18/01/2016

JALAN KE PUNCAK (i)

JALAN KE PUNCAK

Laiman pemuda dari Sabah menuntut ilmu dalam bidang kejuruteraan. Dia dihantar ke sebuah syarikat minyak di Sarawak untuk menjalani latihan industri. Dia memang berkeupayaan untuk maju dalam bidang yang dipelajarinya. Semasa dalam latihan, Laiman bekerja dengan bersungguh-sungguh, tetapi dia mempunyai impian lain daripada itu. Di tempat latihan itu, Laiman akrab dengan gadis yang bernama Soniah, yang juga masih belajar.  Hal ini menimbulkan rasa cemburu kawannya yang bernama Muluk. Soniah merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara Laiman dengan Muluk, tetapi dia menyembunyikannya.
Ketika Laiman tiada di tempat kerja kerana pergi ke Kuching, tangki minyak telah terbakar. Ada telahan yang menyatakan bahawa Laiman yang merancang pembakaran tangki minyak itu sebelum dia ke Kuching. Pengurus syarikat sendiri pun mengesyaki perkara yang sama. Walau bagaimanapun, setelah mendapat keterangan daripada Laiman, pengurus itu percaya bahawa Laiman tidak bersalah dalam hal tersebut.  
Setelah tamat belajar, Laiman pulang ke kampungnya di Kusilad, Sabah. Dalam fikirannya, dia berpendapat bahawa ijazah yang diperolehnya bukanlah tiket untuk dia mencari pekerjaan bergaji tetap. Dia memikirkan projek yang sentiasa ada dalam fikirannya sejak dahulu. Apabila dia mendapat tawaran untuk bekerja di jabatan pertanian, dia menolaknya. Tindakan Laiman itu menimbulkan rasa hairan di hati sepupunya, Milan dan juga menimbulkan kemarahan ayahnya, Pak Kiassim. Pak Kiassim yakin bahawa bekerja makan gaji adalah yang terbaik bagi lulusan universiti. Fikiran Laiman ketika itu tertumpu pada projek ternakan lebah madu dan ternakan ikan air tawar. Dia merancang untuk menjalankan projek ternakan ikan air tawar di tanah paya bersebelahan dengan tanah Pak Sahok. Ternakan lebah madu tidak mendatangkan masalah kepada Laiman kerana projek tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas. Di samping itu, dia juga menanam pokok tembikai.
Kemarahan Pak Kiassim menjadi-jadi apabila melihat Laiman tidak beroleh apa-apa kemajuan. Namun begitu, Laiman tetap dengan pendiriannya. Dia berpakat dengan Milan untuk terus bergerak maju. Pada awalnya, Milan juga kurang  bersemangat. Milan menjadi yakin dan penuh semangat apabila melihat Laiman tidak pernah berputus asa. Mereka bersama-sama meminta izin Pak Sahok untuk melaksanakan projek di sebelah tanah Pak Sahok, tetapi Pak Sahok tidak mengizinkannya. Laiman tahu bahawa Pak Sahok bukanlah pemilik tanah yang dicita-citakannya itu, tetapi dia tidak mahu bermusuh dengan Pak Sahok.
Milan makin bersemangat seperti Laiman. Tanaman tembikai mula menampakkan kemajuan. Laiman memikirkan projek lain, iaitu kebun limau dan kelapa. Milan berasa bimbang kerana fikiran Laiman terlalu bercabang-cabang, tetapi Laiman yakin dengan tindakannya itu. Menurut Laiman, kerjanya yang banyak akan dibantu oleh budak-budak yang gagal dalam persekolahan. Perkara tersebut tentu akan menyenangkan hati ibu bapa budak-budak itu.
Setelah masa berlalu agak lama, Pak Kiassim dapat menerima baik usaha Laiman. Dia telah melihat kejayaan Laiman dalam projek kebun tembikainya. Namun, Pak Sahok masih enggan memberikan keizinan kepada Laiman untuk mengusahakan tanah paya di sebelah tanahnya bagi dijadikan kawasan ternakan ikan air tawar. Hasil perundingan dengan Pak Kiassim, Pak Sahok kemudiannya bersetuju untuk membenarkan Laiman mengusahakan tanah tersebut.
Laiman memulakan projek ikan air tawarnya. Kawasan paya itu diperdalam dengan menggunakan jentera pengorek. Setelah segala-galanya berjalan dengan lancar, Laiman menambahkan lagi kolam ternakannya. Sebahagian dari pada kawasan itu digunakan untuk ternakan ikan air tawar, manakala sebahagiannya lagi untuk ternakan udang harimau. Urusan kebun tembikai diserahkan kepada ayahnya.
Masalah dalam bidang perusahaan adalah perkara biasa dan dihadapi oleh mana-mana pengusaha. Masalah yang menimpa Laiman ialah dua orang anak muda yang dilatihnya, iaitu Kedek dan Muali meninggalkannya untuk membuka perusahaan sendiri. Laiman tidak berasa kecewa kerana sekurang-kurangnya dia telah berjaya melatih orang lain bekerja.
Kejayaan Laiman kian terserlah apabila jabatan pertanian berjanji akan membantunya memperbesar perusahaan ternakan ikan air tawar. Projek ikan air tawar yang diusahakannya itu akan dijadikan projek contoh di daerah Kusilad. Hal itu menggembirakan Laiman dan Milan. Menurut pihak jabatan, ada kemungkinan projek itu akan menjadi projek terbesar di Sabah. Apabila Milan beredar ke warungnya, Laiman buat sekian kalinya teringat akan Soniah, gadis yang akrab dengannya semasa dia berada di Sarawak dahulu.

BAB DEMI BAB
Bab l. Bagaikan Mimpi

Laiman pelajar dari Sabah seakan-akan tidak percaya bahawa dirinya berada di Sarawak untuk menjalani latihan industri. Bidang yang diambilnya ialah kejuruteraan. Dia dihantar untuk membuat praktikal di sebuah syarikat minyak. Semasa menjalani latihan, dia menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh dan penuh minat. Di situ, dia berkawan baik dengan Sukri. Dia bercerita kepada Sukri bahawa dia akan berehat selepas tamat pengajian nanti. Jika dia menerima tawaran bekerja dari mana-mana syarikat, dia tidak akan menerimanya dengan cepat. Sukri hairan memikirkan sikap Laiman. Kebanyakan pelajar akan memikirkan pekerjaan setelah tamat belajar di universiti, tetapi Laiman hendak berehat. Laiman teringat akan kawannya yang bernama Chow Chin. Pemuda itu belajar di universiti hingga tamat pengajian. Setelah tamat belajar, dia tidak memohon pekerjaan sebaliknya membuka perniagaan kereta terpakai. Kemudian, dia menjadi ejen import eksport. Seterusnya, dia mengusahakan hotel. Kini, Chow Chin sudah menjadi jutawan baharu.
Dalam hidang pekerjaan, Laiman menjadikan Chow Chin sehagai contoh untuk diteladani. Laiman mengetahui bahawa ada juga pemuda yang gagal belajar di pusat pengajian tinggi tetapi berjaya dalam hidup. Pemuda itu bekerja di bengkel kereta milik orang lain, kemudian membuka bengkel sendiri. Laiman tertarik akan pekerjaan yang sedemikian. Pada pandangannya, orang yang berijazah atau tidak berijazah mampu maju dalam hidup jika bijak dan rajin berusaha. Perkara yang paling penting ialah pengalaman, kemahiran, dan kesungguhan. Kesemua perkara tersebut mampu
membawa dirinya ke arah hidup yang lebih terjamin.

Bab 2 : Sesal

Pengurus syarikat minyak tempat Laiman membuat latihan praktikal menyukai Laiman kerana Laiman seorang pekerja yang cekal, cekap, dan bijak. Kecekapan yang ada pada Laiman dikagumi oleh pengurusannya dan juga Syukri. Laiman tidak berbangga diri apabila dipuji. Sukri membawa Laiman ke sebuah restoran, mereka makan tengah hari di situ. Perkara tersebut merupakan tanda penghargaan syarikat kepada Laiman kerana cemerlang ketika melaksanakan tugas. Laiman ditegur oleh seorang gadis bernama Soniah, iaitu rakan sepejabatnya. Mereka berjalan bersama-sama, ditemani adik sepupu Soniah. Mereka berbual-bual tentang tugas yang perlu disiapkan. Mereka membincangkan hal yang berkaitan dengan keuntungan dan kerugian syarikat. Mereka juga berbicara tentang perangai manusia yang suka menjatuhkan seseorang, walaupun orang itu kawan mereka sendiri. Soniah menyebut nama Muluk. Hal itu menyebabkan Laiman ingin mengetahui tentang lelaki itu dengan lebih lanjut tetapi Soniah tidak mahu menceritakan perihal lelaki itu kepada Laiman. Pada anggapan Laiman, Muluk memang bersikap aneh, berlainan daripada kawan-kawannya yang lain. Sebenarnya, Soniah ada sesuatu yang hendak dikatakan kepada Laiman  tentang Muluk. Namun, setelah dia berfikir panjang Soniah bertindak untuk menutup cerita tentang Muluk itu. Walau bagaimanapun, nama Muluk yang disebut oleh Soniah kekal dalam fikiran Laiman. Selesai makan, mereka meninggalkan restoran itu. Setelah berpisah dengan Soniah, Laiman masih teringat akan Muluk. Hatinya masih tertanya-tanya.

No comments: