03/10/2014

Pecutan Akhir SPM 2014 : LAPORAN (iii)

Sekolah anda telah mengadakan Hari Kantin pada minggu lepas. Sebagai setiausaha Hari Kantin, anda telah diminta untuk menulis laporan tentang program-program yang dijalankan pada hari tersebut. Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Program Hari Kantin
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana

Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana telah mengadakan Hari Kantin pada 7 Ogos 2014 di Dataran Terbuka sekolah. Majlis Hari Kantin telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, iaitu Datuk Ihsan bin Haji Ramli yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana. Majlis Hari Kantin telah dimulakan tepat pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 2.00 petang. Majlis pada hari tersebut dibuka kepada orang ramai dan kupon-­kupon disediakan untuk melicinkan urus niaga pada hari tersebut. Semua guru terlibat dalam aktiviti Hari Kantin dengan dibantu oleh para pelajar yang dipilih oleh guru-guru berkenaan.
Antara program yang telah dijalankan semasa Hari Kantin ialah pesta jualan makanan dan minuman serta pelbagai cenderamata. Makanan pelbagai kaum disediakan oleh para guru dan pelajar seperti nasi lemak, laksa, capati, mihun, keropok lekor dan kuih bulan. Ada juga gerai yang menjual makanan tradisi pelbagai kaum seperti lemang, wajik, penganan dan sebagainya. Air batu campur, air tebu, ais yang dikisar dan air bergas turut dijual di bahagian gerai minuman. Rata-rata para pengunjung berpuas hati dengan kepelbagaian makanan yang dijual semasa Hari Kantin. Para guru dan pelajar yang berniaga pula tidak menang tangan sentiasa melayan para pelanggan yang membeli makanan jualan mereka. Selain itu, pada tahun ini terdapat banyak cenderamata dijual seperti anak patung, rantai kunci, baju-T, alat tulis yang bercetak nama sekolah, kad dan pelekat bergambar. Dengan harga yang berpatutan, kedai-kedai cenderamata ini sentiasa penuh dengan pelanggan terutama dalam kalangan pelajar sekolah dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, sambutan paling hebat dilihat di gerai makanan dan minuman kerana keghairahan pengunjung untuk merasai juadah yang dijual oleh warga sekolah. Dalam hal ini, para pelajar dapat mengenali makanan tradisi kaum lain di negara ini. Justeru, secara tidak langsung Hari Kantin telah berjaya mempromosi makanan tradisional kaum lain kepada para pelajar.
Selain itu, pada hari ini juga diadakan program pameran hasil kerja para pelajar sekolah. Antara hasil kerja yang dipamerkan ialah model sebatang rokok sempena kempen Tak Nak oleh para pelajar Lukisan dan Teknologi Kejuruteraan. Selain itu, Kelab Pembimbing Rakan Sebaya juga telah mempamerkan hasil kerja mereka seperti carta nilai­-nilai murni dan tayangan video tentang aktiviti-aktiviti kelab. Di samping itu, para pengunjung juga dapat melihat para pelajar melukis batik, kaligrafi dan seni khat secara langsung di dewan sekolah. Pameran dan foto-foto tentang kejayaan sekolah turut dipamerkan pada Hari Kantin seperti foto kejayaan Kelab Hoki yang telah menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan, foto beberapa orang pelajar yang telah menyertai perkhemahan peringkat kebangsaan dan sebagainya. Dengan mengadakan pameran, para pengunjung dapat mengetahui perkembangan dan aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2013. Sebagai serampang dua mata, pameran yang diadakan juga merupakan promosi bagi pihak sekolah agar para pengunjung menyokong segala aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah pada- masa depan. Manakala ibu bapa juga dengan senang hati membenarkan anak-anak mereka menyertai aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Program lain yang diadakan sempena Hari Kantin ialah aktiviti permainan. Sebagai contohnya rumah hantu yang dijalankan oleh Persatuan Sejarah dan Geografi. Bayaran yang dikenakan untuk masuk ke rumah hantu adalah sebanyak RM2. Banyak pengunjung beratur di luar kelas untuk merasai pengalaman seram apabila berada di dalam rumah hantu. Rata-rata pengunjung menyatakan bahawa mereka berasa seolah-olah berada di dalam sebuah rumah lama yang penuh dengan hantu-hantu yang menyeramkan. Selain itu, diadakan juga aktiviti memancing ikan, meneka jumlah berat kacang, memecahkan belon dan membaling bola ke arah patung. Kanak-kanak pula mereka boleh bergembira dengan permainan tema yang diadakan di padang sekolah seperti bermain gelongsor, buaian dan memanjat tali sarang lelabah. Di samping itu, belon-belon secara percuma turut diedarkan kepada kanak-kanak oleh badut yang menceriakan suasana pada hari tersebut dengan telatah lucunya ketika mengusik kanak-kanak. Salah satu aktiviti permainan yang paling mendapat perhatian para pengunjung ialah menunggang kuda dengan bayaran RM5 selama 20 minit. Walaupun agak mahal namun aktiviti ini merupakan suatu pengalaman baharu bagi para pengunjung yang tidak pernah merasai menunggang kuda.
Sebagai acara selingan pada hari tersebut, Kelab Muzik sekolah telah memainkan lagu-lagu mengikut permintaan para pelajar dan pengunjung. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 50 sen untuk sebuah lagu. Banyak pilihan lagu yang ke udara mengikut permintaan seperti rentak jazz, sentimental, rock, balada dan asli. Para pelajar paling menyukai aktiviti ini kerana nama pembeli dan penerima lagu disebut oleh juruhebah yang bertugas. Dalam segmen ini, banyak guru menerima lagu daripada para pelajar dengan ucapan terima kasih kerana telah membimbing mereka dalam bidang pelajaran. Hakikatnya, acara ini berjaya memupuk sikap menghargai guru dalam kalangan pelajar. Sambil melihat program yang lain, para pengunjung juga memasang telinga untuk mengenal pasti sama ada nama mereka dihadiahkan lagu atau tidak. Sambutan yang hangat oleh para pelajar menyebabkan sebanyak 600 buah lagu dipasang sepanjang majlis Hari Kantin berlangsung. Sambil menyelam, minum air, sebenarnya satu per tiga hasil kutipan untuk acara ini akan didermakan kepada Rumah Anak Yatim Bakti yang terletak bersebelahan dengan sekolah kami. Secara tidak langsung para pelajar didedahkan dengan sikap masyarakat penyayang dan bantu-membantu antara satu dengan yang lain.
Akhir kata, Hari Kantin yang dijalankan berjaya mengutip hasil yang melebihi sasaran yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Keseluruhan kutipan untuk Hari Kantin adalah sebanyak RM30,000 Pihak sekolah telah menyasarkan kutipan sebanyak RM15,000 Pencapaian ini membanggakan pihak sekolah yang diibaratkan seperti kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Para pengunjung yang terdiri daripada masyarakat setempat merupakan sumber sokongan utama kejayaan pihak sekolah. Walaupun warga sekolah terpaksa mengorbankan hari Ahad mereka, namun apabila melihat kejayaan yang diperoleh hati tetap berasa puas. Pengetua mengumumkan bahawa hari Isnin ialah cuti peristiwa dan warga sekolah bolehlah berehat pada hari tersebut.

Dilaporkan oleh,                                                      20 OGOS 2014

   pettym
………………………
(SITI PETIMAH BINTI IBRAHIM)
Setiausaha Hari Kantin,
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana.

1 comment:

Unknown said...

Mantap,,izinkan amik isi sikit ye��