Jendela Menghadap Jalan karya Rohani Matdarin
Bab 1
Lili
yang akan tamat persekolahan menengahnya, bercadang untuk menghabiskan cuti di
kampung datuk dan neneknya dalam Daerah Dungun, Terengganu. Sebenarnya perasaan
Lili tidak gembira untuk pulang bercuti ke kampung, namun terpaksa berpura-pura
demi menjaga hati ibunya.
Bab 2
Perjalanan
pulang ke kampung dihantar oleh ayah ke perhentian bas ekspres dengan menyandang
dua buah beg pakaian. Lili berpakaian tebal ketika itu kerana musim tengkujuh.
Dari Kuala Lumpur ke kampung datuk neneknya mengambil masa selama lapan jam
perjalanan. Di dalam bas Lili sibuk membaca buku Panduan Pemakanan Sihat Melalui Sayur-sayuran dan Buah-buahan. Lili
berkenalan dengan seorang pelajar tahun satu Jurusan Kejuteraan Awam,
Universiti Malaya yang bernama Geetha juga ingin menuju ke daerah yang sama.
Mereka bersembang tentang masa depan. Lili menyedari bahawa dia sedang
diperhatikan oleh seorang pemuda Cina atau kacukan.
Bab 3
Geetha
telah turun di Pekan Sejahtera lebih awal sebelum sampai ke Pekan Sentosa. Lili
sedang menunggu Abang Rashid untuk mengambilnya pulang. Dalam kesibukan Lili
disapa semula oleh pemuda tersebut kerana tertinggal buku penjagaan
kesihatannya. Pemuda itu mempelawanya untuk tumpang sama, tetapi Lili menolak
pelawaan itu kerana dia sedang menunggu Abang Rashid untuk pulang.
Bab 4
Lili
melihat keindahan kampung yang nyaman dan begitu damai dengan sawah bendang luas
terbentang. Lili bertemu dengan nenek di bendang, lalu bersalaman dan bertanya
khabar. Menurut nenek datuk sibuk dengan urusan gotong-royong menaikkan kubah
masjid kampung bersama-sama dengan masyarakat kampung.
Bab 5
Datuk
bercerita tentang keunikan reka corak jendela dan pintu. Sepanjang malam pula
datuk begitu pakar bercerita kemujaraban akar-akar kayu ubat yang dapat
menyembuhkan penyakit secara tradisional. Menurut datuk, khasiat
tumbuh-tumbuhan lain juga menjadi amalan penduduk-penduduk kampung dalam pemakanan
dan pengubatan tradisional, malah pihak hospital juga menggunakan herba sebagai
bahan untuk mengubat penyakit. Nenek menegur datuk supaya tidak mempengaruhi
segala pendapatnya berkaitan dengan perubatan tradisional yang belum tentu
kepastiannya.
Bab 6
Ketika
kedengaran bunyi hujan turun, nenek mengarahkan Lili menutup semua cermin yang
terdapat di dalam rumah dengan kain sarung bertujuan untuk terbalikkan mata
kilat. Kemudian nenek membakar kulit bawang putih pemberian perempuan berbangsa
India, Letchumi, supaya isi rumah berbau wangi. Ibu Lili pula lebih suka seni
taman ala Bali, yang dipenuhi reka bentuk dan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri
keselamatan, tahan lasak dan menghalau nyamuk. Manakala, di halaman rumah,
ditanam dengan herba pembuka selera makan. Masyarakat kampung lebih gemar
berurusan dengan datuk apabila berdepan dengan masalah kesihatan dan menjadi
kepercayaan serta sumber rujukan.
Bab 7
Nenek
membawa Lili ke kedai runcit Letchumi dan terserempak dengan Geetha. Lili tidak
menyangka bahawa selama ini, neneknya begitu akrab dengan ibu Geetha. Menurut
Geetha, ibunya merupakan pelanggan setia mengamalkan minuman herba buatan
datuknya yang telah berjaya menyembuhkan penyakit ibunya yang sebelum ini sakit
teruk. Walaupun ketika ini saiz badan ibunya terlalu gemuk, tetapi kelihatan begitu
sihat. Geetha menasihati Lili supaya mempelajari ilmu penyediaan herba dan
rawatan tradisional dari datuknya yang begitu terkenal di Pekan Sentosa ini.
Lili berasa bangga kerana mendapat penghargaan atas kepakaran datuknya dalam
ilmu pengubatan tradisional, apatah lagi yang memujinya bukanlah sebangsa
dengannya.
Bab 8
Datuk
banyak mengajar Lili berkaitan dengan ilmu keagamaan, malah datuk selalu
menguji Lili tentang ilmu-ilmu keagamaan yang selama ini Lili tidak
mengetahuinya. Datuk mengakui bahawa ibu Lili tidak kisah dengan ilmu-ilmu
keagamaan adalah berpunca daripada kesilapannya. Semasa zaman kanak-kanak ibu
Lili lebih berminat belajar silat di gelanggang Tuk Wali berbanding ilmu agama.
Tambahan pula setelah berjaya melanjutkan pelajaran keluar negara, menjawat
jawatan penting dan berumah tangga sehingga terlupa segala-galanya. Sepanjang
berada di kampung Lili berasa keenakan buah-buahan tempatan yang terdapat di
dusun yang dikutip oleh Abang Rashid. Pak Sahak datang ke rumah datuk
memaklumkan bahawa berlaku kekecohan di surau kerana William cuba dipengaruhi oleh
anaknya Sugi supaya tidak mempercayai perubatan tradisional di samping memujuk
supaya menjualkan tanah bagi tujuan membina rumah sewa.
Bab 9
Danel
anak bongsu William Ng berkunjung ke rumah datuk untuk menjelaskan isu yang
hangat dibincangkan oleh masyarakat kampung berkaitan pembinaan kubah surau.
Wakil Rakyat telah memberi pilihan sama ada ingin membina sebuah dewan
masyarakat atau mendirikan sebuah masjid. Kebanyakan penduduk kampung memilih
untuk membina kubah surau berbanding membina sebuah masjid kerana masalah
kekurangan tanah. Di samping itu juga, Danel telah menjelaskan kebaikan
mendapatkan rawatan moden berbanding dengan rawatan tradisional. Hujah-hujah
telah dikemukakan oleh Danel dari segi sains perubatan untuk menyakinkan
penduduk-penduduk kampung termasuk datuk, walaupun datuk sukar untuk menerima
hakikatnya. Memang kaedah perubatan tradisional baik jika digabungkan dengan
kaedah perubatan moden, kerana semua bahan-bahan ramuan tradisional diawet
dalam bentuk moden supaya penggunaannya lebih selamat dan terjamin mengikut
kaedah saintifik. Danel terpaksa berhujah secara berhemah demi menjaga hati
datuk agar tidak terguris.
Bab 10
Datuk
tetap sayang akan pekerjaannya sebagai pengubat tradisional, kerana masih ramai
penduduk yang percaya dengan rawatan tersebut termasuk ibu Geetha. Hati datuk
tersentuh dengan penerangan yang diberikan oleh Danel, walaupun hujah-hujah
yang diberikan itu belum tentu dapat menyakinkannya. Jangkaan datuk juga kuat
mengatakan William juga tidak dapat menerima penerangan yang diberikan oleh
Danel. Jika dahulu semua kata-kata datuk boleh diterima pakai oleh
penduduk-peenduduk kampung termasuk William, malah berjaya mengislamkannya,
tetapi kini tidak lagi. Nenek pula sekarang sudah mula menyindir dan menidakkan
kata-kata datuk. Sugi anak sulung William pula telah menggalakkan pemaju datang
untuk membangunkan tanah penduduk-penduduk kampung, yang akhirnya berlaku
pertelagahan antara penduduk sama ada mahu menjual tanah atau sebaliknya.
Bab 11
Sebelum
solat, datuk tercari-cari tasbihnya yang hilang entah ke mana, namun sebaik
sahaja masuk waktu datuk bersolat dan berzikir tanpa menggunakan tasbih.
Selepas itu datuk membaca kitab dua halaman dan berhenti. Dengan linangan air
mata yang tidak bertakung, tanda menahan kesedihan dalam mengharung segala
dugaan kehidupan. Usia datuk kini sudah mencapai lebih tujuh puluh tahun. Datuk
menyuruh Lili ke dapur supaya nenek membuatkan secawan kopi untuknya. Tanpa
berlengah Lili akur dengan arahan datuk dan terus ke dapur. Nenek membawa
secawan kopi untuk datuk. Apabila melihatkan ada sesuatu yang ingin
dibincangkan antara datuk dan nenek, Lili mohon izin keluar, tetapi datuk terus
memanggilnya. Lili duduk semula dan datuk meminta Lili menceritakan tentang
ibunya. Lili terus bercerita, namun berdasarkan soalan-soalan yang datuk
kemukakan, jelaslah bahawa terlalu banyak rahsia hidup ibu yang Lili tidak
ketahui.
Bab 12
Isu
kubah surau menjadi perbualan hangat antara penduduk-penduduk kampung. Sama ada
ingin mendirikan masjid atau membina kubah surau lama telah menyebabkan
penduduk-penduduk kampung hidup berpuak-puak. Bekas ketua kampung, iaitu arwah
Haji Salihin merupakan orang alim di kampung ini, juga berasal dari tanah Jawa
Barat bersama-sama membangunkan surau lama ini, telah berpesan bahawa surau
lama ini tidak boleh dibangunkan kerana bimbang kesannya akan mengganggu
ketenteraman kampung. Mengikut pendapat nenek, itu hanyalah kepercayaan yang
tiada penghujungnya dan ada alasannya yang tersendiri. Ketika Lili meniti
bendang untuk menemui nenek, dia ternampak seorang lelaki mengepit seekor ayam
jantan dan seorang lagi mengepit seekor ayam betina. Abang Rashid telah
menasihatinya supaya balik ke rumah kerana keadaan kampung begitu tegang.
Tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki tua melaung-laung dan bertakbir serta
menghalang mereka melakukan perkara-perkara haram dan pengkhianat. Berlakulah
kejar-mengejar antara kumpulan tersebut. Abang Rashid terus menghantar Lili
pulang ke rumah kerana bimbangkan keselamatannya. Sebaik-baik sahaja sampai ke
rumah Lili ternampak ada tetamu datang yang terdiri daripada empat orang lelaki
dan seorang perempuan.
Bab 13
Menurut
cerita nenek, kelima-lima orang yang datang itu adalah berasal dari Kuala
Lumpur. Mereka datang hanya ingin memberitahu bahawa sakitnya lebih awal sembuh
daripada menggunakan herba yang datuk berikan. Lili ke anjung bertemu dengan
datuk. Datuk memberitahu Lili mulai sekarang datuk hanya akan menumpukan
tugas-tugasnya berkebun dan berperahu, tidak boleh bergantung hidup dengan
herba-herba lagi. Pada sebelah malamnya, datuk menyusun kayu-kayu api di
bangsal belakang rumah untuk menenangkan fikirannya. Keesokan harinya datuk
menyusun barang-barang lama yang bertaburan di lantai dan bekerja tanpa
henti-henti. Pada sebelah petangnya Lili memohon kebenaran nenek untuk ke rumah
Geetha, dengan ditemani Abang Rashid, tetapi memandangkan sudah senja, Lili
membatalkan niatnya, tetapi terus bersama-sama Abang Rashid ke pekan. Semasa
berjalan-jalan Lili sempat bertanyakan Abang Rashid tentang zaman bujangnya dan
bilakah Abang Rashid akan berkahwin? Soalan itu tidak berjawab.
Bab 14
Lili
berjumpa dengan Geetha di rumahnya, dan Geetha menyatakan rasa bosannya kerana
tiada kawan. Lili mempelawa Geetha untuk bermalam di rumah neneknya, Geetha
setuju. Setelah mendapat kebenaran daripada ibu Geetha, mereka bertolak menuju
ke perhentian bas. Lili berharap mereka akan sampai ke rumah neneknya sebelum
waktu zohor, tetapi mereka merancang untuk pergi bersiar-siar di perkampungan
pada sebelah petang. Mereka tertarik dengan keindahan kampung tersebut dengan
mendaki bukit, tempat melihat matahari terbit dan terbenam, suatu keunikan. Geetha
bercerita tentang budaya masyarakat India yang tinggal berjiran dengannya,
terdapat pelbagai karenah dan ragam hidup.
Bab 15
Geetha
dan Lili menolong nenek masak di dapur sambil bersembang kosong. Geetha
memberitahu nenek bahawa tekanan darah dan kandungan gula dalam badan ibunya
stabil kerana memakan herba dan rebusan akar-akar kayu. Nenek gembira dengan
khabaran tersebut. Datuk masih lagi belum pulang ke rumah menyebabkan nenek
berasa risau. Abang Rashid telah pergi mencari datuk dengan menolak basikalnya
dalam kegelapan malam. Keesokan paginya datuk pulang ke rumah dengan dileteri nenek,
dan di tepi dinding terdapat dua buah bakul berisi akar-akar kayu dan daun-daun
hutan.
Bab 16
Datuk
bercerita dengan nenek pengalamannya mencari bahan-bahan untuk dijadikan herba
di hutan tanpa kepenatan dan keletihan. Tiba-tiba sahaja Danel muncul dengan
membawa buah-buahan dan makanan lalu diberikan kepada nenek. Datuk menyambut
kedatangan Danel seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebelum
ini. Manakala, Geetha dan Lili menyiapkan minuman kepada tetamu yang datang.
Mereka bercerita tentang Danel yang kali pertama bertemu di dalam bas yang sama
dinaiki oleh Lili dan Geetha sewaktu pulang ke kampung. Geetha memohon untuk
balik kerana telah berjanji kepada ibunya bahawa dia hanya dibenarkan bermalam
semalam sahaja di rumah nenek Lili. Sebelum Geetha dihantar pulang, nenek
berpesan kepada Lili supaya pergi ke kedai Ah Kwan untuk membeli barang-barang
keperluan dapur. Dalam perjalanan pulang Lili, terserempak dengan adengan
kejar-mengejar beberapa orang pemuda yang bersenjatakan parang. Lili mungkin
kenal pemuda-pemuda tersebut dan mereka pernah datang ke rumah nenek dulu.
Sebaik sahaja tiba di rumah, Lili terkejut apabila melihat Danel dalam keadaan
meniarap sedang diurut oleh Datuk. Sebenarnya menurut kata nenek, semenjak
kebelakangan ini hubungan datuk dengan Danel begitu baik. Danel kini lebih
gemar menulis artikel berkaitan buah-buahan terutamanya pisang.
Bab 17
Dalam
artikel Danel yang berjudul Segala
Tentang Pisang telah menghuraikan secara panjang lebar berkaitan produk pisang
di Tenom, Sabah. Penanaman pisang secara besar-besaran di Sabah telah berjaya
di eksport keluar negeri. Pendapatan lumayan ini juga dibantu dengan tanaman
sampingan lain seperti buah-buahan, getah dan kelapa sawit. Hasil pertanian ini
telah berjaya memberi pulangan tinggi kepada peladang dan hidup mewah. Mengikut
kajian perubatan, pisang bukan sahaja dapat mendatangkan pulangan yang tinggi,
malah boleh menghasilkan tenaga segera kepada tubuh badan disamping boleh
menyembuhkan pelbagai penyakit jika pengambilannya seimbang. Kulit pisang pula
boleh menyembuhkan bintat dan rasa gatal akibat gigitan nyamuk.
Bab 18
Isu
kubah surau telah dicetuskan oleh Pak Sahak, ketua kampung, Imam Sanusi dan
seorang pemuda. Mereka ke rumah datuk untuk berbincang supaya masalah yang
buntu ini dapat diselesaikan, jika tidak campur tangan Yang Berhormat
diperlukan. Tetiba, Lili yang ternampak juluran ranting di jendela mendapati
Danel memberi isyarat mengajak Lili menemaninya ke pekan untuk membeli minyak
gamat, setelah mendapat kebenaran nenek. Mereka ke pekan menaiki bas kerana
kereta Danel digunakan oleh abangnya. Semasa di dalam bas, Danel memberi alasan
kenapa dia menulis artikel mengenai pisang.
Bab 19
Sebelum
pulang, Danel dan Lili singgah di restoran makanan segera untuk makan dua biji
burger, kentang goreng dan minuman berkarbohidrat, ini boleh mengundang
penyakit darah tinggi. Danel juga memberitahu, bahawa nenek Lili memang pandai
memasak dan masakannya sungguh sedap. Dia juga selalu ke rumah nenek membantu
nenek masak tanpa pengetahuan Lili. Menu masakan semuanya menggunakan pisang
sebagai bahan campuran. Mereka singgah di pasar raya untuk membeli beberapa
barang keperluan, seterusnya Lili merancang untuk singgah ke rumah Geetha.
Setelah selesai mereka pulang menaiki bas seperti biasa, sehinggalah sampai
menyusuri jalan ke kampung dan Danel mengekori sahaja Lili dari belakang.
Sebaik sahaja sampai ke jalan besar yang berturap, kelihatan seorang budak
lelaki dikejar oleh beberapa orang lelaki dengan suara yang memekik. Lili
mengenali itulah anak-anak Che Jah yang sering menimbulkan masalah. Tiba-tiba
tangan Lili dipulas, Danel tergamam kerana senjata tajam yang dipegang oleh
Rafiq telah diacukan ke leher Lili. Sebaik sedar, Lili telah berada di tempat
penculikan yang dilakukan oleh kedua-dua anak lelaki Che Jah.
Bab 20
Lili
disembunyikan di sebuah rumah usang berlantaikan buluh. Danel telah datang
menyelamatkan Lili pada waktu kegelapan malam, kerana Danel memang tahu tempat
persembunyian Rafiq dan Haziq. Danel tidak memaklumkan kejadian itu kepada
penduduk-penduduk kampung atas alasan tertentu. Menurut Danel, Haziq satu
sekolah dengannya dan merupakan seorang pelajar pintar. Namun, pergaulan bebas
kutu-kutu rayau menyebabkan dirinya terperangkap dengan jenayah seperti
mencuri, hisap dadah dan pecah rumah. Sehinggakan mereka sanggup melakukan
kekerasan dan mengugut ibunya sendiri, juga orang-orang kampung
menyumpah-yumpah supaya anaknya ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.
Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah nenek menyambut kepulangan Lili dengan
tangisan kerana bimbang akan keselamatan cucunya. Sebenarnya nenek tahu tentang
kejadian yang menimpa Lili.
Bab 21
Lili
berasa simpati tentang nasib malang Rafik dan Haziq kerana berpunca dari
masalah keluarga yang dihadapi. Sebaik sahaja berjumpa Danel, Lili terus
bertanyakan khabar berita nasib mereka dua beradik. Ketua kampung pula telah
mengarahkan penduduk-penduduk kampung merobohkan pondok tempat persembunyian
mereka. Namun Lili tetap berasa simpati dengan keadaan hidup malang yang
menimpa Che Jah, Rafiq dan Haziq. Menerusi maklumat yang diperolehi dari
neneknya, sudah tentu banyak yang bersifat negatif dan menyedihkan. Oleh itu,
Lili bercadang untuk berjumpa dengan Geetha untuk mendapatkan maklumat yang
lebih telus dan bersifat terbuka. Bagi Lili, Rafiq dan Haziq adalah manusia
biasa yang memerlukan pertolongan dan perhatian semua pihak, bukan mengutuk dan
menghina secara berterusan. Lili memohon kebenaran untuk ke rumah Geetha,
tetapi neneknya tidak membenarkannya atas faktor keselamatan.
Bab 22
Abang
Rashid memberitahu Lili, bahawa Haziq dan Rafiq telah ditangkap oleh
penduduk-penduduk kampung dan salah seorang daripadanya teruk dibelasah oleh
ayah mereka. Lili bercadang ke rumah Che Jah untuk mengetahui keadaan yang
sebenar dan kemudiannya merancang ke pekan bersama-sama dengan Abang Rashid.
Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah Che Jah, Lili dipersilakan disambut dan
dipersilakan masuk ke dalam rumah. Che Jah menjelaskan Haziq teruk dibelasah
dengan tali pinggang oleh ayahnya. Menurut cerita Che Jah lagi, Haziq semasa
alam persekolahan dulu merupakan seorang pelajar yang pandai, tetapi telah
dibuang sekolah kerana selalu ponteng dan melawan guru. Haziq menjadi nakal
kerana bergaul bebas dengan budak-budak nakal sehingga perangainya tidak dapat
dilentur. Che Jah memohon maaf kepada Lili tentang apa yang dilakukan oleh
anaknya terhadap Lili, tetapi Lili secara ikhlas telah memaafkannya. Che Jah
memuji-muji kebaikan hati Lili yang sanggup datang menjenguk dan bertanya khabar.
Che Jah mempelawa Lili untuk makan tengah hari di rumahnya, dia tidak menolak
pelawaan itu.
Bab 23
Nenek
menegur Lili kerana mengambil tahu tentang hal keluarga orang lain. Nenek juga
memberitahu bahawa orang-orang kampung memang suka bermuka-muka. Kekadang boleh
mengumpat hanya melalui jendela sahaja. Lili menghampiri datuk yang masuh belum
selesai dengan isu kubah surau dan herba-herba ubatan tradisionalnya. Seman
suami Che Jah merupakan seorang bapa yang sangat garang. Seman bukan sahaja
garang terhadap anak-anaknya, tetapi juga terhadap orang-orang lain yang
berurusan dengannya. Kelakuan buruk Seman ialah suka berjudi, berhutang,
menipu, minum arak dan anak-anak serta
isterinya akan menjadi mangsa kekejamannya. Lili melahirkan rasa tidak puas hatinya
terhadap segala tindakan dan perbuatan Seman yang tersalah mendidik anak-anak
dalam membina keluarga bahagia.
Bab 24
Menjelang
waktu isyak, melalui jendela Lili ternampak sebuah lori membawa kubah di
puncaknya terdapat bulan sabit. Selepas jam sepuluh malam, barulah Lili
mendapat berita dari datuk bahawa kubah surau akan dipasang dalam masa
terdekat. Kini isu kubah surau telah menjadi perbualan hangat dalam kalangan
penduduk-penduduk kampung. Abang Rashid lebih suka sebuah masjid didirikan di
kampung tersebut sebagai tanda pembangunan, begitu juga dengan Lili. Bagi datuk
pula tidak kisah, sama ada kubah surau atau sebuah masjid, yang penting
ilmu-ilmu agama ditegakkan.
Bab 25
Menjelang
pagi, Lili memberitahu nenek untuk berada di luar, sama ada melihat kubah surau
atau bertemu dengan Che Jah. Nenek menasihati Lili agar dalam keadaan sebegini
lebih selamat tidak berjumpa dengan sesiapapun. Mengikut nalurinya, pada hari
ini Lili perlu berkomunikasi dengan seseorang. Danel datang membawa gulai kari pisang
ikan masin yang dimasak sendiri dan menyampaikan suatu pesanan khas ayahnya
kepada datuk. Berita kenaikan harga minyak petrol dan disel telah menenggelami
isu kubah surau ketika ini. Di mana-mana sahaja semua penduduk akan
membincangkan kenaikan harga bahan api tersebut dan mengeluh tentangnya. Begitu
juga kenaikan harga barangan yang lain termasuk perubatan. Datuk sempat
memperli Danel, bahawa kos perubatan tradisional sahaja yang tidak naik. Lili
ke rumah Che Jah menziarahinya dan sempat melihat keuzuran Haziq yang belum
sembuh akibat kesan dibelasah oleh ayahnya. Che Jah begitu mesra melayan Lili,
jangkaan dan gambaran buruk perwatakan
Che Jah oleh nenek, jauh berbeza. Lili memberitahu Che Jah, bahawa dia
akan kembali ke Kuala Lumpur seminggu lagi.
Bab 26
Lili
berpendapat, dua cadangan yang perlu
diketengahkan iaitu perlunya dibina sebuah masjid dan melaporkan kepada biro
pengaduan jenayah yang dilakukan oleh Seman terhadap ahli-ahli keluarganya.
Datuk menasihati Lili agar tidak memikirkan hal-hal yang berat dan lebih memberi
tumpuan menghabiskan masa cuti persekolahan. Danel pula telah banyak membantu,
seperti menyelamatkan nyawa, membawanya ke pekan dan dalam segala hal juga
mereka bersependapat. Lili juga berpandangan bahawa tugas membangunkan kampung
terletak di bawah tanggung jawab Danel sebagai penduduk tetap dan perlu
memperjuangkannya.
Bab 27
Nenek
bersuara janggal mengatakan sesuatu sambil memanggil Abang Rashid. Abang Rashid
pula tergesa-gesa menyediakan basikalnya untuk membawa nenek ke rumah Che Jah.
Ada sesuatu perkara yang berlaku di sana sehingga menyebabkan nenek bergegas ke
rumah Che Jah. Lili dan Danel juga segera ke rumah Che Jah tetapi masih belum
pasti apa yang berlaku. Sebaik-baik sahaja sampai kedengaran tempikan seorang
lelaki, pastinya Seman sedang berang. Terdapat beberapa orang di dalam rumah
Che Jah ketika itu. Tiba-tiba seorang pemuda jatuh terhumban dari atas rumah,
iaitu Haziq dengan keadaan tubuhnya berdarah. Seman yang naik angin dan dalam
keadaan yang tidak siuman telah menerajang Haziq sehingga menyebabkan mulutnya
berdarah. Tiada seorangpun yang berani meleraikan ketegangan itu, mereka hanya
berani melihat tentang apa yang berlaku. Manakala, Che Jah telah memekik minta
cerai kerana tidak sabar lagi dengan karenah suaminya yang bertindak melulu.
Bab 28
Che
Jah belum berjaya menuntut cerai daripada suaminya. Suaminya, Seman masih
dengan perangai buruknya, kaki judi, sering pulang lewat malam dan sering
memukul anak-anak dan isterinya. Seorang pesakit baru yang datang berubat
dengan datuk kerana penyakit gout. Datuk meminta Lili mengambilkan sebotol
herba untuk pesakit wanita tersebut dan menerangkan pantang larang tentang
sakit tersebut. Pesakit wanita tersebut bernama Puan Hamimah dalam usia tiga
puluhan lebih selesa dengan panggilan Kak Mimah sanggup bermalam di rumah datuk
kerana untuk habiskan berubat. Hasil perbualan dengan Lili, Kak Mimah bekerja
sebagai penolong pegawai, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Warga Tua dan
Keluarga. Tugasnya berkaitan dengan keganasan rumah tangga, penganiayaan
kanak-kanak dan pengabaian warga tua. Lili telah mengambil kesempatan dan
peluang ini untuk membuat aduan terus kepada Kak Mimah untuk memanjangkan kes
keluarga Che Jah untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Bab 29
Kak
Mimah bersetuju membantu Lili untuk menyelesaikan masalah keluarga yang
dihadapi oleh Che Jah, yang akan diletakkan di bawah Akta Keganasan Rumah
Tangga 1994. Kak Mimah akan balik ke Kuala Lumpur dan akan membuat laporan
berkaitan dengan kes tersebut dan Lili akan menjadi saksi. Danel datang ke
rumah ketika datuk dan nenek tiada di rumah. Lili bersembang dengan Danel hanya
di pangkin sambil membincangkan pembinaan masjid dan merancang untuk
meengadakan pertemuan dengan penduduk-penduduk kampung.
Bab 30
Danel
mencadangkan pengumuman akan dibuat di surau untuk mengadakan pertemuan dengan
penduduk-penduduk kampung ketika majlis pernikahan anak pak busu pada hari
Jumaat nanti. Danel dan Lili bercadang bertemu Geetha untuk memintanya
menyelesaikan masalah keluarga Che Jah. Geetha bersetuju dan ingin bertemu
dengan Che Jah terlebih dahulu. Mereka ke rumah Che Jah setelah mendapat
kebenaran ibu Geetha, tetapi Che Jah tiada di rumah.
Bab 31
Danel
juga berbangga kerana Geetha sanggup membantu dalam menyelesaikan masalah
pembinaan masjid dan surau kampungnya. Mereka juga berbincang tentang
bioteknologi berkaitan dengan madu lebah, kambing dan pokok vanila mampu
memberi pulangan yang cukup lumayan. Kak Mimah telah menghubungi datuk, selain
membincangkan berkaitan rawatan mereka juga menyentuh isu keganasan rumah
tangga Che Jah. Lili tercengang dengan
keputusan datuk untuk mengambil tindakan terhadap suami Che Jah dan
mengheretnya ke penjara. Mereka berbincang cara untuk menangkap suami Che Jah
dan menghukumnya mengikut lunas undang-undang.
Bab 32
Berita
kubah dilarikan orang menjadi isu hangat ketika ini. Beberapa orang wanita
mengesyaki angkara ini sudah pasti dilakukan oleh anak-anak Che Jah yang telah
terkenal dengan kejahatan lampaunya. Lili menenangkan keadaan dan meminta agar
mereka tidak membuat tuduhan melulu yang tiada kepastiannya. Datuk mengheret Rafiq
dan Haziq ke halaman rumah, penduduk-penduduk akan membelasah mereka dua
beradik. Datuk meminta semua penduduk kampung berkumpul. Mereka lihat Rafiq dan
Haziq dalam keadaan lesu dan badannya lebam-lebam akibat dibelasah. Datuk
mencarikan herba untuk memulihkan mereka tetapi badan mereka langsung tidak
bermaya. Badan Haziq lebam, manakala hidup Rafiq berdarah dan rebah di lantai
rumah. Geetha memberitahu Danel, biarlah datuk yang menyelesaikan masalah
masjid dan surau. Dia hanya ingin membantu menyelesaikan masalah keluarga Che
Jah.
Bab 33
Kak
Mimah dan rakannya Nadia muncul ketika datuk ingin mengadakan pertemuan di
balai raya. Che Jah juga hadir sama tanpa dicari, membuat pengakuan untuk
dipanjangkan kepada pihak berkuasa. Suaminyalah yang telah melarikan kubah
surau kampung, bukannya Rafiq dan Haziq. Tindakan Che Jah biarlah pihak
berkuasa mengambil tindakan wajar supaya suaminya dihantar ke pusat pemulihan
akidah. Menurut Kak Mimah, jika Che Jah membuat laporan polis, tindakan
mahkamah boleh diambil, dan kes ini akan diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan
Masyarakat dan mendapat bantuan dari Jabatan Perlindungan Wanita dan Masyarakat
bagi membiayai kos rawatan pemulihan akidah suaminya. Suami Che Jah berjaya
ditangkap oleh penduduk-penduduk kampung di belakang pondok dusun. Haziq diberi
herba sebagai penawar, manakala Rafiq dihantar ke hospitan untuk mendapatkan
rawatan.
Bab 34
Sugi
tidak mengaku terlibat dengan kemasukan dua orang wakil pemaju perumahan yang
datang memujuk penduduk-penduduk kampung menjualkan tanah mereka.Datuk pula
dituduh cuba melindungi Che Jah yang terlibat melindunginya anak-anaknya dari
kes culik cucunya, Lili. Berpuluh-puluh pemuda kampung menunjuk perasaan di
halaman rumah, menuduh datuk terlibat dengan pemaju perumahan. Datuk tidak
ambil kisah kerana itu bukan urusannya. Sugi pula menjelaskan bahawa dia bukan
bertujuan untuk membangunkan kampung dengan projek rumah kos rendah, tetapi
ingin memajukan tanah-tanah penduduk kampung dengan projek agropolitan,
penanaman Jatropha Cuncas dan selama
ini semuanya tersalah anggap. Haziq semakin pulih dari keletihan dan mampu
tersenyum, manakala Rafiq disahkan mengambil terlalu banyak dadah jenis syabu
sehingga sistem tubuh badannya banyak yang rosak. Kak Mimah berjanji akan
membantunya sehingga pulih.
Bab 35
Ibu
pulang ke kampung tanpa ayah yang hanya menaiki bas untuk membawa Lili balik ke
Kuala Lumpur. Cadangan Danel untuk mencadangkan pembinaan sebuah masjid diterima
oleh semua penduduk dan ketua kampung.
Bab 36
Matahari
terbit dapat disaksikan oleh Lili dan Geetha seawal paginya. Ibu tiba ke
kampung dan akan membawa Lili ke Kuala Lumpur dan sempat untuk menghadiri
majlis perpisahan pengetuanya. Datuknya, Haji Abdul Rahman menceritakan maksud
yang tersembunyi tentang jendela menghadap jalan yang terlalu banyak
kisah-kisah silam, sejak zaman penjajahan hinggalah ke zaman komunis yang
mereka tidak memasukkan sejarah jendela menghadap jalan. Neneknya pula, Hajah
Aisyah Tan Abdullah menceritakan kisah zaman silam berasal dari Tanah Besar
China sehinggalah pertemuannya dengan datuk di Tanah Melayu ke hari ini. Lili
kerap berjumpa dengan Geetha di Kuala Lumpur dan meneruskan pelajarannya. Haziq
dan Rafiq pula akan menduduki PMR pada tahun hadapan dan hidupnya telah banyak
berubah. Danel berharap Lili akan kembali semula ke Kampung Sentosa dan
berharap Lili telah mengetahui tentang jendela menghadap jalan, manakala Danel
telah banyak menulis artikel tentang khasiat pisang.
No comments:
Post a Comment