06/04/2017

PAKEJ CUTI BERJADUAL 2 : LATIHAN KERTAS 1 BAHASA MELAYU

Soalan 1
Kes salah laku seperti vandalisme, buli dan tidak menghormati guru kerap berlaku di sekolah belakangan ini. Situasi ini menggambarkan amalan budaya penyayang semakin luntur dalam kalangan pelajar.
Sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab jelaskan peranan  anda dalam memupuk budaya penyayang di sekolah. 

Sejak tiga dekad belakangan, sering didengari kenyataan yang menyebut, bahawa orang Melayu sebagai bangsa Asia yang sangat tinggi nilai hormat dan bersopan santun. Malah nilai itulah yang telah mengangkat imej Malaysia untuk dikenali di seantero alam. Namun, selepas dilanda pelbagai arus perubahan dan ancaman globalisasi yang semakin pantas, nilai-nilai murni itu semakin memupus dalam budaya dan tradisi masyarakat Melayu. Kini dalam pola masyarakat majmuk, masyarakat Malaysia kelihatan kompleks. Tiada lagi nilai sopan santun dan hilang budaya hormat dan berkasih sayang. Hukum sesiapa yang kuat dia menang, yang cepat dia dapat, dan yang megah dia gagah sedikit demi secara sedikit membentuk pola baru imej bangsa Malaysia pada abad milenium ini. Oleh itu, sebagai anak muda saya perlu menghayati semula nilai-nilai murni masyarakat agar budaya penyayang dalam kalangan masyarakat dapat dinobatkan semula.

Isi-isi penting :
Isi 1 : saya perlu menjadi pelajar yang proaktif dalam mengamalkan akhlak yang terpuji– mempamerkan sikap dan tingkah laku yang baik – disenangi rakan dan para guru

Isi 2 : menjadi pelajar yang mudah didekati – senang berkawan, cepat mesra, peramah dan menghormati rakan – menjadi pelajar yang luhur budi bahasa serta patuh kerpada perintah Tuhan

Isi 3 : mengamalkan prinsip dan identiti diri/jati diri – tidak mudah terikut-ikut dengan perangai buruk rakan – tegas dan berani kerana benar

Isi 4 : belajar secara istiqamah – menjadi pelajar yang cemerlang akademik – ikhlas membantu rakan untuk berjaya dalam akademik

Isi 5 : penglibatan dalam aktiviti kokurikulum – proses bergaul dengan rakan-rakan secara sihat – menyumbang kejayaan kepada sekolah – mengangkat imej sekolah agar tersohor di persada negara


Kesimpulan : Hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa ialah ungkapan peribahasa yang mendorong seseorang itu agar beriltizam untuk menyumbangkan khidmat dan jasa. Budaya penyayang seandainya dipupuk dan dibaja boleh memberi natijah kepada lahirnya masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin. Oleh hal yang demikian, saya sangat teruja untuk berada di tengah-tengah khalayak bagi meuar-uarkan idea yang baik ini agar terbentuk juga masyarakat yang berbudaya, beretika serta penyayang. Sesungguhnya, inilah Malaysia yang menjadi harapan kita menjelang dekad yang akan datang.

 
Soalan 2
Sikap prihatin,  bekerjasama, dan bertolak ansur penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Huraikan langkah-langkah untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni.

Pendahuluan : Beberapa sumber daripada peribahasa Melayu boleh dipetik sebagai menandakan masyarakat Melayu amat mementingkan nilai-nilai murni bekerjasama dan bertolak ansur. Antara peribahasa yang boleh dipetik adalah seperti ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah; bagai aur dengan tebing hidup serumpun bak serai sejunjung bak sirih dan hidup ibarat suatu anggota, jangan memiat daging, sakit di orang sakitlah di awak. Demikianlah begitu banyak sarana agar masyarakat perlu hidup secara bertoleransi dan bermasyarakat agar terbentuk kekuatan ummah sama ada dalam aspek ekonomi, sosial dan budaya. Namun demikian, impian untuk membentuk sebuah institusi masyarakat yang ampuh mungkin muluk dalam kata-kata, tetapi bukan mudah untuk direalisasikan. Oleh hal yang demikian, semua entiti dalam masyarakat perlulah beriltizam untuk membina sebuah masyarakat yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni sebagai anak kunci masyarakat madani.

Isi-isi penting :

Isi 1 : Zahirkan kesedaran dalam jiwa setiap anggota masyarakat akan nilai bersyukur – bersyukur kerana ditakdirkan hidup dalam sebuah negara yang aman -  mensyukuri nikmat Allah dan menghargai sumber alam – berpada-pada dan reda (redha) dengan nikmat yang ada

Isi 2 : Para pemimpin perlu menzahirkan daya kepemimpinan berteladan, hemah dan bijaksana – pemimpin sebagai cerminan kepada rakyat – tunjuk tauladan dan pekerti yang mulia perlu diserlahkan untuk ikutan masyarakat

Isi 3 : Guru dan ibu bapa perlu menjadi agen terpenting untuk membimbing anak-anak mengamalkan pekerti mulia – anak-anak dan remaja akan tumbuh membesar dalam persekitaran yang paling awal iaitu di rumah dan sekolah (hakikat peribahasa, air perabung mengalir ke cucur atap dan guru kencing berdiri murid kencing berlari)

Isi 4 : Mengutamakan teras pendidikan, agama dan moral merentas ilmu pengetahuan – anak-anak dididik menerima ilmu secara berhikmah – mengamalkan ilmu dengan jalan yang betul – ilmu untuk kesejahteraan insan dan mensyukuri nikmat Tuhan

Isi 5 : Mendidik masyarakat yang berdisiplin, patuhi undang-undang dan menyayangi alam sekitar – masyarakat yang bijak, dinamik dan faham akan nilai murni dalam masyarakat – masyarakat yang menghargai alam sebagai komponen penting – masyarakat yang bertanggungjawab

Kesimpulan : Peribahasa yang menyatakan, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku celaka padahnya hendaklah dijadikan panduan dan sempadan agar dalam semua tingkah laku tidak menyalahi pertaturan dan tataetika. Justeru, perihal kehidupan dengan amalan nilai murni hendaklah diperkasakan. Baik negara mahupun masyarakat pasti memperoleh impak yang cukup signifikan apabila masyarakat mula mengamalkan nilai-nilai murni seperti prihatin,  bekerjasama, dan bertolak ansur. Sesungguhnya, inilah impian untuk membentuk negara maju dalam acuan kita menjelang Wawasan 2020.


Soalan 3
Membaca karya-karya sastera boleh membentuk jati diri seseorang.
Bincangkan faedah-faedah yang diperoleh daripada pembacaan karya-karya tersebut.

Karya kreatif merupakan cetusan idea yang bersandarkan minda yang kreatif dan tajam serta diasosiasikan dengan emosi yang sentimental. Wadah yang ingin disampaikan adalah berdasarkan kepekaan terhadap segala isu dan konflik dalam kehidupan. Gabungan antara minda dan emosi itu diketengahkan kepada masyarakat pembaca melalui medium bahasa yang indah, berseni dan tinggi kreativitinya. Oleh hal yang demikian, karya-karya kreatif berupaya menggerakkan daya berfikir pembaca melalui pemikiran yang kritis dan analitikal. Berbeza daripada sumber-sumber maklumat deskriptif, genre sastera memuatkan pelbagai sumber seperti persoalan, gaya bahasa, teknik penyampaian, dan nilai-nilai estetika yang tinggi. Oleh itu, tidak syak lagi kita bakal memperoleh pelbagai faedah apabila mengkaji pelbagai genre sastera.

Isi-isi penting :
Isi 1 :   Dapat menyelami daya berfikir orang-orang yang bijaksana - menggali segala khazanah ilmu melalui perkongsian pemikiran kreatif - mengenali gaya berfikir dan cetusan ilmu yang diketengahkan melalui isu, persoalan, dan tema yang digarapkan - mewujudkan interaksi tidak langsung dengan para ilmuwan, seniman, dan budayawan

Isi 2 :   Memperoleh idea-idea dan pemikiran besar melalui tema dan persoalan yang telah digarapkan - menggerakkan minda untuk berfikir berdasarkan gagasan idea penulis - berfikir secara realistik dan pragmatik melalui buah fikiran dan persoalan yang dikemukakan - menjana minda agar mampu menjadi insan bijaksana melalui perkongsian dan percambahan idea yang kreatif dan inovatif

Isi 3 :   Menggali khazanah budaya dan cara berfikir masyarakat -  penerapan melalui latar tempat dan latar masyarakat - secara tidak langsung dapat meninjau tentang sesuatu lokasi walaupun tidak pernah menjejakkan kaki - mendalami corak hidup, corak pemikiran, dan pelbagai aktiviti sosioekonomi

Isi 4 :   Memperkaya perbendaharaan ilmu dan kosa kata - teks kreatif memang kaya dengan variasi bahasa - mempelajari pelbagai bentuk bahasa - menikmati pengucapan seni yang indah seperti dalam pengucapan falsafah, bahasa tinggi, puisi, bidalan, dan peribahasa

Isi 5 :   Menganjak paradigma minda, sikap, dan gaya bertindak - penerapan unsur nilai yang amat kaya dalam setiap karya kreatif - menajamkan minda melalui penghayatan dan berfikir secara hikmah daripada pelbagai konflik dan episod yang dipaparkan - mendidik diri untuk lebih positif berpandukan amanat yang disampaikan sama ada secara langsung atau tidak langsung

Kesimpulan :  Sesungguhnya, ilmu itu luas bak lautan yang tidak bertepian seperti yang diungkapkan dalam serangkap syair,

Ilmu alat yang sangat berguna
Idaman orang yang bijaksana
Hamparnya luas amat saujana
Tepinya ajal sempadannya fana


Apabila mengkaji sesebuah karya kreatif sudah pasti pelbagai limpahan ilmu yang bakal diperoleh. Yakinlah bahawa, dengan mengkaji genre sastera adalah amat menguntungkan selain sangat menghiburkan.



No comments: