Tugasan Istimewa buat anak-anak 5K dan 5R
Hasilkan sebuah karangan berdasarkan soalan di bawah. Panjang karangan hendaklah tidak kurang
daripada 350 patah perkataan.
Setiap kali menjelang
peperiksaan, pelbagai cara dilakukan oleh pelajar-pelajar sebagai persediaan
untuk menghadapinya.
Nyatakan usaha-usaha yang anda
lakukan untuk memastikan anda beroleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
Sumber pengayaan : Baca karangan contoh berikut.
Sumber pengayaan : Baca karangan contoh berikut.
TEMA
|
BANGUNAN
BERSEJARAH
|
TUGASAN SOALAN
|
KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH
|
ARAS
|
CEMERLANG ( 80 – 85 MARKAH )
|
Seperti yang kita sedia maklum,
Malaysia wujud daripada ketamadunan silam iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan
kerajaan awal, seperti Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Kedah Tua. Sementara itu, beberapa
kerajaan lain di pantai Timur Semenanjung.
Malaysia pernah dijajah selama 446 tahun dan akhirnya mencapai
kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sejarah
penubuhan kerajaan ini pastinya banyak meninggalkan bangunan bersejarah sama
ada yang bercirikan tempatan mahupun Eropah. Sejak UNESCO mengiktiraf bandar
Melaka dan Georgetown sebagai bandar warisan bersejarah atau tapak warisan dan
ketamadunan dunia, barulah timbul kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan
bersejarah. Menyedari hakikat ini, pihak
kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memulihara bangunan
bersejarah. Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah
dalam konteks Malaysia?
Salah satu kepentingan bangunan
bersejarah atau monumen ialah, dapat
dijadikan sebagai bukti kukuh tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku
kepada generasi akan datang. Kita
sedia maklum bahawa bangunan bersejarah atau monumen bermaksud bangunan yang dibina untuk
memperingati seseorang tokoh yang telah berjasa atau peristiwa penting yang
pernah berlaku. Walaupun Malaysia telah
mencapai kemerdekaan selama lebih daripada 50 tahun, kesan yang ditinggalkan
oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda, dan Portugis masih dapat
dilihat dan perlu dijaga serta dilestarikan.
Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan
juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah kita
dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh
penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah
cerita-cerita dongeng, metos atau legenda semata-mata. Sebagai contoh, zaman kegemilangan bandar
pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya
Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja
St. Paul. Selain itu, Kota Cornwallis,
Masjid Kling,Gereja St. Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali
detik-detik sejarah negara yang pernah dijajah pada suatu masa dahulu dan juga
dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal, pemerintahan British di
Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18.
Tegasnya, bangunan bersejarah dan monumen lama amat penting sebagai
bahan bukti yang kukuh tentang peristiwa yang telah berlaku untuk ditunjukkan
kepada generasi akan datang.
Selain itu, bangunan bersejarah dan
monumen lama dapat memberikan teladan
dan iktibar kepada masyarakat terutamanya golongan remaja. Kita sedia maklum bahawa remaja pada hari ini
kurang mempunyai kesedaran diri terutamanya berkaitan dengan sejarah Malaysia. Dengan adanya bangunan bersejarah di negara
kita. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjadikannya sebagai panduan hidup
mereka. Sebagai contohnya, Kota A Famosa
di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh
Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya
masalah perpaduan, kelemahan kepimpinan dan juga kelemahan tentera yang
mengawal Melaka. Jika kita menghayati
sejarah, di sebalik bangunan tersebut serta mengambil pengajaran daripada
peristiwa yang berlaku maka kita dapat terus mara tanpa mengulangi kesilapan
yang dilakukan oleh masyarakat terdahulu.
Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah
hitam negara, namun kita tidak harus menjadikannya sebagai halangan untuk
mencapai kejayaan. Negara kita juga
mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya
kita tidak mengambil mudah dan mengambil ikhtibar daripada sejarah silam negara. Tuntasnya, bangunan bersejarah di negara kita
sememangnya dapat memberi ikhtibar dan pengajaran kepada generasi muda kerana yang
baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Di samping itu, bangunan
bersejarah dan monumen memberi banyak manfaat dari sudut pelancongan. Hal ini demikian kerana bangunan bersejarah
dapat menarik pelancong sama ada pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar
negara untuk melawat negara kita. Kita sedia maklum bahawa bangunan ini juga
menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain
menyaksikan kehebatan bangunan yang moden seperti Menara Berkembar
Petronas. Kehalusan seni bina dan keunikan
reka bentuk bangunan tersebut mampu menjadi tarikan para pelancong untuk
berkunjung ke tempat-tempat tersebut.
Sebagai contoh, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mempunyai
unsur seni yang tiada tolok bandingnya.
Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan
menyaksikan monumen-monumen yang terdapat di lokasi yang dikunjungi di samping menyaksikan
keindahan alam semula jadi dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni
lukis. Oleh itu, bangunan bersejarah
perlu dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah
diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat
pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi
suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah, Perancis, Itali dan
Belanda. Bandar-bandar bersejarah
seperti York, Bath, Oxford dan Cambridge di England telah berjaya melindungi
sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik pelancong
dari seluruh dunia dengan lebih banyak dan dapat menjadi sumber pendapatan
negara. Oleh itu, bangunan dan monumen
ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
Seterusnya, pemuliharaan
bangunan bersejarah juga penting sebagai salah satu cara untuk memupuk semangat
patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Kita sedia maklum bahawa bangunan bersejarah amat penting kerana
semangat patriotisme dalam kalangan remaja sejak belakangan ini semakin
menipis. Dalam konteks ini, bangunan
bersejarah perlu dikekalkan untuk menjadi tatapan dan penghayatan generasi
muda. Sebagai contoh, Kota A Famosa di
Melaka dan Kota Cornwallis di Pulau Pinang dapat mengingatkan kita tentang
usaha mempertahankan kedaulatan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada zaman
penjajahan dahulu. Tinggalan sejarah ini
boleh mengingatkan generasi muda tentang
segala pahit maung yang dilalui oleh pejuang nasionalis ketika memerdekakan
tanah air. Peribahasa Melayu biar
putih tulang jangan putih mata sentiasa tersemat di dalam hati para
pejuang negara ketika itu. Secara tidak
langsung, hal ini dapat mencelikkan minda generasi muda agar sentiasa berwaspada terhadap musuh negara
yang sentiasa mencari peluang untuk menjajah negara kita sekali gus berjuang
bermati-matian untuk ibu pertiwi daripada dicerobohi oleh kuasa asing. Oleh itu, bangunan bersejarah penting dalam
memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda bagi mempertahankan
negara kita yang tercinta.
Ada pendapat mengatakan bahawa, bangunan dan monumen lama
juga turut memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya kepada para pelajar dan
penyelidik. Kita sedia maklum bahawa
pelbagai ilmu akan dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan
monumen lama. Sebagai contoh, dengan terdapatnya
bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di
pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui
bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga
kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran
Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat
British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan
pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Raja Laut
pada tahun 1897. Pancutan air Horse
dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu
Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan
penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah dapat memberi maklumat kepada
pelajar tentang peristiwa yang pernah berlaku di negara kita kerana tak
kenal maka tak cinta.
Sesungguhnya, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai
yang tersendiri dan menjadi bahan rujukan kepada pelajar dan penyelidik.
Sebagai penghias bicara akhir, bangunan bersejarah amat vital dalam
pembentukan minda generasi muda terutamanya ke arah penghayatan warisan dan
khazanah negara. Bangunan dan monumen
yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi. Bangunan bersejarah juga akan memangkin jiwa
generasi muda agar lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah
negara. Hal ini akan membentuk
masyarakat yang sensitif akan sebarang
usaha untuk merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah
mewartakan bangunan bersejarah yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang
merobohkan dan memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan
tindakan undang-undang. Cintailah
sejarah ibu pertiwi kita demi kemantapan perjuangan rakyat kita kerana nilai
sejarah tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
No comments:
Post a Comment