Semangat patriotik
semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di
Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara
kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India,
Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu
sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat
yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka
mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun,
masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga
mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat
dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah
pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato’
Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang
bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh
itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan
semangat patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah peranan
ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam
jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke
tempat-tempat yang bersejarah. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membawa
anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan
bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat
anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan
seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat
bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan
sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke
tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana
anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat
mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan
ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan
oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang
berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan
semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui
proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan
dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat
patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi
kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa
usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat
penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai
ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca
buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan
dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak
dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak
membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca
kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke
udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau
suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan,
perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak.
Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang
positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera
di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap
negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana
perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan
betul, tetapi diri sendiri tidak betul. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa
menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian
1Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu
bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang
dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat
patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi
melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita
mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada
anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik kerana “pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak
masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa
kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela,
Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa boleh
juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu, betapa mereka
menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak
yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang
berbanding dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari Internet untuk mendapatkan
maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan
mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan
setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah.
Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik
dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau
kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak
mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan
kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati
setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara.
Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk
jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai
sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia
pada 16 September dan sebagainya. Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan
ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai
contohnya, apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang,
mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita tentang kesengsaraan
para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat
sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif
sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah di sebalik kemewahan dan
kedamaian negara akan dapat dirungkaikan dan seharusnya dapat menghadirkan
keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus
dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai
aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan
daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak
langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang
harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa
dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka
kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu
bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam
jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa ‘tiada anugerah
yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan
budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya
tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak.
Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi
melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan
berwawasan.
22 comments:
nice
nice
Fantastic words....
Tenq so mch....
Fantastic words....
Tenq so mch....
Nice essay. Superb.
Superrrr
👏👍
thank youi
YEsszzaa... selamat beramadan..
HEY YOU!!!SEEMS LIKE WE GONNA HAVE SAME PIECE OF WORK >-<ITS ME QYLAH NIZAM
thank you so much for your help. :)
minta copy&paste ye..doakan sy spm taun depan
Hai
Ok no pobem
thank you
mohon salin karangan ini ye... terima kasih
saya jadikan sebagai bahan rujukan dalam karngan saya..thanksss
panjangnya karangan
power
uiiii panjangnyaa
ok
Panjang elokk😅 Apa2pun Terima kasih Penulis karangan👍
Post a Comment