02/04/2017

PENULISAN 7 : Wajib Lulus Sejarah

Pengetahuan tentang sejarah dikatakan teras kepada pembentukan tamadun sesuatu bangsa. Malangnya sejak akhir-akhir ini sindrom buta sejarah telah melanda generasi muda.
Ulaskan pendapat anda tentang kewajaran kerajaan mewajibkan lulus mata pelajaran sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perbuatan mengoyak-ngoyak Jalur Gemilang, mempersendakan kalimat dalam lagu Negaraku, merosakkan sumber alam semula jadi, bersekongkol dengan musuh negara, rasuah, dan tidak menghormati undang-undang adalah antara  anasir kerendahan budi bahasa dan lunturnya jiwa patriotik seseorang. Namun demikian, fenomena seumpama itu seolah-olah menjadi kepuasan kepada sesetengah individu untuk menunjukkan diri mereka hebat. Mereka berbangga apabila dikatakan berjaya merobek-robek sistem perundangan, peradaban, dan budaya masyarakat. Tingkah laku keji seperti ini sudah pasti boleh meruntuhkan nilai patriotisme dalam kalangan rakyat seandainya tiada sebarang tindakan proaktif diambil. Menyedarinya, kerajaan telah mengambil pendekatan mewajibkan subjek sejarah kepada semua pelajar, malahan subjek tersebut diwajibkan lulus pada peringkat SPM. Walaupun terdapat reaksi pro dan kontra, saya berpendapat langkah tersebut sebagai kena pada masa dan situasi untuk mengembalikan hak dan maruah negara agar tidak dicacatcelakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Sejak ribuan tahun dahulu sejarah telah dijadikan sumber rujukan untuk melahirkan negara bangsa yang sedar akan asal usul dan akar umbi tamadun. Hal demikian amatlah penting kerana  kejahilan terhadap asal usul boleh melahirkan individu yang mudah menderhaka dan tidak mempunyai jati diri untuk berasa megah terhadap tanah tumpah darah. Oleh itu, sejarahlah yang munjadi murabbi dan mujadid untuk memberikan segala maklumat tentang keadaan sebenar tanah air dan bangsa sendiri. Sama ada dalam bentuk bertulis, monumen, prasasti mahupun serpihan, segala-galanya menjadi penting apabila boleh dirujuk sebagai bahan sejarah. Itulah sahaja wadah yang dapat membezakan kewujudan sesebuah negara dengan negara yang lain. Apabila rakyat telah sedar dan faham hakikat sejarah, justeru fahamlah mereka akan tamadun tanah air sendiri. Sekiranya prakarsa ini dapat diterjamahkan, nescaya amat relevanlah syarat wajib lulus sejarah dalam kalangan pelajar diperkasakan semula.
Rakyat dari satu generasi ke satu generasi akan berlalu pergi, sebaliknya negara akan terus kekal  berdaulat.  Demi mempertahankan kedaulatan, maka sejarahlah yang dapat menjelaskan tentang kedudukan sebenar masyarakat dan sistem politik di sesebuah negara. Tanpa pengetahuan yang terdidik tentang sejarah, sudah pasti akan lahir manusia badut yang hanya layak untuk menjadi pelakon di pelbagai pentas. Mereka  gagal menghayati akan harga sebuah kedaulatan dan tidak teragak-agak untuk merosakkan tanah air sendiri. Segala imej tentang tamadun, budaya, sosio politik dan ekonomi yang telah bertapak ribuan tahun akan menjadi catatan di atas kanvas sejarah sahaja. Oleh sebab itu,  rakyat harus faham dan sedia bertolak ansur dalam kalangan masyarakat yang menganut pelbagai ideologi, budaya dan adat resam. Rakyat perlu menghormati antara satu sama lain dan bersatu untuk membentuk bangsa Malaysia yang berasaskan permuafakatan dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui. Dengan hal yang demikian, langkah kerajaan itu adalah tepat sebagai strategi mendidik rakyat agar faham dan tahu akan sejarah terbentuknya negara Malaysia di dalam acuan masyarakat majmuk.
Tokoh-tokoh silam dan masa kini tidak pernah berbalah pendapat tentang pernyataan yang menyebut, “Sejarah ialah guru yang paling benar dan sejarah tidak pernah berbohong”. Atas kebenaran tersebutlah, sejarah menjadi elemen paling penting untuk mendidik rakyat memahami sistem bernegara. Sejarah merujuk kepada peristiwa yang pernah terjadi dan peristiwa yang perlu diteladani. Oleh itu, pengalaman landskap sejarah hendaklah dijadikan sumber untuk mengubah tingkah laku masyarakat agar faham tentang sistem pemerintahan dan sistem bernegara. Sejarah mengajar rakyat menghargai negara, menghormati pemimpin yang  telah banyak berjasa dan menghargai betapa bahagianya hidup dalam sebuah negara yang damai dan aman serta makmur. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengambil iktibar daripada catatan sejarah tentang betapa sulitnya untuk menatijahkan negara ini seperti yang wujud pada hari ini. Pengalaman-pengalaman pahit yang telah diharungi generasi terdahulu seperti dalam peristiwa penjajahan kuasa Barat, Perang Dunia Kedua, Darurat dan beberapa episod pertelagahan kaum sudah cukup untuk pemimpin dan rakyat menjadi lebih matang.
Sejarah juga telah dikenal pasti sebagai elemen penting membantu mempercepat pembangunan sesebuah negara. Sesebuah negara akan terus jumud sekiranya tidak mahu belajar daripada sejarah silam. Sesungguhnya, pengalaman inilah yang telah menjadikan beberapa negara seperti Jepun, Korea, Vietnam dan beberapa negara Komanwel di Asia Tengah untuk bangkit menjadi kuasa ekonomi yang gagah. Semua negara berkenaan pada awalnya pernah hancur akibat bahana peperangan yang melanda. Namun, dengan kekuatan rakyatnya menilai semula sejarah, justeru mereka bangkit  untuk membajai semangat patriotik menjadi bangsa yang berjaya. Hal yang sama turut dikongsi oleh Malaysia yang mampu bangkit dalam tempoh 59 tahun sahaja selepas ratusan tahun kita dibelenggu dalam rahang penjajahan. Pada hari ini, lihatlah sahaja di mana-mana pelosok bumi Malaysia, harapan kejayaan sudah terhidang di hadapan mata. Benarlah hakikat bahawa, rakyat yang kenal sejarah asal usul dan jatuh bangun bangsa mereka sahaja yang mampu bangun untuk mengorak langkah semula.
Selain itu, sejarah pasti terus menjadi agenda untuk melahirkan rakyat yang sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan negara. Perasaan sayang dan terhutang budi kepada negara akan membentuk peribadi rakyat yang berjiwa patriotik, berintegriti dan berwawasan. Mereka akan bersedia pada bila-bila masa untuk menjadi tulang belakang pertahanan negara. Panggilan keramat dalam lirik, inilah barisan kita, yang ikhlas berjuang akan terus terpahat dalam jiwa dan sanubari anak muda demi menggalas amanah keamanan sejagat. Pada hari ini, walaupun negara sudah aman, panggilan jihad terus terpahat dalam jiwa warganegara apabila ramai yang rela menyahut panggilan untuk menjalankan misi keamanan di seluruh pelosok rantau. Sikap patriotik seperti itu sudah pasti memberi jaminan bahawa ketenteraman dan keselamatan sosial bakal terjamin. Oleh yang demikian itu, janganlah ada pihak yang ingin menangguk di air keruh dengan menyatakan langkah mewajibkan lulus sejarah sebagai tindakan selangkah ke belakang kerana kononnya sejarah tidak mempeunyai nilai komersial.
Ratusan tahun kita berjuang untuk mengembalikan maruah dan kemerdekaan tanah air. Kini setelah 59 tahun negara mengecapi kemerdekaan setiap rakyat harus merasai sendiri denyut nadi mengecapi nikmat kemerdekaan. Kita perlu ingat bahawa, mempertahankan kemerdekaan dan kemakmuran yang telah lama dikecapi adalah lebih susah. Oleh itu, seandainya wujud sikap talam dua muka akibat buta sejarah maka amat wajarlah kerajaan mengambil langkah segera untuk mewajibkan syarat lulus sejarah dalam peperiksaan seandainya langkah tersebut boleh menyelamatkan masa depan negara.

sumber asal : http://ishakmdshah.blogspot.my/ 

No comments: