Sekolah
anda telah mengadakan Hari Kantin pada minggu lepas. Sebagai setiausaha Hari
Kantin, anda telah diminta untuk menulis laporan tentang program-program yang
dijalankan pada hari tersebut. Tulis laporan itu selengkapnya.
Laporan Program Hari Kantin
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana telah
mengadakan Hari Kantin pada 7 Ogos 2014 di Dataran Terbuka sekolah. Majlis Hari
Kantin telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, iaitu Datuk Ihsan bin
Haji Ramli yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana. Majlis Hari Kantin telah dimulakan
tepat pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 2.00 petang. Majlis pada hari
tersebut dibuka kepada orang ramai dan kupon-kupon disediakan untuk melicinkan
urus niaga pada hari tersebut. Semua guru terlibat dalam aktiviti Hari Kantin
dengan dibantu oleh para pelajar yang dipilih oleh guru-guru berkenaan.
Antara program yang telah dijalankan semasa
Hari Kantin ialah pesta jualan makanan dan minuman serta pelbagai cenderamata.
Makanan pelbagai kaum disediakan oleh para guru dan pelajar seperti nasi lemak,
laksa, capati, mihun, keropok lekor dan kuih bulan. Ada juga gerai yang menjual
makanan tradisi pelbagai kaum seperti lemang, wajik, penganan dan sebagainya.
Air batu campur, air tebu, ais yang dikisar dan air bergas turut dijual di
bahagian gerai minuman. Rata-rata para pengunjung berpuas hati dengan
kepelbagaian makanan yang dijual semasa Hari Kantin. Para guru dan pelajar yang
berniaga pula tidak menang tangan sentiasa melayan para pelanggan yang membeli
makanan jualan mereka. Selain itu, pada tahun ini terdapat banyak cenderamata
dijual seperti anak patung, rantai kunci, baju-T, alat tulis yang bercetak nama
sekolah, kad dan pelekat bergambar. Dengan harga yang berpatutan, kedai-kedai
cenderamata ini sentiasa penuh dengan pelanggan terutama dalam kalangan pelajar
sekolah dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, sambutan paling hebat dilihat di
gerai makanan dan minuman kerana keghairahan pengunjung untuk merasai juadah
yang dijual oleh warga sekolah. Dalam hal ini, para pelajar dapat mengenali makanan
tradisi kaum lain di negara ini. Justeru, secara tidak langsung Hari Kantin telah
berjaya mempromosi makanan tradisional kaum lain kepada para pelajar.
Selain itu, pada hari ini juga diadakan program
pameran hasil kerja para pelajar sekolah. Antara hasil kerja yang dipamerkan
ialah model sebatang rokok sempena kempen Tak Nak oleh para pelajar Lukisan dan
Teknologi Kejuruteraan. Selain itu, Kelab Pembimbing Rakan Sebaya juga telah
mempamerkan hasil kerja mereka seperti carta nilai-nilai murni dan tayangan
video tentang aktiviti-aktiviti kelab. Di samping itu, para pengunjung juga
dapat melihat para pelajar melukis batik, kaligrafi dan seni khat secara
langsung di dewan sekolah. Pameran dan foto-foto tentang kejayaan sekolah turut
dipamerkan pada Hari Kantin seperti foto kejayaan Kelab Hoki yang telah
menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan, foto beberapa orang pelajar yang
telah menyertai perkhemahan peringkat kebangsaan dan sebagainya. Dengan
mengadakan pameran, para pengunjung dapat mengetahui perkembangan dan aktiviti
yang telah dijalankan oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2013. Sebagai
serampang dua mata, pameran yang diadakan juga merupakan promosi bagi
pihak sekolah agar para pengunjung menyokong segala aktiviti yang dijalankan
oleh pihak sekolah pada- masa depan. Manakala ibu bapa juga dengan senang
hati membenarkan anak-anak mereka menyertai aktiviti yang dijalankan oleh pihak
sekolah.
Program lain yang diadakan sempena Hari Kantin ialah
aktiviti permainan. Sebagai contohnya rumah hantu yang dijalankan oleh
Persatuan Sejarah dan Geografi. Bayaran yang dikenakan untuk masuk ke rumah
hantu adalah sebanyak RM2. Banyak pengunjung beratur di luar kelas untuk
merasai pengalaman seram apabila berada di dalam rumah hantu. Rata-rata pengunjung menyatakan bahawa
mereka berasa seolah-olah berada di dalam sebuah rumah lama yang penuh dengan
hantu-hantu yang menyeramkan. Selain itu, diadakan juga aktiviti memancing
ikan, meneka jumlah berat kacang, memecahkan belon dan membaling bola ke arah
patung. Kanak-kanak pula mereka boleh bergembira dengan permainan tema yang diadakan
di padang sekolah seperti bermain gelongsor, buaian dan memanjat tali sarang lelabah. Di samping
itu, belon-belon secara percuma
turut diedarkan kepada kanak-kanak oleh badut yang menceriakan suasana pada
hari tersebut dengan telatah lucunya ketika mengusik kanak-kanak. Salah satu
aktiviti permainan yang paling mendapat perhatian para pengunjung ialah
menunggang kuda dengan bayaran RM5 selama 20 minit. Walaupun agak mahal namun
aktiviti ini merupakan suatu pengalaman baharu bagi para pengunjung yang tidak
pernah merasai menunggang kuda.
Sebagai acara selingan pada hari tersebut, Kelab Muzik
sekolah telah memainkan lagu-lagu mengikut permintaan para pelajar dan
pengunjung. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 50 sen untuk sebuah lagu.
Banyak pilihan lagu yang ke udara mengikut permintaan seperti rentak jazz,
sentimental, rock, balada dan asli. Para pelajar paling menyukai aktiviti ini
kerana nama pembeli dan penerima lagu disebut oleh juruhebah yang bertugas.
Dalam segmen ini, banyak guru menerima lagu daripada para pelajar dengan ucapan
terima kasih kerana telah membimbing mereka dalam bidang pelajaran. Hakikatnya,
acara ini berjaya memupuk sikap menghargai guru dalam kalangan pelajar. Sambil
melihat program yang lain, para pengunjung juga memasang telinga untuk
mengenal pasti sama ada nama mereka dihadiahkan lagu atau tidak. Sambutan yang
hangat oleh para pelajar menyebabkan sebanyak 600 buah lagu dipasang sepanjang
majlis Hari Kantin berlangsung. Sambil menyelam, minum air, sebenarnya satu per
tiga hasil kutipan untuk acara ini akan didermakan kepada Rumah Anak Yatim
Bakti yang terletak bersebelahan dengan sekolah kami. Secara tidak langsung
para pelajar didedahkan dengan sikap masyarakat penyayang dan bantu-membantu
antara satu dengan yang lain.
Akhir kata, Hari Kantin yang dijalankan berjaya
mengutip hasil yang melebihi sasaran yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
Keseluruhan kutipan untuk Hari Kantin adalah sebanyak RM30,000 Pihak sekolah
telah menyasarkan kutipan sebanyak RM15,000 Pencapaian ini membanggakan pihak
sekolah yang diibaratkan seperti kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Para
pengunjung yang terdiri daripada masyarakat setempat merupakan sumber sokongan
utama kejayaan pihak sekolah. Walaupun warga sekolah terpaksa mengorbankan hari
Ahad mereka, namun apabila melihat kejayaan yang diperoleh hati tetap berasa
puas. Pengetua mengumumkan bahawa hari Isnin ialah cuti peristiwa dan warga sekolah
bolehlah berehat pada hari tersebut.
Dilaporkan
oleh, 20 OGOS 2014
pettym
………………………
(SITI
PETIMAH BINTI IBRAHIM)
Setiausaha
Hari Kantin,
Sekolah
Menengah Kebangsaan Satria Perdana.
1 comment:
Mantap,,izinkan amik isi sikit ye��
Post a Comment