Permainan tradisional semakin
dipinggirkan oleh generasi muda.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda
lakukan bagi memartabatkan permainan tradisional di negara kita.
Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus
modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan
tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita
daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan
budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang
tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis
permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara
jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah
panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan
sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh
generasi muda. Hal ini membayangkan bahawa
permainan tradisional berkenaan akan
lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam
kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah
peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan
tradisional di negara kita?
Usaha
pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah
dengan memupuk minat diri sendiri terhadap
permainan tradisional. Remaja pada masa ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh
modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah
lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai
generasi muda, saya harus sedar bahawa saya berperanan
memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas
kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan
permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan
tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional
yang ada di negara kita. Terdapat banyak
laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan
tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran
dalam diri sendiri untuk memartabatkan
permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden yang
semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, usaha yang boleh saya
lakukan adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai pengisi masa
lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang
atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya boleh
meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara permainan tradisional tersebut bagi
membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif
ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk
semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan
diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif
akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi
diri saya lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada
melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan tradisional
mendatangkan banyak kebaikan kepada
generasi muda masa ini.
Di samping itu, bagi memartabatkan
permainan tradisional, saya sebagai
pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar
permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan
kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan
agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti
kokurikulum di sekolah. Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan
permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan menyertai permainan
tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti
kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan
ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkak dan demonstrasi
permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat
pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional
dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat
kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar
telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah
minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu
berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.
Usaha yang seterusnya ialah saya
sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama permainan
tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan tradisional merupakan
budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara
agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk
dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja
masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional.
Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah
dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan
terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan
sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan
tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya
kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap
negara
Kesimpulannya, remaja hendaklah
berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus
terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan
generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta
bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan
dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh
saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara
dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai
dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
5 comments:
good
Terima Kasih
Tq.
gud
gooooood
Post a Comment