LATIHAN 3
(DIMENSI DIRI)
Salah satu cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak
untuk menggembirakan ibu bapa adalah dengan menjaga nama baik mereka.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk
menjaga nama baik ibu bapa anda.
Tidak ada ibu
bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anaknya. Mereka sanggup berkorban
apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat. Ibu bapa
juga sanggup berkorban dan bersengkang mata berjaga malam semata-mata untuk
menjaga terutamanya ketika anak-anak sakit. Bagi ibu bapa, tiada detik yang
paling menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak membesar
sebagai seorang yang berguna dan berjaya dalam hidup. Sebagai seorang anak yang
bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan
membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan
daripada kita. Sebagai seorang anak, saya bertanggungjawab menggembirakan ibu
bapa saya dan menjaga nama baik mereka kerana saya sedar bahawa tiada ibu
bapa, tiadalah saya. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus saya
lakukan untuk menjaga nama baik mereka?
Langkah utama
yang akan saya lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa saya adalah dengan
belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan yang cemerlang. Ibu bapa
saya pasti akan gembira apabila saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan dalaman sekolah atau peperiksaan awam. Untuk mencapai kejayaan
dalam peperiksaan, saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya semasa guru
sedang mengajar. Sekiranya saya tidak memahami sesuatu tajuk dalam pelajaran
tertentu, saya tidak akan malu bertanya kepada guru saya kerana pepatah
menyatakan bahawa malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan.
Selain itu, saya akan mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan bersama-sama
rakan sekelas ketika ada masa yang terluang. Saya juga akan menyediakan jadual
belajar secara sistematik dan efisien. Semua kerja rumah yang diberikan oleh
guru akan saya siapkan mengikut ketetapan masa
yang diberi oleh guru. Saya juga akan sentiasa membuat persediaan lebih
awal dengan mengulang kaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan yang
sebenar kerana pepatah menyatakan sediakan payung sebelum hujan.
Kejayaan yang akan saya peroleh hasil usaha saya yang bersungguh-sungguh ini
tentulah akan menaikkan nama baik ibu bapa saya. Reputasi ibu bapa saya sebagai
contoh dalam kalangan masyarakat akan terserlah dan nama baik mereka juga akan
terbina. Jelasnya, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh
keputusan yang cemerlang untuk menjaga nama baik ibu bapa saya.
Selain itu,
untuk menjaga nama baik ibu bapa, saya akan bergaul dan berkawan dengan
rakan-rakan yang baik dan dapat membimbing saya menjadi seorang insan yang
berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, saya
akan memastikan diri saya tidak terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah
yang boleh mempengaruhi saya terjebak dalam kancah gejala sosial seperti
merempit, melepak, ponteng sekolah, melakukan vandalisme dan melibatkan diri
dalam penagihan najis dadah. Saya akan sentiasa berpegang pada pepatah yang
menyatakan bahawa “jika kita berkawan dengan seorang tukang besi, baju kita
akan tercarik kerana terkena percikan api, tetapi jika kita berkawan dengan
seorang penjual minyak wangi, tubuh badan kita akan turut berbau harum”. Saya
juga akan membezakan antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik. Saya akan berkawan dengan rakan-rakan yang
mengutamakan pelajaran agar saya dapat bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan
mereka. Hal ini penting bagi menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya,
agar mempunyai semangat dan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa
saya pasti bersyukur sekiranya sebagai seorang anak saya tidak melakukan
sesuatu yang boleh menconteng arang ke muka mereka. Jelasnya, saya akan bergaul
dengan rakan-rakan yang berakhlak baik agar saya tidak tersilap langkah demi
menjaga nama baik ibu bapa saya.
Di samping itu,
bagi menjaga nama baik ibu bapa, saya akan menjaga akhlak dan tingkah laku saya
sendiri agar tidak mencemarkan maruah ibu bapa saya. Setiap ibu bapa pasti
berasa bangga seandainya anak-anak yang lahir mengamalkan nilai-nilai murni dan
berbudi bahasa dalam kehidupan. Kecemerlangan yang dicapai oleh anak-anak dalam
bidang akademik bukan jaminan untuk ibu bapa gembira sekiranya anak-anak yang
cemerlang ini tidak memiliki akhlak yang terpuji dan berbudi bahasa. Sebagai
seorang anak, saya akan sentiasa menghormati ibu bapa dan bercakap dengan lemah
lembut terhadap mereka. Saya juga akan sentiasa mendengar nasihat mereka dan
tidak sekali-kali menjadi anak derhaka seperti cerita si Tanggang. Akhlak akan
seiring dengan kejayaan yang saya miliki . Sebagai seorang murid sekolah pula,
saya akan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya
akan mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng
kelas, tidak menghormati guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya sedar
sekiranya saya melanggar peraturan sekolah dan terlibat dengan salah laku di
sekolah, ibu bapa saya akan di panggil dan mereka akan berasa malu akibat
perbuatan saya ini. Oleh itu, saya akan sentiasa menghormati guru-guru di
sekolah dan menghormati orang yang lebih tua daripada saya apabila berjumpa
dengan mereka di mana-mana sahaja. Hal ini demikian kerana masyarakat pasti
bertanya “Anak siapakah yang berbudi bahasa itu?” Secara tidak langsung,
ibu bapa saya akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mendidik anaknya
dengan baik. Hadis Riwayat Al-Tarmizi menyatakan bahawa ibu bapa yang baik
terdiri daripada ibu bapa yang melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.
Tambahan lagi,
saya akan menjaga nama baik ibu bapa dengan menjalinkan hubungan yang baik
dengan ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sebagai seorang
anak yang baik, saya sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli keluarga dan
saudara mara yang jauh dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di sebelah
bapa walaupun mereka telah meninggal dunia. Saya akan meneruskan jalinan kasih
sayang dengan ibu bapa saudara dan sepupu-sepupu saya termasuklah mereka yang
mempunyai hubungan bau-bau bacang dengan saya. Hubungan yang terjalin
ini dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan dan tali persaudaraan yang mungkin
hampir terputus kerana tinggal berjauhan serta tidak mengenali antara satu sama
lain. Sebagai contoh, saya akan membawa ibu bapa saya menziarahi sanak saudara
dan kaum kerabat saya pada musim perayaan atau majlis kenduri-kendara. Saya
yakin hubungan saya ini dapat menjaga nama baik ibu bapa saya kerana
menjalinkan hubungan baik dalam kalangan keluarga. Selain itu, saya juga akan
menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga seperti selalu bertegur sapa dengan
mereka, menziarahi mereka sekiranya mereka sakit , membantu mereka apabila
mereka memerlukan bantuan dan
mengunjungi rumah mereka pada hari perayaan. Sebagai seorang anggota
masyarakat, saya akan menyertai setiap program kemasyarakatan yang dianjurkan
oleh masyarakat di kawasan tempat tinggal saya. Ibu bapa saya pasti gembira
apabila saya melibatkan diri dalam program kemasyarakatan kerana mereka tidak
perlu berasa bimbang sekiranya saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak
baik. Penglibatan saya dalam program kemasyarakatan juga membuktikan saya
menjadi lebih matang dan berminda terbuka dan tidaklah seperti katak di
bawah tempurung. Tegasnya, nama baik ibu bapa dapat dijaga dan dapat
dipelihara sekiranya saya menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat
setempat. Bak kata pepatah, “hidup
kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa.”
Akhir sekali,
saya akan sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama demi menjaga nama baik ibu
bapa saya. Sebagai anak yang baik, saya akan sentiasa mengamalkan ajaran agama
dalam kehidupan saya agar saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh
serta dapat mengelakkan diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh
perkara-perkara yang tidak baik. Sekiranya saya berpegang teguh pada ajaran
agama, saya dapat membezakan perkara yang salah dan benar. Hal ini amat penting
untuk menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Saya akan sentiasa menjaga
nama baik ibu bapa dan tidak menghampakan harapan mereka terhadap saya, kerana
saya sedar, “siapalah saya tanpa ibu bapa”. Saya akan mempraktikkan
didikan agama yang saya terima agar saya mempunyai matlamat hidup yang jelas.
Saya sedar akan kepentingan masa hadapan saya. Untuk meningkatkan nilai
kerohanian dalam diri , saya akan menghadiri kelas-kelas agam a atau kelas
fardu ain serta majlis-majlis ilmu agar dapat membentuk jiwa saya ke arah
melakukan perkara-perkara baik. Hal ini penting untuk melawan serangan pemikiran
yang boleh menjerumuskan saya untuk melakukan perkara yang tidak baik.
Tegasnya, didikan agama yang saya terima hasil asuhan ibu bapa akan saya
praktikkan dalam kehidupan saya supaya saya
dapat membentuk keperibadian yang baik dalam diri saya sekali gus dapat
menjaga nama baik ibu bapa saya.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga nama baik ibu bapa
atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab anak-anak yang hidup di dunia. Oleh itu, saya ingin menyeru
agar semua remaja dan anak-anak sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan
jangan sesekali melukakan perasaan ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang
boleh menjatuhkan imej mereka. Kita perlu ingat bahawa harta benda boleh
dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Tegasnya, berbuat baiklah
kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih ada dan sebelum terlambat kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
sumber asal : http://ishakmdshah.blogspot.my/
sumber asal : http://ishakmdshah.blogspot.my/
2 comments:
assalamualaikum nama syaqilla pelajar f4,,,sy nk tnya bagaimana kita nak cari pendahuluan yg sesuai?? dlm karangan tersebut...
Dua, sayang berpanjangan,
membawa ke syurga,
kasihnya ibu.
Tiga, lapar dan dahaga,
rela tempuh kepayahan,
setianya ayah.
Lirik lagu di atas telah didendangkan oleh _____ Menerusi sebahagian daripada lirik lagu itu, kita didendangkan dengan pengorbanan ayah dan ibu yang tiada batasannya. Kita juga dididik menjadi manusia yang tahu menghormati orang yang banyak berjasa kepada kita. Sebagai seorang anak, sudah tentu kita mempunyai tanggungjawab menjaga nama baik kedua-dua ibu bapa kita. Oleh itu, sebagai anak yang soleh dan solehah, tentulah beberapa kriteria sebagai anak cemerlang dan berupaya mengharumkan nama ibu bapa menjadi fokus yang seyogia diamalkan dalam kalangan anak.
Post a Comment