Sejarah telah mencatatkan
bahawa bangsa yang berjaya antara lain dicirikan oleh masyarakatnya yang
memiliki budaya literasi. Begitu juga sebaliknya. Sesuatu bangsa yang mempunyai
kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan
miliknya tanpa budaya ilmu yang mantap. Malah bangsa yang gagal memilikinya
akan bergantung kepada bangsa lain yang lebih berilmu. Buktinya kita melihat
betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam
semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari
segi keilmuan dan kepakaran. Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat
maju yang dapat menguasai pelbagai bidang dalam kehidupan mereka dan mencipta
sejarah adalah masyarakat yang suka membaca. Disiplin membaca untuk mendapatkan
ilmu merupakan suatu kuasa pembebasan daripada belenggu-belenggu kemiskinan dan
kejahilan.
Budaya membaca
membolehkan pemikiran seseorang itu berkembang dan mempunyai imaginasi yang
lebih tinggi untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat berbanding dengan orang
yang kurang membaca. Menurut Kenedy (1981) membaca adalah ‘keupayaan seseorang
untuk menggarap bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau
perkataan) yang menghubungkan bentuk intu, atau bunyi makna yang telah
diketahui, dan seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsir
maksud’.
Amalan membaca boleh
dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini kerana
perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu
yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki.
Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan
mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu
golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas
mereka dapat membangunkan negara tersebut.
Amalan membaca boleh
dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini kerana
perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu
yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki.
Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan
mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu
golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas
mereka dapat membangunkan negara tersebut.
Islam sendiri
menggalakkan umatnya membaca sehingga terbukti kelahiran ramai tokoh ilmuan
yang terunggul seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Haitham,
Al-Khindi, Ibnu Biruni dan pelbagai lagi. Kesemua tokoh tersebut memulakan
penerokaan mereka daripada bacaan sama ada bacaan lisan mahupun bacaan alam
sehingga mereka dapat menghasilkan penemuan baru.
Ketika Barat berada di
Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti
langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of
Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan berkata, ‘Eropah
bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor
sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi serangga
sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari. Eropah
dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah
dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova
tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri
sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di Eropah
tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina
kutub khanah yang besar.’ Inilah buktinya bangsa yang suka membaca tercegat
menjadi bangsa yang berjaya.
Semua pemimpin negara
juga menggalakkan masyarakatnya membaca supaya mereka tidak akan ketinggalan
dalam menerima kecanggihan dan kemodenan dunia. Bagi masyarakat Jepun, membaca
sudah menjadi tabiat dan amalan mereka kerana daripada budaya membaca mereka
dapat meningkatkan taraf hidup dan juga bersaing dengan dunia luar.
Walau bagaimanapun,
masyarakat yang menerima perubahan teknologi yang moden dan canggih hari ini
telah menjadikan amalan membaca bahan-bahan yang tidak sepatutnya. Budaya ini
telah menyebabkan masyarakat terutama golongan remaja menjadi rendah akhlak dan
cetek ilmu pengetahuan. Jenis bahan bacaan yang boleh dikategorikan sebagai
‘lucah’ atau tidak sopan ialah yang mengeksploitasikan seks sebagai bahan
utama. Bagi sesetengah bahan bacaan ini, memaparkan gambar wanita mendedahkan
tubuh badan dan aksi menggoda untuk dijadikan sebagai pelaris jualan.
Disebabkan remaja sering disogokkan dengan bahan sedemikian, golongan tersebut
mudah terpengaruh sehingga menjadi seronok dan ketagih. Ini akan menyebabkan
golongan ini tidak dapat berfikir secara matang dan akan ketinggalan dalam
pelbagai aspek.
Sejarah telah mencatatkan
bahawa negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Jerman adalah antara
negara dan bangsa yang maju kerana masyarakatnya sudah membina budaya literasi.
Kerana itu, amat wajar bila negara-negara tersebut maju dalam segala bidang,
jauh mengalahkan negara-negara lain. Selain menguasai perekonomian dunia,
negara-negara tersebut juga dikenali menguasai bidang teknologi. Geliat
kehidupan masyarakatnya juga begitu dinamik, di samping memiliki tingkat
kedispilinan yang tinggi. Dalam erti lain, budaya literasi memiliki peranan
yang begitu penting dalam membangunkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara.
Dengan membacalah kita
menjadi tahu dan faham, sekaligus memperoleh wawasan mahupun pengetahuan baru
tentang pelbagai perkara yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus
melakukan perubahan. Bukti tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara
yang hancur lebur dalam Perang Dunia Kedua akibat dibom atom oleh Tentera
Sekutu. Jepun kemudiannya berupaya bangkit dan mengutamakan pendidikan
bangsanya, dengan mengirim mereka ke negara-negara maju seperti Amerika
Syarikat dan negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya membangunkan kembali
negaranya dari kehancuran.
Kini, pelbagai teknologi
mampu dibuat oleh masyarakat Jepun. Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini
menjadi adikuasa di segala bidang, dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan
Jepun. Dan kejayaan Jepun menguasai ‘dunia’ tidak lain kerana budaya literasi
yang telah disuburkan sejak awal. Tidak mungkin Jepun mampu menghasilkan ramai
ilmuwan dengan penemuan-penemuan mutakhirnya dalam berbagai bidang, jika budaya
literasi di Negara Matahari Terbit itu tidak terbina. Justeru itu juga di Jepun
kita tidak mungkin akan menemui ahli masyarakatnya yang buta huruf. Mereka
bahkan dikenali sebagai masyarakat yang suka membaca, walau di mana mereka
berada.
Lantaran suka membaca
juga, media cetak di sana tumbuh begitu pesat. Bahkan, jumlah pengedaran
akhbar-akhbar di Jepun mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia.
Menurut Cakram Fokus edisi April 2006, dari 10 akhbar terbesar di dunia, dari
urutan satu hingga lima dikuasai pengedaran akhbar-akhbar Jepun. Tempat pertama
dipegang oleh akhbar Yomiuri Shimbun dengan jumlah pengedaran 14 juta naskhah
sehari. Kedua, akhbar The Asahi Shimbun dengan jumlah pengedaran 12 juta
naskhah sehari. Ketiga, akhbar Mainchi Shimbun dengan jumlah pengedaran 5.5
juta naskhah sehari. Keempat, akhbar Nihon Keizai Shimbun dengan jumlah
pengedaran 4.6 juta naskhah sehari dan kelima, akhbar Chunichi Shimbun dengan
4.5 juta naskhah sehari.
Di samping itu, umumnya
akhbar di Jepun terbit dua kali sehari, pagi dan petang. Jika dikira, dalam
sehari, satu orang di Jepun membaca empat akhbar yang berbeza. Bayangkan!
Betapa tingginya daya baca orang-orang Jepun. Manakala Singapura yang saiz
negaranya jauh lebih kecil dari Malaysia juga memiliki semangat yang sama
dengan Jepun. Perekonomian, pendidikan, mahupun budaya membaca masyarakatnya
melebihi negara-negara di Asia Tenggara. Dengan jumlah penduduk sekitar 4.5
juta, terdapat tujuh suratkhabar dengan jumlah pengedaran mencapai 1 juta
naskhah per hari.
Kendatipun begitu, di
negara kita, pada masa ini kita masih bergelut dengan kelembapan budaya membaca
di kalangan masyarakat. Seharusnya amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi
bagi melahirkan masyarakat yang suka membaca. Untuk membudayakan amalan
membaca, semua pihak termasuk kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan
orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing khususnya dalam
mengaplikasikan ilmu yang telah dibaca dalam kehidupan seharian. Serapkanlah
budaya membaca masyarakat Jepun dan Eropah ke dalam masyarakat kita agar kita
mampu menjadi bangsa yang berjaya.
Konklusinya, ‘bangsa
membaca bangsa berjaya’ adalah sebuah frasa yang jitu. Hakikatnya, pembentukan
bangsa yang hebat bermula dengan ilmu serta kefahaman. Menggunakan ungkapan
lain ia bermaksud kesemuanya bermula dengan minda cemerlang yang lahir dari
budaya membaca. Dalam Al-Jamik li Ahkam Al-Quran, Imam Qartubi meriwayatkan,
‘Imam Sufyan bin Uyainah pernah ditanya tentang kelebihan ilmu dan beliau
menjawab, ‘Apakah kamu tidak mendengar kalam Allah (iaitu ayat 19 surah
Muhammad) yang bermula dengan; ‘Ketahuilah, sekali gus menunjukkan Allah mahu
kita menguasai ilmu terlebih dahulu sebelum beramal? Olahan yang sama Allah
s.w.t gunakan dalam surah al-Hadid ayat 20, dan surah al-Anfal ayat 28 dan 41.’
Justeru, membaca yang mampu melahirkan minda cemerlang merupakan pintu gerbang
kepada segala kehebatan dan kejayaan.
sumber :
No comments:
Post a Comment