tidak mampu menghadapinya lagi dan ingin berputus asa. Jamil memberitahu ustaz Ibrahim beliau teramat letih untuk meneruskan perjuangan dan berlawan… setelah satu masalah selesai, satu masalah baru pula timbul.

Ustaz Ibrahim hanya mendengar dan tidak berkata apa-apa. Beliau menyuruh Jamil mengikutnya ke dapur. Jamil pun mengikut tanya bertanya. Ustaz Ibrahim mengisi air di dalam tiga periuk kecil dan mendidih ketiga-tiganya serentak.

Semasa air mendidih, Ustaz Ibrahim memasukkan lobak merah ke periuk pertama, telur ke periuk kedua dan biji kopi ke periuk ketiga.

Jamil bertanya, “Apa yang ustaz buat? Nak masak apa tu?”

Ustaz Ibrahim tidak berkata apa-apa dan membiarkan air mendidih selama 20 minit. Setelah 20 minit, Ustaz Ibrahim mengeluarkan lobak merah, telur dan biji kopi ke dalam sebuah mangkuk.

“Jamil, apa yang awak nampak?”

“Lobak merah, telur dan kopi,” jawab Jamil.

Ustaz Ibrahim menyuruh Jamil untuk menyentuh lobak merah tersebut. Jamil terasa lembut. Kemudian Ustaz Ibrahim menyuruh Jamil untuk memecahkan telur tersebut. Selepas mengupas kulitnya, Jamil dapat satu telur masak penuh. Kemudian, Ustaz Ibrahim menyuruh Jamil mencuba air kopi di periuk ketiga. Jamil berasa rasanya penuh aroma kopi.

“Ustaz, apa maksud semua ini?” Jamil bertanya.

“Setiap benda ini (lobak merah, telur dan biji kopi) telah melalui kesusahan yang sama, iaitu air mendidih. Tapi setiap satunya memberikan reaksi berlainan.

Lobak merah masuk dalam keadaan keras, kuat dan kasar. Akan tetapi setelah melalui ujian air mendidih ia keluar lembik dan lemah.

Telur masuk dalam keadaan rapuh dan mudah pecah. Dalam cecair yang hanya dilindungi satu kulit yang nipis… akan tetapi setelah melalui ujian air didih, ia bertukar menjadi keras.

Bagi biji kopi pula… ini lebih menarik. Semasa dalam air mendidih, biji kopi menukar seluruh air mendidih kepada air kopi yang wangi aroma seperti yang diminum Jamil tadi,” terang Ustaz Ibrahim sambil tersenyum.

Mata Jamil seolah-olah terpukau dengan penjelasan Ustaz Ibrahim.

“Jadi, Jamil adalah yang mana satu? Bila kesusahan melanda, bagaimana Jamil menghadapinya? Lobak merah, telur ataupun biji kopi?” tanya Ustaz Ibrahim kepada Jamil yang tersentak dengan persoalan itu.

Semasa ujian Allah datang mengetuk pintu anda, bagaimana anda harus menghadapinya?
Adakah anda seperti lobak merah yang nampak kuat, tapi dengan kesusahan, anda bertukar menjadi lembik dan hilang segala kekuatan anda?

Ataupun anda seperti telur dengan hati yang bagaikan cecair yang mudah dipengaruhi haba dan setelah melalui musibah, luaran anda nampak tidak berubah, akan tetapi hati anda menjadi keras dan tidak gembira dan tidak beransur.

Ataupun anda ialah biji kopi, makin didih, anda mengubah keadaan situasi anda sehingga keadaan itu mengeluarkan bau aroma yang menakjubkan.

Jadi siapakah anda?

Ingat, Allah tidak akan menguji seseorang melebihi kemampuannya. Apabila menghadapi kesusahan, ingatlah Allah sedang menguji anda, dan anda seharusnya bertindak seperti biji kopi, bertambah baik dan mengubah keadaan sekeliling anda kepada perkara positif.

Masa paling sukar adalah masa terbaik untuk meningkatkan diri ke tahap yang lain.


Senyum.

09/05/2014

Kisah teladan yang menyayat hati...

Kisah teladan yang menyayat hati...

"Abang ni, pakai tu elok-elok la sikit," kata Liza lembut sambil membetulkan pakaian Usin. Usin tersenyum memandang isterinya.
"Cantik isteri abang hari ni," Usin mencubit pipi Liza lembut.
"Ayah, ayah, cepat la yah," Farah dan Adi meluru masuk ke bilik kerana dah tak sabar-sabar nak bertolak pulang ke kampung.
"Yelah, yelah, ayah dah siap ni."
Liza hanya tersenyum melihat suaminya itu melayan karenah anak-anak mereka yang comel dan manja.
"Abang, dah lama kita tak balik kampung macam ni ye?"
"Iyelah, maklumlah abang ni sibuk dengan urusan perniagaan. Baru kali ni abang ada peluang untuk cuti panjang", Usin berkata kepada isterinya tercinta.

Perjalanan daripada Kota Bharu ke Sungkai mengambil masa lebih kurang empat jam. Farah dan Adi dah pun terlelap kat kerusi belakang. Begitu juga dengan isterinya, Liza.
"Tak sabar rasanya nak tiba kat kampung," Usin berkata dalam hati.
Sedikit demi sedikit Usin menekan minyak keretanya. Semakin lama keretanya semakin laju dan Usin semakin seronok. Usin dah tak sabar untuk segera sampai ke kampungnya. Pedal minyak ditekannya lagi dan Honda Civicnya mula memecut.
Usin cilok kiri, cilok kanan. Habis semua kenderaan dipotongnya. Bangga betul Usin masa tu. Terlupa dia sekejap pada anak dan isterinya yang sedang tidur.
"Eh abang, kenapa bawa laju sangat ni?" tiba-tiba Liza terjaga dari tidurnya.
"Tak ada apa la sayang, rileks...cepat sikit kita sampai kampung nanti."
"Sabar bang, sabar. Biar lambat tak apa....jangan laju sangat bang, Liza takut." Liza cuba memujuk Usin supaya memperlahankan kenderaannya.
"Rileks Liza, tak ada apa-apa," Usin terus memotong bas ekspres di depannya tanpa was-was.
"Haaa..kan, tengok. Tak ada apa-apa kan?" kata Usin setelah berjaya memotong bas ekspres tadi.
"Sudah la tu bang."
"Ha... tu ada satu lagi bas ekspres. Liza tengok abang motong dia aaa...."

Usin terus masuk gear 3, pedal minyak ditekannya hingga jejak ke lantai. Usin terus membelok ke kanan untuk memotong dan.... di depannya tersergam sebuah lori balak yang besar dan gagah dan.....

BAAANGGG!!!

"Usin....bangun Sin," sayup-sayup terdengar suara emaknya. Usin membuka matanya. Dia terlihat emaknya di situ.
"Mak, Usin di mana mak? Mana Liza mak? Macam mana dengan Liza mak? Farah, Adi.... mana anak-anak saya mak?" Bertubi-tubi Usin menyoal emaknya. Usin tak dapat menahan kesedihannya lagi. Usin menangis semahu-mahunya di depan emaknya.
Emaknya memandang Usin tepat-tepat.
"Macamana dengan isteri Usin mak, Liza?" Usin masih terus menangis.



PANGGG!!!
Kepala Usin yang botak itu ditampar oleh emaknya dengan tiba-tiba. Usin terdiam. Kenapa emaknya buat dia macam tu?
"Banyak la engkau punya isteri! Kerja pun pemalas ada hati nak berbini. Tu la, tidur lagi senja-senja macam ni! Dah! Bangun pegi sembahyang!" emaknya terus merungut sambil berlalu keluar....

... Dan Usin tersengih keseorangan. Rasa macam nak masuk dalam tin biskut!
Malu pada bondanya..

Sekian

Moral: Pandulah dengan berhati-hati walaupun di dalam mimpi.. Ingatlah orang tersayang... 


sumber > http://meniti-hari.blogspot.com/  

29/01/2014

Bagaimanakah kita?


Renung-renungkan…

Seorang pemuda duduk di hadapan lap topnya. Log in facebook.  Benda pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama ini. Bahagian 'OTHER' di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Tarikh mesej 3 bulan yang lepas.  Ditatap isinya.
"Salam.  Inilah kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni. Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.
Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian kerana semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?
Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, 'Abah, abah, abah'. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.          
Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap kali pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, tentang sekolah, tentang kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.          
Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu. Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu kamu ada kekasih.
Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?         
Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.          
Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu. Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi. Abah tak minta banyak...  
Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah.  Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.
Apapun. Maafkan abah atas curahan hati abah ini.  Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman. Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.  Maafkan abah atas segalanya."          


Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya. Tulisan ayahandanya itu hanya dibaca setelah 3 bulan ayahnya pergi buat selama-lamanya.  Di saat dia tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya.  

Pada yang masih punya ibu & bapa, BAGAIMANA kah KITA? 

Catatan
-         Maaf kerana terdapat banyak kesalahan bahasa dalam petikan di atas. Bahasa seorang bapa kepada anaknya.